Salam semua. Baru ini saya telah membuat satu lagi perjalanan di Perak bagi mengikuti lagi perbicaraan di mahkamah syariah Ipoh melibatkan hal harta Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Mekah. Ini ceritanya, dipadatkan dalam satu artikel sahaja.
Perjalanan bermula selepas Maghrib hari Selasa malam Rabu 14 November 2023. Selepas singgah makan malam di Slim River saya meneruskan perjalanan ke arah Ipoh sebelum beriktikaf lalu bermalam di masjid yang kelihatan. Gambar ini disambil pagi Khamis 15 November selepas Subuh. Masjid yang terletak di Kampung Gunung Mesah Hilir ini sudah beberapa kali dijadikan tempat rehat dan persinggahan dalam perjalanan pergi balik Ipoh.
Dari situ masuk ke Lebuh Raya Utara Selatan melalui Tol Gopeng.
Sampai di Ipoh bersarapan di kedai makan sebelah stadium...
Saya ke sana kerana kedudukannya agak dekat dengan pejabat utama JPJ (Jabatan Pengangkut Jalan) negeri Perak. Selepas makan, singgah di surau berdekatan (lihat artikel Madrasah al-Islamiah, Kampung Simee, Ipoh di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)) kemudian ke JPJ membayar satu saman. Lihat cerita berkenaan dalam artikel Kenapa kena rajin menulis? yang ditulis hampir 2 bulan lalu.
Masuk jam 10 baru sampai ke mahkamah syariah.
Satu perkara menarik dalam perbicaraan kali ini. Peguam lawan kelihatan begitu goyang sehingga banyak kali tersasul lantaran line of questioning atau aliran soal jawab yang nampaknya dirancang bersama anak guam beliau dibantah lalu harus dibuat soalan-soalan lain. Sehingga setelah beberapa lama asyik termanggu dan tersasul cakap hakim memberikan masa rehat supaya dapat mengembalikan rentak.
Gambar atas ini diambil di surau mahkamah ketika waktu rehat. Sekembalinya masuk untuk menyambung perbicaraan kelihatan peguam lawan lebih teratur namun sebenarnya masih tidak mendapat rentak. Beliau lebih banyak terdiam panjang sebelum mengeluarkan soalan. Mungkin balasan kerana beliau dan anak guam sebelum ini, sebelum berlaku sesi soal balas terhadap responden yang merupakan anak guam beliau 2-3 bulan kebelakangan, kelihatan sangat yakin menguasai perbicaraan sehingga ada masanya seperti mengejek pihak kami.
Selepas perbicaraan layan nasi ganja di tengah bandar raya Ipoh.
Keluar melalui jalan lama utama ke arah selatan ada kesesakan lalu lintas teruk hingga ke Gopeng.
Perjalanan diteruskan ke Kampar kemudian membelok menghala ke Teluk Intan. Di Air Kuning ambil satu jalan mengikut panduan Googe Map yang kemudian membawa ke satu laluan pendalaman melalui ladang kelapa sawit dan kampung-kampung.
Lalulah jambatan ini yang menyeberangi Sungai Batang Padang, sungai yang turun dari kawasan pergunungan Cameron Highlands melalui bandar Tapah kemudian masuk ke Sungai Bidor yang seterusnya masuk ke Sungai Perak di Durian Sebatang/Kuala Bidor. Lihat artikel Batang Padang river near Tapah Road di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Tujuannya mahu ke perpustakaan desa di Tapah Road bagi menyumbangkan 5 naskah buku ke-13 saya "Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eropah Tahun 1995" yang terbit Jun 2019. Kiranya menyambung usaha berkenaan daripada perjalanan-perjalanan ke Perak dan tempat-tempat lain sebelum ini. Rujuk cerita dalam artikel-artikel berikut :-
1. Antara perpustakaan dan mahkamah : Pesta Buku Perak 2023
2. Antara perpustakaan dan mahkamah - Menyumbang buku dari Ipoh ke hulu Bidor
3. Antara perpustakaan dan mahkamah : Melengkapkan sumbangan di Besout dan Slim
4. Asbab pertanyaan ibu - Dari Kota Sufi ke majlis di Hang Tuah Centre
5. Asbab pertanyaan ibu - Menyumbang buku di Muar hingga ke sempadan Batu Pahat
6. Asbab pertanyaan ibu - Mencapai sasaran di daerah Tangkak dan sebahagian Melaka
Setelah itu singgah di masjid sana. Lihat Masjid (Mosque of) Tapah Road. Apabila meneruskan perjalanan ke arah Teluk Intan tercari-cari di manakah surau dua tingkat di mana saya pernah menginap satu malam setelah sampai dengan kereta api dari Tanjung Malim ke Tapah Road. Ketika itu penghujung tahun 2003 saya baru pertama kali hendak ke Aceh. Selepas melawat anak dengan bekas isteri di Kepong lalu memberikan sedikit duit belanja saya menaiki kereta api KTM Komuter ke Rawang.
Ketika itu tidak ada lagi Komuter ke Tanjung Malim. Lalu dari Rawang saya naik bas ke Kuala Kubu kemudian menyambung ke Tanjung Malim. Memang destinasi saya malam itu hampir 20 tahun lalu hendak ke Teluk Intan. Sampai di Tanjung Malim sudah malam, nasib baik ada kereta api ke Tapah Road.
Fikirnya hendak hitch hike ke Teluk Intan tetapi sampai pun sudah jam 1 pagi. Hal ini ada diceritakan dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006. Selepas bermalam di Teluk Intan bergerak ke Lumut sehingga ke Pulau Pinang. Dari sana naik feri ke Medan. Kemudian baru ke Aceh melalui jalan darat.
Surau dua tingkat dekat Tapah Road menjadi penginapan sebelum boleh mendapatkan bas ke Teluk Intan pada pagi hari. Oh. Dalam perjalanan pada 15 November 2023 itu tidak kelihatan langsung surau berkenaan. Apapun, perjalanan diteruskan sambil mencari perpustakaan untuk membuat sumbangan buku. Seperti halnya sebelum ini kedudukan perpustakaan dicari melalui Google Map. Namun seperti berlaku beberapa kali apa yang ditanda dalam perisian sebagai lokasi perpustakaan rupa-rupanya cuma hutan belukar, kali ini menghala ke Chenderong Balai.
Mungkin disebabkan Allah SWT mahu saya lalu di jambatan yang menyeberang satu bahagian Sungai Padang menghilir sedikit dari Tapah Road. Kalau tidak kerana mencari perpustakaan 'alam bunian' itu saya akan terus ke Langkap lalu tidak mengambil laluan berkenaan. Lihat Batang Padang river near Chenderong Balai.
Sampai ke pekan Langkap berlaku perkara hampir serupa.
Ikut petunjuk Google Map harus ada perpustakaan awam dalam lingkungan gambar ini.
Bila melihat lebih dekat memang ada. Cuma ia nampaknya lebih pada komuniti orang Cina lalu tidak sesuai dibuat sumbangan buku berbahasa Melayu.
Nasib baik perpustakaan seterusnya ditunjukkan Google Map iaitu di Chikus wujud nyata dan sesuai bagi sumbangan. Oh. Sebelum itu singgah di sebuah surau, selepas menyumbang ke masjid dekat situ. Lihat artikel Surau (Praying hall of) Kampung Attaduri, Langkap diikuti Masjid (Mosque of) Chikus.
Perjalanan diteruskan menghala ke Teluk Intan. Singgah dahulu menziarahi makam Keramat Kuala Bidor dekat Kampung Bahagia. Ini sama seperti dilakukan ketika pertama kali hendak ke Aceh hampir 20 tahun lalu. Cuma dahulu saya perlu berjalan kaki dekat 2 km dari jalan besar ke makam, sekarang naik kereta.
Alhamdulillah, walaupun sampai di makam selepas jam 4.40 petang kemudian mengambil masa untuk bertafakur masih sempat sampai ke perpustakaan awam Teluk Intan sebelum jam 5. Dapatlah dibuat sumbangan buku lalu boleh dikira lengkap rancangan hari itu.
Seterusnya singgah minum petang di sebuah warung di Durian Sebatang. Sempat menulis lalu mempersembahkan artikel Pembentangan HIKMAH Sarang - Tentang Sharifah Fatimah dan lukisan-lukisan beliau di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Untuk makluman, ia adalah kesinambungan bagi usaha yang dinyatakan dalam artikel Dari Muar 2 minggu lalu ke acara ke-23 HIKMAH di Tanjung Malim 2 hari lalu pada hari Isnin 6 hari lalu.
Ziarah pula ke makam Sultan ke-22 Perak, Sultan Abdullah Muhammad Syah I (bertakhta 1851-1857) dekat-dekat situ. Untuk makluman makam dan sejumlah besar tanah di sekelilingnya dahulu adalah milik keluarga. Durian Sebatang adalah pusat pentadbiran Laksamana pada abad ke-19 Masihi.
Selepas itu hingga lewat malam saya banyak berlegar-legar di bandar Teluk Intan.
Gambar di tepian Sungai Perak ini diambil pagi Khamis 16 November.
Saya telah bermalam di masjid warisan keluarga di Batak Rabit.
Dekat waktu Zuhur baru meninggalkan kawasan di mana pernah terdapat sebuah kota milik keluarga yang diduduki Sultan ke-26 Perak, Sultan Abdullah Muhammad Syah II (1874-1877).
Pergi ke UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris) di Tanjung Malim...
Ada satu wacana tentang drama sitkom diadakan sempena pesta buku. Lihat Stopping by at UPSI book fair 2023.
Barulah tahu bagaimana siri drama sitkom ("komedi situasi") pertama di Malaysia iaitu "Syy" bermula tahun 1983 berdasarkan situasi sebenar sebuah kampung Melayu di pinggir bandar raya Kuala Lumpur dekat loji penapisan najis. Kemudian siri bertukar nama menjadi "Kampung Seri Wangi", setelah itu menjadi "Pi Mai Pi Mai Tang Tu". Selesai majlis sempat menulis dan mempersembahkan artikel Pembentangan HIKMAH Sarang - Alam Melayu dan jangkauan yang diperkecilkan Barat dalam dewan.
Saya sampai ke rumah selepas masuk waktu Isyak. Esoknya petang Jumaat 17 November ditulis dan dipersembahkan artikel sambungan Pembentangan HIKMAH Sarang - Tentang ketokohan dan perjuangan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Dengan itu lengkaplah segala penceritaan yang perlu melibatkan acara berkenaan yang dianjurkan di Tanjung Malim pada hari Sabtu 8 hari lalu seperti dinyatakan dalam artikel Dari Muar 2 minggu lalu ke acara ke-23 HIKMAH di Tanjung Malim 2 hari lalu. Dapatlah melengkapkan kompilasi bagi artikel Acara ke-23 HIKMAH di Sarang Art Hub, Tanjung Malim 11 November 2023 lalu dipersembahkan tengah hari tadi.
Sebagai mengakhiri artikel ini biar diberitahu bahawa ketika perbicaraan melibatkan harta Laksamana kali ini berlaku iaitu pada pagi hingga tengah hari Rabu 15 November berlangsung juga satu wacana ilmu yang kelihatan sangat menarik di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Kuala Lumpur. Kalau tidak kerana harus berada di Ipoh harus saya pergi ke majlis. Nasib baik ada rakaman boleh dilihat di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan