Khamis, April 20, 2023

Iktikaf hujung Ramadhan 2023 - Dari mahkamah ke Batak Rabit

Salam petang Khamis 29 Ramadhan 1444 Hijriah. Harus sekarang ini ramai tertanya-tanya apakah kita ada beraya esok Jumaat atau lusa hari Sabtu. Kena tunggu dahulu keputusan melihat anak bulan selepas Maghrib. Sementara itu pergi pada hari ke-3 perjalanan Perak baru ini. Bersambung daripada artikel Iktikaf hujung Ramadhan 2023 - Dari Gua Tempurung ke Bukit Chandan.



Pagi Isnin 17 April 2023 bersamaan 26 Ramadhan 1444 Hijriah. Setelah bermalam di sebuah surau di Kampung Temong, Kuala Kangsar saya meneruskan perjalanan.



Sebelum bermalam saya telah menziarahi makam Tok Temong.



Oleh itu tak perlu singgah lagi pagi itu. Saya harus berkejar ke Ipoh.




Lalu di Sungai Siput mandi dan bertukar pakaian di sebuah masjid...




Seperti disebut dalam artikel pembukaan perjalanan iaitu Iktikaf hujung Ramadhan 2023 - Berangkat lewat ke Perak ia berlaku atas asbab mahu menghadiri perbicaraan kes melibatkan harta Laksamana Muhammad Amin di Ipoh. Ini adalah kali pertama saya hadir buat tahun 2023. Entah kenapa perbicaraan kali ini bermula lewat iaitu pada sekitar jam 11 pagi sedangkan ramai saudara mara sampai jam 8.30. Saya sendiri sampai sebelum jam 9. Biasanya memang perlu menunggu tapi kebiasaannya jam 10 sudah bermula.



Selepas perbicaraan ditangguhkan jam 12.40 tengah hari pergi bermesyuarat dengan saudara mara di inap desa berdekatan. Kemudian bermesyuarat lagi bersama saudara mara lain yang menginap di hotel ke timur bandar raya Ipoh.



Selesai itu pergi bersolat dan beriktikaf sebentar di Masjid Panglima Kinta. Timbul rasa untuk menghubungi seorang kawan yang sudah beberapa kali bertandang ke rumah saya di Bandar Sungai Buaya, Rawang. Tetapi saya sendiri belum pernah sampai ke rumahnya di Ipoh.



Kebetulan kawan yang selalu berulang alik ke Kuala Lumpur ada di rumahnya di Ipoh. Rupa-rupanya rumahnya terletak kurang 5 km ke selatan Masjid Panglima Kinta. Entah atas gerak apa beliau kemudian mengajak saya berjalan-jalan melihat satu kawasan. Ditunjukkanlah tanah kebun yang diwarisi daripada keluarga yang katanya adalah antara tanah asal di Pengkalan Pegoh. Maksudnya bukan tanah lombong yang dikambus kembali dijadikan perumahan dan sebagainya seperti banyak terjadi di sekitar itu.



Dibawa pula melihat kawasan-kawasan lain dalam lingkungan lama Pengkalan Pegoh. Untuk pengetahuan tempat ini memiliki sejarah tersendiri sebagai satu pengkalan utama bagi mengeluarkan hasil bijih timah dari Lembah Kinta Inilah pusat aktiviti bagi seluruh lembah sebelum Ipoh menjadi bandar penghujung abad ke-19.

Hal kawan membawa berjalan tanpa dipinta ini seperti mahu menjawab persoalan berkenaan yang terbit dalam fikiran secara spontan hampir 6 bulan lalu. Lihat Misi keluarga Laksamana part VI - Harta pusaka di Mekah dan hal kebenaran salasilah. Saya juga ditunjukkan sebuah makam lama yang kelihatan milik orang penting wilayah dahulukala. Lihat artikel Sebuah makam terserlah di Pengkalan Pegoh (An outstanding tomb at Pengkalan Pegoh) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Saya meninggalkan Ipoh dan persekitarannya selepas jam 5.40 dalam hujan renyai.




Ambil jalan ke Bota Kanan kemudian ke Kampung Gajah dengan niat untuk sekurang-kurangnya menziarahi makam Sultan Muzaffar Syah I, II dan III. Tetapi akhirnya sekadar memberikan salam dari tepian jalan. Ini kerana mendapati tidak cukup masa kerana Maghrib semakin menghampiri.




Hampir jam 7.15 baru sampai ke masjid Kampung Bahagia yang merupakan masjid terdekat ke makam Keramat Kuala Bidor, moyang utama keluarga Laksamana...



Berbuka puasa kemudian bersolat Maghrib di sana.




Perjalanan diteruskan masuk ke bandar Teluk Intan.




Selepas tumpang mandi dan bertukar pakaian di sebuah masjid di tengah bandar baru ke masjid warisan keluarga Laksamana di Batak Rabit.




Memang saya berniat untuk beriktikaf dan bermalam 27 Ramadhan, ulang tahun kelahiran saya yang ke-54 menurut kalendar Islam di masjid keluarga.



Tengok-tengok ada pula majlis khatam Qur'an. Tiba-tiba saya dipanggil untuk menyampaikan cenderamata kepada beberapa orang imam sebagai mewakili keluarga Laksamana. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan