Salam hari Jumaat 30 Ramadhan. Sebetulnya saya merasa amat lega malam semalam apabila mendapat tahu bahawa hari raya 1 Syawal 1444 Hijriah jatuh pada Sabtu 22 April 2023. Dengan itu dapatlah menyelesaikan siri kecil perjalanan ini sebelum raya. Pergi pada hari ke-4 dan terakhir perjalanan baru Perak. Bersambung daripada Iktikaf hujung Ramadhan 2023 - Dari mahkamah ke Batak Rabit.
Pagi Selasa 18 April bersamaan 27 Ramadhan. Melihat-lihat ke luar masjid warisan keluarga di Batak Rabit.
Pergi ke tepian Sungai Perak di hadapan masjid. Kali ini lebih bermakna kerana selepas beberapa bulan mengkaji sejarah yang terkait dengan perjalanan hidup keluarga Laksamana Raja Mahkota saya lebih faham kepentingan kedudukan tempat-tempat di sekitar, antaranya ada sudah hilang langsung daripada peta moden. Misalnya Tanjung Putus kira-kira 1.6 km ke hilir Batak Rabit dan Tanjung Medan seberang sungai setentang masjid. Lihat artikel A more meaningful look of the Perak river at Batak Rabit di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Jam 8.23 saya meninggalkan masjid.
Masuk berjalan-jalan di bandar Teluk Intan.
Kemudian ke Kampung Bahagia di mana saya berbuka di masjidnya malam sebelumnya seperti dinyatakan dalam artikel Iktikaf hujung Ramadhan 2023 - Dari mahkamah ke Batak Rabit.
Seterusnya ke tanah perkuburan lama berdekatan untuk menziarahi makam Keramat Kuala Bidor.
Kali ini didapati satu lagi yang makam yang dianggap keramat di kawasan kelihatan begitu terserlah. Lihat artikel Makam terserlah di Kuala Bidor (An outstanding tomb at Kuala Bidor) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Masuk ke Kampung Suli yang di sebelah.
Sebelum ini setakat pernah masuk sedikit sahaja ke kampung orang Cina itu dalam kawasan ladang kelapa sawit. Kali ini pergi hingga ke jalan paling hujung kemudian masuk lain-lain simpang...
Dapatlah melihat Sungai Perak dari belah sana. Lihat Perak river from Sungai Suli.
Seterusnya mengambil satu jalan kasar melalui tepian Sungai Tungku (di seberang itu terdapat makam Kerama Kuala Bidor) yang memanjang sebelum membelok masuk ke tepian Sungai Bidor...
Semua kawasan yang dijelajahi ini terletak dalam lingkungan Kuala Bidor yang pernah menjadi pusat pentadbiran keluarga Laksamana sebelum beralih ke Durian Sebatang di seberang sungai sekitar tahun 1826 Masihi.
Saya mengambil masa untuk 'merasai' jejak persekitaran. Sampai ke rumah lewat petang didapati perjalanan memakan jarak keseluruhan 620 km. Kalau dicampur perjalanan bersama keluarga hari Sabtu sebelum bergerak ke Perak lewat malam (rujuk Demi anak-anak) jadi 825 km. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,383 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan