Salam pagi Jumaat 24 Sya'aban 1444 Hijriah, Jumaat terakhir bulan. Sekarang tinggal kurang seminggu sahaja lagi sebelum umat Islam harus berpuasa wajib bagi bulan Ramadhan. Sebelum sampai waktu itu ingin dilepaskan semua cerita tentang perjalanan ke selatan Thailand baru ini. Sekarang masuk pada cerita hari kedua perjalanan. Bersambung daripada artikel Misi kedaulatan Singgora - Pertama kali naik ETS diikuti insiden kereta api ke Hatyai.
Pagi Jumaat 10 Mac 2023 iaitu tepat seminggu lalu. Saya, isteri dan anak berjalan kaki meninjau persekitaran di pusat bandar raya Hatyai.
Sebelum itu saya telah meninjau pemandangan dari tingkat tertinggi hotel penginapan kami. Lihat artikel Hatyai skyline from a hotel at Lee Garden di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Singgah di Seven Eleven terdekat untuk mendapatkan burger halal dan kopi ais kegemaran...
Untuk pengetahuan ini adalah kali ketujuh saya ke Hatyai membawa keluarga. Selain itu ada datang tanpa keluarga tiga kali...
Kali pertama saya sendiri sampai adalah dengan menaiki kereta api Mei 2010, bersama seorang jurugambar bagi projek penulisan buku tentang perjalanan melalui jaringan landasan kereta api KTMB (Kereta Api Tanah Melayu Berhad). Lihat Projek buku keretapi : Ipoh ke Hatyai.... Untuk cerita keseluruhan lihat Projek buku keretapi.
Sebelum itu saya pernah dua kali ke Thailand. Pertama ketika menjalankan tugas kewartawan meliputi satu acara di Phuket penghujung tahun 2000. Lihat Meliputi Asian X-Games di Phuket tahun 2000. Kedua adalah dengan memasuki Golok bersama satu krew penggambaran drama di Kelantan pertengahan 2003. Yang ini ada disebut sedikit ceritanya dalam artikel Kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003 - Danau Tok Uban dan beberapa tempat singgah. Cerita keseluruhan ada dalam Kompilasi cerita kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003.
Kali pertama membawa keluarga ke Thailand pula adalah dengan memandu kereta sendiri melalui Bukit Kayu Hitam Ogos 2010, di tengah-tengah perjalanan ke beberapa tempat di Kedah dan Perlis. Ia adalah kali keempat saya sendiri ke negara itu dan kali kedua ke Hatyai. Lihat artikel Mencari jejak Merong - Melihat 'masyid' ke Hatyai diikuti Mencari jejak Merong - Dari Hatyai ke Perlis Indera Kayangan.... Cerita keseluruhan ada dalam Susah-payah mencari jejak Merong.
Perjalanan kelima saya ke Thailand merangkap kedua bersama keluarga adalah ke Golok penghujung 2010. Lihat artikel Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Sekitar Rantau Panjang, Masjid Beijing dan Golok di selatan Thailand. Cerita keseluruhan ada dalam Kompilasi "Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur".
Perjalanan keenam ke Thailand pula dibuat untuk mengikuti satu rombongan ke Patani tanpa membawa keluarga awal 2017. Selepas Patani saya menyambung perjalanan secara solo menaiki kenderaan awam. Ketika itulah pertama kali bermalam di Hatyai, setelah masuk kali ketiga ke sana. Lihat artikel Misi jejak Aceh-Langkasuka : Berjalan kaki melihat Songkhla sebelum menyambung perkara di Hatyai diikuti Misi jejak Aceh-Langkasuka - Sedikit masa di Hatyai sebelum kembali ke tanah air. Itu juga adalah kali pertama saya ke Patani diikuti kali pertama ke Songkhla. Cerita keseluruhan ada dalam artikel Misi jejak Aceh-Langkasuka - The compilation.
Dalam perjalanan ketujuh saya ke Thailand penghujung 2017 baru membawa lagi keluarga. Kali ini dengan membawa kereta sendiri sehingga ke Ayuthayya sekitar 80 km ke utara Bangkok. Perjalanan yang memakan jarak pemanduan lebih 4,000 km ini menyaksikan banyak tempat disinggahi termasuk Patani dan Songkhla lagi juga Hatyai. Oh. Sebetulnya bandar raya Hatyai itu sendiri terletak di dalam wilayah Songkhla yang bertaraf negeri. Namun apabila disebut nama Songkhla ia selalu merujuk kepada bandarnya yang terletak sekitar 30 km ke timur laut Hatyai. Lihat cerita-cerita yang terkumpul dalam Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - The Compilation.
Pembaca mungkin tertanya-tanya kenapa saya menyebut agak panjang lebar tentang perjalanan-perjalanan lama ke Thailand? Apakah semata-mata hendak menunjuk berapa kali sudah sampai ke sana? Sebelum menjawab biar diselesaikan dahulu sedikit lagi perkongsian tentang perjalanan-perjalanan lama.
Perjalanan kelapan saya ke Thailand dilakukan bersama keluarga dengan membawa kereta terus ke Patani melalui Durian Burung, Kedah Mac 2018. Lihat Jejak Wasilah Patani - The compilation. Perjalanan kesembilan adalah melalui persinggahan ke beberapa tempat dalam perjalanan kembali dari Cambodia melalui darat November 2018. Lihat Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - The compilation. Perjalanan kesepuluh adalah untuk ke Krabi dengan kereta penghujung 2019. Tetapi berlaku kerosakan menyebabkan ia disambung dengan kenderaan awam. Dalam perjalanan ini kami singgah dan bermalam di Hatyai dua kali iaitu ketika pergi dan kembali dari Krabi. Lihat cerita keseluruhan dalam Kompilasi cerita perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019.
Tiga tahun kemudian iaitu selepas lama tidak ke luar negara akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi membendung wabak virus Covid-19 baru berlaku perjalanan ke-11 saya ke Thailand merangkap ketujuh bersama keluarga penghujung 2022. Lihat Kompilasi cerita perjalanan selatan Thailand penghujung 2022. Dengan berlakunya perjalanan tersebut melalui Wang Kelian di Perlis baru lengkap semua pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand di darat telah saya lalui. Pintu-pintunya adalah (dari timur ke barat) :-
1. Pengkalan Kubor di Tumpat Kelantan/Pintu sebelah Thailand adalah Takbai.
2. Rantau Panjang, Kelantan/Golok.
3. Bukit Bunga, Kelantan/Buketa
4. Pengkalan Hulu, Perak/Betong
5. Durian Burung, Kedah/Banprakob
6. Bukit Kayu Hitam/Sadao
7. Padang Besar (belah Thailand pun namanya Padang Besar)
8. Wang Kelian/Wang Prachan
Dengan itu boleh dinyatakan bahawa perjalanan yang sedang diceritakan ini adalah yang ke-12 saya ke Thailand dan kelapan bersama keluarga. Kalau ke selatan Thailand yang wilayahnya secara geografi meliputi semua bahagian Thailand ke utara Semenanjung Malaysia hingga ke Segenting Kra boleh dikira 13 kali. Ini kerana dalam perjalanan penghujung 2017 saya masuk selatan Thailand kemudian keluar dalam perjalanan ke Bangkok kemudian masuk kembali ke selatan Thailand. Namun sudah banyak kali pergi itu baru kali ini, pada hari Jumaat 9 Mac iaitu seminggu lalu bersempatan menunaikan solat Jumaat di mana-mana masjid di selatan Thailand. Lihat Jumaat prayers at the oldest mosque in Songkhla.
Ketika pertama kali ke Thailand iaitu ke Phuket tahun 2000 saya masih jenis orang yang tidak mempedulikan solat juga apa-apa hal keagamaan. Maka itu walaupun berada 11 hari di sana saya tidak berusaha langsung untuk menjejakkan kaki di mana-mana masjid. Untuk perjalanan-perjalanan kemudian pula saya sudah jadi orang yang menjaga solat. Tetapi sama ada perjalanan tidak meliputi hari Jumaat di Thailand atau tidak ada kelapangan untuk menunaikan solat Jumaat. Apapun sebagai musafir tidak wajib. Boleh menjamak qasar Zohor dan Asar. Namun ada masa timbul keinginan untuk menunaikan solat Jumaat. Alhamdulillah akhirnya sempat sekali di Ayuthia penghujung 2018. Lihat Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Jumaat di Ayutthaya dan kawasan menghadap kiblat.
Itu adalah pertama kali saya sempat menunaikan solat Jumaat di mana-mana di Thailand. Ketika singgah di Hatyai dalam perjalanan kembali dari Ayuthayya dan Bangkok penghujung 2017 kami sampai di sebuah masjid di luar pusat bandar raya tetapi orang baru sahaja selesai menunaikan solat Jumaat. Lihat Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Langkah-langkah akhir di Trang, Phattalung dan Hatyai. Ketika ke Patani bersama keluarga Mac 2018 saya memang mahu menunaikan solat Jumaat. Tetapi sebaik sahaja terjumpa ruang untuk meletakkan kereta di luar masjid utama yang sesak dengan kenderaan tengok-tengok orang baru habis solat. Lihat Jejak Wasilah Patani - Wilayah Jambu, Tanjung Budi dan tanah besar yang menghadapnya. Untuk perjalanan penghujung 2022 pula saya mahu bersolat Jumaat di masjid utama Satun. Tetapi tak sempat disebabkan dua jam setengah tersangkut di sempadan. Lihat Perjalanan selatan Thailand penghujung 2022 : Wang Kelian, Satun dan 'keterangan' di Trang. Maka bayangkan apakah perasan akhirnya sempat menunaikan solat Jumaat di selatan Thailand minggu lepas...
Setelah melepaskan hal soal Jumaat ini baru dapat diteruskan dengan cerita sebenar di lapangan pada hari berkenaan. Adapun selepas berjalan-jalan di sekitar pusat bandar raya Hatyai kami berehat sebentar di hotel. Memang saya bercadang untuk bersolat Jumaat di mana-mana masjid yang dapat. Tetapi setelah memikirkan mahu ke bandar Songkhla hari itu maka eloklah bersolat sahaja di sana.
Untuk memudahkan perjalanan dan supaya tidak lari masa kami menempah Grab Car lalu terus bergerak dari hotel. Sampai ke Songkhla daftar masuk dahulu ke hotel sana kemudian minta pemandu hantar ke masjid. Alhamdulillah kami sampai sejurus selepas masuk waktu Zohor. Sebelum solat sempat melihat satu binaan bersejarah berdekatan. Lihat artikel Pintu gerbang bandar lama Songkhla (Gate of old Songkhla town) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Selepas solat makan di warung orang Islam berhadapan masjid kemudian berjalan kaki melalui bandar lama ke arah hotel lalu singgah ke beberapa tempat. Lihat artikel-artikel berikut :-
Adapun hotel kami terletak sangat dekat dengan tembok bandar lama Songkhla yang dibina sekitar tahun 1830an hingga 1840an.
Tengok-tengok di hadapan tembok panjang itu diadakan sambutan Songkhla Day atau Hari Songkhla. Lihat Songkhla Day celebration at Songkhla town centre juga Lawatan baru ke tembok kota Songkhla (New visit to Songkhla city wall).
Malam itu ketika berjalan-jalan seorang diri kemudian duduk melihat pertunjukkan wayang kulit yang dibuat oleh sejumlah remaja terjumpa seorang warga tempatan yang pandai berbahasa Melayu lalu berbual panjang. Saya diberitahu Hari Songkhla diadakan bagi mengingati tarikh bandar Songkhla yang ada ini diasaskan pada tahun 1830an. Ini merujuk pada bandar lama di lokasi sekarang di bawah pemerintahan Siam Thai, bukan bandar Singgora milik orang Melayu Islam yang asal di seberang perairan berdekatan. Pada hari diasaskan itulah dipasak suatu tiang dengan upacara tertentu yang melibatkan hal-hal kebatinan.
Ini menguatkan lagi telahan saya tentang fungsi sejumlah kuil khas yang dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai pillar shrine (saya terjemahkan sebagai kuil pasak). Sebelum itu iaitu dekat masjid saya telah mendengar cerita serupa daripada seorang warga tempatan Melayu Islam. Maka benarlah telahan sejak pertama kali melihatnya di Surat Thani penghujung 2017. Bahawa kuil pasak itu adalah ibarat tiang seri bagi rumah tradisional Melayu. Lihat Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Menyahut 'panggilan' Sultan Sulaiman sebelum ke Tambralingga/Sri Dharmaraja/Ligor/Nakhon Si Thammarat . Cuma ia dipasak berdasarkan cara agama Buddha kerana ia adalah agama rasmi orang Thai dan kerajaan. Campur pula faktor bomoh Siam dan sebagainya. Agak-agak makhluk apa yang ada terpasak sama bagi menjaga kawasan?
Saya dapat tahu setiap province (sama status dengan negeri di Malaysia) ada kuil pasak. Ini tidak menghairankan bagi negeri-negeri di Thailand yang penduduknya majoriti beragama Buddha. Tetapi bagi wilayah-wilayah yang asalnya adalah kerajaan-kerajaan Melayu Islam seperti Patani dan Singgora? Fikir-fikirlah sendiri.
Saya difahamkan menjadi kesalahan untuk seorang warga Thailand mempersoalkan ini secara terbuka. Namun fungsinya jelas. Kuil-kuil tersebut merupakan pasak kebatinan untuk mengekalkan pemerintahan Thai Buddha ke atas wilayah-wilayah berkenaan. Pada hari Jumaat 9 Mac tepat seminggu lepas saya akhirnya sempat menunaikan solat Jumaat di selatan Thailand setelah 13 kali bertandang, sejak tahun 2000.
Signifikannya adalah ia ditunaikan di masjid tertua masih wujud dengan bangunan asal di Songkhla sedangkan ini tidak ada dalam rancangan, baru difikirkan secara spontan pagi itu juga, pada Hari Songkhla yang mana saya tak tahu pun sambutannya wujud. Dah sampai baru tahu dan kebetulan ia sedang berlaku. Pada hari sama itu juga saya pertama kali singgah ke kuil pasak Songkhla. Sedangkan saya telah ke bandar itu tiga kali sebelum itu. Baru kali ini, persinggahan yang keempat terfikir untuk singgah.
Signifikannya lagi, bandar Songhkla adalah ibu negeri bagi propinsi/province (negeri) Songkhla yang mengandungi daerah dan bandar raya Haytai. Ia juga mengandungi pusat asal kerajaan Singgora yang pernah menjadi satu kerajaan kuat Melayu Islam awal abad ke-17 iaitu pada zaman Sultan Sulaiman (lihat artikel lama Misi jejak Aceh-Langkasuka : Masjid Kerisek, makam Sheikh Abdul Samad dan kota atas bukit Singgora) sebelum jatuh dikalahkan Siam semasa zaman pemerintahan Sultan kemudian. Anak cucu Sultan Sulaiman ini ramai bertebaran merata di Malaysia terutama di Kedah. Daripada anak cucu beliau muncul keturunan yang menjadi gabenor atau wakil pemerintahan Siam di wilayah-wilayah Ligor (Nakhon Si Thammarat), Patthalung dan Chaiya.
Keturunan yang menjadi gabenor di Ligor inilah yang menjadi wakil Siam untuk menguasai negeri-negeri Melayu di utara Semenanjung Malaysia seperti Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Keturunan ini jugalah yang bertanggungjawab mengalahkan Patani sehingga ia jatuh ke bahawa kekuasaan Siam lalu dipecahkan menjadi beberapa wilayah, sekarang adalah Patani kecil diikuti Narathiwat dan Yala. Bacaan saya menunjukkan daripada keturunan di Chaiya itulah kemudian muncul Tok Kenali yang menjadi wali besar di Kelantan awal abad ke-20.
Sekarang bayangkan. Kalau pasak kekuasaan Siam di Songkhla dapat dibatalkan lalu kesemua keturunan Sultan Sulaiman yang berkenaan dapat dibangkitkan kembali jiwa perjuangan Melayu Islam. Ah. Saya tak boleh cakap lebih lagi. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,366 di CATATAN SI MERAH SILU.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan