Sabtu, Ogos 13, 2022

Misi Keluarga Laksamana part III - Ke Taiping sebelum ke Pulau Pinang

Pergi pada hari kedua perjalaanan. Bersambung daripada Misi Keluarga Laksamana part III - Mencari makam di Sungai Durian.



Selepas tahlil dan makan-makan di masjid keluarga di Batak Rabit, saya, isteri dan anak serta seorang anak saudara berserta isteri dan anaknya bermalam di masjid. Pagi esoknya Isnin 8 Ogos 2022 bersamaan 10 Muharram 1444 Hijriah terjumpa seorang ahli jemaah yang memperkenalkan diri sebagai seorang yang ada kena mengena dengan keluarga kami lalu mengajak berjalan-jalan melihat satu kawasan.



Ditunjukkanlah tanah yang dahulunya pernah terdapat sebuah rumah besar merangkap istana di mana Sultan ke-26 Perak, Sultan Abdullah II (bertakhta 1874-1877) pernah duduk, dalam kawasan kota yang menempatkan sanak saudara kaum kerabat keluarga kami daripada satu cabang utama keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak.



Ditunjukkan sedikit kepingan kayu daripada rumah yang sudah lama roboh itu tetapi kini digunakan untuk menghiasi rumah saudara di sebelah...



Tentang kawasan tersebut dan sejarahnya sudah diceritakan agak panjang lebar dalam artikel Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - 1 April 2022. Jumaat yang sejahtera walau rasa dikhianati diikuti  Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - Antara Best Out dengan pelita tembaga warisan lebih 4 bulan lalu. 




Hamba Allah tersebut kemudian mengajak ke rumahnya seberang sahaja daripada kawasan..Dapatlah melihat Sungai Perak dari jeti kecil di belakang rumah. Lihat artikel Perak river from the backyard of a house at Batak Rabit di  blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Selepas persinggahan kami kembali ke masjid Batak Rabit untuk berehat. Hampir tengah hari datang saudara mara lain untuk satu urusan di kawasan pemakaman khas keluarga di sebelah masjid.




Merujuk kembali pada artikel  Misi Keluarga Laksamana part III - Mencari makam di Sungai Durian. Adapun semasa hendak membaca Surah Yassin iaitu ketika majlis tahlil pada malam 10 Muharram didapati cermin mata yang digunakan untuk membaca sudah tiada, entah hilang di mana. Cari di rumah ibu saudara tidak jauh dari masjid tiad. Begitu juga halnya di sebuah restoran mamak yang disinggahi ketika berbuka puasa iaitu selepas mencari makam di Sungai Durian petang Ahad sebelumnya (saya berpuasa 3 hari 9, 10 dan 11 Muharram sepanjang perjalanan ini diikuti puasa putih hari Khamis 13 Muharram). Hal ini menyebabkan timbul telahan mungkin cermin mata tercicir di Sungai Durian. Selesai urusan di kawasan pemakaman keluarga saya pun ke sana. Terus menuju ke makam Laksamana Sulaiman. Tengok-tengok alhamdulillah ada di tepi makam...



Terasa lucu pula melihatnya. Teringat apabila diberi tahu kemungkinan cermin mata tercicir ketika mencari makam di Sungai Durian isteri kepada anak saudara memberitahu : "Entah-entah Laksamana Sulaiman pinjam spek Uncle kot?". Mungkin juga. Semoga dapat membantu almarhum melihat lebih jelas perkara. :]




Oh. Saya ke Sungai Durian seorang diri. Isteri perlu kembali ke rumah untuk bekerja keesokan harinya anak perlu ke sekolah sedangkan perjalanan saya masih jauh lagi. Mereka kembali dengan menumpang kereta anak saudara. Saya pula terus bergerak ke arah utara.




Masuk lebuh raya baru Pantai Barat sehingga penghujung yang ada (masih ada bahagian lebuh raya yang belum siap) lalu keluar di pekan Beruas.




Dari sana ikut jalan lama hingga ke Taiping untuk ke muzium lama. Lihat artikel Muzium (Museum of Perak), Taiping di blogspot  SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Masuk ke perpustakaan khas muzium di mana terdapat banyak dokumen lama yang antaranya tidak boleh didapati di tempat lain waima Perpustakaan Negara dan Arkib Negara sekali pun.




Dibuat lagi kajian terhadap dokumen seperti halnya pernah dilakukan dalam tempoh sebulan sebelum itu. Rujuk artikel-artikel berikut :-









Selepas perpustakaan muzium tutup pergi ke Masjid Melayu di tengah bandar Taiping.




Papan tanda di luar masjid menyatakan orang pertama dimakamkan di sini adalah Toh Puan Halimah iaitu pada tahun 1899. Beliau adalah moyang saudara saya.



Beliau yang merupakan anak kepada Laksamana Muhammad Amin adalah isteri kepada Orang Kaya Menteri Ngah Ibrahim. Laksamana, Menteri dan Shahbandar telah dibuang negeri ke Pulau Seychelles bersama Sultan Abdullah oleh British tahun 1877. Pada tahun 1891 baru dapat berada lebih dekat apabila dibawa ke Pulau Singapura walau masih dalam tahanan kerana dikatakan terlibat dalam pembunuhan Residen pertama British ke Perak iaitu J.W.W. Birch pada tahun 1875.






Perjalanan diteruskan ke arah Pulau Pinang menggunankan jalan lama.




Masuk sebentar ke satu bahagian di Kerian, kiranya dalam sempadan Pulau Pinang tetapi di tanah besar untuk menziarahi makam Laksamana Paduka Raja Wan Ismail yang merupakan moyang saya daripada jalur belah Laksamana Kedah pula. Rujuk cerita-cerita berkenaan dalam artikel Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah  diikuti Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II


Tiada ulasan:

Catat Ulasan