Sabtu, April 10, 2021

Kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003 - Makam kaum kerabat di Kuala Berang

Artikel sebelum ini iaitu Kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003 - Ayah Weng dan tiga malam di surau hadapan ada menyebut tentang menerima satu risalah tentang wali Allah abad ke-17 Masihi itu di makam. Dalam risalah ada ditunjukan nama bapa, datuk dan moyang Tok Pulau Manis berserta gambar-gambar makam. Rujuk artikel Risalah kecil Tok Pulau Manis tahun 2014. Setelah menginap tiga malam di surau hadapan makam sampailah masa untuk menyambung perjalanan. Tempat utama mahu dituju adalah Kuala Berang di mana terdapat makam-makam kaum keluarga tersebut.


Gambar daripada artikel Menyahut panggilan haul Tok Pulau Manis - Langgar dan Tok Surat pada Nisfu Sya'aban. Apakah yang tersurat dan tersirat? tahun 2019 ini menunjukkan pemandangan apabila sampai ke bandar Kuala Berang menggunakan jalan kampung dari arah Kampung Pulau Manis. Kalau ikut jalan besar dari Kuala Terenggu lain rupanya. Dalam gambar ini ia adalah jalan ke kiri dari simpang di hujung hadapan sana. Jalan yang sama tapi ke arah kanan boleh membawa ke jambatan menyeberang Sungai Terengganu.


Beginilah laluan dari makam Tok Pulau Manis ke Kuala Berang. Dari surau di hadapan makam perlu berjalan kaki sedikit untuk masuk ke jalan sedikit besar yang ada bas KT ke KB ikut laluan kampung. Dari perhentian bas di simpang jalan kecil dari makam dengan jalan sedikit besar itulah juga saya selalu ke KT dan kembali sepanjang tiga malam menginap di surau. Tidaklah jauh sangat KB, cuma sekitar 25 km dari Pulau Manis. Tapi kalau dari KT lebih 40 kmlah juga kerana terletak di arah yang bertentangan.

Jarak 25 km menyebabkan saya memikirkan ada kemungkinan lawatan ke KB dibuat dalam tempoh tiga malam menginap di surau hadapan makam. Kemudian baru teringat saya ada menginap satu malam di penempatan bersebelahan salah satu makam di KB. Mustahil ini dilakukan dalam tempoh tiga malam di surau kerana sudah menjadi kebiasaan saya kalau tergerak untuk menginap tiga malam di suatu tempat maka ia akan dilakukan secara berturutan. Tidak boleh tidur di tempat lain dalam celah-celah itu.

Saya ke Kuala Berang kerana mahu menziarahi makam-makam kaum kerabat Tok Pulau Manis seperti ditunjukkan dalam risalah yang diterima daripada Ayah Weng. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003 - Ayah Weng dan tiga malam di surau hadapan. Biar ditunjukkan gambar-gambar daripada risalah...







Saya kurang ingat setakat mana cuba menjejak tiga makam utama ini sekitar Kuala Berang. Nasib baik ada artikel Wasilah kekeluargaan Tok Pulau Manis, wali agung Terengganu abad ke 17.... tahun 2008 sebagai rujukan. Sekurang-kurangnya ia dapat memberi petunjuk yang mana ada diziarahi pada tahun 2003. Yang lain jelas ada diziarahi dalam lawatan ke Terengganu seterusnya pada 2004.


Di makam ini saya ada singgah lalu bermalam di surau bersebelahan. Ada satu penempatan telah dibina dalam hutan di sekitar makam. Tetapi tidaklah ingin saya bercerita sangat tentang makam kerana sudah tertulis jelas dalam artikel Wasilah kekeluargaan Tok Pulau Manis, wali agung Terengganu abad ke 17..... Sebaliknya saya hendak memberikan lebih tumpuan pada laluan dan jarak. 




Peta ini menunjukkan laluan yang digunakan untuk ke makam. Ketika itu tidak boleh gunakan laluan belah selatan seperti ditanda dengan warna kelabu oleh Google Map kerana belum ada jambatan di sebelah barat menyeberangi sungai besar yang merupakan Sungai Terengganu. Terdapat perkhidmatan bas dari Kuala Berang. Turun ke tempat yang ditandakan (ya, saya dah semak kedudukan tepat menggunakan paparan satelit) perlu berjalan kaki dalam setengah kilometer kemudian perlu mengambil bot menghulu sungai sekitar setengah kilometer lagi sebelum boleh sampai ke makam di tebing selatan. Pergi balik dari KB ada juga 26 km.



Gambar daripada artikel Daulah Melayu - Tarikan batu bersurat dan orang yang menulisnya ini menunjukkan satu pemandangan ketika menaiki bot dalam lawatan tahun 2015. Ketika itu saya menjadi penyelidik juga hos bagi satu projek dokumentari televisyen 13 episod yang dipanggil sebagai "Daulah Melayu". Selepas pertama kali bermalam dekat makam dalam kawasan pendalaman tahun 2003  tidak ingat ke manakah seterusnya. Ikut perangai kebiasaan besar kemungkinan dari Kuala Berang ada mengambil bas atau menumpang apa-apa kenderaan ke arah pesisiran pantai menghadap Laut Cina Selatan lalu membuat persinggahan ke tempat-tempat seperti Dungun diikuti Kemaman kemudian Kuantan sebelum kembali ke Lembah Klang.

Saya cuma akan mengambil bas ekspress apabila ada keperluan untuk bergerak cepat. Kalau tidak saya suka ambil bas 'lompat-lompat'. Maksudnya mengambung menggunakan perkhidmatan bas tempatan lalu singgah ke banyak tempat. Tetapi memandangkan tak ingat biarlah dianggap terus kembali ke Lembah Klang dari Kuala Berang. 




Biar jarak berkenaan diambil kira walaupun seingat saya tidak pernah langsung mengambil bas ekpress dari KB ke KL mahupun KL ke KB. Yang ada banyak kali adalah KL ke KT (Kuala Terengganu) atau sebaliknya. Dengan itu jarak keseluruhan perjalanan yang diceritakan dalam artikel ini boleh dikatakan adalah 24. 8 km Pulau Manis ke Kuala Berang (boleh dibulatkan menjadi 25 km) + 26 km (perg balik KB ke makam di pendalaman) + 414 km (kembali ke KL). Ini menjadi jumlah 465 km. 

Campur pula jarak dari KL ke KT dan sedikit perjalanan berkenaan seperti diceritakan dalam artikel Kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003 - Mencari wasilah ke Aceh iaitu 467 km diikuti perjalanan dalam tempoh tiga malam menginap di makam Tok Pulau Manis seperti diceritakan dalam artikel Kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003 - Ayah Weng dan tiga malam di surau hadapan iaitu lebih 150 km. Jadilah jumlah lebih 1,082 km walhal jarak sebenar harus lebih berpuluh kilometer lagi daripada itu. Sekian perkongsian tentang perjalanan tahun 2003. Insyaallah akan berlaku sesuatu yang baik apabila artikel kompilasinya keluar tidak lama selepas ini.





Kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003 - Ayah Weng dan tiga malam di surau hadapan

Seperti beberapa siri cerita perjalanan lama siri ini juga mahu dipercepatkan perkongsian. Maka bersambung cerita daripada artikel Kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003 - Mencari wasilah ke Aceh yang dipersembahkan sebelum tengah hari tadi.


Gambar ini menunjukkan makam Tok Pulau Manis di Kampung Pulau Manis sekitar 15-16 km ke barat daya bandar raya Kuala Terengganu. Ia diambil daripada artikel Menyahut panggilan haul Tok Pulau Manis - Berkat keturunan Saidina Hassan? tahun 2019. Ketika itu saya sudah berpuluh kali sampai ke Terengganu dan menziarahi makam ini. Seingat saya ziarah pertama ke makam tahun 2003 berlaku pada lawatan ke-4 ke negeri itu. 

Lawatan pertama adalah pada tahun 1989. Rujuk artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Menyorok bawah tudung saji dalam perjalanan ke Kuantan. Lawatan kedua pada tahun 1998. Rujuk artikel Petunjuk tentang kerajaan awal Terengganu. Lawatan ketiga sekitar  tahun 1998 atau 1999, tak pasti. Yang ini tidak pernah ditulis cerita bahkan malas nak tulis pun kerana banyak sangat tak ingat walhal ia melibatkan perjalanan pusing satu Semenanjung mengikut acara anjuran PDRM iaitu Polis Diraja Malaysia. 

Pendek kata negeri Terengganu tidaklah asing buat saya walaupun  terletak beratus kilometer dari 'kawasan permainan' saya di Lembah Klang. Kembali pada hal pertama kali ke makam. Sedutan seterusnya daripada  buku ketiga saya novel "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?" (terbit November 2017) menyebut begini...


-----------------


Selesai solat di surau perhentian bas Tanjung, Kuala Terengganu Rasyid mundar-mandir di sekitar mencari orang yang boleh menunjukkan arah ke Kampung Pulau Manis. Pemuda ini segan hendak bertanya sembarangan orang kerana tidak pasti bagaimana hendak menerangkan tujuannya  ke sana kalau ditanya.... Bukan semua orang faham kalau disebut tentang menziarahi makam. Takut nanti ada yang fikir dia  kaki tarik nombor... Pengalaman juga mengajar, ada yang suka menyerkap jarang perbuatan menziarahi makam sebagai kerja orang syirik lagi tahyul... Tak pasal-pasal nanti dapat syarahan percuma berjela-jela tanpa dipinta!

Tak lama kemudian muncul seorang pemuda berjanggut berjambang, berseluar slack dengan kemeja lengan panjang. Nampak gaya seperti seorang pelajar insitusi pengajian tinggi yang baru sahaja turun daripada salah sebuah bas yang baru sampai dari Kuala Lumpur... Di perhentian kelihatan sekitar 6 buah bas ekspress dari kotaraya.  Gerak hati Rasyid menyuruh bertanya kepadanya arah ke Kampung Pulau Manis. Seperti yang diduga, soalan pertama yang keluar daripada mulutnya adalah kenapa hendak ke sana? Apakah yang ada di kampung itu sehingga mahu pergi ke sana?

Entah kenapa, dengan pemuda ini anak kelahiran Muar, Johor itu tidak terasa janggal untuk berterus-terang mahu menziarahi makam... Boleh pula bercerita apa yang berlaku siang tadi, tentang bagaimana dia mendapat gerak untuk ke Terengganu setelah mendapat tahu Tok Pulau Manis pernah berguru di Aceh. Ternyata, pemuda tersebut, seorang pelajar UiTM Shah Alam yang baru kembali untuk bercuti mempunyai kecenderungan terhadap Tasawuf. Maka dia tidak hairan mendengar penjelasan Rasyid malah menawarkan diri untuk menghantarnya sampai ke makam kerana kampungnya sendiri tidak berapa jauh dari Pulau Manis. 

“Tunggu sebentar,” katanya. "Ibu bapa saya akan datang untuk mengambil saya. Abang boleh ikut kami naik kereta. Saya akan suruh mereka menghantar abang sampai ke Kampung Pulau Manis.”

Ibu bapa pemuda ini sampai tidak lama kemudian. Alhamdulillah,  mereka tidak merasa pelik apabila diberitahu Rasyid hendak menziarahi makam Tok Pulau Manis... Tanpa bertanya lebih lanjut, anak kelahiran Muar, Johor itu terus dijemput menaiki kereta.  Nasib baik ada mereka... Kalau tidak susah juga Rasyid kerana Kampung Pulau Manis rupa-rupanya terletak lebih 15km dari bandar Kuala Terengganu. Mereka bukan sahaja dapat menerima malah menghantarnya terus sampai ke pintu makam!

Rasyid mengambil wuduk lalu melangkah masuk bangunan utama makam yang dikelilingi banyak kubur lama. Terserlah makam Tok Pulau Manis diselubungi kain kuning kejinggaan, dikelilingi beberapa makam yang lebih kecil, nampaknya makam kaum keluarga. Di makam dan batu nesan termaktub nama sebenarnya Sheikh Abdul Malik bin Abdullah dalam tulisan Jawi. Di atas sebelah kanan  terdapat papan kenyataan... Tercatit wali Allah ini mengamalkan Tariqat Shadziliah, sebuah tarikat yang tidak berapa terkenal di Nusantara tetapi tersebar luas di utara Afrika.

Kebetulan dua minggu sebelum itu Rasyid tergerak untuk membeli sebuah buku tentang Imam Abul Hassan Al-Shadzili, pengasas tariqat ini yang mempunyai nasab keturunan Rasulullah SAW dari sebelah Saidina Hassan. Buku terjemahan dari Bahasa Arab ke Bahasa Indonesia ini sangat susah untuk didapati di Malaysia tetapi dengan tidak sengaja dia terjumpa satu-satunya naskah yang terdapat di sebuah kedai buku di Masjid India. 

Kaitan kuat Tok Pulau Manis dengan tariqat ini terbukti apabila beliau menjadi orang pertama menterjemahkan kitab Al-Hikam karangan Ibnu Atho’ilah, anak murid Imam Abul Hassan ke dalam bahasa Melayu. Kebetulan Rasyid  ada membawa buku tentang imam yang  mengandungi panduan amalan, doa dan hizibnya. Dia pun membacakannya di hadapan makam sebagai hadiah untuk roh almarhum Tok Pulau Manis...

Selesai itu, Rasyid terasa letih yang amat sangat. Dia  mengambil  tikar buruk di sebelah lalu berbaring, terus tertidur! Apabila terbangun sejam kemudian, kelihatan seorang tua bersongkok membersihkan makam. Ingatkan dia akan dimarahi kerana berani tidur di situ... Ternyata orang itu tidak ada masalah malah menyuruhnya berehat selama mana dia suka!

“Tidurlah... Kamu pun ada kena-mengena,” kata orang tua itu.

Katanya, dia datang hari itu, Sabtu kerana mendapat gerak  ada seorang saudara jauh datang menziarahi. Kalau tidak, orang tua yang berumur sekitar 70 tahun ini akan berehat di rumahnya di Gong Badak, 30km dari situ... Dia cuma datang melawat makam dan membersihkan persekitarannya seminggu sekali, itupun pada pagi Jumaat sahaja kecuali jika ada hal penting... Setelah berbual lebih panjang, orang tua itupun mengenalkan dirinya sebagai Ayah Weng... Kemudian membuka cerita tentang asal-usul Tok Pulau Manis terutama kaitannya dengan Ahlul Bait keluarga Nabi...


           

Cerita tentang wali Allah besar ini telah dikongsikan dalam artikel Wasilah kekeluargaan Tok Pulau Manis, wali agung Terengganu abad ke 17.... tahun 2008. Oleh itu biar diteruskan dengan cerita yang tidak dikongsikan dalam buku. Antaranya adalah menerima satu risalah yang mengesahkan telahan saya sejak setahun dua kebelakangan itu bahawa terdapat ramai anak cucu keturunan Saidina Hassan iaitu cucu sulung Nabi Muhammad SAW di Alam Melayu tetapi dihilangkan jejak cerita atas sebab-sebab tertentu. Risalah ini diterima daripada Ayah Weng ketika pertama kali sampai ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003 lalu disimpan untuk rujukan sendiri. Setelah beberapa lama baru menerima gerak untuk mewar-warkannya kepada umum lalu terbitlah artikel Risalah kecil Tok Pulau Manis tahun 2014.

Di sini saya lebih hendak menonjolkan kisah apa yang berlaku setelah sampai ke makam. Saya ingat ada menginap tiga malam berturut di surau hadapan makam yang tidak lagi digunakan orang. Dari situ tiap-tiap hari dan malam saya menziarahi makam. Tiap-tiap hari juga ada keluar berjalan-jalan di Kuala Terengganu. Selepas tiga malam baru ke arah berlawanan untuk mengorak langkah kembali ke Lembah Klang.



Ini adalah laluan-laluan yang boleh digunakan ke Kuala Terengganu. Jarak terdekat pergi balik adalah 32 km. Tiga kali pergi dalam tempoh tiga hari bersamaan 96 km. Itu baru jarak dari titik ke titik. Sedangkan di KT merata saya pergi termasuk dengan berjalan kaki. Antaranya adalah ke Muzium Negeri 5 km ke barat bandar raya (ketika itu KT masih bertaraf bandar). Kalau tak salah ingatan ketika itu juga pertama kali ke makam wali besar Terengganu yang hidup 200 tahun selepas zaman Tok Pulau Manis. Lihat artikel Keluarga besar Tokku Paloh, wali agung Terengganu abad ke 19 Masihi...

Pergi balik muzium sahaja sudah 10 km. Belum lagi ke tempat-tempat lain. Kalau tak salah saya juga ada dibawa ke rumah Ayah Weng dekat UniSZa (Universiti Sultan Zainal Abidin) di Gong Badak lebih 15 km ke utara dari KT. Oleh itu tak salah untuk menganggarkan dalam tempoh tiga malam menginap di surau hadapan makam saya telah berjalan lebih 150 km. 

Dalam tempoh itu saya ada menziarahi makam ulamak bernama Sayyid Yasin di atas Bukit Puteri juga makam Sultan Zainal Abidin I, Sultan pertama Terenggu di atas Bukit Keledang. Tetapi cukuplah anggaran 150 km itu untuk dicampur dalam jarak perjalanan keseluruhan. Cukuplah cerita ini ringkas untuk menerangkan keadaa sekitar tiga malam di surau. Selepas ini kita akan mula menjejak makam-makam nenek moyang Tok Pulau Manis yang terdapat di sekitar Kuala Berang.


Kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003 - Mencari wasilah ke Aceh

Salam semua. Lewat malam tadi tergerak untuk berkongsi pautan bagi artikel Kompilasi cerita kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003 berserta kata-kata ini...


PERKARA2 BAIK YANG MUNCUL SETELAH LENGKAP SUATU SIRI 

Subhanallah. Setelah melengkapkan siri cerita perjalanan pertama kali ke makam Tok Kenali baru tahu ia sebenarnya berlaku pada penghujung tahun 2002 bukan tahun 2003. Dengan itu dapat diselesaikan secara tuntas manakah yang berlaku lebih awal. Perjalanan itukah atau perjalanan pertama kali ke makam Tok Pulau Manis yang ada jelas tertulis dalam satu buku saya sebagai berlaku tahun 2003.

Semalam petang Khamis saya menerima kunjungan daripada seorang Sheikh besar berketurunan Tok Pulau Manis yang bertanggungjawab menggerakkan ramai ulamak berwibawa di sebalik tabir. Cukuplah dikatakan beliaulah orang di sebalik majlis hol pertama Tok Pulau Manis tahun 2019 yang dihadiri ribuan pengunjung juga majlis HARUM di masjid negeri Shah Alam tahun 2012 yang dihadiri 10,000 warga sekolah pondok dan ulamak dari merata Alam Melayu termasuk 1,000 orang dari Aceh. Entah kenapa beliau yang berpengkalan di Terengganu tetapi sudah sebulan rupanya berada di Lembah Klang tergerak untuk datang ke rumah saya lalu kami berbual panjang. Sebelum kembali beliau menghadiahkan senaskah kitab bertajuk Shirabil Muntahi yang membawa makna "Zikir2 minuman terakhir" buat saya, kitab warisan Tok Pulau Manis. 

Kitab ini pernah mahu dihadiahkan oleh seorang waris ketika saya ke Terengganu tahun 2004 selepas pertama kali ke Aceh awal tahun itu. Tetapi saya menolak kerana belum bersedia untuk memegang apa lagi beramal dengannya. Kali ini saya terima kerana terasa sudah sampai masanya. Kebetulan atau tidak ini berlaku setelah selesai menyajikan cerita "Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001" diikuti satu cerita tentang hari2 terakhir saya sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times pagi hari sama.

Sebelum itu saya dapat menghubungi seorang tokoh penunggang kuda Malaysia yang pernah menjadi juara dunia dalam sukan endurance riding tahun 2001. Kami sudah 20 tahun tidak berhubung, baru tergerak 4 hari lalu setelah melengkapkan siri tentang liputan acara berkuda di Perancis tahun 2000 yang mana beliau telah menaja perjalanan saya. Cukup beberapa contoh ini untuk menunjukkan bagaimana perkara2 baik boleh muncul apabila disiapkan suatu siri cerita setelah menerima gerak hati untuk melakukannya. Sesungguhnya disebabkan inilah saya terus menulis dan menulis tak kiralah orang nak baca ke, tak 'masyuk' ke, orang tuduh masuk bakul angkat sendiri ke apa.


Sekarang biar dimulakan siri tentang kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003.


Tidak seperti kali pertama pergi ke makam Tok Kenali yang mana saya tidak pernah menyebut di mana-mana penulisan bilakah ianya berlaku lalu harus membuat kira-kira berdasarkan beberapa maklumat berkaitan dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh", perjalanan kali pertama ke makam Tok Pulau Manis ada disebut jelas berlaku pada tahun 2003. Malah ceritanya dikongsikan agak panjang lebar dalam buku ketiga trilogi yang memiliki tajuk kecil "Sirih Pulang ke Gagang?" (terbit November 2017). Ia terletak dalam bab dengan tajuk seperti dalam gambar. Biar dikongsikan dengan tambahan tajuk-tajuk kecil untuk memudahkan pembaca...


GERAK YANG MEMBAWA KE MATLAMAT

Pada satu hari tahun 2003, setelah selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Sungai Mulia di Batu 5 1/2, Jalan Gombak, tiba-tiba Rasyid tergerak untuk berjalan kaki menuju ke pusat bandaraya Kuala Lumpur. Seperti biasa, apabila mendapat gerak atau getaran tertentu dalam hati, pemuda ini akan menurut tanpa banyak soal kerana percaya akan ada hikmahnya nanti... Dia pun berjalan tanpa henti menyusuri kesibukan Jalan Gombak sebelum masuk ke Jalan Pahang. Sampai di sebuah masjid lama berusia 70 tahun, barulah berehat setelah hampir 8 km berjalan... 

Kebetulan baru sahaja masuk waktu Asar. Anak muda yang sedang cuba memperbaiki diri dengan mendekati kembali agama inipun bersolat menunaikan Rukun Islam yang wajib  sebelum menyambung kembali perjalanan hampir 2 km lagi ke Hospital Tawakal.  Di sana gerak hatinya menyuruh membelok ke kanan pula... Rasyid pun menyusuri sebuah jalan yang belum pernah dilaluinya sebelum itu, tidak ingat nama jalannya...  Yang pasti, terdapat Restoran Haslam milik pengarah filem Yusuf Haslam. 

Sampai ke penghujung deretan kedai kemudian perkarangan sebuah bangunan tunggal yang agak besar, terjumpa sebuah kedai cermin mata yang ada menjual buku-buku agama di satu sudut. Tergerak pula hendak singgah sebentar... Masuk sahaja ke dalam, anak muda yang sudah lama meminati bidang Tasawuf ini terus tertarik kepada sebuah buku... Terus ternampak buku ini yang terletak di tengah para walaupun terdapat banyak lagi buku serta bahan bacaan lain pelbagai rupa, warna dan saiz di situ.

Sebenarnya, ia adalah sebuah risalah photostat yang dijilid dengan kertas  kuning sebagai kulit. Tidak ingat tajuk penuhnya... Yang pasti, ada tertera nama Tok Pulau Manis dengan terang di hadapan. Rasyid pernah mendengar nama ini kerana suka membaca kisah para wali. Tok Pulau Manis termasuk di dalam golongan ulamak besar di Tanah Melayu tetapi dia tidak pernah berminat untuk mengambil tahu... Baru kali ini tergerak  membaca tentangnya lalu mendapat tahu wali besar Terengganu ini pernah menuntut ilmu di Aceh malah pernah berguru kepada Sheikh Abdul Rauf Singkel, seorang anak murid wali besar Aceh Sheikh Hamzah Fansuri!

Tiba-tiba tubuh seluruh tubuh-badannya bergetar. Mungkinkah ini petunjuk bagi doanya selepat solat Jumaat tadi agar disambungkan wasilah kerohanian sampai ke Aceh? Pemuda berdarah Aceh ini mula mengenali dunia Tasawuf setelah terbaca ulasan dan syair-syair Hamzah Fansuri ketika berumur 18 tahun. Mungkin di sini terletak satu ‘penyambungan’?

Rasyid mendapat tahu makam Tok Pulau Manis masih wujud di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu. Serta-merta timbul gerak  serta keinginan yang kuat untuk ke Terengganu. Masalahnya dia telah berjanji akan berjumpa seseorang atas urusan tertentu hujung minggu itu... Bagaimana ini? Jiwanya sudah mula melayang ke sana sedangkan jasadnya  perlu berada di Kuala Lumpur sekurang-kurangnya untuk dua hari lagi.

Lama juga dia termenung sambil bersila di sudut buku kedai cermin mata itu. Setelah berjaya meredakan perasaan yang melonjak-lonjak hendak ke Pantai Timur, pemuda inipun berjalan-jalan santai di  kotaraya sebelum kembali ke pejabat tempatnya bermastautin sebulan kebelakangan. Di situlah tempat Rasyid menolong bapa angkatnya Pak Syed menyiapkan bukunya yang terbaru. Dia cuba melupakan hasrat untuk ke Terengganu dengan meneliti sambil mengedit, juga mengarang balik beberapa bab dalam buku bapa angkatnya lalu tenggelam dalam kerjanya...


BERGERAK TERUS ATAU TUNGGU HARI LAIN?

Malam itu sekali lagi Rasyid dilanda dilemma... Mahu terus pergi ke Terengganu malam itu juga ataupun tidak? Perasaan untuk ke sana sudah  kembali datang melonjak-lonjak... Tetapi bagaimana pula temujanji yang dibuat hujung minggu nanti? Pemuda itupun menelefon orang yang dijanji akan ditemui. Ditakdirkan Allah, tanpa dipinta orang itu pula yang membatalkannya kerana katanya ada urusan lain pula. Maka selesailah satu dilemma... Bolehlah pergi ke Terengganu malam itu juga...

Kebetulan jam dinding menunjukkan pukul 9.15 malam dan bas ke Terengganu akan bertolak jam 10 daripada Hentian Putra... Tanpa berlengah lagi, Rasyid terus mengambil beg galas yang memang telah tersedia dengan pakaian serta barang keperluan ringkas untuk mengembara lalu terus bergegas ke hentian. Malangnya semua tiket bas ke Kuala Terengganu telah habis dijual sempena hujung minggu. Bas seterusnya pula cuma akan muncul 10 pagi esok... Pemuda itu mula berkira-kira hendak ke stesyen keretapi. Mungkin sempat lagi mengejar perkhidmatan malam ke Pantai Timur? Kemudian baru teringat tidak ada keretapi melalui Terengganu... 

Rasyid duduk di tengah kesesakan orang ramai menunggu ilham atau petunjuk perjalanan seterusnya. Walaupun kelihatan seperti tidak ada jalan untuknya pergi ke Terengganu malam itu juga, pemuda ini tetap yakin jika gerak hatinya kuat menyuruhnya ke sana, tentu akan muncul sesuatu cara daripada arah yang tidak disangka...  Tinggal tak tahu lagi cara yang bagaimana... Apapun, bolehlah dia berehat sebentar mencuci mata. Ramai juga gadis manis putih cantik berada di hentian itu...

Masuk jam 10, satu pengumuman pun dibuat agar penumpang menaiki bas masing-masing. Kelihatan sekitar 20 buah bas beratur menunggu di sepanjang Hentian Putra termasuk bas Kota Bahru, Kelantan. Orang ramai mula mengambil tempat masing-masing. Bas-bas di hadapan yang sudah cukup penumpang mula berjalan sedangkan Rasyid masih belum mendapat jalan bagaimana mahu ke Terengganu malam itu juga...

Tiba-tiba satu pengumuman baru dibuat... Katanya ada satu lagi tiket  bas ekspress untuk ke Kuala Terengganu. Hah? Betulkah ini? Tadi semua kaunter memberitahu semua tiket telah habis dijual... Tiba-tiba ada pula kekosongan...  Anak muda itupun bertanya ke kaunter tiket. Memang sah ada! Akhirnya dapat juga ke sana, sampai ngam-ngam sebelum Subuh...



OK. Perjalanan saya dengan kaki dari masjid sehingga ke kedai yang terdapat risalah photostat tentang Tok Pulau Manis boleh dilakarkan sebegini. Cuma ia ditanda lawan arah iaitu dari kedai menuju ke masjid disebabkan menurut laluan kereta lalu ada lari sikit daripada apa yang sebenarnya berlaku tapi tetap sama jarak. Kalau diambil ikut arah sebenar dari masjid ada laluan yang memerlukan kereta membuat pusingan lalu bertambah jarak. Kalau digunakan pilihan untuk pejalan kaki pula Google Map memandai-mandai menambah satu bahagian yang saya tak boleh ubah lalu turut menambah jarak. 

Apa yang dapat dibuat atas ini adalah yang terbaik bagi menggambarkan jarak sebenar berjalan kaki hingga ke kedai Nampaknya saya sudah tersilap menyatakan dalam buku jarak sebagai hampir 10 km sedangkan ia sebenarnya tak sampai pun 5 km. Mungkin kerana terasa begitu jauh berjalan juga tercampur  jarak berjalan kaki selepas itu masuk ke pusat bandar raya Kuala Lumpur. Kebiasaan saya kalau ke pusat adalah berjalan kaki menyusuri sama ada Jalan Raja Laut atau Jalan TAR (Tunku Abdul Rahman) sehingga ke persekitaran Masjid India dan Masjid Jamek membawa ke Pasar Seni dan sekitarnya. Kalau dari masjid di Gombak memang lebih 8 km. 



Selesai berjalan-jalan di pusat bandar raya saya kembali  ke arah masjid dengan menaiki bas. Tetapi turun ke hadapan lagi untuk ke pejabat ayah angkat saya, penulis buku politik terkenal, S.H. Alattas @ Pak Habib sekitar 1 km ke timur laut masjid.  Dari pejabat itulah saya kemudian mengambil bas sehingga ke Hentian Putra seperti dilakarkan dalam peta atas.



Selepas itu baru ke Kuala Terengganu dengan bas ekspress. Turun di tempat biasa bas dari Kuala Lumpur menamatkan perjalanan iaitu di tempat yang dikenali sebagai Tanjung tidak jauh dari kuala Sungai Terengganu dan Laut Cina Selatan. Ketika itu lebuh raya ke Pantai Timur setakat ada hingga ke Karak. Selepas itu bas ekspress harus menggunakan jalan biasa ke Temerloh diikuti Kuantan kemudian jalan pendalaman ke Terengganu (bukan jalan pantai). 

Ini boleh dilakarkan seperti di atas. Campur jarak berjalan kaki dari masjid ke  kedai yang ada risalah tentang Tok Pulau Manis kemudian kembali ke pejabat iaitu 10.4 km (sengaja diabaikan perjalanan ke pusat bandar raya yang boleh membawa penambahan pergi balik lebih 6 km), pejabat ke hentian Putra iaitu 7.4 km dan perjalanan dengan bas ekspress ke KT iaitu 449 km jumlahnya boleh dibulatkan menjadi 467 km. Ini dikira sebagai jarak keseluruhan perjalanan bagi hari itu. Saya tulis ini sebagai rekod untuk dijumlahkan jarak keseluruhan apabila cerita perjalanan kali pertama ke makam Tok Pulau Manis ini tamat. 




Jumaat, April 09, 2021

Kompilasi cerita kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003

Salam hari Jumaat malam Sabtu 27 Sya'aban. Demi melengkapkan perkongsian biar dibuat artikel kompilasi untuk siri perjalanan ini walaupun cuma mengandugi tiga episod sahaja.


Perjalanan kali pertama ke makam Tok Kenali ini diperkirakan berlaku pada tahun 2003. Menurut catatan dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" (terbit 2006-2007) ia bermula dengan pergi ke rumah almarhum Nenek setelah hampir setengah setahun tidak ke sana. Kali terakhir adalah sehari dua sebelum beliau kembali ke rahmatullah akibat sakit tua. Menurut kira-kira berdasarkan maklumat dalam buku ini berlaku kurang lapan bulan selepas kali terakhir dapat berbual dengan beliau iaitu pada bulan Oktober tahun 2001. 

Perbualan tersebut menjadi asbab saya pertama kali menziarahi makam-makam lama seperti dikongsikan dalam artikel Kompilasi cerita kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001. Tak sampai tiga bulan kemudian beliau jatuh sakit, tidak mampu lagi berkata-kata, lima bulan selepas itu baru meninggal dunia. Ini meletakkan tempoh masa beliau meninggal sebagai sekitar Jun 2002. Setengah tahun selepas itu pula adalah sekitar Disember 2002. Ini bermakna perjalanan ke makam Tok Kenali itu harus berlaku sebelum itu. Yang pasti pada tahun 2002 bukan 2003 sebelum disangkakan selama ini.

Adus. Dah selesai tulis dan paparkan semua cerita baru tergerak untuk menyemak tempoh masa lalu menyedari perkara. Ini serupa halnya seperti kisah perjalanan saya pusing separuh England dengan kereta sewa disangkakan berlaku pada pertengahan tahun 1994 tetapi kemudian didapati kemungkin besar berlaku pada penghujung 1992. Rujuk cerita berkenaan melalui artikel Kompilasi cerita sewa kereta ke separuh England tahun 1994. Pun begitu seperti halnya perjalanan di England biar perjalanan di Malaysia ini dikekalkan tajuk besar sirinya sebagai "Kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003". Sekurang-kurangnya penemuan ini telah menjawab dengan tuntas yang manakah berlaku dahulu? Perjalanan inikah atau perjalanan pertama ke makam Tok Pulau Manis yang ada tercatat dalam buku sebagai berlaku tahun 2003 (akan diceritakan selepas ini).

Berbalik pada perjalanan itu sendiri. Walaupun meliputi tempoh masa tidak kurang10 hari (sekurang-kurangnya satu malam di Raub, satu malam di Gua Musang, satu malam di Masjid Tok Kenali dan seminggu bersama krew penggambaran satu drama televisyen di Kota Bahru), walaupun meliputi jarak perjalanan lebih 1,200 km cukuplah tiga episod untuk membentuk siri. Cukuplah untuk bercerita dalam konteks bagi memasukkan ia sebagai antara 50 perjalanan terjauh pernah dibuat setakat ini. Selain daripada itu adalah kenangan lama yang lebih elok dilupakan sahaja.


1. Kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003 - Hamba Allah pelik di Masjid India 

2. Kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003 - Kedamaian yang muncul akibat bantuan waliyullah?

3. Kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003 - Danau Tok Uban dan beberapa tempat singgah


Kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003 - Danau Tok Uban dan beberapa tempat singgah

Dalam artikel Kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003 - Kedamaian yang muncul akibat bantuan waliyullah? yang dipersembahkan petang Jumaat tadi ada disebut tentang dibawa ke satu tasik luas bernama Danau Tok Uban. Letaknya di kawasan pendalama Kelantan. Sekarang biar dikongsikan sedikit cerita tentang tempat...


Gambar daripada artikel Danau Tok Uban pula... ini menunjukkan keadaan tasik dalam satu lawatan sekitar bulan Julai tahun 2007. Ketika itu saya datang dengan menaiki kenderaan awam dicampur menumpang kenderaan orang juga berjalan kaki sehingga berbatu-batu jauh. Ketika pertama kali sampai tahun 2003 tasiknya kelihatan lebih bersih dan luas. Setelah beberapa lama baru ditumbuhi banyak pokok kiambang sehingga menutup permukaan. 



Ada disebut dalam artikel Kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003 - Kedamaian yang muncul akibat bantuan waliyullah? bahawa saya pertama kali sampai kerana mengikut teman wanita lama membuat penggambaran drama. Tempat ini dipilih kerana ada bahagian yang kelihatan seperti di luar negara, kononnya babak-babak berkenaan berlaku di Eropah iaitu di England kalau tak salah ingatan. Memang pun ada bahagian yang kelihatan begitu misalnya di sekitar kelompok pokok dalam gambar atas. Tetapi saya sendiri lebih menumpukan pada hal lain. Ini tergambar pada perenggan berikut yang diambil daripada  buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" (terbit Mei 2007) :-

Entah mengapa, Rasyid dapat merasakan tasik itu ada menyimpan sebuah kisah sejarah purba yang mempunyai kaitan rapat dengan pencarian serta perjalanan hidupnya. Hati kecilnya berkata, di sinilah letaknya pusat sebenar Empayar Chermin yang amat dibangga-banggakan rakyat Kelantan, sebuah kerajaan lama sebelum kemunculan Melaka yang mempunyai hubungan istimewa dengan kerajaan Samudera-Pasai serta bumi Serambi Mekah. Kebetulan  masjid di seberang tasik itu adalah masjid wakaf yang didirikan oleh Sultan Brunei, bersama sebuah kompleks madrasah moden yang menawarkan pengajian agama percuma, dibiayai pihak Sultan. Maka terkaitlah seluruh kawasan itu dengan Ahlul Bait anak cucu Nabi yang berasal daripada Mekah!



Tentang masjid yang kelihatan terserlah berwarna putih di seberang tasik tahun 2007 baru saya berpeluang sampai lalu mendapat tahu cerita tentangnya yang juga berkaitan dengan tasik. Cerita tentang masjid dan tasik kemudian dihebahkan merata melalui penulisan di blogspot lalu ramai mula ambil tahu sehingga keluar bermacam cerita tambahan. Percaya atau tidak saya adalah orang pertama mewar-warkannya kepada umum. Lihat artikel lama Akhirnya, Masjid Brunei di Danau Tok Uban!.

Apapun saya bukan ingin bercerita sangat tentang Danau Tok Uban mahupun masjid putih yang namanya adalah Masjid Brunei. Saya bukan ingin 'mendedahkan' apa-apa rahsia seperti banyak dilakukan anak muda sekarang. Seolah-olah mereka adalah orang paling awal mengetahui suatu perkara, seolah-olah mereka adalah penyimpan rahsia kebangkitan Melayu Islam akhir zaman. Walhal ada yang kononnya 'didedahkan' itu sudah diperkatakan orang sejak lebih 10 tahun lebih awal. 

Sesungguhnya sudah begitu banyak perkara dikongsikan kepada umum melalui blogspot CATATAN SI MERAH SILU sejak ia dibuka penghujung tahun 2006. Banyak yang belum pernah diperkatakan oleh orang sebelum muncul di sini terlebih dahulu. Tetapi seingat saya tidak pernah pun mengatakan mahu 'mendedahkan' sesuatu penemuan. Sebaliknya saya suka menyebut sesuatu itu sebagai perkongsian atau luahan rasa.

Apa yang hendak dikongsikan di sini adalah lebih pada persinggahan-persinggahan yang tercetus atas asbab mahu ke makam Tok Kenali seperti diceritakan dalam artikel Kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003 - Hamba Allah pelik di Masjid India diikuti Kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003 - Kedamaian yang muncul akibat bantuan waliyullah?. Walaupun persinggahan berlaku disebabkan mengikut teman wanita lama membuat penggambaran di beberapa lokasi bukan itu yang hendak ditekankan. Kami pun tiada apa-apa lagi hubungan. Sebaliknya yang ingin ditekankan adalah lebih pada jarak perjalanan kerana siri ini sebenarnya dibuat untuk melengkapkan isi senarai 50 perjalanan terjauh dan 11 istimewa (sudah turun jadi 10 istimewa atas sebab yang akan diterangkan dalam satu artikel tentang perjalanan tahun 2007 nanti).



Misalnya lihat jarak dari pusat bandar Kota Bahru ke Danau Tok Uban seperti ditunjukkan dalam peta Google Map ini. Pergi balik dah jadi 66 km. Dan kami pergi ke Danau Tok Uban itu bukan sekali kerana perlu menyambung penggambaran sehingga 2 hari. Selepas perjalanan kedua semua yang terlibat diberikan bonus berupa dibawa bercuti rehat masuk ke Golok di selatan Thailand buat satu malam.




Google Map memberikan jarak terdekat Kota Bahru-Danau Tok Uban-Golok (disebut sebagai Sungai Kolok dalam peta) sebagai 64.4 km. Sedangkan ada kemungkinan kami berpatah balik ke jalan besar mendekati bandar Pasir Mas sebelum ke Golok lalu jarak perjalanan adalah 5 km lebih jauh. Namun disebabkan tak pasti maka biarlah diambil jarak terdekat itu 64.4 km. Dicampur perjalanan kembali ke Kota Bahru jadilah 107 km. Campur perjalanan pusing-pusing dalam bandar Golok harus tidak kurang 110 km.



Dalam tempoh seminggu berada di Kota Bahru bersama krew penggambaran saya fikir ada menemani teman wanita pergi ke Kuala Terengganu menaiki kereta yang dipinjam daripada produser atau penerbit drama. Ini berlaku lewat malam setelah mendapat berita ada kenalan kami baru kematian datuknya di sana. Jarak pergi balik itu adalah lebih 320 km. Saya sudah lama berkira-kira mahu memasukkan ini dalam jarak keseluruhan perjalanan.

Namun tadi selesai membuat wirid selepas solat Maghrib baru terfikir mungkin ia berlaku dalam sesi perjalanan lain sekitar pertengahan tahun 2004. Ketika itu teman wanita ada membuat penggambaran lagi di Kota Bahru dengan produser sama lalu saya bersekempatan menginap bersama krew buat beberapa hari.  Oleh kerana tidak pasti bilakah perjalanan ke KT itu berlaku maka janganlah diambil kira. Ini harus mengurangkan jumlah jarak perjalanan keseluruhan secara drastik.

Maka itu jarak perjalanan yang dapat dipastikan berlaku cuma adalah 66 km pergi balik ke Danau Tok Uban campur 110 km yang ada pergi Golok sekali. Ini menjadikan jumlah 176 km. Namun ada perjalanan dalam Kota Bahru yang belum diambil kira dalam tempoh seminggu. Ini harus menjadikan jumlah lebih 190 km. Campur dengan jumlah perjalanan sebelum itu seperti dinyatakan dalam artikel Kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003 - Hamba Allah pelik di Masjid India iaitu 620 km jadilah 810 km.



Untuk melengkapkan kira-kira mesti ambil sekali jarak kembali ke Kuala Lumpur dari Kota Bahru. Saya ingat ada balik menumpang van krew setelah penggambaran selesai, teman wanita tidak ikut sama kerana menunggu penerbangan waktu malam. Yang tak ingat apakah ada turun di tempat lain misalnya Raub, tidak terus kembali ke KL. Apapun, walau di mana ada singgah lalu membuat lagi perjalanan, cerita ini harus ditutup dengan saya kembali ke KL. 

Oleh itu biar jarak perjalanan KB-KL iaitu 439 km yang ditunjukkan Google Map dimasukkan ke dalam kira-kira. Ini boleh dibulatkan menjadi 440 km mengambil kira bahawa apabila sampai ke KL harus berjalan dahulu ke sana ke mari sebelum kembali ke pejabat Pak Habib yang ditandakan sebagai tempat bermula perjalanan. Rujuk balik hal berkenaan dalam artikel Kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003 - Hamba Allah pelik di Masjid India. Maka jadilah jumlah 1,250 km.

Ini adalah kurang daripada jangkaan lebih 1,500 km seperti disebut pada penghujung artikel itu. Ia disebabkan perjalanan KB-KT telah ditolak keluar akibat ada keraguan bilakah ia sebenarnya berlaku. Hal ini menyebabkan perjalanan kali pertama ke makam Tok Kenali turun kedudukan daripada nombor 23 menjadi mungkin nombor 34 dalam senarai 50 perjalanan terjauh. Namun kepastian cuma akan dapat diberikan apabila kesemua perjalanan lama yang layak memasuki senarai tetapi belum pernah diceritakan selesai dikongsikan kisahnya. 

Menurut rekod saya cuma tinggal 5 sahaja perjalanan perlu dibuat kompilasi sebelum lengkap isi senarai 50 perjalanan terjauh diikuti 10 istimewa. Daripada itu cuma 2 sahaja perlu dibuat siri cerita baru sebelum boleh dibuat kompilasi, satu pula sudah ada cerita penuh dalam buku, cuma harus dikongsikan beberapa bahagian bagi menjadikan satu siri. Tunggu.


Kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003 - Kedamaian yang muncul akibat bantuan waliyullah?

OK. Tanpa membuang masa biar dipersembahkan artikel ke-2 siri. Bersambung cerita daripada artikel Kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003 - Hamba Allah pelik di Masjid India.


Gambar daripada artikel Projek buku masjid - Melihat lagi masjid dan makam Tok Kenali seterusnya "sekolah pondok" tahun 2008 ini menunjukkan Masjid Tok Kenali di Kubang Kerian, Kota Bahru, Kelantan. Dalam artikel Kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003 - Hamba Allah pelik di Masjid India telah ditunjukkan gambar makam Tok Kenali yang terletak berdekatan. Sebetulnya setelah sampai ke Kota Bahru dari Gua Musang saya  ke masjid dahulu sebelum ke makam. Tentang siapakah Tok Kenali boleh baca  dalam artikel Lagi mengenai Tok Kenali tahun 2006 dan Kata-kata Tok Kenali tahun 2007. Sekarang biar disambung sedutan berkenaan daripada buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" (terbit Mei 2007) iaitu daripada bab bertajuk  "Munawar ke Mughayat : Kemunculan Aceh sebagai kuasa besar"...

------------


Rasyid sampai ke Masjid Tok Kenali ketika masuk waktu Maghrib lalu terus mengambil wuduk. Entah kenapa, air yang keluar daripada paip masjid lama yang didirikan semasa almarhum masih hidup ini berbau harum dan manis seperti air limau nipis malah rasanya pun begitu apabila dihirup... Begitu juga air yang keluar daripada paip-paip lain termasuk dalam tandas dan bilik air! Serta-merta pemuda ini teringat, dia pernah mengalami semua ini, melihat masjid itu dengan rupa-bentuknya dari hadapan dan menghirup air paip yang berperisa limau nipis di dalam sebuah mimpi beberapa tahun yang lampau. Ah... Dia deja vu lagi. Memang sudah lama rupanya ditakdirkan akan sampai ke sini!

Apabila masuk untuk menunaikan solat berjemaah, muncul pula bau wangi minyak attar menyelubungi seluruh masjid. Rasyid tidak terasa pelik kerana sudah biasa terhidu bau minyak attar bermacam jenis muncul tiba-tiba daripada makam-makam tua, masjid-masjid lama serta  tempat-tempat bersejarah... Adakala pula bau sebegini “mengikutinya” ketika berkelana. Malah sering-kali  ia timbul ketika pemuda ini sedang bersantai di rumah keluarga dan kawan-kawan, selalunya ketika sedang berehat berseorangan. Ada masanya bau yang datang agak kuat, disertai rasa seram-sejuk sehingga bulu-romanya berdiri, adakalanya harum lembut disulami rasa tenang seolah diulit bayu pagi.

Sebelum “mengalami” bau-bau minyak attar sebegini, Rasyid pernah “dikunjungi” bau-bauan lain seperti colok dan setanggi, juga bau berbagai jenis bunga terutama Melor dan Tanjung. Sebelum itu pula dia sering “diganggu” berbagai jenis bau kemenyan. yang kadang-kala menyeramkan. Tetapi di Masjid Tok Kenali inilah pertama kali pemuda itu dapat menghidu bau minyak attar yang menyelubungi seluruh masjid disertai rasa seolah-olah ramai makhluk ghaib turut serta menunaikan solat Maghrib. Yang nyata ketika itu, Rasyid adalah satu-satunya orang dewasa di masjid selain pak imam yang berumur lebih 60 tahun.  Yang lain adalah kanak-kanak berumur bawah umur 15 tahun...

Lebih menghairankan, anak-anak yang duduk di asrama madrasah bersebelahan ini terus meninggalkan masjid selepas solat. Bukankah mereka patut menunggu sehingga doa selepas solat selesai? Pelik pula melihat anak-anak ini bangun satu-persatu lalu berjalan keluar. Imam tidak menegur malah meneruskan wirid yang dibaca sederhana kuat sambil menghadap kawasan makmum yang kosong. Tercengang Rasyid melihat apa yang berlaku... Pak imam pun memberikan isyarat supaya dia duduk di sebelah sambil meneruskan wirid. Selesai membaca doa, baru beliau bertanyakan asal-usul pemuda itu, kenapa datang ke situ... Anak muda inipun meminta izin untuk bermalam di masjid.

Selepas solat Isyaq, Rasyid terus melangkah untuk menziarahi makam Tok Kenali lebih kurang 1km daripada masjid. Rasanya, elok menjengok makam sebelum masuk waktu tidur. Sampai sahaja di sana, sekali lagi dia tersentak... Nampaknya, memang perjalanan ke Kelantan ini sudah lama ditakdirkan Ilahi! Manakan tidak? Makam wali Allah terkenal ini ditanda dengan batu sungai lonjong yang dicacakkan menegak setinggi hampir 3 kaki dan ini pernah dilihatnya dalam sebuah mimpi beberapa tahun lalu. Malah makam bersebelahan milik isteri Tok Kenali yang ditanda dengan tiga bongkah empat segi bertingkat yang mengecil ke atas juga pernah dilihat di dalam mimpi yang sama!


———————————


Mungkin juga Rasyid ke Kelantan kerana sangat merindui Nur. Ketika itu, wanita kesayangannya sedang melaksanakan tugasan di Kota Bahru. Sudah beberapa hari mereka tidak berhubung kerana sejak kebelakangan itu selalu sahaja bertengkar akibat hasutan demi hasutan pihak yang tidak menyenangi perhubungan mereka. Lalu malam itu, di masjid serta makam Tok Kenali, pemuda itu mengambil peluang untuk mengadu masalahnya kepada Ilahi. Tidak salah mengambil berkat karamah seorang wali yang sudah meninggal dunia asal kita tahu adab dan caranya... Sepertimana lebih senang membaca buku dan menyerap isinya di tempat sesuai seperti di perpustakaan berbanding di  tepian jalan yang hiruk-pikuk. Keesokannya dia pun cuba menghubungi gadis itu...

Alhamdulillah, Nur menjawab panggilan dengan senang hati. Malah apabila mendapat tahu Rasyid berada di Kota Bahru, gadis manis tetapi lincah itu terus mengajaknya bertandang ke tempat kerja untuk memerhatikannya melaksanakan tugasan! Ditakdirkan pula, kenalan yang turut sama dalam tugasan ini merasa senang dengan kehadiran pemuda itu lalu mengajaknya menginap di rumah sewa sementara mereka. Maka seminggu itu, pasangan ini berpeluang bertentang mata dan berkongsi rasa hampir setiap masa.

Majikan suami-isteri yang menggaji Nur juga senang dengan kehadiran Rasyid sehingga sanggup membawa keduanya berjalan makan angin ke beberapa lokasi menarik. Merekalah yang membawa Nur dan Rasyid ke tasik luas yang tidak pernah diketahuinya wujud di Kelantan, tasik yang dikenali sebagai Danau Tok Uban. Di seberang tasik itu kelihatan sebuah masjid putih berkubah besar dengan menara tinggi . Apa yang menarik, reka-bentuknya saling tidak tumpah seperti masjid terapung Kuala Terengganu yang terkenal di Kuala Ibai...

Entah mengapa, Rasyid dapat merasakan tasik itu ada menyimpan sebuah kisah sejarah purba yang mempunyai kaitan rapat dengan pencarian serta perjalanan hidupnya. Hati kecilnya berkata, di sinilah letaknya pusat sebenar Empayar Chermin yang amat dibangga-banggakan rakyat Kelantan, sebuah kerajaan lama sebelum kemunculan Melaka yang mempunyai hubungan istimewa dengan kerajaan Samudera-Pasai serta bumi Serambi Mekah. Kebetulan  masjid di seberang tasik itu adalah masjid wakaf yang didirikan oleh Sultan Brunei, bersama sebuah kompleks madrasah moden yang menawarkan pengajian agama percuma, dibiayai pihak Sultan. Maka terkaitlah seluruh kawasan itu dengan Ahlul Bait anak cucu Nabi yang berasal daripada Mekah!



Adapun cerita mengenai Tok Kenali juga Kelantan dalam buku dibuat dalam konteks mahu membandingkan reputasi Kelantan dan Aceh sebagai Serambi Mekah. Ini kerana kedua-dua wilayah dan kerajaan ada mendapat nama julukan tersebut. Perbandingan dibuat dalam dialog antara watak Muhammad Al-Aminul yang mewakili diri saya dengan seorang pengkaji amatur sejarah Kelantan yang nampaknya terlalu memperbesar-besarkan negeri kelahirannya. Saya boleh menerima beberapa hal yang dikemukakan untuk menunjukkan kehebatan sejarah Kelantan. Tetapi apabila mendakwa orang zaman dahulu bahkan mengenali Kelantan sebagai Mekah lalu Sharif Mekah yang disebut dalam Hikayat Raja-raja Pasai juga kitab Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) sebagai orang yang mengutuskan rombongan Sheikh Ismail ke Samudera untuk mengIslamkannya (kemudian menjadi sebahagian daripada Aceh) itu berasal dari 'Mekah' di Kelantan bukan Mekah di Tanah Arab itu sudah melampau. Seolah-olah Aceh begitu daif sejarah dan kepentingan sehingga harus menunggu pengiktirafan daripada Kelantan sedangkan pada hakikatnya wilayah itu sudah jauh lebih awal menerima para pendakwah Islam dari Tanah Arab termasuk para Ahlul Bait keturunanan Nabi Muhammad SAW

Lihat sahaja peta laluan perdagangan lama  laut dan darat di atas yang sudah ditambah kedudukan Mekah di Tanah Arab dengan kedudukan Aceh dan Kelantan di Kepulauan Melayu. Manakah yang ditemui dahulu oleh kapal-kapal dari Tanah Arab? Apapun saya tidak ingin memanjangkan perkara ini. Sebaliknya apa yang ingin diperkatakan adalah bagaimana setelah sampai ke masjid dan makam Tok Kenali saya mendapat suatu kedamaian setelah beberapa hari jiwa tak tenteram, antaranya disebabkan asyik bergaduh dengan teman wanita lama yang disebut sebagai Nur dalam buku.

Dengan itu biarlah dinyatakan bahawa Pak Imam dalam cerita tadi dikenali sebagai Ayah Man, seorang cucu Tok kenali. Beliau adalah bapa kepada pelakon dan selebriti terkenal Bob Lokman. Nur dalam cerita juga adalah seorang pelakon dan selebriti terkenal. Tak perlulah disebut nama sebenar, cukup sekadar memberitahu ketika stesyen televisyen NTV7 baru memulakan siaran beliau adalah antara beberapa muka awal yang menghiasi papan-papan iklan besar stesyen di merata tanah air. 

Saya sebut ini dalam konteks untuk menerangkan kenapa kemudian dibawa merata di Kota Bahru malah lebih jauh sehingga masuk ke bandar Golok di selatan Thailand. Sebetulnya tugasan yang disebut dalam cerita merujuk pada penggambaran untuk satu drama yang mana Nur menjadi pelakon wanita utama. Atas asbab menemani beliau ke tempat-tempat tugasan saya pertama kali sampai ke Danau Tok Uban lalu dapat melihat Masjid Brunei di seberang danau yang merupakan sebuah tasik besar. Hal ini akan dipanjangkan dalam satu artikel kemudian. Sekadar untuk ingatan diri sendiri ini adalah artikel ke-2,055 di blogspot ini.



Kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003 - Hamba Allah pelik di Masjid India

Salam pagi Jumaat 26 Sya'aban. Setelah dikongsikan beberapa cerita perjalanan semasa zaman bertugas sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times tahun 1996-2001 sampailah masanya untuk berkongsi cerita-cerita daripada fasa kehidupan seterusnya. Ini boleh dipanggil sebagai fasa pencarian serius yang mana saya semakin rajin keluar mengembara seorang diri termasuk menziarahi makam-makam lama. Pun begitu, atas tujuan mahu mengisi senarai 50 perjalanan terjauh dan 11 istimewa saya hendak melompat terus ke satu masa pada tahun 2003 lalu mengabaikan sejumlah perjalanan yang dilakukan daripada penghujung 2001 sehingga membawa ke tempoh tersebut. Sebagai 'jambatan' biar disuakan sedutan berkenaan daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006. Sedutan ini ada dikongsikan dalam artikel Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Petunjuk daripada Nenek 3 hari lalu.


Sayangnya, perbualan dengan Nenek itu adalah perbualan dengan Rasyid yang terakhir. Tidak sampai tiga bulan kemudian, Nenek jatuh sakit, tidak mampu berkata-kata, setakat boleh memberi isyarat dengan tangan dan mata... Lima bulan selepas itu, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, dalam pangkuan Rasyid ketika sedang dibawa kembali ke rumah dari hospital dengan ambulans.  Innalillaha innalihiraji’un.  Al Fatihah untuk Nenek. Semoga Allah SWT sentiasa mencucuri rahmat ke atas rohnya. (Ampun Nek, selama ini Rasyid tidak ambil tahu banyak perkara...)

Pemergian Nenek meninggalkan rasa  terkilan yang amat sangat.  Masih banyak persoalan yang belum terjawab dan Neneklah ahli keluarga yang sebenarnya paling memahami apa yang sedang pemuda ini alami. Saudara-mara lain masih lagi teraba-raba menduga apakah yang sebenarnya ingin dicari pemuda ini... Sudahlah  ini berlaku selepas lebih enam bulan dia tidak bekerja, dipaksa berhenti atas sebab-sebab tertentu. Ramai pula termasuk isteri sendiri  menganggapnya sudah hilang akal ataupun  gila,  sibuk merantau ke sana ke mari melawat makam-makam purba mencari cerita-cerita lama sehingga sanggup meninggalkan segala-galanya...

Tahun 2002 adalah satu tempoh yang amat mencengkam jiwa. Tiga bulan selepas Nenek pergi, adik lelaki bongsu Rasyid pula maut akibat kemalangan jalan raya. Ini berlaku sehari selepas isteri  pemuda itu melahirkan anak pertama mereka. Tidak cukup itu, seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri, ibu kepada bondanya, orang yang dipanggil “Mak” kerana menjaga dan membesarkannya sejak kecil turut serta menyambut panggilan Ilahi. 

Ketika itu, anak muda yang  mula kelihatan seperti orang sasau dengan penampilan tidak terurus akibat terlalu taksub mengembara mencari jawaban di samping  memendam rasa sedih yang mencengkam jiwa akibat musibah yang kunjung tidak putus baru setakat tahu bahawa Keramat Kuala Bidor itu mempunyai kaitan dengan Sultan Malikus Salih yang mengasaskan  kerajaan Samudera Pasai abad ke 13 Masihi. Tetapi hamba Allah ini bukan berasal dari kerajaan tersebut. Kerana beliau hidup hampir 1,000 tahun lalu! Masih belum terjawab  persoalan yang Nenek kemukakan dahulu...

Awal tahun 2003, selepas lebih setahun mencari dan mengembara  lagi, barulah dia faham maksud Nenek. Mengapa beliau menyebut Keramat Kuala Bidor berasal dari keturunan orang baik-baik, dan siapakah orang baik-baik yang dimaksudkan... Rasyid juga dapat tahu hamba Allah ini berasal daripada sebuah keSultanan purba yang telah wujud 400 tahun lebih dahulu daripada Samudera Pasai dan 600 tahun sebelum Melaka iaitu Perlak.  Pencarian ini telah memperkenalkannya kepada sejarah keSultanan Perlak yang diasaskan tahun 840 Masihi. Lalu terbukalah kaitannya dengan perjuangan  Samudera Pasai  untuk menegakkan syiar Islam di bumi Timur, perjuangan yang akan diwarisi Melaka seterusnya Aceh nanti.


Sekarang baru boleh masuk pada cerita yang hendak dikongsikan. Mukadimahnya berlaku di Masjid India, Kuala Lumpur, satu masjid yang biasa dikerumuni orang tabligh di tengah pusat bandar raya...



Masjid India di Kuala Lumpur. Seingat saya dahulu ia berwarna putih. Di hadapannya ada tembok pagar batu putih memanjang dengan bahagian seperti bangku batu memanjang sama dengan tembok. Di situ orang selalu melepak selepas solat atau menunggu waktu solat...



Dalam buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" yang terbit Mei 2007 ada dikongsikan panjang lebar cerita tentang Tok Kenali. Almarhum adalah wali besar negeri Kelantan awal abad ke-20. Cerita dalam bab bertajuk "Munawar ke Mughayat : Kemunculan Aceh sebagai kuasa besar" itu menghuraikan bagaimana saya boleh pertama kali terpanggil untuk ke makam almarhum di Kota Bahru. Mukadimahnya adalah pertemuan dengan seorang hamba Allah pelik di Masjid India. Biar disalin cerita...


------------


Salah-satu aktiviti kegemaran Rasyid di Kuala Lumpur pada waktu lapang adalah berjalan santai seorang diri menyusuri Jalan Tuanku Abdul Rahman sambil memerhatikan ragam manusia sepanjang jalan. Ada masanya, dia suka bersiar-siar di sekitar Kompleks Pertama dan Sogo sebelum memasuki kedai buku berdekatan, ada masanya pula sekadar duduk melihat orang lalu-lalang di kawasan Masjid India yang sering dikerumuni kaum India Muslim serta para pengikut Tabligh. Di sekitarnya terdapat pelbagai aktiviti perniagaan jalanan termasuk menjual barangan pelik seperti keris lama dan cincin... Anak muda itu juga suka menghabiskan masa membelek-belek barangan yang ditawarkan.

Pada satu hari, ketika sedang duduk berehat di tembok luar masjid, muncul seorang  hamba Allah bertubuh pendek gempal, kulit sawo matang memakai cermin-mata gelap bergaya, berjubah putih berkopiah dan berserban. Lelaki berumur sekitar 50 hingga 60an itu lalu di kawasan tembok yang sering menjadi tempat duduk orang-ramai melepaskan lelah... Entah kenapa, dia membuat gaya seperti mengira-ngira jumlah orang yang duduk sambil menghulurkan jari telunjuknya ke arah mereka satu-persatu. Sampai kepada Rasyid dia tersenyum lalu menegur: “Hah kamu! Mari ikut aku! Belanja aku makan…”

Pemuda itu terasa pelik dan janggal mendengar “perintah” pakcik ini... Manakan tidak, entah siapa, datang daripada mana, tiba-tiba sahaja boleh muncul memberikan arahan tanpa mengenalkan diri... Tetapi dia cuma mengangguk bersetuju lalu bangun menurut langkah orang tua itu! Rasyid percaya mesti ada hikmah di sebalik kejadian ini... Pengalaman bertahun berkelana tanpa rancangan dan arah tujuan yang pasti telah membuktikan ada sesuatu yang akan dipelajarinya nanti. Mereka pun bergerak ke warung berdekatan. Pakcik ini mula memesan segelas teh tarik, anak muda itu pula meminta teh tarik halia.

Ganjil juga penampilan hamba Allah ini. Bayangkan seorang tua berjubah berkopiah dengan pembawakan agak  rugged, kata orang muda ada gaya rock... Dia mula bertanyakan asal-usul Rasyid lalu membuka cerita. Sambil-sambil itu, tangannya mengambil kuih-muih yang tersedia di atas meja sehingga pemuda itu mula membuat kira-kira dalam hati... Maklumlah, dia cuma memiliki kurang RM5 di dalam poket, takut tidak cukup untuk perbelanjaan hari itu nanti. 

Pakcik itu seolah-olah dapat membaca isi hatinya lalu menegur: “Kamu ada cukup duit tak? Kalau tidak biar aku sahaja yang bayar…”

Rasyid terasa malu lalu menjawab: “Tidak mengapalah pakcik! Bukankah saya sudah bersetuju untuk membelanja pakcik? Biar saya yang bayar...”

Orang tua itu tersenyum lalu menyambung cerita. Entah kenapa, anak muda itu terasa ingin mengadu tentang keadaannya yang agak dhaif ketika itu, bagaimana dia sudah lama tidak bekerja sedangkan duit simpanannya sudah susut teruk! Motor besar kesayangan yang sering menemaninya mengembara ke merata ceruk rantau pula sudah lama tidak diservice,  selalu sangat “batuk” dan banyak ragamnya. Ah... Memang keadaannya sangat teruk ketika itu...

Sebaik sahaja selesai makan hamba Allah itupun bangun untuk beredar. Selain memberikan sepotong ayat Al-Quran untuk diamalkan (sudah lupa apakah fadhilatnya), sempat juga dia memujuk dan memberikan tawaran…

 “Jangan risau,” katanya. “Kalau ada masalah, cari sahaja aku…”

Hairan Rasyid mendengar tawarannya. Sudahlah itu kali pertama dia terjumpa orang ini, tidak pernah dilihat di Masjid India atau di mana-mana... Pakcik itu juga tidak meninggalkan alamat rumah atau tempat kerja, nombor telefon atau apa-apa cara untuk berhubung, lalu bagaimana hendak mencarinya. Pemuda itu bingung tetapi setakat sempat bertanya siapakah namanya.

Hamba Allah itu tersenyum lebar lalu menjawab “Muhammad Yusuf!”  kemudian terus pergi. Sepertimana dia sampai, begitu juga dia menghilang... Penuh misteri meninggalkan tanda-tanya siapakah sebenarnya orang tua ini... 

Dua minggu kemudian, Rasyid tergerak untuk menziarahi rumah almarhum Nenek di Raub, Pahang... Setelah hampir setengah tahun tidak bertandang. Selepas beberapa malam berehat di sana, ibu saudara yang menjaga rumah itu pula  harus pergi ke Kuala Terengganu untuk menghadiri kursus. Seorang anak angkatnya bersedia menghantar dengan kereta sampai ke Temerloh. Di sana, barulah ibu saudara ini mengambil bas ekspress ke Kuala Terengganu.

Rasyid tidak mempunyai apa-apa rancangan tetapi ingin berjalan. Dia pun menumpang sama, ikut sahaja ke mana kereta itu pergi... Sampai ke bandar di tepi Sungai Pahang itu, timbul pula keinginan untuk melawat Gua Kota Gelanggi yang terletak di sekitar Jengka. Selepas menaiki bas sampai ke Jerantut, pemuda itu terus memeriksa jadual bas ke sana. Perkhidmatan seterusnya cuma akan bergerak sejam lagi, maka dia pun cuba mengisi masa dengan berjalan-jalan di sekitar pekan. Sedar tak sedar, sampai pula ke stesyen keretapi...

Kebetulan keretapi ke utara pantai timur yang cuma berkhidmat sehari dua kali sampai ke stesyen waktu itu. Serta-merta timbul gerak spontan untuk menaikinya hingga ke Kuala Lipis. Di bandar yang diapit tebing Sungai Jelai serta kuala Sungai Lipis itu pula, anak muda itu tergerak untuk pergi ke masjid lama pekan yang didirikan awal tahun 1888... Letaknya bersebelahan stesyen bas dan mengikut ceritanya masjid ini tidak pernah disentuh banjir walaupun air naik melimpah sampai ke stesyen yang terletak 10 kaki lebih tinggi daripada kawasan masjid. Niat awalnya mahu bermalam di masjid tetapi selepas solat Asar, tergerak pula untuk ke stesyen keretapi melihat jadual perjalanan seterusnya.
 
Kebetulan lagi, keretapi ke utara pantai timur sampai ke stesyen sebaik sahaja Rasyid menjejakkan kaki. Tanpa berfikir panjang, hamba Allah yang suka berjalan “mengikut arah angin” inipun naik sampai ke destinasi terakhir keretapi di Gua Musang, Kelantan. Niat untuk bermalam di masjid lama Kuala Lipis pun bertukar menjadi sesi bermalam di surau KTM (Keretapi Tanah Melayu) tidak jauh daripada stesyen. Muncul pula beberapa orang musafir menumpang sama termasuk sepasang suami isteri dan dua orang lelaki anak jati Kelantan. 

Entah kenapa, mereka mula bercerita tentang bermacam perkara pelik yang pernah berlaku di Kelantan. Terkeluarlah nama Tok Kenali sehingga Rasyid teruja untuk bertanya tentangnya... Barulah dapat tahu makam dan masjid Tok Kenali terletak di Kubang Kerian, Kota Bahru. Keesokan harinya dia terus ke sana. Di makam itulah Rasyid juga mendapat tahu wali Allah yang telah kembali ke Rahmatullah lebih 70 tahun lalu ini bernama Muhammad Yusuf, sama dengan nama orang tua misteri yang ditemui di Masjid India dua minggu lalu! 



Gambar ini diambil daripada artikel Makam (Tomb of) Tok Kenali di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Kelihatan tulisan jawi pada papan maklumat menyebut nama sebenar Tok Kenali sebagai Muhammad Yusuf. Sampai sahaja ke makam teringat satu mimpi yang berlaku entah bila. Kelihatan batu bulat panjang yang menjadi batu nesan almarhum juga batu empat persegi tiga tingkat yang menjadi batu nesan isteri.

Ini adalah sama dengan apa yang dilihat secara nyata di makam Tok Kenali. Namun tidaklah memelikkan lagi bagi saya kerana sudah amat selalu berlaku hal begitu. Ini dipanggil deja vu. Selain mimpi hal ini boleh datang dalam bentuk bayangan yang tiba-tiba muncul dalam kepala atau hati. Setelah beberapa lama sampailah ke suatu tempat lalu apa yang pernah dilihat dalam mimpi atau bayangan itu terzahir di dunia nyata.


Close up  ke papan maklumat. Nama Muhammad Yusuf ditanda dalam kota kuning. Perjalanan yang membawa ke makam almarhum pula boleh dilakarkan dalam peta seperti di bawah. Ketika itu saya duduk menumpang di pejabat bapa angkat, penulis buku politik terkenal Syed Hussein Al-Attas @ S.H. Alattas @ Pak Habib. Ada masanya pula di rumah rehat beliau di Janda Baik, Pahang. Kedua-dua tempat ini menjadi markas untuk melakukan pengembaraan dari tahun 2003 hingga 2005. 


Untuk cerita ini biar lakaran dimulakan dari pejabat Pak Habib dekat pejabat pos Gombak membawa ke Raub kemudian ke Temerloh, Jerantut dan Kuala Lipis. Seterusnya ke Gua Musang membawa ke Wakaf Baru di mana terletaknya stesyen kereta api bagi bandar Kota Bahru. Selepas itu baru ke Kubang Kerian di mana terletaknya makam dan masjid Tok Kenali. Googe Map memberikan jaraknya sebagai 612 km.

Tapi saya ada banyak berjalan kaki di celah-celah itu. Selain itu peta tidak memasukkan jarak rumah Nenek yang ke luar 5 km dari bandar Raub. Oleh itu jarak sebenar yang dilalui harus melebihi 620 km. Ini harus dimasukkan ke dalam kira-kira yang mana perjalanan ini nanti akan membawa pada jarak keseluruhan yang diperkirakan melebihi 1,500 km.


Khamis, April 08, 2021

Hari-hari terakhir sebagai wartawan - Cabaran seorang idealis mahu mengangkat ketamadunan tinggi di Malaysia

Salam hari Khamis 25 Sya'aban. Setelah berkongsi beberapa cerita perjalanan ketika bertugas sebagai wartawan akhbar The New Straits Times tahun 1996-2001 sampai masanya untuk berkongsi cerita-cerita perjalanan selepas itu. Masuklah fasa besar pencarian makna diri dan arah tujuan hidup yang membawa untuk meninggalkan kerjaya juga keluarga akibat panggilan kerohanian yang tidak dapat ditahan-tahan lagi. Sebelum itu biar dikongsikan cerita apa yang menyebabkan diri ini meninggalkan kerjaya elok sebagai wartawan lalu tidak mahu lagi mencari pekerjaan rasmi di bawah apa-apa syarikat mahupun jabatan. 



Gambar daripada artikel A visit to my old haunt at The New Straits Times  di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tahun 2007 ini menunjukkan satu bahagian pejabat utama kumpulan akhbar The New Straits Times di Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur. Di bawah bumbung yang kelihatan di tengah gambar pernah terdapat pangkin yang menjadi tempat selalu menginap dalam tempoh 2-3 tahun apabila malas kembali ke rumah. Di situ tidur malam sebelum turun ke bahagian belakang tingkat 4 untuk mandi kemudian bersiap untuk masuk kerja. Lewat malam nanti naik kembali untuk berehat. Apabila sudah terlalu banyak baju kotor baru balik rumah (ketika itu di Kajang). Selepas satu dua malam kembali menginap di pangkin atas pejabat. 

Di sini mahu dipersembahkan cerita berkenaan daripada buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?" (terbit November 2007). Buku adalah yang ketiga dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" yang mengenengahkan watak utama bernama Muhammad Al-Aminul Rasyid sebagai mewakili diri. Rujuk penerangan berkenaan dalam artikel Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Terbitnya nama Muhammad Al-Aminul Rasyid. Walaupun siri dikarang seperti novel fiksyen travelog sekurang-kurangnya separuh daripada isinya adalah 100% sama seperti apa yang benar-benar berlaku dalam hidup. Ada pula dicipta pertemuan dan dialog-dialog sambil diolah satu watak sebenar menjadi tiga watak fiksyen berlainan, tiga watak sebenar berlainan dihimpun menjadi satu watak fiksyen dan sebagainya. Ini dibuat bagi menyampaikan suatu ilmu pengetahuan atau pesanan (message). 

Namun yang dicipta mahupun diolah pun tetap berdasarkan pengalaman hidup sebenar, bukan karangan kreatif yang boleh terbit akibat menciplak karya atau pengalaman orang lain tetapi sendiri tidak pernah merasa apa yang diperkatakan. Apapun, cerita yang mahu dipaparkan di sini adalah 100 peratus benar sekurang-kurangnya menurut sudut pandang saya. Tidak ada tokok tambah bagi menyedapkan cerita atau bagi membuat diri kelihatan bagus.

Cerita berkenaan ada dikongsikan di celah-celah beberapa hal lain dalam dua bab. Satu bertajuk "Angkara Nuruddin? Mula Kejatuhan Aceh (Bahagian 1)", satu lagi "Angkara Nuruddin? Mula Kejatuhan Aceh (Bahagian 2)" Biar dikongsikan mengikut turutan seperti muncul dalam buku namun ditambah tajuk-tajuk kecil bagi memudahkan pembaca.


------------



THE BEST PRIME MINISTER MALAYSIA NEVER HAD

Rasyid teringat apa yang pernah berlaku dahulu ketika masih berkhidmat sebagai seorang wartawan akhbar berbahasa Inggeris terkemuka di ibukota. Tersebutlah kisah seorang hamba Allah, bekas ahli politik yang pernah menjadi salah seorang manusia paling berkuasa di Malaysia, manusia yang pernah mengangkat diri sendiri sebagai the best Prime Minister Malaysia never had, Perdana Menteri terbaik yang Malaysia tidak pernah berpeluang memilikinya. Begitulah penilaiannya terhadap dirinya. Siapa pula yang dapat menyanggah apabila dia memegang kuasa?

Atas sebab-sebab tertentu, orang ini pernah terbuang daripada persada politik negara tetapi setelah lama hidup di dalam twilight zone, dia telah diberi peluang untuk memegang sebuah jawatan tertinggi dalam syarikat akhbar ini, sebuah jawatan yang sangat tinggi daripada segi organisasi syarikat tetapi tidak mempunyai kuasa langsung dalam dunia kewartawanan yang ditentukan oleh sidang pengarang. Semasa itu, akhbar ini baru sahaja mengalami krisis tertentu yang menyebabkan ketua pengarang tertinggi ditamatkan perkhidmatannya. Lalu hala-tuju akhbar  mula ditentukan empat orang penasihat yang baru dilantik, terdiri daripada empat nama besar dunia kewartawanan yang sangat disegani ramai.

Entah kenapa, mungkin kerana berjaya mempengaruhi pemerintah tertinggi negara ketika itu, selepas setahun “bermain-main” di belakang tabir, hamba Allah alias the best Prime Minister ini dikurniakan jawatan tertinggi sidang pengarang. Orang mengantuk disorongkan bantal, kucing disuakan ikan… Jika dari segi politik, dia sudah lama “ketinggalan bas”, tidak memilik apa-apa lagi peluang untuk menjadi PM waima untuk bermimpi meletakkan kaki di kerusi paling empuk Putrajaya sekali pun, kini manusia ini telah berjaya mendapatkan kedudukan kewartawanan tertinggi yang dikira paling prestij di tanah-air memberikannya peluang untuk mencorakkan suasana politik tanah-air melalui jalan lain pula…

Seperti cerita Nuruddin di Aceh dahulukala, rancangannya memegang kuasa tidak akan dapat dilakukan sepenuhnya jika ada manusia lain yang boleh menentukan hala-tuju berita atau menulis lebih baik di dalam ruangan-ruangan pojok yang berpengaruh. Maka misi pertamanya setelah mendapat kuasa hampir mutlak adalah menamatkan perkhidmatan empat orang penasihat ternama yang pernah menjadi lagenda dunia kewartawanan... Ini dilaksanakannya dengan “penuh takzim” lagi ‘berhemah’. Lalu para penasihat inipun dikeluarkan atas alasan entah apa-apa...

Prime Minister’ yang tidak ubah seperti seorang Nuruddin moden ini juga telah menamatkan ruangan pojok bekas pengarang tertinggi dahulu yang sudah berpuluh tahun mewarnai akhbar itu. Sepertimana kitab-kitab Hamzah Fansuri dan Shamsuddin Pasai dibakar di hadapan Masjid Baitur-Rahman, begitu juga dilakukannya terhadap ruangan pojok seorang pengarang lain yang baru beberapa bulan bertapak kembali di sebuah akhbar nasional berbahasa Melayu yang juga dikuasai syarikat yang sama. Hasilnya, tidak ada wartawan lain mampu menandingi ‘keunggulannya’ dalam menganalisa peristiwa semasa serta mengemukakan pendapat-pendapat yang mampu mempengaruhi  hala-tuju pemerintahan negara. 

Kedua-dua ruangan pojok utama akhbar berbahasa Inggeris serta akhbar  berbahasa Melayu yang seiring dengannya berkemampuan tinggi untuk membentuk public opinion atau pendapat orang-ramai kerana memiliki ramai pembaca golongan atasan. Malah ia mampu menjana halatuju polisi pentadbiran Parlimen dan jemaah Menteri! Nuruddin moden inipun mula mewarnai buah pemikirannya dengan pengalaman lama bergaul dengan berbagai pemimpin utama dunia juga zaman persekolahannya di sebuah sekolah berasrama penuh yang dikira paling elit di Malaysia.

Peluang menentukan segala isi cerita digunakan untuk menaikkan profail diri sendiri dalam dunia sosial elite the rich and famous dan jetsetting life.  Ini membolehkannya terus bergaul dengan pemimpin politik dan perniagaan tertinggi malah pihak istana dan para raja! Orang luar terutama masyarakat pembaca yang tidak mengetahui permainan ala Machiavelli matlamat menghalalkan cara mengkaguminya sebagai sebagai seorang pemikir hebat yang ikhlas berjuang untuk menaikkan taraf agama, bangsa dan negara, juga seorang elit luarbiasa. Permainan wayangnya begitu licik sehingga apabila hala-tuju pemerintahan negara menunjukkan tanda-tanda lebih menjurus kepada penghayatan agama, hamba Allah ini mula menggunakan gambar dirinya berlatar-belakangkan masjid di dalam ruangan-ruangan pojoknya malah sudah pandai mengutarakan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis pula! 

Apa yang mereka tidak tahu, dia telah banyak menggunakan duit syarikat untuk menampung kehidupan elit yang merangkumi sesi minum happy hours di kelab-kelab ekskusif. Malah mengikut kata sesetengah wartawan, hamba Allah ini boleh pula membelanja kawan-kawan minum arak yang termahal dalam majlis syarikat! Tetapi siapa pula boleh membuka tembelangnya? Maklumlah, the best prime minister Malaysia never had!

Tersebut pula kisah seorang lagi bekas ahli politik yang juga pernah menjadi seorang manusia paling berkuasa tanah-air. Oleh kerana skop kerja Rasyid sebagai wartawan seringkali menemukannya dengan wajah-wajah terkemuka negara termasuk the Prime Minister that Malaysia actually have, Perdana Menteri yang Malaysia memang miliki, tidak dapat tidak, satu hari nanti dia akan bertembung juga dengan bekas ahli politik yang suatu masa dahulu memang sudah begitu hampir menjadi Perdana Menteri. Lalu mereka pernah dua tiga kali terserempak dan bertegur-sapa…

Kebetulan pemuda ini termasuk di dalam golongan manusia yang tidak hairan, gugup apalagi gementar berhadapan manusia-manusia sebegini... Dia sudah banyak kali duduk bersila di atas lantai dengan sekadar memakai seluar cerut dan t-shirt di hadapan Perdana Menteri tetapi masih boleh lagi bertukar kata-kata dengannya tanpa rasa rendah diri mahupun segan-silu. Di kala mereka yang memakai full-suit lengkap segalanya untuk kelihatan lebih berwibawa pun boleh terdiam hilang suara, Rasyid tetap yakin dengan diri sendiri. Maka dia tidak teruja apabila bekas ahli politik yang pernah (malah masih) dikagumi ramai dan pernah menjadi mentor ramai nama-nama besar ini datang duduk di sebelahnya bertanyakan khabar... 

Ketika itu, Rasyid baru sahaja selesai menemu-ramah seorang personaliti terkenal berkenaan sukan berkuda sedangkan hamba Allah ini pula berada di meja bersebelahan. Mereka pun bertukar-tukar cerita... Cerita punya cerita, terkeluarlah kisah the best Prime Minister yang ketika itu baru sekitar dua bulan menaiki takhta dunia kewartawanan.

Mendengarkan ini, the almost Prime Minister (memang dia hampir menjadi seorang Perdana Menteri sebelum hilang kedudukannya) di sebelah pun berkata (dalam Bahasa Inggeris): “Oh… Dia rupanya. Kalau begitu kamu kirim-salam padanya. Katakan, tidak usah penat-penat menulis, ruangan pojoknya itu lebih elok diberi kepada kamu sahaja.”

Pemuda itu tahu ini cuma satu gurauan sahaja. Rasyid biasa bertegur-sapa dengan bekas ahli politik yang seorang lagi terutama ketika menghisap rokok di koridor pejabat lalu kembali tanpa rasa risau untuk menyampaikan pesanan ini. Apabila terserempak dengannya, dia memberitahu yang dia baru sahaja berjumpa dengan the almost prime minister...

“Dia kirim-salam kat you!” kata Rasyid selamba.

Hamba Allah yang seorang lagi ini tersenyum.“Tunggu sekejap,” katanya untuk menyelesaikan sesuatu.”Nanti I datang...”

Lima minit kemudian, baru dia bertanya: “Hah… Apa katanya?”

Sekali lagi pemuda ini dengan selambanya (dalam Bahasa Inggeris) memberikan pesanan tanpa diedit : “Dia cakap Tan Sri tidak usah penat-penat menulis, ruangan pojok Tan Sri lebih elok diberikan pada saya.”

Rasyid bercakap dalam nada gurauan. Tak sangka pula the best Prime Minister ini sensitif lalu ‘meletup’. Dia membesarkan suara dengan marah sehingga hampir setengah pejabat penuh wartawan boleh mendengar dengan terang. Cuma Rasyid sahaja yang terus buat muka selamba...

“Orang itu, orang itu ya (bercakap tentang the almost Prime Minister). Ah… Dia pandai bercakap sahaja. Aku boleh beri dia ruang menulis seberapa banyak yang dia mahu. Tetapi aku tahu dia tidak pandai menulis!”

Rupa-rupanya, peristiwa itu telah membuatkan hamba Allah ini menjadi “lebih teliti” terhadap pemuda itu. Ini nampaknya dilakukan secara senyap... Mereka masih lagi bertegur-sapa seperti biasa apabila terserempak, belum ada tanda-tanda bahawa ada pihak yang menyimpan hati. Maka Rasyid meneruskan kehidupan biasa tanpa memikirkannya.

Seingatnya, cuma ada satu sahaja peristiwa menunjukkan the best Prime Minister Malaysia never had ini telah mula curiga terhadap diri dan latar-belakang Rasyid... Apabila dia secara terang-terangan tetapi dalam nada bergurau memberitahu beberapa orang pengarang kanan akhbar sambil menudingkan jari ke arah anak muda ini : “Watch out for this guy, he is … (tidak boleh disebut nama)’ alter ego!” Makna zahirnya berjaga-jagalah… Budak ini adalah bayang-bayang bekas ahli politik sangat berpengaruh yang dimaksudkan. Siapa lagi kalau bukan the almost Prime Minister... Mungkin kerana menyedari pemuda ini mempunyai ramai kenalan yang bukan calang-calang orang walaupun dia cuma seorang wartawan biasa?

Rasyid yang sedang berdiri di sebelah tersenyum sahaja. Begitu juga pengarang-pengarang kanan yang telah lima tahun mengenalinya.Tetapi di sebalik kata-kata itu mungkin tersirat makna lebih mendalam yang menyatakan anak muda ini juga mempunyai cita-cita politik yang tinggi... Mungkin dia adalah anak didik ahli politik tersebut di samping menjadi “mata, telinga dan mulutnya”. Ini tidak mustahil kerana pengarang tertinggi akhbar yang pernah menjadi seorang pemimpin pelajar itu pernah menyimpan cita-cita besar untuk menguasai dunia politik sejak zaman sekolah lagi. Malah dia pernah mengaku memasuki bidang kewartawanan ketika muda sebagai langkah mendekati ahli-ahli politik berpengaruh.

Memang dunia kewartawanan boleh digunakan sebagai stepping stone atau batu loncatan untuk cepat naik dalam dunia politik. Ia memberikan ruang untuk seseorang itu dikenali golongan pemerintah lebih-lebih lagi jika orang itu petah berkata-kata serta berkeyakinan tinggi. Maklumlah, sudah menjadi lumrah kehidupan biasa seseorang pemberita untuk membuat liputan majlis-majlis eksklusif yang cuma dihadiri orang-orang tertentu. Tidak lama kemudian, hamba Allah ini ‘diangkat’ oleh pemerintah negara paling berkuasa zamannya untuk menjadi  wakil urusannya. 

Kepercayaan serta jawatan yang diberi telah menyebabkan dia sendiri menjadi salah seorang manusia paling berkuasa di Malaysia, seorang gatekeeper atau penjaga pintu keluar-masuk  paling utama ke persada kekuasaan. Ini memberikannya pengaruh tidak terhingga... Maka itu tidak mustahil jika dia menduga, Rasyid juga mempunyai niat yang sama? Jika the best Prime Minister mampu melakukannya, mengapa tidak pemuda ini?

Peristiwa gurauan Rasyid yang menyebabkan the best Prime Minister naik angin itu mungkin boleh dianggap kecil.... Tetapi ia mempunyai makna tersirat yang lebih mendalam apabila seseorang itu tahu, bekas ahli politik ini pernah malah mungkin masih lagi bermusuh dengan bekas ahli politik seorang lagi yang dikatakan rapat dengan pemuda itu. Ini sebenarnya sudah sangat ternyata, terang lagi bersuluh apabila hamba Allah ini melatah setelah anak muda kelahiran Muar, Johor ini menyampaikan pesanan bekas ahli politik itu yang seolah-olah menyindir dia tidak pandai menulis. Lalu dalam keadaan seorang Nuruddin moden mahu menggenggam sebuah institusi yang amat berpengaruh demi menghidupkan kembali cita-cita politiknya sendiri, kali ini lebih kepada menjadi kingmaker yang boleh menentukan siapakah yang bakal memegang teraju pemerintahan negara melalui pengaruh besarnya ke atas media massa, apakah dia cuma akan membiarkan Rasyid terus mengembangkan karier di akhbar itu? 

Apakah the best prime minister sanggup membiarkan seorang pemuda cerdas yang diketahui mempunyai kenalan-kenalan yang sangat berpengaruh di persada politik tanahair terus menjadi  duri dalam daging? Atau pemuda ini harus dihambat keluar sepertimana para penganut Wahdatul Wujud dan Martabat Tujuh yang dipelopori Sheikh Hamzah Fansuri di Aceh mesti dihapuskan demi “kesejahteraan negara”?


ANTARA IDEALISMA DAN POLITIK

Rasyid mengaku memang suatu masa dahulu dia pernah menyimpan cita-cita tinggi untuk menceburkan diri ke dalam dunia politik demi menjadi manusia paling berkuasa. Ini bermula ketika berumur 18 tahun... Entah-kenapa, tidak dapat dipastikan apakah sebab sebenarnya, tiba-tiba timbul hasrat ‘gila’ untuk menerbitkan sebuah negara bertamadun tinggi yang rakyatnya sangat sayangkan ilmu, tidak suka kepada perkara remeh-temeh... Satu negara ideal yang dibayangkannya lebih kurang seperti Andalusia di Sepanyol semasa zaman Sheikh Ibnul Arabi 800 tahun dahulu.

Kebetulan pula pemuda ini mula mengenali dunia Tasawuf dalam usia yang sama, selepas membaca syair-syair serta lain-lain karya Wali besar Aceh, Sheikh Hamzah Fansuri yang ada dinukilkan di dalam buku “The Mysticism of Hamzah Fansuri” tulisan Professor Syed Naguib Al-Attas. Dan kebetulan juga fahaman Wahdatul Wujud yang dipelopori ulamak Melayu ini memang berasal daripada ajaran Ibnul Arabi. Tetapi Rasyid cuma tahu kaitan antara Hamzah Fansuri dengan Ibnul Arabi lebih 12 tahun kemudian. Semasa itu, barulah pemuda ini sedar, negara bertamadun yang diimpi-impikannya pernah wujud di bumi Serambi Mekah 700 tahun lalu, melalui kerajaan Samudera-Pasai yang diasaskan Sultan Malikus Salih.  

Apakah yang menyebabkan dia begitu bersemangat mahu menerbitkan negara sebegini ketika berumur 18 tahun sedangkan ketika itu anak muda ini  belum pernah terbaca apa-apa cerita mengenainya? Sedangkan dia cuma mengenali kewujudan tamadun Andalusia pun melalui pembacaan lebih dua tahun kemudian... Apakah mungkin ia berkaitan dengan darah Aceh yang mengalir di dalam batang-tubuhnya? Satu fakta yang cuma diketahuinya ketika berumur 33 tahun, lebih 15 tahun nanti?

Apapun, Rasyid menyedari negara seperti ini tidak akan dapat diwujudkan tanpa kuasa dan pengaruh. Maka itulah, dia pernah bercita-cita untuk menceburi dunia politik demi mendapatkan kuasa dan pengaruh yang diperlukan untuk menggapai cita-cita itu. Masalahnya, anak muda ini mempunyai sedikit sikap anti-establishment, tidak suka kepada institusi-institusi sedia ada… Walaupun dia mempunyai pengaruh yang kuat ke atas rakan sebaya kerana sifatnya yang outspoken, berani berkata-kata, cerdas malah dikenali sebagai seorang genius sejak zaman sekolah rendah,  pemuda itu tidak pernah menganggotai apa-apa persatuan pelajar. Dia lebih senang menjadi seorang pelajar popular  yang dikenali ramai... Atau menurut kata-kata seorang pensyarah dahulu, suka jadi infamous, terkenal kerana nakal!

Selain mengetuai pasukan pengakap di sekolah rendah dan menengah sebelum keluar tanpa sebab, Rasyid tidak berminat untuk berkecimpung di dalam mana-mana persatuan berdaftar dan apa bentuk organisasi. Tetapi dia sedia melawan naluri anarchy ini jika itulah yang diperlukan untuk menerbitkan negara bertamadun tinggi yang menjadi cita-cita ‘gilanya’.

Malangnya, anak muda ini mula terasa jijik terhadap dunia politik apabila melihat beberapa rakan lama sanggup mengorbankan prinsip ideal yang lalu untuk memasuki parti-parti politik dengan tujuan bersifat material. Dia meluat melihat gelagat mereka sanggup menggunakan kelebihan sebagai pelajar institusi luar negara yang sering diwar-warkan sebagai bakal pemimpin negara menyimpan cita-cita yang padanya amat keji... Cita-cita untuk mendapatkan peluang perniagaan malah merembatnya daripada orang lain yang kurang mempunyai saluran dan kedudukan, juga meraih durian runtuh pink-slip, saham 30 persen Bumiputera yang diagih melalui projek pengswastaan agensi-agensi kerajaan dan penubuhan syarikat-syarikat baru oleh para pelabur luar di Malaysia  awal tahun 90.

Rasyid rasa hendak termuntah melihat mereka yang pandai menggunakan kata-kata memukau khalayak ramai dengan niat yang kononnya murni, untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara... Mengaku ikhlas serta memiliki rasa kasih-sayang sejati sedangkan mereka cuma memperdagangkan ayat-ayat Quran dan Hadis-hadis Nabi...

Orang-orang ini amat ghairah untuk mengetuai parti-parti politik atau cawangan-cawangannya malah sanggup merampas kuasa persatuan pelajar, kononnya kerana orang ramai memerlukan khidmat mereka. Chis! Bohong semata... Mereka sebenarnya ingin meraut kuasa dan keuntungan wang ringgit demi memuaskan ego menjadi manusia hebat sentiasa. Lalu sanggup memperkudakan badan-badan ini sebagai power base, pengkalan untuk memantapkan pengaruh dan membentuk public opinion supaya boleh meningkat naik sehingga menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti. 

Rasyid menjadi semakin disilussioned, tidak tahu arah hala-tuju kehidupannya apabila melihat dunia semakin dikuasai orang-orang buruk. Tidak disangka, cita-citanya untuk menerbitkan sebuah negara bertamadun tinggi masih boleh dicapai tanpa menceburkan diri ke dalam dunia politik yang dianggapnya najis... Melalui satu saluran baru pula…


KEWARTAWANAN SEBAGAI JALAN MENGANGKAT KETAMADUNAN TINGGI

Pada suatu hari pertengahan tahun 1996, selepas kembali daripada satu temuduga kerja untuk jawatan broker komoditi, Rasyid tersilap jalan lalu ternampak bangunan sebuah syarikat akhbar berbahasa Inggeris yang terkemuka di ibukota. Ketika itu, pemuda ini sudah hampir setahun kembali ke tanah-air setelah menetap empat tahun di England untuk mendapatkan ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik daripada University College of London... Tetapi dia belum lagi memiliki apa-apa pekerjaan tetap.

Keluarganya sudah lama bising-bising sedangkan anak muda ini  sedang kehilangan arah hidup. Dahulu, dia pernah berminat untuk menjadi seorang saintis dan pakar matematik merangkap pemimpin yang berpengaruh, mungkin dalam dunia politik tetapi minat ini sudah lama pudar akibat perubahan kecenderungan hidup yang berlaku beberapa tahun kebelakangan.. Maka apabila keluar sebuah iklan untuk jawatan broker komoditi di Kuala Lumpur, Rasyid pergi menghadirinya untuk melihat apa yang ditawarkan... Mungkin ada sesuatu yang menarik di sana?

Tidak disangka pula, setelah kembali daripada temuduga, pemuda ini boleh tersilap jalan lalu ternampak bangunan syarikat akhbar terkemuka berbahasa Inggeris yang dimaksudkan. Ini membuatkannya tergerak untuk ke sana bertanyakan kerjaya yang ada... Dipendekkan cerita, sebulan kemudian  Rasyid mula berkhidmat sebagai seorang wartawan, satu kerjaya yang seumur hidup tidak pernah terlintas akan diambilnya. Maklumlah, selama ini dia lebih cenderung ke arah bidang sains dan matematik tulin serta perkara-perkara berkaitan, tak pun dunia perkomputeran. Membuat karangan di sekolah pun malas, tiba-tiba boleh jadi wartawan. Hmm...

Pada awalnya, Rasyid setakat berniat untuk bekerja sementara sahaja... Paling lama pun setahun sementara memikirkan apakah kerjaya yang lebih sesuai dengan kecenderungan jiwanya ketika itu. Tetapi ternyata kerjaya sebagai wartawan agak menyeronokkan. Ia  membolehkannya berjalan ke merata-rata tempat mengenali berbagai jenis manusia daripada segenap lapisan masyarakat. Bergaul begitu memang salah satu kegemarannya!

Makin lama, pemuda itu terasa semakin serasi dengan kerjaya  ini. Sebagai wartawan, dia dengan senang boleh bergaul dengan golongan berkuasa yang membentuk polisi serta hala-tuju pemerintahan negara... Berjumpa dengan jemaah Menteri sampailah ke Perdana Menteri sudah menjadi makanan harian. Maka Rasyid dapat mengemukakan idea-idea tertentu yang akhirnya menjadi kenyataan apabila ia diguna-pakai.

Anak muda ini teringat bagaimana dia telah mengemukakan satu idea tertentu kepada seorang Menteri yang baru sahaja memegang sebuah kementerian. Ketika berlangsung sebuah press conference atau sidang akhbar di ibu pejabat kementeriannya, Rasyid memberikan pendapat... Apakata jika diperkenalkan sebuah logo umum untuk semua barangan buatan Malaysia, sepertimana barangan buatan Britain boleh jadi terserlah dengan logo berdasarkan bendera Union Jack... Supaya barangan buatan Malaysia juga lebih visible, lebih senang dikenali tidak kira di mana jua ia berada

Menteri itu tertarik dengan idea tersebut lalu membuat kenyataan pihaknya akan menerbitkan logo sebegitu. Para wartawan yang hadir pula dapat modal baru untuk dijadikan cerita. Hasilnya, muncullah logo tiga warna berbentuk “Swoosh”, lebih-kurang seperti lambang kasut Nike. Ia boleh dilihat berserta perkataan “Buatan Malaysia” pada kotak-kotak serta berbagai jenis bungkusan barangan buatan Malaysia sehingga ke hari ini! 

Kepetahan Rasyid bersoal-jawab dalam kedua-dua bahasa Inggeris dan Melayu sambil mengemukakan berbagai cadangan bernas menyebabkan dia senang diterima juga dikenali ramai. Cuma perangainya yang tidak menurut protokol dan suka berpakaian santai menyebabkan ada pihak kurang senang...  Begitu juga keberaniannya berkata-kata di kala yang lain terkunci mulut. Lalu ada yang menganggapnya tidak tahu menghormati (atau membodek?) pihak atasan... Apa boleh buat? Itukan lumrah alam....

Awal tahun 1999, pemuda yang semakin lama semakin suka memakai pakaian santai ini telah ditukarkan daripada meja berita ke meja sukan… Lama juga dia termenung memikirkan apakah yang boleh dicapai.  Maklumlah, dari segi hierarki kewartawanan, ia dikira elok sedikit sahaja daripada bahagian hiburan, terlalu jauh daripada bahagian meja berita yang boleh mempengaruhi polisi Parlimen serta hala-tuju pemerintahan negara. Bagaimana mahu memanfaatkan pemikiran kritis serta anugerah pelbagai ilham melibatkan kenegaraan yang dimiliki ke dalam meja sukan?

Rupa-rupanya ada hikmah besar di sebalik pertukaran ini. Sukan adalah satu bidang yang dapat menyatukan masyarakat pelbagai negara,  ideologi dan agama, seperti ternyata dalam Sukan Olimpik yang disertai beribu olahragawan lebih 100 negara. Di kala negara-negara berlainan kepercayaan dan pegangan boleh berperang demi menegakkan pendirian masing-masing, sukan pula menjadi medan neutral yang membawa mereka  ke meja persidangan seterusnya bersatu hati menghadapi cabaran hidup.

Walaupun meja sukan tidak dipandang serius seperti business desk, meja perniagaan yang melibatkan perancangan ekonomi makro dan mikro apalagi meja berita nasional yang lebih dekat kepada golongan penguasa dan pemerintah negara, ia masih mempunyai peranan penting dalam membentuk jiwa masyarakat terutama golongan belia. Apabila sudah beberapa bulan bertugas di sana, Rasyid juga dapat melihat ramai golongan berkuasa termasuk jemaah Menteri malah Perdana Menteri sendiri turut terlibat di dalam sukan atau persatuan-persatuan sukan, samada secara langsung ataupun tidak langsung. Maka dia masih boleh mengemukakan idea-idea yang dirasakannya dapat menolong membentuk negara kepada pihak-pihak yang sanggup mendengar dan mampu melaksanakannya.

Lebih seronok lagi, oleh kerana bidang sukan memerlukan pemuda itu sentiasa turun padang ke stadium dan gelanggang permainan, dia dibenarkan memakai pakaian lebih santai seperti t-shirt lengan pendek berkolar bulat dengan seluar cerut. Pakaian sebegini mula menjadi pakaian hariannya walau di pejabat... Walau ketika berjumpa Perdana Menteri dalam sidang akhbar yang dihadiri ramai VIP memakai full-suit! Dan tidak seperti yang disangkakan awal dahulu, penulisan sukan tidak perlu dihadkan kepada perkembangan athlit dan pencapaian sesuatu sukan. Ia boleh dikembangkan untuk meliputi polisi-polisi kenegaraan serta sudut intelektual asalkan digarap penuh kreatif dalam konteks yang bersesuaian.

Sebenarnya penulisan sukan memberikan lebih banyak kebebasan berbanding penulisan laporan berita nasional yang lebih straight-forward. Penulis digalakkan memberi interpretasi sendiri asal disokong fakta-fakta yang kukuh serta pengalaman yang sesuai. Peluang inipun digunakan Rasyid untuk membawa persoalan yang lebih jauh lalu menjurus kepada proses pembentukan ketamadunan negara. Misalnya di kala rata-rata penulis sukan hanya bercakap tentang kemeriahan, prestij serta nama-nama besar pelumba yang terlibat di dalam acara Formula One yang diadakan buat pertama kalinya di Malaysia (juga pertama-kali di Asia luar Jepun) Oktober 1999, anak muda ini pula menyelitkan analisis faedah jangka-panjang penganjuran sukan sebesar itu ke atas negara... Fikirkan, bagaimana sukan yang mempunyai beratus juta peminat setia seluruh dunia ini boleh menjana perkembangan ekonomi negara serta penyaluran teknologi automotif tercanggih kepada tenaga kerja tempatan. Kesannya terhadap wawasan Malaysia untuk menjadi negara maju tidak boleh diendahkan...

Malah bidang ekuestrian atau sukan berkuda (bukan lumba kuda yang melibatkan perjudian ya!) yang selama ini lebih diminati golongan elit   turut diangkat supaya lebih ramai lapisan masyarakat dapat terlibat. Jika sebelumnya, ekuestrian kurang mendapat liputan kerana golongan sasarnya terlalu kecil akibat dikira berada di luar kemampuan umum, Rasyid berusaha keras mencari jalan agar ia boleh diterima semua... Salah satunya dengan mengenengahkan endurance racing atau sukan berkuda lasak jarak jauh yang mampu disertai golongan petani biasa di Eropah serta cara-cara mengendalikannya di Malaysia. Lagipun Sunnah Rasulullah SAW ada menggalakkan ummah agar menunggang kuda... Selain menjadi kenderaan, ia mengandungi rahsia untuk memantapkan kesihatan, meningkatkan daya-fikiran malah kekuatan kerohanian serta daya kepimpinan seseorang! Ia boleh digunakan untuk menjana masyarakat yang lebih sempurna...

Rasyid juga menggunakan penulisan untuk mendedahkan salah-laku dalam dunia sukan selain memberi cadangan bagaimana ia boleh diperbaiki. Nawaitunya adalah supaya suatu acara atau persatuan itu dibawa kembali kepada matlamat asal memajukan sukan supaya belia yang terlibat lebih sihat rohani dan jasmani. Dia tidak suka mana-mana individu bermain politik keji, menggunakan sesuatu acara atau persatuan untuk menaikkan nama supaya dapat meraih kedudukan di persada politik tanah-air atau meluaskan peluang perniagaan sendiri.  Lalu anak muda ini mula mencipta nama sebagai seorang wartawan sukan yang prolifik lagi berani berkata benar... Ada sahaja idea yang dikemukakan... Ada sahaja isi boleh diguna-pakai dalam menyemarakkan bidang sukan seterusnya pembentukan masyarakat lebih positif ke arah Malaysia mencapai taraf negara maju.

Rasyid semakin seronok menulis sehingga dia membuat keputusan untuk terus berkhidmat sebagai wartawan di syarikat tersebut walaupun ada beberapa pihak lain menawarkan pekerjaan dengan gaji yang lebih lumayan berserta bidang kuasa yang lebih besar. Pada pemuda itu, yang penting penulisannya mendapat ruang dan perhatian. Selama inipun dia kurang memandang wang kerana jika itulah yang dia mahu, dahulu lagi dia boleh mendapatkan pekerjaan yang lebih menguntungkan dari segi materialistik. Tetapi sudah jadi adat manusia biasa, tidak semua pihak merasa senang melihat Rasyid semakin mendapat tempat dan perhatian... 


APABILA PENULISAN MULA DISEKAT

Ralat :  Ayat pertama sepatutnya berbunyi "Selepas dua tahun bekerja sebagai wartawan sukan..." Ini kerana sebelum itu sudah lebih dua tahun menjadi wartawan di bahagian-bahagian lain seperti meja berita utama.

Selepas dua tahun bekerja sebagai wartawan menerbitkan artikel atau rencana yang sering mendapat perhatian, Rasyid menghadapi masalah. Hasil-kerjanya mula susah mendapat ruang... Berbagai-bagai alasan dikemukakan seolah-olah hasil penulisannya tidak lagi layak ditatap masyarakat. Seolah-olah ia tidak lagi mencapai piawaian syarikat...

Ketika itu, meja sukan sudah dikuasai seorang pengarang yang entah kenapa, suka sangat mencari salah silap pemuda itu. Sejak dari meja berita nasional lagi, pengarang tersebut suka mencari pasal, seolah-olah cuba menundukkannya supaya ‘takut’ lalu patuh terhadap setiap ‘titah’nya.

Kebetulan kebanyakan wartawan dan sub-editor yang bekerja di meja sukan berasal daripada kaum etnik yang sama, cuma Rasyid dan dua orang rakan sahaja orang Melayu. Kebetulan juga di meja ini, cuma pemuda itu dan seorang wartawan Melayu sahaja yang memiliki ijazah, kedua-duanya lulusan daripada England. Yang lain semuanya lepas SPM Tingkatan Lima... Pengarang ini diketahui ramai sering bertindak sebagai champion atau pembela kaum etniknya. Dia nampaknya dia tidak berpuas-hati syarikat akhbar ini dikuasai Melayu di peringkat tinggi. Sesetengah penulis dari kaum etnik ini pula cukup berbangga dengan kepetahan mereka bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris. Lalu mereka merasakan diri lebih layak memimpin akhbar walaupun ia dimiliki sebuah parti nasional Melayu.

Mungkin ini adalah salah-satu faktor pengarang ini tidak berpuas-hati dengan Rasyid? Pernah sekali, dia menegur: “You know, you Malays only have degrees because of the DEB  (Kamu tahu, kamu orang Melayu memiliki ijazah cuma disebabkan Dasar Ekonomi Baru).” Maknanya, kalau tidak ada DEB maka orang Melayu tidak layak memiliki ijazah. Bukankah ini satu kenyataan bersifat perkauman yang penuh rasa iri-hati?

Mungkin kata-kata ini ada kebenarannya kerana ramai juga orang pernah menceritakan tentang wujudnya ‘arahan’ tertentu daripada pihak atasan supaya para pensyarah universiti meluluskan sejumlah peratus orang Melayu setiap tahun untuk memastikan mereka layak memiliki ijazah. Tetapi ini di universiti tempatan, bukannya di luar negara. Apakah universiti-universiti di England juga menerima ‘arahan” sebegini? 

Apabila disebut tentang ini kepada pengarang itu, jawabnya: “Yeah… But you got into the university in the first place because of the DEB. (Betul itu. Tetapi kamu dapat masuk ke universiti disebabkan Dasar Ekonomi Baru).”

Nah… Apa guna lagi bercakap dengan manusia iri-hati sebegini? 

Mungkin Rasyid tidak akan menghadapi masalah jika dia sedia ketawa mendengar setiap percubaan lawak-jenakanya, sanggup ‘membodek’ seperti dilakukan orang lain. Dan mungkin juga pemuda ini akan lebih senang mengambil hatinya jika dia rajin mengurat pekerja perempuan di pejabat sepertimana sering dilakukan mereka di meja sukan.. Tetapi hamba Allah ini sudah lama meninggalkan perangai buruk sebegini. Lalu dia tidak suka apabila pengarang dan ‘orang-orang kanannya’ bersiul-siul cuba menarik perhatian perempuan... Kemudian bercakap menggunakan ayat yang mengandungi sexual innuendos,  ajakan-ajakan yang menjeremus kepada perbuatan seks tetapi ditabiri ayat biasa yang kononnya innocent, bersih...

Apapun, ini tidak bermakna Rasyid seorang “kera sumbang” yang tidak suka bergaul dengan orang. Cuma dia lebih suka tenggelam di dalam dunianya sendiri apabila tidak ada tuntutan kerja. Pada pemuda itu, kalau nak mengurat perempuan silakanlah... Tetapi biarlah dengan cara  gentleman, bukan cara buruk-lagak seperti yang selalu mereka lakukan.

Sebenarnya agak susah untuk ‘menjaga’ hati pengarang ini kerana dia adalah jenis manusia yang suka dipandang tinggi dan ‘dihormati’ orang. Anak muda itu pula bukanlah jenis manusia yang gerun kepada orang berpangkat apalagi manusia seperti dia. Maka itu, tidak hairanlah jika pengarang ini selalu mencari salah dan silapnya atau mencari ‘pekerjaan’ yang diada-adakan semata-mata untuk menyusahkannya.

Pernah hampir jam 10 malam, dia ‘menitahkan’ Rasyid supaya mendapatkan temuduga bersama seorang pelumba terkenal antarabangsa untuk  rencana hari Ahad tetapi mesti disiapkan malam itu juga. Nampaknya dia sengaja hendak menyusahkan pemuda itu kerana pertama, waktu kerja seorang wartawan sukan dijadualkan tamat 11 malam. Kedua, hari itu Jumaat, takkan tak boleh tunggu esok untuk mendapatkan cerita? Ketiga, mana ada orang menelefon begitu lewat malam untuk mendapatkan temuduga malam itu juga? Selalunya seseorang itu perlu menetapkan tarikh dan masa untuk bertemu, paling lambat pun 24 jam sebelum itu.

Nasib baik pemuda itu telah lama mengenali pelumba tersebut dan sempat menghubunginya sebelum dia berlepas ke Jepun. Kalau lambat beberapa minit sahaja tentu tidak dapat berhubung kerana dia sudah berada di dalam kapalterbang.  Dipendekkan cerita, sebelum jam 10.30, siaplah rencana yang dipinta. Terbantutlah helah pengarang untuk mencari salahnya. Tetapi ini tidak bermakna dia akan berhenti menyusahkannya…

Pada satu hari, seorang ketua tertinggi sebuah kelab ekuestrian terkemuka yang juga merupakan seorang pelumba kuda jarak jauh bertaraf dunia telah menyatakan hasrat untuk membawa Rasyid ke Peranchis untuk membuat liputan acara di sana. Ketika itu, anak muda ini telah diiktiraf sebagai seorang wartawan ekuestrian terkemuka yang sanggup bersengkang mata mengikuti satu acara sukan yang kurang diminati ramai apalagi majoriti wartawan yang lebih suka melepaskan batuk di tangga apabila ‘terpaksa’  meliputi acara yang kurang popular. Sepucuk surat rasmi pun difakskan ke pejabat akhbar meminta pemuda itu dibenarkan mengikuti ketua kelab equestrian dan pelumba kuda berpangkat Datuk ini. Pihaknya juga berjanji untuk menanggung segala perbelanjaan termasuk tiket kapal-terbang, makan-minum dan penginapan di sana.

Apabila Rasyid menyuakan surat itu kepada pengarang meja sukan, dia pula menggeleng-gelengkan kepala lalu mengatakan syarikat tidak akan menerima surat permintaan seperti ini. Katanya: “You cannot specifically request for a particular reporter to cover your events. (Seseorang itu tidak boleh meminta wartawan tertentu untuk meliputi sesuatu acara).”

Pemuda inipun menghubungi pihak Datuk itu memintanya supaya menulis surat baru tanpa menyatakan nama wartawan yang dipinta. Setelah mendapat surat baru, dia menyuakannya kepada pengarang ...

“Hmm…” katanya. “That’s more like it (Itulah yang kita mahu).”

Hamba Allah inipun pergi ke bilik ketua pengarang yang menguasai semua akhbar berbahasa Inggeris membawa surat tersebut. Syarikat ini memiliki beberapa akhbar berbahasa Inggeris, juga akhbar-akhbar berbahasa Melayu yang diseliakan seorang ketua pengarang lain.

Tidak lama kemudian, dia kembali menemui pemuda itu.

Katanya: “You owe me one. I did you a favour by recommending that you’ll be the reporter that should cover this event. (Kamu sekarang terhutang budi kepada aku. Aku yang mencadangkan supaya kamu dihantar meliputi acara ini)”

Rasyid cuma diam menganggukkan kepala.  Bukankah Datuk itu telah meminta khidmatnya secara nyata? Kenapa pula si pengarang ini mengaku dia pula yang memberi peluang kepadanya sehingga sanggup mengaku anak muda itu telah terhutang budi kepadanya? Nampak sangat dia memang mahu Rasyid tunduk kepadanya. Tetapi apa hendak dihairankan? Pengarang ini memang mahu semua orang sentiasa menurut perintahnya seolah-olah dialah ‘raja’ meja sukan yang tidak boleh disanggah… 

Apapun, Rasyid pergi ke Peranchis dan berada di sana hampir 10 hari... Tiga hari untuk meliputi acara sukan berkuda lasak jarak jauh yang dihadiri ramai penunggang daripada pelbagai ceruk benua Eropah mahupun dunia, hari-hari lain pula dihabiskan di beberapa ladang kuda di pelbagai lokasi  di negara itu untuk mengenali sukan ini serta baka kuda yang digunakan dengan lebih dekat.Tetapi berapa lamakah dia boleh bertahan bekerja di bawah seorang manusia yang sentiasa mencari jalan untuk mengekang dan meletakkannya di bawah ‘naungan ketiaknya’?  Berapa lama?

Berapa lamakah dia boleh bersabar apabila pengarang ini masih lagi mencari jalan untuk mencari salah-silapnya, kadang-kala memerintah dengan maki-hamun dan mencarut-carut pula di hadapan umum? Sedangkan Rasyid memang tidak suka mendengar orang mencarut apalagi jika dilakukan tanpa selindung. Dan apabila ternyata anak muda itu tetap tidak mahu tunduk kepadanya, dia cuba ‘menghadkan’ hasil karya penulisannya pula dengan mengurangkan ruangan akhbar untuknya atau tidak mahu menggunakan rencana yang dikarangnya langsung. Alasan yang diberikan... Ruangan telah penuh akibat muncul rencana-rencana yang baru disiapkan wartawan lain... Atau rencana Rasyid tidak relevan buat masa itu maka harus disimpan untuk hari berikutnya. Kalau tidak relevan, mengapa pula disuruh membuat sesuatu assignment ataupun tugasan? Kalau untuk hari berikut, kenapa tidak digunakan apabila sampai masanya?

Dari satu segi, bagus juga jika pengarang ini tidak mahu menggunakan hasil-kerjanya. Bolehlah dia berehat memakan gaji buta, duduk bersenang-lenang mendapat lebih RM4,000 sebulan (gaji pokok campur elaun perjalanan campur over-time), duduk di pejabat setakat pura-pura sibuk seperti yang sering dilakukan sesetengah orang. Tetapi itu bukan sifatnya... Sebab utama pemuda itu sanggup berpenat-lelah menjalankan tugas sebegai wartawan sukan tiga tahun kebelakangan, sanggup bekerja dari jam 3 petang hingga 11 malam, selalunya lebih... Mula bekerja sebelum tengahari, selesai selepas tengah malam, bercuti pula sekali seminggu hari Rabu dan sering bekerja ketika cuti umum sehingga rumah-tangganya pun mula bergoncang adalah kerana dia percaya dengan niatnya mahu menggunakan dunia penulisan untuk menerbitkan sebuah negara bertamadun tinggi. Lalu apalagi yang mahu diharapkan jika penulisannya asyik dikekang?


CABARAN YANG SEMAKIN MENINGKAT

Sejak kebelakangan itu Rasyid sering menangis apabila duduk seorang diri. Sudahlah karya penulisannya selalu dikekang, beberapa orang wartawan yang sebangsa dengan pengarang meja sukan pula diberi ruangan berjela-jela. Apakah penulisan anak muda itu tidak cukup bagus lagi? Kalau begitu kenapa ramai orang luar tertunggu-tunggu penulisannya keluar? Malah ada yang merasa pelik kenapa sejak kebelakangan rencana-rencana yang ditulisnya pendek-pendek belaka dan jarang pula muncul. 

Di samping itu terdengar desas-desus mengatakan Rasyid bercita-cita besar untuk menaiki tangga kewartawanan atas motif tertentu lalu sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapainya. Padahal dia pernah menolak tawaran untuk dinaikkan pangkat oleh pengarang sukan sebelum itu malah pernah mengenepikan beberapa tawaran kerja yang lebih lumayan dengan bidang kuasa yang lebih besar. Percayalah… Rasyid tidak pernah mengejar pangkat dan duit. Dia tidak pedulikan semua itu kerana yang penting baginya adalah perjuangan – untuk menerbitkan negara bertamadun tinggi yang diimpikannya sejak berusia 18 tahun. 

Impian itulah yang membakar semangatnya selama ini sehingga dia sanggup melalui berbagai dugaan hidup... Walaupun rumahtangganya menjadi tidak aman kerana jarang meluangkan waktu untuk isteri. Mereka juga sering bertelagah kerana mempunyai pandangan hidup yang berbeza – wanita itu ingin hidup senang dan kaya-raya sedangkan pemuda itu inginkan kehidupan zuhud yang tidak memandang harta-benda. Kalau ada sesuatu yang ingin dikejarnya, ia mungkin pengiktirafan dalam bentuk ruangan pojok peribadi... Diberi sebuah ruangan tetap di dada akhbar yang membolehkannya menyuarakan pandangan serta  idea-idea bernas yang mampu mempengaruhi Parlimen serta hala-tuju pemerintahan negara.

Sebab itu Rasyid menolak apabila isterinya meminta dia bertukar kerja agar  selalu dapat bersama, kerja dengan waktu  ‘normal’ seperti orang lain Malah dia mengaku lebih pentingkan kerjaya daripada keluarga! 

Ah… Mungkin juga ini salah satu sebab mereka sering bergaduh. Wanita ini cukup senang apabila dapat menemani suami menjalankan tugasan di luar lalu dilayan penuh hormat oleh mereka yang mengenalinya. Masalahnya pemuda itu tidak suka isterinya menerima imbuhan yang ditawarkan... Hadiah-hadiah seperti sesi menunggang kuda percuma malah keahlian kelab ekslusif tanpa bayaran kerana tidak mahu terikat, tidak mahu ‘dibeli’ pihak berkepentingan sedangkan rata-rata wanita mahukan semua ini.

Isterinya juga suka membuat telahan yang bukan-bukan dengan menuduh Rasyid keluar dengan perempuan lain kerana sering balik lewat malam. Masyaallah! Pemuda ini tidak pernah lagi keluar dengan mana-mana wanita lain sejak bertekad untuk mengahwini isterinya itu! Dia penat-penat bekerja sehingga sanggup mengharungi berbagai fitnah putar alam yang ingin menjatuhkannya tetapi ini pula pandangan si isteri terhadap sang suami? Diakui, memang Rasyid banyak terjumpa perempuan yang menarik lagi menawan di tempat kerja juga di luar. Tetapi percayalah, anak muda tidak pernah menjalinkan apa-apa perhubungan dengan mereka kecuali hubungan persahabatan itupun disebabkan kerja...

Ah… Mungkin juga dia cemburu kerana tahu bagaimana intimnya Rasyid dengan Nur dahulu. Tetapi seperti yang telah dijanjikan sejak bernikah dengan isterinya, pemuda itu tidak pernah berhubung langsung dengan wanita manis itu. Sungguh... Pada Rasyid, yang ada dalam hidupnya sejak itu cuma isterinya seorang... Tiada lagi wanita lain walaupun si Nur...

Tidak cukup dengan pelbagai masalah serta halangan yang dihadapi,  ada pula pihak mewar-warkan cerita mengatakan tujuan sebenar Rasyid menjadi seorang wartawan adalah untuk bergaul dengan para VIP, orang besar-besar, para Datuk, Tan Sri dan kerabat diraja, pendekkata untuk social climbing,  meningkatkan taraf sosial hidup... Padahal dia memang sudah lama mengenali orang-orang sebegini kerana ramai ahli keluarga dan saudara-maranya tergolong di dalam golongan elit... Belum dikira kawan-kawan yang dikenali di sekolah, kolej dan universiti yang ramai sekarang berpangkat tinggi dan memang pun berasal daripada keluarga yang berada.

Entah kenapa, keadaan semakin kalut kebelakangan itu sehingga seorang wartawan senior yang jauh lebih tua pernah berkata di hadapan beberapa orang kenalan: “Ah! Dia (Rasyid) cuma mahu berkawan dengan orang berpangkat dan kaya-raya sahaja.” Seolah-olah pemuda itu terhegeh-hegeh sangat mahu bercampur dengan golongan atasan.

Rasyid kesal kenapa pakcik ini yang sering ditemui dalam acara sukan berkuda boleh berkata begitu. Sedangkan dia tidak memilih kawan, dengan orang gila di tepi jalan pun boleh diajak berbual.  Hmm... Mungkin juga ada pihak yang mempengaruhinya, pihak yang marah kepada anak muda itu kerana dia pernah mendedahkan salah-laku mereka di dada akhbar?


APABILA KEKECEWAAN TIDAK DAPAT LAGI DIBENDUNG

Selepas beberapa bulan hasil kerjanya asyik ‘dipendekkan’ atau ‘dibungkus’  dalam almari kewartawanan, selepas lama menanggung kepedihan dalam senyap, Rasyid akhirnya ‘meletup’. Pada satu hari, dalam perjalanan kembali ke pejabat setelah selesai melaksanakan satu tugasan, entah kenapa motosikal berkuasa tinggi kesayangannya telah meragam, mungkin kerana sudah lama tidak diservice. Dia berhenti di tepi jalan lalu mengeluarkan peralatan daripada bawah tempat duduk belakang... Kemudian membuka kedua-kedua spark-plug enjin motor yang kelihatan berminyak, nampaknya kerana pembakaran tidak sempurna.

Setelah hampir setengah jam ‘bermain-main’ dengan bahagian pencucuh untuk membersihkan minyak di samping mengikis jelaga yang menghitam di sekeliling juga mengubah gap iaitu jarak lekang antara hujung pencucuh dengan bahagian hadapan, setelah puas memasang balik spark-plug kemudian membukanya kembali beberapa kali, barulah motosikal itu dapat dihidupkan dan berjalan. Rasyid pun sampai lewat ke pejabat sedangkan pengarang meja sukan pula memang mahu mencari salah-silap...

Masuk sahaja ke pejabat, terus  sang pengarang menyinga lalu menengking: “Hey you, f… you, where have you been? What time is this? You think this is your father’s office huh? F… you, you always give trouble (Hoi… ke mana kamu pergi? Pukul berapa ini. Ingat ini pejabat bapa kamukah?... Kamu selalu memberi masalah).” Hamba Allah ini meneruskan maki-hamunnya tanpa segan-silu. Suaranya menengking boleh didengar hampir separuh pejabat... Siap dengan gaya seperti seorang gangster, gaya samseng hendak memukul orang.

Selalunya Rasyid boleh bersabar dan buat tak endah apabila pengarang ini mempamirkan ‘keluasan’ kosakatanya yang meliputi perkataan-perkataan maki-hamun berwarna-warni pelbagai ragam terutama apa yang dikenali sebagai the f-word, perkataan mencarut dalam bahasa Inggeris yang bermula dengan huruf ‘F’... Tetapi kali ini pemuda itu betul-betul penat, sudah banyak sangat bersabar lebih-lebih lagi setelah hampir setengah-jam berhempas-pulas cuba menghidupkan motosikalnya yang meragam.

Rasyid bercekak pinggang lalu menengkingnya balik. Tidak ingatlah apa yang dikatakan dalam suasana tegang itu. Yang pasti,dia tidak suka mencarut. Cuma caranya mengingatkan supaya jangan cuba bermain api mungkin terlebih garang... Sedar tidak sedar, dia telah meninggikan suara sehingga seluruh pejabat boleh mendengar. Matanya pula merah menyala menyebabkan pengarang itu terus terduduk diam tergamam.

Selepas itu lama juga mereka tidak bertegur-sapa. Hari demi hari, Rasyid masuk ke pejabat tanpa mempedulikan pengarang, setakat mengawasi apakah acara sukan yang sedang berlangsung tanpa mengemukakan apa-apa laporan mahupun rencana sedangkan orang ini pula tidak berani lagi hendak menegurnya. Pada pemuda itu, apa gunanya dia penat-penat menulis jika manusia ini tidak mahu menggunakan hasil-kerjanya? Apa gunanya berbuat baik lagi dengan orang yang tidak ikhlas, manusia yang cuma mahu menonjolkan diri sebagai orang yang berkuasa?

Akhirnya, setelah lebih seminggu keadaan berlanjutan begini, ketua pengarang yang bertanggungjawab ke atas setiap akhbar berbahasa Inggeris memanggil mereka masuk ke pejabatnya. Dia pun mendamaikan mereka lebih-lebih lagi kerana Sukan SEA 2001 akan dilangsungkan di Kuala Lumpur tidak lama lagi. Kata ketua pengarang yang meminati Liga Bolasepak Inggeris itu, mereka semua adalah sepasukan... Ibarat pemain bolasepak, jurulatih dan pengurus pasukan. Tidak boleh bertelagah sesama sendiri sehingga merosakkan permainan keseluruhan. Rasyid  menghulurkan tangan sebagai tanda perdamaian. Pengarang meja sukan mulanya teragak-agak tetapi menyambutnya  setelah dijeling ketua pengarang.


MIMPI YANG MEMPENGARUHI HALA TUJU

Setelah tamat Sukan SEA 2001 yang dilangsungkan di Kompleks Sukan Bukit Jalil, pemuda itu mula terasa hilang semangat untuk bekerja. Ketika itu, dia sudah mengalami sebuah mimpi pelik yang mempunyai kaitan dengan keSultanan Perak, mimpi penuh makna yang akhirnya akan mendorong anak muda ini mengembara jauh menziarahi makam-makam lama raja-raja dan para wali sehingga dia pergi “Berpetualang ke Aceh” demi mencari jawaban kepada segala persoalan yang melanda jiwa selama ini.

Oh… Baru teringat. Mimpi itu berlaku lebih sebulan sebelum bermula acara sukan empat tahun sekali antara negara-negara Asean itu yang menyaksikan Malaysia muncul pemenang keseluruhan dengan, kalau tidak salah ingatan, 111 pingat emas. Tidak lama kemudian, berlaku pula peristiwa September 11 yang menyaksikan bangunan pencakar langit berkembar World Trade Centre di New York setinggi 411 meter runtuh menyembah bumi dilanggar dua buah kapalterbang penumpang.  Hmm... Banyak pula nombor 11... Seolah-olah kesemuanya ada kaitan dan makna yang tersirat...

Hah… Betullah itu…. Rasyid masih ingat perasaan yang timbul ketika melihat peristiwa itu berlaku di kaca televisyen sewaktu sedang bertugas di pejabat suatu malam. Entah kenapa, dia merasakan apa yang berlaku semuanya dirancang dan didalangi puak Yahudi Zionis dan keruntuhan itu menandakan akan bermulanya Perang Dunia Ketiga tidak lama lagi!

Hari-hari berikutnya dilalui dalam keadaan resah dan gelisah, tidak senang duduk kerana pemuda itu juga dapat merasakan peristiwa September 11 itu mempunyai kaitan yang tersirat dengan mimpi pelik yang dialaminya sebulan sebelum itu. Setelah tidak tahan lagi resah gelisah,  dia pun mengambil cuti seminggu untuk bertemu Nenek yang sudah tiga tahun tidak diziarahinya. Sejurus selepas itu anak muda ini keluar berkelana mengelilingi Perak untuk menziarahi beberapa makam-makam lama. Kemudian, barulah Rasyid kembali bekerja dan beberapa hari selepas itu barulah dia bergaduh besar dengan pengarang meja sukan.

Ya… Baru dia teringat… Dalam tempoh itu juga, bekas ahli politik yang pernah menyatakan dirinya sebagai the best Prime Minister Malaysia never had telah berjaya menaiki takhta tertinggi dunia kewartawanan tanah-air dengan menjadi pengarang tertinggi yang menguasai semua akhbar di syarikat tempat pemuda itu bekerja. Maka setelah lebih setahun duduk di belakang tabir sebagai seorang pengarah syarikat tetapi tidak mempunyai kuasa untuk menentukan hala-tuju sebenar penulisan akhbar, ‘Nuruddin moden’ ini terus menggunakan kedudukannya untuk meraih kuasa mutlak... Dengan menamatkan perkhidmatan empat orang penasihat akhbar yang terdiri daripada empat nama besar dunia kewartawanan.

Rasyid pula semakin hari semakin hilang semangat untuk bekerja. Kalau boleh dia ingin terus berkhidmat dengan akhbar berbahasa Inggeris itu lebih-lebih lagi kerana pemuda ini membesar dengan membaca akhbar tersebut dan pernah ‘menetap’ di kawasan letak kereta di tingkat enam pejabat selama hampir dua tahun... Tetapi semangatnya semakin lesu melihat perkembangan politik pejabat. Apakah dia harus mengalah dan keluar daripada pekerjaan ini atau ada jalan lain yang boleh difikirkan?

Sejak kebelakangan itu, anak muda yang mula berjinak kembali dengan tikar sembahyang ini selalu meminta petunjuk Ilahi. Perlukah dia meneruskan perjuangan untuk menerbitkan negara bertamadun tinggi melalui  akhbar itu sedangkan banyak halangan  mengekang penulisannya. Atau tiada lagi pilihan, sudah sampai masa untuknya beralih arah...

Beberapa hari selepas Sukan SEA 2001 tamat, Rasyid telah diberi tugasan baru meliputi sebuah acara sukan olahraga untuk orang cacat dan kurang upaya peringkat antarabangsa yang dijadualkan akan berlangsung dua minggu kemudian. Dia diarahkan untuk mencari berita berkaitan hari demi hari untuk mempromosikan sukan itu ke khalayak ramai... Lalu terjumpa beberapa individu yang nampaknya mahu menggunakan persatuan golongan kurang upaya untuk kepentingan diri sendiri.

Tersebutlah kisah seorang hamba Allah mengemukakan carta kira-kira belanjawan penganjuran sukan untuk diajukan kepada pihak berkuasa. Katanya, mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan pembiayaan lalu meminta Rasyid menonjolkan perkara ini. Pada pemuda itu, memang patut perkara itu ditonjolkan supaya pihak penaja muncul ke hadapan... Tetapi apabila melihat jumlah yang tertera, fikirannya terus berubah.

“Kenapa sampai berjuta-juta Ringgit ini?” bisik hatinya. “Apakah perlu berbuat begini untuk menonjolkan sukan orang kurang upaya?

Rasyid melihat pula rancangan untuk mendapatkan kerjasama pihak tertentu agar mewajibkan golongan pelajar menghadiri sukan itu di samping menarik semua media utama untuk membuat liputan.

“Ah… Ini nampak seperti percubaan mendapatkan publisiti murahan di samping menonjolkan individu tertentu sebagai pejuang orang kurang upaya. Ini kerja orang yang suka main politik ni... ” bisik hatinya lagi

Pemuda ini memandang dinding pejabat orang itu. Terdapat beberapa keping gambar menunjukkannya sedang bergaul mesra dengan orang-orang ternama. Rasyid sudah biasa berjumpa dengan manusia-manusia rakus yang ingin meraih publisiti akhbar demi mendapatkan political mileage, imej yang akan menolong mereka menaiki tangga politik... Orang sebegini sering menggunakan akhbar untuk mendapatkan penaja kemudian membazirkan duit yang diterima atas nama kos penyelenggaraan...

Rasyid  mula bertanyakan beberapa soalan... Bermula dengan menyatakan belanjawan yang dikemukakan tidak setimpal dengan apa ingin dicapai. Orang itu mula kelihatan gelisah apabila soalan-soalan itu menjurus ke arah mendedahkan pembaziran serta kepentingan individu tertentu. Tiba-tiba pemuda ini terasa tekaknya seperti ada benda berbulu, susah hendak bercakap kerana ada sesuatu yang menghalang… Hatinya terus berkata orang ini telah menggunakan ilmu ghaib untuk mengunci mulutnya. Nasib baik anak muda ini mampu membuka ‘kunci’ itu!

Sejak itu, Rasyid jadi bosan melihat orang-orang tidak jujur yang suka bersembunyi di sebalik dakwaan niat murni memperjuangkan nasib masyarakat. Keadaan di pejabat pula tidak banyak menolong sementara masalah rumahtangganya semakin meruncing.  Makin hari pemuda ini terasa dirinya kosong, jiwanya melayang-layang ke tempat lain lalu dia mula mengabaikan tugas. Pernah beberapa kali, Rasyid sampai ke kawasan pejabat tetapi sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam, dia terus berubah fikiran lalu keluar untuk minum teh atau kembali ke rumah untuk tidur.


DIPECAT 24 JAM

Pada suatu hari, pengarang meja sukan telah memberi surat tunjuk sebab memintanya menjawab kenapa dia tidak menghadirkan diri untuk bertugas beberapa hari kebelakangan. Pemuda yang sudah lama memendam perasaan atas  apa yang berlaku di pejabat itu tidak menjawab malah terus bergegas keluar. Padanya tidak ada guna lagi bercakap dengan manusia yang sejak daripada awal memang ingin menjatuhkannya. Apakah orang ini jujur hendak menyelesaikan masalahnya? Rasanya tidak… Maka dia tidak menjawab surat itu malah mengarang sebuah surat baru pula meminta agar ditukarkan ke bahagian lain. Surat itu dibuat dalam tiga salinan, satu untuk pihak pengurusan, satu untuk pengarang meja bahagian tersebut dan satu  untuk ketua pengarang akhbar-akbar berbahasa Inggeris.

Apabila sampai masanya sukan orang kurang upaya antarabangsa yang patut diliputinya dianjurkan, Rasyid sudah amat letih kerana bebanan jiwa yang ditanggungnya selama itu. Dengan tidak disengajakan, dia telah tertidur sehingga malam, terlupa langsung untuk membuat liputan. Apabila tersedar, anak muda ini terus mandi dan bersiap lalu bergegas ke pejabat. Pengarang meja sukan tidak pula menegur malah tersenyum panjang...

Setengah jam kemudian hamba Allah ini mengajaknya masuk ke bilik mesyuarat lalu memberikannya sekeping surat syarikat.

Have a close look at it (Lihat betul-betul)” katanya.

Rasyid membuka surat itu. Masyaallah! Inilah jawaban kepada pertanyaannya setiap kali bersolat - Perlukah lagi bertahan di akhbar ini atau harus bertukar arah? Inilah balasan bagi segala pengorbanan tenaga dan masa yang pernah diberikan  lima tahun bekerja di akhbar berbahasa Inggeris itu, tiga tahun daripadanya di meja sukan di mana dia cuma dapat bercuti seminggu sekali sahaja, selalu kembali ke rumah larut malam sehingga dirinya menjadi sakit dan menghadapi masalah rumahtangga. Maksud isi surat itu ringkas: Kamu dipecat dalam tempoh 24 jam!

Rasyid kembali ke rumah dalam keadaan bingung…Apakah yang sebenarnya sudah terjadi? Sepanjang pengetahuannya dan begitu juga kata rakan-rakan, tiada seorang pun wartawan pernah dipecat dari syarikat akhbar itu walau sebesar mana pun kesalahan. Selalunya wartawan yang bermasalah cuma akan ditukarkan ke pejabat-pejabat ‘hulu’  di mana mereka susah untuk mendapatkan berita yang layak mengisi dada akhbar. Hukuman ‘membodohkan diri’ sebegini sudah cukup perit bagi para wartawan yang nikmat hidupnya bergantung kepada pencarian berita...

Apa pula yang terjadi kepada surat-suratnya memohon untuk ditukarkan  ke bahagian lain? Bukankah anak muda ini pernah menyatakan hasrat bertukar meja lalu menyampaikan surat kepada setiap pihak yang terlibat? Sudahlah… Rasyid sudah cukup pening memikirkan ini semua. Lalu dia menghabiskan hari-hari berikutnya termenung dan terlebih tidur.

Keadaan ini disedari isterinya lalu bertanya kenapa pemuda ini tidak pergi keluar bekerja. Dia pun berterus-terang: “Abang kena buang kerja!”

“Hah!” isterinya terperanjat. “Apa sudah jadi?”

Rasyid menceritakan masalahnya di pejabat... Baru kali ini dia mahu bercerita panjang lebar... Tentang bagaimana hasil penulisannya semakin susah mendapat tempat... Tentang  permainan politik orang-orang tertentu sehingga dia terasa semakin tawar-hati hendak meneruskan tugas.

Tahu apa jawaban wanita itu? “Padan Muka!” dengan penuh ‘simpati’...“Itulah abang degil sangat hendak juga bergaduh dengan orang. Lain kali kalau perlu cium bontot, ciumlah! Sekarang siapa yang susah?”

Mendengarkan itu, Rasyid terasa hendak menangis sahaja tetapi rasanya tiada  air mata lagi mampu dititiskan. Beberapa bulan kebelakangan dia sudah cukup banyak menangis seorang diri memikirkan halangan yang dihadapi... Isterinya pula tidak boleh diharap untuk memberikan simpati. Pemecatan ini berlaku beberapa hari sebelum masuk bulan Ramadhan. Bagaimana hendak menghadapi keluarga? Bagaimana mahu berhari-raya?

Dalam keadaan yang terasa begitu terdesak, mahu sahaja anak muda ini menghubungi Nur kerana gadis manis ini sentiasa sedia mendengar masalah Rasyid lalu menghiburkannya. Tetapi dia tetap berpegang kepada janji semasa berkahwin dengan isterinya iaitu tidak akan berhubung lagi dengan satu-satunya gadis yang selama ini sedia memahaminya. Pemuda ini setakat mampu termenung panjang merenung jauh entah ke mana, tergamam langsung tidak tahu apakah yang patut dilakukan seterusnya.


DALANG BESAR DI SEBALIK PEMECATAN

Dua minggu selepas dipecat, baru  Rasyid tergerak untuk merayu agar diberikan peluang kedua. Pemuda itu terus menuju ke pejabat pengarang tertinggi yang menguasai semua akhbar di bawah naungan syarikat, baik akhbar berbahasa Inggeris mahupun berbahasa Melayu, bekas ahli politik yang pernah menganggap dirinya sebagai the best Prime Minister Malaysia never had, Perdana Menteri terbaik yang tidak pernah dimiliki Malaysia.

Setiausahanya, seorang wanita cantik menahan. “Tan Sri sedang tidur di dalam. Dia berpesan tidak mahu diganggu,” katanya.

Entah betul entah tidak pengarang tertinggi sedang tidur. Rasyid menunggu di sofa. Sampai 20 minit melangut di luar, pemuda itu hilang kesabaran lalu meluru masuk ke pejabat tanpa dapat ditahan...

Kebetulan , bekas ahli politik itu sudah ‘bangkit daripada tidur’.

“Tak mengapa,” katanya kepada wanita itu. “Biarkan kami berdua.”

Sejurus selepas setiausaha itu keluar, hamba Allah ini terus berkata sebelum sempat ditanya: “I don’t know what happened, I was not responsible (Saya tidak tahu apa yang berlaku, saya tidak bertanggungjawab)”

How can this be Tan Sri? (bagaimana ini boleh terjadi Tan Sri)” baru pemuda itu bertanya. Padahal dia tidak pernah menyatakan pun tentang pemecatannya. Nampaknya pengarang tertinggi sudah tahu apa yang ingin diluahkan... Apakah betul dia tidak terlibat dalam apa yang berlaku?

I really don’t know (Saya betul-betul tidak tahu)”, katanya lagi. “This is beyond my power (Ini adalah di luar bidang kuasa saya).

But Tan Sri, whatever happened, please give me a second chance. You know I am a good worker. I know you have the power (Tetapi Tan Sri, walau apapun yang telah terjadi, berilah saya peluang kedua. Kamu tahu saya pekerja yang baik. Saya tahu kamu ada kuasa),” pemuda itu cuba merayu lagi...

I’m sorry. Maybe if you came earlier I could have done something (Minta maaf. Mungkin jika kamu datang lebih awal, saya boleh berbuat sesuatu,” itu sahaja jawabannya. Rasyid tidak berpuas-hati lalu terus berdiri menunggu...

Tiba-tiba hamba Allah ini memandang muka anak muda itu dengan mata menjegil garang seolah-olah cuba menundukkannya. Rasyid pula terkial-kial hairan. Kenapa pengarang tertinggi yang sebelum ini boleh tahan ramah dan mesra dengannya boleh memandang begitu? Seketika itu juga orang yang umurnya sekitar 60 tahun ini berpaling muka lalu tertunduk tidak berani bertentang mata lagi. Nampaknya dia terlihat sesuatu di sebalik mata Rasyid yang membuatkan timbul rasa takut dalam dirinya pula...

The best Prime Minister Malaysia never had meminta diri lalu bergegas meninggalkannya. Menyedari orang ini tidak sudi mendengar rayuannya lagi, Rasyid meluru ke Tingkat Empat mencari ketua pengarang akhbar-akhbar berbahasa Inggeris, orang kedua paling berkuasa dalam organisasi persuratan syarikat ini. Jawaban yang diberikan tidak banyak beza tetapi ia memberi sedikit petunjuk akan siapakah yang bertanggungjawab... Katanya: “I can’t do much because Tan Sri makes the decision. (Saya tidak boleh bertindak lebih-lebih kerana Tan Sri yang mebuat keputusan).” Ertinya memang pemegang jawatan kewartawanan tertinggi di Malaysia itu mempunyai kuasa untuk mengambil-balik Rasyid bekerja... Soalnya, mahukah dia atau sejak awal lagi dia memang  berniat untuk memecatnya?

Persoalan ini terjawab apabila pemuda itu menemui ketua tertinggi  bahagian sumber manusia untuk meminta sokongan supaya diberikan peluang kedua. Katanya seraya berbisik: “Biar saya berterus-terang… Tan Srilah yang mengarahkan supaya kamu dipecat 24 jam. Maka itu saya, malah sesiapa pun tidak ada kuasa untuk menolong kecuali dia dapat dipujuk.”

Tidak lama kemudian, seorang ketua pengawal keselamatan syarikat berbangsa India muncul lalu berkata: “Saya dapat panggilan supaya membawa keluar seorang pengacau yang baru masuk ke pejabat ini…”

“Eh.. kamukah?” dia bertanya kehairanan apabila melihat muka Rasyid yang dikenali ramai orang di syarikat itu. Serta-merta ketua pengawal itu  berpaling menghadap ketua bahagian sumber manusia lalu berkata: “Saya kenal orang ini. Ini orang baik-baik, bukannya orang jahat!”


DIHARAMKAN DARIPADA MENJEJAKKAN KAKI DI PEJABAT

Rasyid faham apa yang sedang berlaku...  “Tak mengapalah, biar saya keluar sendiri. Tiada apa yang boleh diharapkan lagi di sini,” dia mengalah lalu keluar secara ‘terhormat diiringi ketua pengawal. Sebulan kemudian, baru pemuda itu datang lagi ke pejabat, kali ini tanpa harapan untuk diterima bekerja lagi tetapi dengan niat untuk menjadi outside contributer, penyumbang rencana dari luar tanpa apa-apa ikatan dengan syarikat.

Dia telah berjumpa beberapa orang pengarang meja-meja tertentu lalu berjaya mendapatkan persetujuan lisan untuk mereka menerima rencana-rencana yang bakal ditulis dengan bayaran yang setimpal. Malangnya sebaik sahaja keluar dari kawasan syarikat, pengawal yang bertugas telah menegur: “Minta maaf saudara. Saya kenal saudara dan tahu saudara orang baik. Tetapi kami sudah diarahkan oleh pihak atasan supaya tidak membenarkan saudara memasuki lagi kawasan syarikat ini mulai hari ini.”

Tiga hari selepas hari-raya Aidilfitri, Rasyid  terserempak seorang rakan lama yang pernah menjadi penasihat undang-undang syarikat tersebut. Dalam bertukar-tukar cerita, terkeluarlah kisahnya dipecat ‘Nuruddin moden’ yang mahu mencengkam institusi kewartawanan negara... Rakan yang dikenali lebih 20 tahun lalu ini sudah lebih dua tahun menubuhkan syarikat guaman sendiri. Lalu dia menawarkan untuk membawa kes itu ke mahkamah industri secara percuma. Menurutnya, walau apapun salah Rasyid, syarikat itu tidak mempunyai hak untuk memecatnya 24 jam.

“Ini menyalahi prosedur,” dia memberitahu. “Dari segi ini sahaja kita dijamin boleh menang. Berdasarkan kedudukan dan jawatan terakhir, kamu layak menerima ganti rugi sekurang-kurangnya RM60,000!”

Pemuda itu tersenyum sahaja. “Tak mengapalah,” dia menjawab. “Aku sudah letih dengan semua ini, letih dengan permainan politik pejabat. Aku cuma mahukan ketenangan jiwa, bukan kisah sangat pasal duit…”

Memang anak muda itu tidak kisah duit. Gaji sebulan sebelum dipecat belum diterima dan dia juga masih layak untuk menerima bonus wajib dua bulan yang akan dikira secara pro rata. Malah dia kerugian sekitar RM7,000 untuk kerja over-time tiga bulan kebelakangan kerana tidak mengisi borang sejak prosedur baru yang memerlukan ketua jabatan mendatangani setiap tuntutan pada hari over-time itu berlaku diperkenalkan berbanding sebulan sekali sebelum itu. Walaupun prosedur ini elok untuk membasmi tuntutan palsu, ia memberi ruang untuk pengarang meja sukan yang suka mencari salah-silap anak muda itu mengugutnya setiap waktu...

“Betul kamu tidak kisah duit,” kata rakan itu. “Tapi ini bukan soal duit semata, ia juga soal maruah. Maruah kamu telah tercemar kerana semua orang menyangkakan kamu banyak berbuat salah sehingga  dipecat 24 jam. Kamu perlu berbuat sesuatu untuk mengembalikan nama baik kamu.”

Setelah beberapa ketika, rakan tersebut meminta diri. “Hubungi aku bila kamu sudah bersedia. Kitakan kawan lama?” dia mengulangi tawaran...

Anak muda ini melihat kawannya pergi. Begitu bersemangat peguam muda itu hendak menolong tetapi Rasyid sudah lama membuat keputusan sendiri. Tuhan kan ada? Orang lain hendak kata apapun, katalah... Aku tahu apa yang sebenarnya berlaku dan Tuhan pun tahu. Cukup Allah bagi aku… Hasbunallah wa nikmal wakil, wa nikmal maula, wa nikmal nasir.


-------------------


Mungkin ada yang mempersoalkan, saya yang meninggalkan kerjaya ke atau kerjaya yang meninggalkan saya? Bukankah telah dipecat 24 jam? Kalau tidak dipecat sanggupkah meninggalkan kerjaya yang sudah cukup selesa? Jawaban sebenar persoalan ini sebenarnya ada pada perenggan yang menceritakan keadaan ketika menerima surat pecat....


Rasyid membuka surat itu. Masyaallah! Inilah jawaban kepada pertanyaannya setiap kali bersolat - Perlukah lagi bertahan di akhbar ini atau harus bertukar arah? Inilah balasan bagi segala pengorbanan tenaga dan masa yang pernah diberikan  lima tahun bekerja di akhbar berbahasa Inggeris itu, tiga tahun daripadanya di meja sukan di mana dia cuma dapat bercuti seminggu sekali sahaja, selalu kembali ke rumah larut malam sehingga dirinya menjadi sakit dan menghadapi masalah rumahtangga. Maksud isi surat itu ringkas: Kamu dipecat dalam tempoh 24 jam!

Ya. Saya sudah lama memikirkan untuk meninggalkan kerjaya disebabkan rasa tidak tahan hasil penulisan asyik disekat. Tetapi teringat juga sebab sebenar menjadi wartawan iaitu mahu mengangkat ketamadunan tinggi di Malaysia lalu tidak mahu mengalah. Terjebak antara dua keadaan saya pun menurut sahaja apa yang berlaku. Kalau benar harus meninggalkan kerja maka biarlah ia berlaku tanpa dipinta. 

Turut disebut dalam cerita bagaimana seorang pelumba kuda jarak jauh bertaraf dunia telah menghantar faks untuk meminta menaja saya ke Perancis. Butiran boleh dibaca melalui artikel Kompilasi cerita kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000.  Disebut juga tentang mengambil cuti seminggu untuk berjumpa Nenek kemudian menziarahi makam-makam lama. Butirannya ada melalui artikel Kompilasi cerita kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001.

Sebagai mengakhiri artikel ini biar dinyatakan satu ralat. Adapun cerita menyebut bahawa beberapa hari selepas Sukan SEA 2001 tamat saya  diberi tugasan baru untuk meliputi satu acara sukan olahraga untuk orang cacat dan kurang upaya peringkat antarabangsa. Ini tidak tepat. Selepas Sukan SEA saya mengambil cuti seminggu untuk berjumpa Nenek. Tugasan untuk meliputi acara orang cacat harus berlaku beberapa hari selepas itu. Cukup.