Jumaat, April 09, 2021

Kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003 - Hamba Allah pelik di Masjid India

Salam pagi Jumaat 26 Sya'aban. Setelah dikongsikan beberapa cerita perjalanan semasa zaman bertugas sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times tahun 1996-2001 sampailah masanya untuk berkongsi cerita-cerita daripada fasa kehidupan seterusnya. Ini boleh dipanggil sebagai fasa pencarian serius yang mana saya semakin rajin keluar mengembara seorang diri termasuk menziarahi makam-makam lama. Pun begitu, atas tujuan mahu mengisi senarai 50 perjalanan terjauh dan 11 istimewa saya hendak melompat terus ke satu masa pada tahun 2003 lalu mengabaikan sejumlah perjalanan yang dilakukan daripada penghujung 2001 sehingga membawa ke tempoh tersebut. Sebagai 'jambatan' biar disuakan sedutan berkenaan daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006. Sedutan ini ada dikongsikan dalam artikel Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Petunjuk daripada Nenek 3 hari lalu.


Sayangnya, perbualan dengan Nenek itu adalah perbualan dengan Rasyid yang terakhir. Tidak sampai tiga bulan kemudian, Nenek jatuh sakit, tidak mampu berkata-kata, setakat boleh memberi isyarat dengan tangan dan mata... Lima bulan selepas itu, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, dalam pangkuan Rasyid ketika sedang dibawa kembali ke rumah dari hospital dengan ambulans.  Innalillaha innalihiraji’un.  Al Fatihah untuk Nenek. Semoga Allah SWT sentiasa mencucuri rahmat ke atas rohnya. (Ampun Nek, selama ini Rasyid tidak ambil tahu banyak perkara...)

Pemergian Nenek meninggalkan rasa  terkilan yang amat sangat.  Masih banyak persoalan yang belum terjawab dan Neneklah ahli keluarga yang sebenarnya paling memahami apa yang sedang pemuda ini alami. Saudara-mara lain masih lagi teraba-raba menduga apakah yang sebenarnya ingin dicari pemuda ini... Sudahlah  ini berlaku selepas lebih enam bulan dia tidak bekerja, dipaksa berhenti atas sebab-sebab tertentu. Ramai pula termasuk isteri sendiri  menganggapnya sudah hilang akal ataupun  gila,  sibuk merantau ke sana ke mari melawat makam-makam purba mencari cerita-cerita lama sehingga sanggup meninggalkan segala-galanya...

Tahun 2002 adalah satu tempoh yang amat mencengkam jiwa. Tiga bulan selepas Nenek pergi, adik lelaki bongsu Rasyid pula maut akibat kemalangan jalan raya. Ini berlaku sehari selepas isteri  pemuda itu melahirkan anak pertama mereka. Tidak cukup itu, seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri, ibu kepada bondanya, orang yang dipanggil “Mak” kerana menjaga dan membesarkannya sejak kecil turut serta menyambut panggilan Ilahi. 

Ketika itu, anak muda yang  mula kelihatan seperti orang sasau dengan penampilan tidak terurus akibat terlalu taksub mengembara mencari jawaban di samping  memendam rasa sedih yang mencengkam jiwa akibat musibah yang kunjung tidak putus baru setakat tahu bahawa Keramat Kuala Bidor itu mempunyai kaitan dengan Sultan Malikus Salih yang mengasaskan  kerajaan Samudera Pasai abad ke 13 Masihi. Tetapi hamba Allah ini bukan berasal dari kerajaan tersebut. Kerana beliau hidup hampir 1,000 tahun lalu! Masih belum terjawab  persoalan yang Nenek kemukakan dahulu...

Awal tahun 2003, selepas lebih setahun mencari dan mengembara  lagi, barulah dia faham maksud Nenek. Mengapa beliau menyebut Keramat Kuala Bidor berasal dari keturunan orang baik-baik, dan siapakah orang baik-baik yang dimaksudkan... Rasyid juga dapat tahu hamba Allah ini berasal daripada sebuah keSultanan purba yang telah wujud 400 tahun lebih dahulu daripada Samudera Pasai dan 600 tahun sebelum Melaka iaitu Perlak.  Pencarian ini telah memperkenalkannya kepada sejarah keSultanan Perlak yang diasaskan tahun 840 Masihi. Lalu terbukalah kaitannya dengan perjuangan  Samudera Pasai  untuk menegakkan syiar Islam di bumi Timur, perjuangan yang akan diwarisi Melaka seterusnya Aceh nanti.


Sekarang baru boleh masuk pada cerita yang hendak dikongsikan. Mukadimahnya berlaku di Masjid India, Kuala Lumpur, satu masjid yang biasa dikerumuni orang tabligh di tengah pusat bandar raya...



Masjid India di Kuala Lumpur. Seingat saya dahulu ia berwarna putih. Di hadapannya ada tembok pagar batu putih memanjang dengan bahagian seperti bangku batu memanjang sama dengan tembok. Di situ orang selalu melepak selepas solat atau menunggu waktu solat...



Dalam buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" yang terbit Mei 2007 ada dikongsikan panjang lebar cerita tentang Tok Kenali. Almarhum adalah wali besar negeri Kelantan awal abad ke-20. Cerita dalam bab bertajuk "Munawar ke Mughayat : Kemunculan Aceh sebagai kuasa besar" itu menghuraikan bagaimana saya boleh pertama kali terpanggil untuk ke makam almarhum di Kota Bahru. Mukadimahnya adalah pertemuan dengan seorang hamba Allah pelik di Masjid India. Biar disalin cerita...


------------


Salah-satu aktiviti kegemaran Rasyid di Kuala Lumpur pada waktu lapang adalah berjalan santai seorang diri menyusuri Jalan Tuanku Abdul Rahman sambil memerhatikan ragam manusia sepanjang jalan. Ada masanya, dia suka bersiar-siar di sekitar Kompleks Pertama dan Sogo sebelum memasuki kedai buku berdekatan, ada masanya pula sekadar duduk melihat orang lalu-lalang di kawasan Masjid India yang sering dikerumuni kaum India Muslim serta para pengikut Tabligh. Di sekitarnya terdapat pelbagai aktiviti perniagaan jalanan termasuk menjual barangan pelik seperti keris lama dan cincin... Anak muda itu juga suka menghabiskan masa membelek-belek barangan yang ditawarkan.

Pada satu hari, ketika sedang duduk berehat di tembok luar masjid, muncul seorang  hamba Allah bertubuh pendek gempal, kulit sawo matang memakai cermin-mata gelap bergaya, berjubah putih berkopiah dan berserban. Lelaki berumur sekitar 50 hingga 60an itu lalu di kawasan tembok yang sering menjadi tempat duduk orang-ramai melepaskan lelah... Entah kenapa, dia membuat gaya seperti mengira-ngira jumlah orang yang duduk sambil menghulurkan jari telunjuknya ke arah mereka satu-persatu. Sampai kepada Rasyid dia tersenyum lalu menegur: “Hah kamu! Mari ikut aku! Belanja aku makan…”

Pemuda itu terasa pelik dan janggal mendengar “perintah” pakcik ini... Manakan tidak, entah siapa, datang daripada mana, tiba-tiba sahaja boleh muncul memberikan arahan tanpa mengenalkan diri... Tetapi dia cuma mengangguk bersetuju lalu bangun menurut langkah orang tua itu! Rasyid percaya mesti ada hikmah di sebalik kejadian ini... Pengalaman bertahun berkelana tanpa rancangan dan arah tujuan yang pasti telah membuktikan ada sesuatu yang akan dipelajarinya nanti. Mereka pun bergerak ke warung berdekatan. Pakcik ini mula memesan segelas teh tarik, anak muda itu pula meminta teh tarik halia.

Ganjil juga penampilan hamba Allah ini. Bayangkan seorang tua berjubah berkopiah dengan pembawakan agak  rugged, kata orang muda ada gaya rock... Dia mula bertanyakan asal-usul Rasyid lalu membuka cerita. Sambil-sambil itu, tangannya mengambil kuih-muih yang tersedia di atas meja sehingga pemuda itu mula membuat kira-kira dalam hati... Maklumlah, dia cuma memiliki kurang RM5 di dalam poket, takut tidak cukup untuk perbelanjaan hari itu nanti. 

Pakcik itu seolah-olah dapat membaca isi hatinya lalu menegur: “Kamu ada cukup duit tak? Kalau tidak biar aku sahaja yang bayar…”

Rasyid terasa malu lalu menjawab: “Tidak mengapalah pakcik! Bukankah saya sudah bersetuju untuk membelanja pakcik? Biar saya yang bayar...”

Orang tua itu tersenyum lalu menyambung cerita. Entah kenapa, anak muda itu terasa ingin mengadu tentang keadaannya yang agak dhaif ketika itu, bagaimana dia sudah lama tidak bekerja sedangkan duit simpanannya sudah susut teruk! Motor besar kesayangan yang sering menemaninya mengembara ke merata ceruk rantau pula sudah lama tidak diservice,  selalu sangat “batuk” dan banyak ragamnya. Ah... Memang keadaannya sangat teruk ketika itu...

Sebaik sahaja selesai makan hamba Allah itupun bangun untuk beredar. Selain memberikan sepotong ayat Al-Quran untuk diamalkan (sudah lupa apakah fadhilatnya), sempat juga dia memujuk dan memberikan tawaran…

 “Jangan risau,” katanya. “Kalau ada masalah, cari sahaja aku…”

Hairan Rasyid mendengar tawarannya. Sudahlah itu kali pertama dia terjumpa orang ini, tidak pernah dilihat di Masjid India atau di mana-mana... Pakcik itu juga tidak meninggalkan alamat rumah atau tempat kerja, nombor telefon atau apa-apa cara untuk berhubung, lalu bagaimana hendak mencarinya. Pemuda itu bingung tetapi setakat sempat bertanya siapakah namanya.

Hamba Allah itu tersenyum lebar lalu menjawab “Muhammad Yusuf!”  kemudian terus pergi. Sepertimana dia sampai, begitu juga dia menghilang... Penuh misteri meninggalkan tanda-tanya siapakah sebenarnya orang tua ini... 

Dua minggu kemudian, Rasyid tergerak untuk menziarahi rumah almarhum Nenek di Raub, Pahang... Setelah hampir setengah tahun tidak bertandang. Selepas beberapa malam berehat di sana, ibu saudara yang menjaga rumah itu pula  harus pergi ke Kuala Terengganu untuk menghadiri kursus. Seorang anak angkatnya bersedia menghantar dengan kereta sampai ke Temerloh. Di sana, barulah ibu saudara ini mengambil bas ekspress ke Kuala Terengganu.

Rasyid tidak mempunyai apa-apa rancangan tetapi ingin berjalan. Dia pun menumpang sama, ikut sahaja ke mana kereta itu pergi... Sampai ke bandar di tepi Sungai Pahang itu, timbul pula keinginan untuk melawat Gua Kota Gelanggi yang terletak di sekitar Jengka. Selepas menaiki bas sampai ke Jerantut, pemuda itu terus memeriksa jadual bas ke sana. Perkhidmatan seterusnya cuma akan bergerak sejam lagi, maka dia pun cuba mengisi masa dengan berjalan-jalan di sekitar pekan. Sedar tak sedar, sampai pula ke stesyen keretapi...

Kebetulan keretapi ke utara pantai timur yang cuma berkhidmat sehari dua kali sampai ke stesyen waktu itu. Serta-merta timbul gerak spontan untuk menaikinya hingga ke Kuala Lipis. Di bandar yang diapit tebing Sungai Jelai serta kuala Sungai Lipis itu pula, anak muda itu tergerak untuk pergi ke masjid lama pekan yang didirikan awal tahun 1888... Letaknya bersebelahan stesyen bas dan mengikut ceritanya masjid ini tidak pernah disentuh banjir walaupun air naik melimpah sampai ke stesyen yang terletak 10 kaki lebih tinggi daripada kawasan masjid. Niat awalnya mahu bermalam di masjid tetapi selepas solat Asar, tergerak pula untuk ke stesyen keretapi melihat jadual perjalanan seterusnya.
 
Kebetulan lagi, keretapi ke utara pantai timur sampai ke stesyen sebaik sahaja Rasyid menjejakkan kaki. Tanpa berfikir panjang, hamba Allah yang suka berjalan “mengikut arah angin” inipun naik sampai ke destinasi terakhir keretapi di Gua Musang, Kelantan. Niat untuk bermalam di masjid lama Kuala Lipis pun bertukar menjadi sesi bermalam di surau KTM (Keretapi Tanah Melayu) tidak jauh daripada stesyen. Muncul pula beberapa orang musafir menumpang sama termasuk sepasang suami isteri dan dua orang lelaki anak jati Kelantan. 

Entah kenapa, mereka mula bercerita tentang bermacam perkara pelik yang pernah berlaku di Kelantan. Terkeluarlah nama Tok Kenali sehingga Rasyid teruja untuk bertanya tentangnya... Barulah dapat tahu makam dan masjid Tok Kenali terletak di Kubang Kerian, Kota Bahru. Keesokan harinya dia terus ke sana. Di makam itulah Rasyid juga mendapat tahu wali Allah yang telah kembali ke Rahmatullah lebih 70 tahun lalu ini bernama Muhammad Yusuf, sama dengan nama orang tua misteri yang ditemui di Masjid India dua minggu lalu! 



Gambar ini diambil daripada artikel Makam (Tomb of) Tok Kenali di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Kelihatan tulisan jawi pada papan maklumat menyebut nama sebenar Tok Kenali sebagai Muhammad Yusuf. Sampai sahaja ke makam teringat satu mimpi yang berlaku entah bila. Kelihatan batu bulat panjang yang menjadi batu nesan almarhum juga batu empat persegi tiga tingkat yang menjadi batu nesan isteri.

Ini adalah sama dengan apa yang dilihat secara nyata di makam Tok Kenali. Namun tidaklah memelikkan lagi bagi saya kerana sudah amat selalu berlaku hal begitu. Ini dipanggil deja vu. Selain mimpi hal ini boleh datang dalam bentuk bayangan yang tiba-tiba muncul dalam kepala atau hati. Setelah beberapa lama sampailah ke suatu tempat lalu apa yang pernah dilihat dalam mimpi atau bayangan itu terzahir di dunia nyata.


Close up  ke papan maklumat. Nama Muhammad Yusuf ditanda dalam kota kuning. Perjalanan yang membawa ke makam almarhum pula boleh dilakarkan dalam peta seperti di bawah. Ketika itu saya duduk menumpang di pejabat bapa angkat, penulis buku politik terkenal Syed Hussein Al-Attas @ S.H. Alattas @ Pak Habib. Ada masanya pula di rumah rehat beliau di Janda Baik, Pahang. Kedua-dua tempat ini menjadi markas untuk melakukan pengembaraan dari tahun 2003 hingga 2005. 


Untuk cerita ini biar lakaran dimulakan dari pejabat Pak Habib dekat pejabat pos Gombak membawa ke Raub kemudian ke Temerloh, Jerantut dan Kuala Lipis. Seterusnya ke Gua Musang membawa ke Wakaf Baru di mana terletaknya stesyen kereta api bagi bandar Kota Bahru. Selepas itu baru ke Kubang Kerian di mana terletaknya makam dan masjid Tok Kenali. Googe Map memberikan jaraknya sebagai 612 km.

Tapi saya ada banyak berjalan kaki di celah-celah itu. Selain itu peta tidak memasukkan jarak rumah Nenek yang ke luar 5 km dari bandar Raub. Oleh itu jarak sebenar yang dilalui harus melebihi 620 km. Ini harus dimasukkan ke dalam kira-kira yang mana perjalanan ini nanti akan membawa pada jarak keseluruhan yang diperkirakan melebihi 1,500 km.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan