Khamis, Mac 18, 2021

Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Wilayah tasik Lake District dan bandar peranginan Blackpool

Salam malam Jumaat. Menyambung proses mempercepatkan perkongsian cerita-cerita perjalanan lama. Pergi kita pada artikel ke-5 dan terakhir perjalanan 28 tahun lalu. Bersambung daripada artikel Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Edinburgh dan puncak Arthur's Seat yang dipersembahkan kurang 15 jam tadi.


Setelah menginap 2 atau 3 malam di Edinburgh saya pun kembali ke Glasgow. Selepas beberapa hari lagi di Glasgow sampai masanya untuk kembali ke tempat saya belajar di London. Namun apakah mahu terus ke sana atau membuat beberapa persinggahan dalam perjalanan kembali itu? Dalam ingat-ingat lupa rasanya pada waktu itulah ada pergi ke suatu wilayah yang dikenali sebagai Lake District...


Ia merujuk pada satu kawasan di England di mana terdapat beberapa tasik besar cantik dikelilingi kehijauan kawasan bukit dan kampung. Letaknya sekitar 200 km ke selatan Glasgow, keluar sedikit dari laluan utama ke London. Sebetulnya saya tidak ingat bilakah ada pergi ke Lake District itu. Yang pasti memang ada tetapi bila? 

Berdasarkan kebiasaan diri menjimatkan belanja selagi boleh mustahil saya ada bergerak lebih 400 km dari London semata-mata untuk ke sana sahaja. Harus disertakan sekali dengan persinggahan ke beberapa tempat yang boleh dikatakan sejalan baru buat kerana berbaloi belanja. Saya pun cuba mengimbas kembali ingatan terhadap beberapa perjalanan lain yang pernah dilakukan di UK. Paling mendekati Lake District adalah perjalanan ke sekitar kota Leeds dan Bradford lebih 100 km ke tenggaranya. Sedangkan persekitaran tasik jauh lebih dekat dengan laluan dari Glasgow ke London.

Semakan dengan Google Map menunjukkan kita boleh berhenti di stesyen Oxenholme yang terletak dalam laluan kereta api dari Glasgow-London. Dan memang pun ia adalah pintu rasmi ke Lake District jika menaiki kereta api. Dari Oxenholme pula boleh menaiki kereta api tempatan kurang 20 km untuk sampai ke tepian timur Tasik Windemere. Dengan panjang 18 km dan kelebaran sekitar 1 km ia adalah tasik semula jadi terbesar di Lake District malah di seluruh England.


Yang saya ingat memang cuma menuju ke Tasik Windemere sahaja walaupun terdapat banyak lagi tasik besar dan cantik di Lake District. Namun saya ingat sampai ketika langit sudah mula gelap. Ketika itu kan sekitar musim sejuk? Jam 3 petang dan malam.

Saya ingat ada berjalan kaki dalam 2-3 km, mungkin lebih untuk mendapatkan penginapan murah di sebuah Youth Hostel, penginapan untuk belia. Murah tak murah pun 20 Pound Sterling.  Cukup terasa bagi orang tidak berduit seperti saya.

Semakan dengan Google Map menunjukkan ingatan yang sedikit itu benar. Dapat dilihat dalam peta atas jarak dari stesyen kereta api Windemere ke Youth Hostel adalah 3.4 km. Memang saya berjalan kaki hingga ke hostel.



Esoknya pagi hari baru meneroka ke kawasan tasik tapi datang pula hujan lebat mencurah-curah gitu. Saya ingat hal tersebut. Walaupun cuaca buruk saya ingat sanggup naik bot sewa cruise semata-mata untuk merasakan keadaannya walau tak nampak apa sangat pemandangan sekitar 

Gambar atas menunjukkan pemandangan tasik dari atas belon pada waktu cuaca baik. Gambar-gambar serupa boleh ditemui dalam pelbagai makalah promosi tentang Lake District. Cerita-cerita tentang wilayah tasik juga gambar-gambar sebeginilah menyebabkan saya pergi ke sana.



Bot yang dinaiki lebih kurang begini rupanya. Rasanya cuma ada 2-3 orang penumpang sahaja ketika saya naik. Ini kerana ia bukan waktu yang baik untuk menaiki bot apa lagi harus menelan sedikit belanja tiket. Namun saya tidak boleh menunggu lebih lama untuk menunggu cuaca baik kerana perlu meneruskan perjalanan ke arah London.



Seingat saya selepas itu ada singgah di bandar peranginan Blackpool lebih 80 km perjalanan ke selatan kemudian timur dari Lake District. Dilihat dalam Google Map perhentian kereta api terdekat dalam laluan Glasgow ke London adalah di bandar Preston. Dari situ boleh naik kereta api tempatan sekitar 18 km ke Blackpool. Saya ke sana kerana sudah lama mendengar cerita-cerita tentang tarikan pelancongannya yang termasuk sebuah taman tema besar. 

Namun saya tidak cukup belanja mahupun masa untuk bermain di taman tema. Apapun ketika itu orang kurang melancong dan berseronok di luar (outdoor). Cukuplah dapat melihat  suasana bandar peranginan walau ketika kurang meriah.



Adapun jarak perjalanan saya di Lake District selepas keluar dari laluan utama Glasgow-London dan kembali harus mencapai 50 km. Jarak pergi balik ke Blackpool campur sekeliling pula harus lebih 60 km. Dijumlahkan keduanya boleh kata saya ada berjalan 110 km sebelum kembali ke London. Namun bila difikirkan kembali masih ada rasa was-was apakah pergi ke Lake District dan Blackpool itu dalam perjalanan kembali dari Glasgow ke London atau pada sesi perjalanan yang lain? 

Walaupun besar kemungkinan ia dibuat dalam perjalanan ini janganlah dimasukkan ke dalam jumlah jarak keseluruhan perjalanan selagi belum mendapat kepastian 100 peratus. Maka biar dijumlahkan  jarak keseluruhan perjalanan seperti ini :-


2. Jalan-jalan sekitar Glasgow - 30 km (rujuk  Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Apa ada di Glasgow?)


4. Persinggahan ke Edinburgh - 170 km (rujuk Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Edinburgh dan puncak Arthur's Seat)

5. Kembali dari Glasgow ke London - 670 km (sama seperti perjalanan London ke Glasgow tanpa dicampur perjalanan ke Tasik Windermere dan Blackpool)

Ini membawa pada jumlah jarak perjalanan 1,640 km. Kalau dicampur persinggahan  ke Tasik Windermere dan Blackpool jadi 1,750 km. Tetapi disebabkan ada rasa was-was tentang bilakah persinggahan sebenarnya dibuat biar keseluruhan perjalanan ini diisytiharkan sebagai memakan jarak 1,640 km sahaja. Sekian perkongsian tentang perjalanan lama ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan