OK. Masuk fasa kelima cerita perjalanan lama lebih 31 tahun lalu. Bersambung daripada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Tanah Merah ke Kota Bahru dan Sekolah Zainab.
Selepas menginap satu malam di Kota Bharu sampailah masa untuk menyambung perjalanan ke arah Kuala Terengganu di tenggara. Gambar atas menunjukkan jalan yang mungkin telah digunakan ketika meninggalkan KB. Ia didapati melalui kemudahan Street View (pandangan pada aras jalan atau permukaan muka bumi) dalam program Google Map.
Sayangnya tiada satu perkara pun dapat diingati tentang perjalanan berbasikal ke KT . Saya cuma boleh mengagak kami ada lalu di Kubang Kerian kerana itulah jalan utama membawa ke persisiran pantai di Bachok. Logiknya kami harus mengambil jalan terdekat yang kebetulan pula merupakan laluan yang penuh dengan pemandangan menarik. Dari KB kami harus sampai ke Bachok dahulu sebelum mengikut laluan persisiran pantai ke KT.
Gambar atas diambil daripada artikel Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Laluan pantai Tok Bali ke Bachok dan terus... tahun 2011. Ketika itu kami bergerak dari arah yang berlawanan iaitu selatan ke utara. Apapun laluan yang digunakan haruslah sama kerana ia sudah lama wujud. Oh, mungkin ada satu perkara yang saya ingat telah berlaku dalam fasa perjalanan ini. Ketika menginap di sebuah hotel murah saya duduk sebilik dengan satu-satunya kawan sama batch yang turut serta dalam perjalanan. Semalaman saya seronok mengajuk orang 'kecek Kelate' atau bercakap dalam loghat Kelantan.
Cuma tak pasti apakah ia sebenarnya berlaku ketika menginap di Kota Bharu lalu termasuk di dalam fasa keempat perjalanan? Kalau begitu patut diceritakan dalam artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Tanah Merah ke Kota Bahru dan Sekolah Zainab. Namun ia tidak disebut di situ kerana apabila memikirkan hal kami berkayuj ke Sekolah Kebangsaan Zainab selepas berehat di sebuah tempat penginapan terbit bayangan kami berada di semacam satu asrama dengan banyak katil. Ini bukan satu katil yang dikongsi bersama dalam satu bilik seperti yang saya pasti ingat tentang seronok mengajuk 'kecek Kelate'...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan