Rabu, Oktober 02, 2019

Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan berkenaan yang ke-8 selepas 5 bulan senyap

Salam malam 4 Safar. Ini ada perkongsian daripada majlis ilmu  di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) petang tadi...



Baru 3 hari lalu para pelajar ISTAC diberitahu bahawa satu siri syarahan yang sudah lama tidak diadakan akan muncul kembali pada petang Rabu 2 Oktober 2019. Dibuat oleh Sheikhul Qulliyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar ia adalah tentang buku beliau yang bertajuk "Classification of Knowledge in Islam". Syarahan bersiri ini telah dimulakan pada bulan Mac tahun 2019 tetapi  tidak dilangsungkan sejak pertengahan bulan Mei. Nampaknya akibat cuti panjang pertengahan tahun iaitu 3 bulan bagi pelajar institusi juga para pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menaungi institusi. Apabila semester baru bermula awal September saya tertanya-tanya bilakah ia akan disambung lagi kerana siri syarahan ini memang menarik, makanan lazat bagi jiwa dan mereka yang suka berfikir. Maka itu apabila mendapat tahu sesi baru akan bermula saya pun bergegas ke majlis.


Ia dijadualkan berlangsung jam 5 hingga 7 petang. Saya sampai jam 5.24 kerana beberapa hal yang tidak dapat dielakkan. Tengok-tengok saya tidak terlepas apa-apa kerana Osman sendiri masuk ke ruang syarahan selepas saya akibat ada mesyuarat yang berlanjutan sehingga selepas jam 5. Apapun ada perubahan menarik dan memberangsangkan kerana kelihatan jumlah hadirin  bertambah secara mendadak. Sebab itu ia dialih ke ruang yang lebih besar berbanding syarahan-syarahan terdahulu dalam bilik kecil kelas.


Dahulu syarahan dibuat jam 10 pagi hingga 12 tengah hari. Biasanya pada hari Isnin tetapi kadangkala dialih ke hari Selasa. Osman memberitahu siri baru sahaja disambung kerana ada permintaan daripada pelajar-pelajar di kampus utama UIA agar menunggu masa yang bersesuaian di mana mereka ada kelapangan dan pengangkutan berupa bas pelajar milik universiti dapat disediakan. Itu yang dialih ke hari Rabu lewat petang.


Ditanyalah beberapa ramaikan hadirin pernah membaca buku beliau. Cuma 9 orang termasuk saya mengangkat tangan. Nampaknya harus diberikan pengenalan dan pendahuluan panjang lebar. Kebanyakan yang hadir pun adalah pelajar belum ada ijazah lalu hal ini harus diambil kira berbanding pelajar pasca-siswazah yang biasanya (dan memang pun harus begitu) lebih terkehadapan dalam memahami persoalan.

Disebutlah bahawa buku berasal daripada tesis PhD Osman tahun 1980an yang tajuk asalnya adalah  "Classification of the Sciences and the Ulum, - A Study in Islamic Philosophy of Science" (saya terjemahkan sebagai "Klasifikasi Sains-sains dan Ilmu-ilmu Berkenaan - Satu Kajian dalam Falsafah Sains Islam"). Untuk edisi pertama yang diterbitkan awal tahun 1990an ia ditukar tajuk menjadi "Classification of Knowledge in Islam" (Klasifikasi Ilmu Pengetahuan Dalam Islam). Asalnya cuma 1,000 naskah diterbitkan dan untuk sebaran dalam Malaysia sahaja. Tetapi disebabkan kata-kata aluan oleh pemikir besar dunia Islam, Seyyed Hossein Nasr ia mendapat perhatian kemudian diulas beberapa pihak lalu perhatian merebak sehingga mendapat minat masyarakat akademik antarabangsa. Untuk pengetahuan Seyyed Hossein adalah guru dan penyelia tesis beliau...

Diceritakan bahawa tesis PhD yang membentuk buku dimulakan tahun 1981 ketika beliau sudah bergelar "pelajar matang" (matured student). Osman sudah berkahwin dan hendak membawa sekali 4 orang anak ke rantau orang. Ketika itu susah untuk mendapat tajaan PhD. Belum ada orang (anak Malaysia) melakukan dalam bidang sains falsafah. Tetapi terima kasih kepada Profesor Diraja Ungku Aziz beliau dihantar untuk belajar di bawah Seyyed Hossein di Temple Universiti di Amerika Syarikat. Kata Osman bukanlah sangat dia mahu ke universiti tersebut yang agak terkenal di mata dunia tetapi yang diinginkan adalah belajar di bawah Seyyed Hossein.

Diceritakan pula tentang latar belakang Osman dalam bidang matematik. Beliau membuat ijazah sarjana muda di London dan menyambung lagi dalam bidang sama bagi peringkat sarjana (Masters) di tempat sama. Selepas itu beliau dijangka menyambung PhD dalam bidang matematik juga untuk program 1 tahun (biasanya tempoh belajar dan siap PhD adalah paling kurang 3 tahun). Tetapi berlaku perubahan pada diri sehingga beliau bertukar ke bidang falsafah...


Osman tak sebut ini dalam syarahan petang tadi tapi saya tahu beliau harus membuat sarjana falsafah terlebih dahulu di Temple University sebelum dapat meneruskan ke peringkat PhD. Walhal beliau sudah ada sarjana dalam bidang matematik. Disebut bagaimana beliau bercita-cita besar mahu menangani 4 orang tokoh besar Islam zaman silam dalam tesis PhD iaitu - Al-Farabi, al- Ghazali, al-Shirazi dan Ibnu Khaldun. Akhirnya beliau harus mengenepikan Ibnu Khaldun walau sudah menyiapkan banyak bahan tentangnya. Ini kerana skop pelajaran dan kajian yang perlu diliputi telah menjadi terlalu besar (untuk makluman, tempoh masa beliau buat PhD 'terlajak' jadi 7 tahun kerana begitu banyak perkara perlu diliputi untuk melengkapkan tesis).

Demi membuat PhD yang lengkap beliau harus belajar 2 lagi bahasa selain apa yang beliau sudah sedia tahu dan kuasai (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris). Osman sudah tahu sedikit bahasa Arab tetapi harus meningkatkan penguasaan sudah dapat mengkaji teks-teks klasikal Arab dengan baik. Ketika itu tidak banyak hasil kerja tentang dunia Islam ditulis dalam bahasa Inggeris seperti sekarang. Maka penguasaan bahasa Arab perlu untuk mengkaji teks.

Beliau juga harus belajar bahasa Parsi kerana perlu mengkaji teks dalam bahasa itu. Tak cukup itu kena pula belajar bahasa Perancis kerana banyak rujukan terdapat  dalam bahasa tersebut. Nasib baik sudah tahu sedikit sebanyak bahasa Perancis. Kata Osman dalam kalangan bahasa-bahasa Eropah, bahasa Perancis adalah yang paling kaya dengan kajian-kajian terhadap dunia Islam...

Seterusnya disebut tentang makna epistemologi. Beliau menyebutnya sebagai teori tentang suatu ilmu pengetahuan. Disebut bahawa pada zamannya, penulisan-penulisan Marxism (oleh Karl Max, pengasas fahaman komunis) sedang mendominasi dunia pemikiran akademik. Banyak persoalan muncul akibat itu. Nasib baik buku-buku Seyyed Hossein yang ditemui di London dapat menjawab persoalan-persoalan tersebut.

Disebut lagi tentang latar belakang beliau dalam dunia matematik. Kata Osman matematik itu neutral  nilai (value neutral). Maksudnya ia objektif, tidak dipengaruhi nilai-nilai subjektif yang boleh terbit akibat agama, kaum, bangsa dan sebagainya. Diceritakan antara buku tentang matematik yang mempengaruhi beliau di London adalah bertajuk "Is God a Mathematician" ("Adakah Tuhan Seorang Ahli Matematik). Pada beliau matematik sangat berkait dengan agama. Ahli-ahli matematik Islam selalu sangat tinggi pegangan dan pemahaman agama.

Allah! Terasa begitu banyak persamaan antara saya dan Osman, cuma berlainan zaman dan laluan beliau lebih teratur, laluan saya kacau. Kami sama-sama pernah belajar matematik di London. Laluan pemikiran yang diceritakan juga banyak persamaan termasuk pernah membaca dan terpengaruh dengan buku "Is God a Mathematician". Dan saya juga banyak membaca dan terpengaruh dengan buku-buku tulisan Seyyed Hossein tentang dunia Sufi walaupun ia berlaku dalam keadaan saya menolak hukum feqah kerana cuma mahu mengambil tahu bab-bab kerohanian dan kebatinan. Disebut pula tentang ahli matematik Islam silam bernama Omar Khayyam dan puisi-puisinya. Sungguh kami terpengaruh dengan perkara-perkara sama kerana puisi-puisi pujangga merangkap pakar matematik Islam ini pernah menjadi bacaan ruji saya sepanjang 4 tahun berada di London.

Cuma tu le laluan saya begitu kacau sehingga hampir tidak mendapat ijazah. Dan hampir menjadi ateis akibat pernah terlalu berpegang pada logik akal sehingga mula menyoalkan banyak perkara dalam ajaran Islam juga ajaran mana-mana agama. Dan lagi perubahan berlaku kepada saya bukan sekadar akibat pengaruh dunia pemikiran dan bacaan tetapi pengalaman-pengalaman mistik seperti roh asyik keluar masuk dari badan. Hal-hal ini kemudian mendorong saya untuk mencuba perkara gila-gila seperti hidup secara gelandangan (homeless) di pusat bandar raya London selama 3 bulan. Selepas itu mengembara secara solo mengelilingi Eropah dengan belanja kurang RM1,000 (bukan £1,000 matawang United Kingdom ya).

Ketika itu £1 hampir bersamaan RM5. Kebiasaan pelajar kalau mengembara sebulan keliling Eropah memakan belanja £1,000. Itu dikira sudah cukup murah menginap di hostel pemuda (youth hostel) dan naik pengangkutan awam pada harga diskaun. Saya menggunakan belanja keseluruhan (termasuk beli visa) kurang £200 tetapi dapat meliputi 11 buah negara (selain UK) dalam tempoh 33 hari dengan jarak keseluruhan pengembaraan mencapai 5,900 km. Itu yang diceritakan dalam buku ke-13 saya, "Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eropah Tahun 1995" (terbit Jun 2019). Lihat Ringkasan perjalanan solo hitchhike keliling Eropah tahun 1995 diikuti Ulasan buku KEMBARA EROPAH 1995 dalam akhbar Berita Harian

Ah. Begitu banyak dikongsikan Osman. Kalau diceritakan semuanya bila pula saya hendak tidur kerana ketika ayat ini ditulis pun sudah masuk jam 11.49 malam sedangkan pagi karang ada majlis lain mahu dihadiri di ISTAC. Untuk makluman saya kini berada di masjid ISTAC. Saya memilih untuk bermalam di sini dan ia telah dilakukan beberapa kali apabila ada majlis awal pagi mahu dihadiri di ISTAC.


Cukuplah ditambah bahawa selepas itu Osman mengisytiharkan ada baiknya syarahan dimulakan daripada muka-muka surat awal buku sepertimana telah dilakukan ketika siri bermula hampir 7 bulan lalu. Dengan ini biar disertakan pautan-pautan bagi tulisan/ulasan saya tentang syarahan-syarahan yang telah diadakan sebelum sesi baru bermula petang tadi...







6. Tidak hadir syarahan ke-6 pada pagi Isnin 6 Mei bersamaan 1 Ramadhan 1440 Hijriah  kerana berada di kampung ibu bapa di Muar untuk menyambut hari pertama puasa wajib (ketika itu saya juga sudah berpuasa penuh bulan Rejab dan Sya'aban, kali pertama dilakukan setelah mendengar pengalaman beberapa orang kawan).



Sekarang biarlah saya berehat ya. Untuk makluman ini adalah artikel ke 1,838 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan