Selasa, Oktober 01, 2019

Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Berkejar 1 Muharram untuk menunaikan acara ke-21 HIKMAH di tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai

Salam 1 Oktober malam 3 Safar. Sukacita dimaklumkan bahawa cerita pengembaraan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos hingga 4 September sedang memasuki satu fasa baru. Penceritaan sudah sampai pada hari ke-5 iaitu lebih separuh daripada keseluruhan tempoh pengembaraan 8 hari 7 malam. Jika sebab utama pengembaraan dibuat adalah untuk menziarahi makam-makam lama para pendakwah Islam di Barus, fasa seterusnya merupakan susulan utama daripada ziarah tersebut. Bersambung daripada Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Mencari jejak Awalun Islam di Barus ketika Malaysia menyambut Hari Merdeka.


Kami meninggalkan Istana Maimoon di Medan sekitar jam 1.30 pagi Ahad 1 September 2019. Ketika gambar ini diambil jam 1.48 kami sedang melalui lebuh raya baru tol sepanjang lebih kurang 20 km menghala timur ke Binjai. Untuk pengetahuan tarikh itu adalah bersamaan 1 Muharram 1441 Hijriah iaitu masuk tahun baru Islam atau hari Awal Muharram. Sebetulnya tarikh tersebut bermula apabila masuk waktu Maghrib di sekitar kawasan pergunungan utara Danau Toba lagi iaitu sebelum sampai ke Deli Tua dan Medan...


Selepas itu laluan secara rata menghala ke utara. Kami harus melupakan segala rancangan persinggahan yang mahu dibuat dari Medan ke sempadan Aceh seperti ada dikongsikan dalam artikel Rancangan perjalanan pusing utara Sumatera dan Aceh berserta acara HIKMAH ke-21 di kompleks makam Sultan Malikus Saleh 1 Muharram 1441 lebih setengah tahun lalu. Jam 5 pagi baru berhenti untuk mengisi perut di suatu lokasi berdekatan Langsa di Aceh.


Perjalanan diteruskan hingga ke masjid ini untuk menunaikan solat Subuh jam 6 pagi. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Baitul Mannan, Perlak di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Rupa-rupanya ia terletak cuma 4-5 km sebelum pekan Perlak ataupun Peurelak.


Masuk ke timur 7 km dari pekan Perlak pula terdapat Kompleks Sultan Sayid Maulana Abdul Aziz Syah.



Di sinilah kami bercadang untuk menginap dan bermalam 1 Muharram tapi tak sempat.


Kami sampai sekitar jam 6.48. Lagi 2 jam gitu akan diadakan majlis sambutan Awal Muharram merangkap ulang tahun ke-1216 (menurut kiraan Islam setahun bersamaan 354 hari) pengasasan Kesultanan Perlak.





Menurut ceritanya Kesultanan Perlak diasaskan apabila naik seorang raja atau Sultan daripada keturunan Ahlul Bait Rasulullah SAW iaitu Sultan Sayid Maulana Abdul Aziz Syah pada 1 Muharram 225 Hijriah.


Inilah yang mendorong untuk menginap malam 1 Muharram. Tapi apa boleh dibuat. Yang sempat kami lakukan adalah beriktikaf sekitar sejam sambil mandi bersiap-siap.


Perjalanan harus diteruskan lagi 126 km bersamaan 2 jam setengah jika tanpa henti (menurut Google Map) untuk sampai ke kompleks makam Sultan Malikus Saleh di tapak pusat kerajaan Samudera dan Pasai. Kami harus berkejar kerana mahu mengadakan acara ke-21 HIKMAH, acara yang timbul atas asbab mahu berziarah ke Barus. Rujuk balik cerita berkenaan dalam artikel Rancangan perjalanan pusing utara Sumatera dan Aceh berserta acara HIKMAH ke-21 di kompleks makam Sultan Malikus Saleh 1 Muharram 1441.


Kami cuma berhenti untuk bersarapan di suatu tempat.








Hampir ke lokasi, tinggal 3-4 km lagi kereta harus menunggu lama pula akibat kesesakan jalan raya yang luar biasa.





Rupa-rupanya ada perarakan Awal Muharram ke masjid berdekatan simpang ke makam. Dalam 15 minit jugalah harus menunggu sebelum dapat mengambil simpang...


Kami sampai  pada jam 10.47 sedangkan majlis diwar-warkan bermula jam 9.


Namun dapat juga dilaksanakan acara walaupun kecil dan kehadiran cuma beberapa orang. Lihat artikel Membuka acara ke-21 HIKMAH di makam Sultan Malikus Saleh setelah 1,400 km mengembara pusing Aceh dan utara Sumatera di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)






Sebelah petangnya pula acara disambung dengan lawatan ke dua bangunan baru yang boleh dijadikan ikon moden kerajaan. Lihat Acara HIKMAH ke-21 - Pondok sebelah kompleks makam dan kemilau kegemilangan lama kerajaan Islam Samudera Pasai.


Satu adalah bangunan ini. Lihat Muzium Islam (Islamic Museum of) Samudera-Pasai.




Di sini baru merasa rehat, santai setelah beberapa hari asyik terkejar-kejar untuk sampai dari tempat ke tempat. Pemandangan dan suasana yang begitu indah membawa untuk mengimbau zaman kegemilangan kerajaan berkembar Samudera-Pasai...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan