Khamis, Oktober 03, 2019

Membawa semangat Aceh ke Perak - Menutup ziarah di Teluk Intan dan persinggahan ke Tanjung Malim yang dipendekkan

Merujuk pada artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan berkenaan yang ke-8 selepas 5 bulan senyap. Pada ketika ini saya sedang menulis dalam masjid ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) selepas bermalam di sini supaya mudah menghadiri satu majlis ilmu tentang Islam di negara China jam 9.30 pagi karang. Sementara ada kelapangan ingin saya menamatkan cerita perjalalan pusing Perak 15-18 September. Maka bersambung daripada artikel Membawa semangat Aceh ke Perak - Menyelesaikan ziarah makam 3 Muzaffar pada waktu malam.


Awal pagi Rabu 18 September, hari ke-4 dan terakhir perjalanan. Saya masuk ke saf solat berjemaah Subuh di sebuah masjid di Kampung Gajah selepas menginap malamnya di sana.


Ah. Memang ditakdirkan saya menulis artikel ini pada ketika yang sangat kena-mengena. Adapun ia dibuat di masjid ISTAC selepas bangun untuk solat Subuh berjemaah. Selesai berwirid saya membuka komputer riba lalu mula  menulis artikel-artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Cerita utama di blogspot ini pula dimulakan dengan menunjukkan suasana awal pagi selepas bermalam dalam masjid di Perak. Tidak terfikir langsung  ia akan dibuat dalam masjid di Kuala Lumpur.


Bezanya di Perak atau lebih tepat di Kampung Gajah saya keluar awal meninggalkan masjid untuk mencari sarapan di pekan...


Kini ketika menulis saya masih berada dalam masjid sambil menahan lapar kerana hendak menyiapkan dahulu penulisan supaya dada terasa lapang...


Gambar ini diambil pada jam 7.45. Saya sudah mengorak langkah meninggalkan Kampung Gajah untuk menuju lebih jauh ke selatan. Ayat ini pula ditulis  di Kuala Lumpur pada jam 7.43...


Dalam perjalanan terasa seronok melihat 'kabus' di mana-mana. Rupa-rupanya jerebu sudah melanda. Semasa perjalanan pusing Perak dimulakan tengah hari Ahad 15 September jerebu yang sudah melanda merata pantai Barat Semenanjung Malaysia sejak seminggu lebih sebelum itu saya nampak belum sampai lagi ke Perak.


Apapun saya mahu ke Teluk Intan untuk menziarahi beberapa makam lama yang terkait dekat dengan susur galur keluarga.


Gambar ini diambil pada jam 8.15, ayat ditulis pada jam 7.47 setengah bulan kemudian.








Makam-makam tadi terletak dalam satu kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Bahagia, timur luar bandar Teluk Intan. Singgah beriktikaf di masjid kampung tersebut. Teringat di sinilah saya pernah bermalam selepas pertama kali seumur hidup keluar membuat perjalanan menziarahi makam-makam lama...


Ketika itu hampir penghujung tahun 2001 saya baru hendak mengenali salasilah dan asal-usul keluarga belah ayah yang terkait dengan Kesultanan Perak, Aceh, Bugis dan Samudera-Pasai. Didorong oleh satu mimpi penuh makna melibatkan istana, kemudian berlaku peristiwa runtuhnya menara berkembar World Trade Centre di New York 11 September saya mencari Nenek, ibu kepada ayah yang sudah 3 tahun tidak diziarahi di rumahnya di Raub, Pahang untuk mendapatkan pencerahan. Lalu buat pertama kali seumur hidup saya mendengar cerita asal usul nenek moyang kami dari 'seberang sana'. Selepas 3 malam (ke 3 hari 2 malam?) bersama Nenek di Raub saya bergerak dengan motosikal besar kesayangan melalui jalan lama ke Bukit Fraser dan Kuala Kubu Bahru untuk menziarahi makam moyang yang katanya adalah orang pertama berhijrah dari 'seberang' ke Perak.


Cerita berkenaan telah dikongsikan panjang lebar dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006). Ia adalah yang pertama daripada siri trilogi "Berpetualang ke Aceh". Susulannya bertajuk kecil "Membela Syiar yang Asal" terbit Mei 2007 diikuti "Sirih Pulang ke Gagang" November 2007. Tidak lama selepas menemui Nenek lalu cerita asal usul keluarga mula dibuka beliau jatuh sakit sehingga meninggal dunia.  Lihat artikel-artikel lama berikut :-





Cuma cerita sebenar dibuat seperti fiksyen dalam bentuk travelog dengan watak diri saya diberikan nama Muhammad al-Aminul Rasyid. Ia adalah nama yang tiba-tiba muncul dalam hati ketika menyeberang Sungai Perak melalui jambatan menuju ke pekan Parit dari arah Kuala Kangsar. Ini berlaku selepas selesai proses ziarah yang membawa jauh hingga ke makam Tok Temong di utara Kuala Kangsar (boleh rujuk artikel Membawa semangat Aceh ke Perak - Petanda-petanda sekitar Hari Malaysia di bandar diraja Kuala Kangsar yang dipersembahkan seminggu lalu). Saya dalam perjalanan kembali ke KL kerana esoknya harus kembali bekerja.


Pada mulanya saya menyangkakan nama itu adalah untuk anak yang dikandungkan oleh isteri tidak lama selepas perjalanan pertama ziarah makam-makam lama. Tetapi apabila lahir hampir penghujung 2002 yang keluar adalah anak perempuan. Nama pun digunakan sebagai watak mewakili diri apabila siri trilogi "Berpetualang ke Aceh" mula ditulis tidak lama selepas kembali daripada perjalanan pertama saya ke Aceh awal tahun 2004. Ia kemudian menjadi nama anak laki-laki pertama saya (dengan isteri lain) . Anak tersebut kini sudah berumur 10 tahun.


Oh. Gambar-gambar tadi diambil ketika berjalan-jalan pusing bandar Teluk Intan. Sempat singgah melihat pemandangan cantik Sungai Perak yang luas kelihatan seperti berkabus tetapi sebenarnya akibat jerebu sebelum waktu tengah hari. Lihat artikel A hazy Perak river from a floating restaurant in Teluk Intan. Jam 11.58 saya sampai ke masjid lama Batak Rabit lebih kurang 5 km ke barat bandar. Masjid ini terletak di dalam tanah wakaf keluarga. Setiap kali bertandang ke Perak saya cuba meluangkan masa untuk singgah beriktikaf walaupun sebentar.
.

Di sebelahnya terdapat tanah perkuburan untuk kaum kerabat kami sahaja. Orang luar tidak boleh disemadikan di sini, ada tanah perkuburan lain untuk awam yang terletak berdekatan. Di bahagian tengah gambar terdapat makam ayah kepada ayah saya dan makam ayah kepadanya (moyang) . Untuk pengetahuan Batak Rabit pernah menjadi pusat pemerintahan Sultan ke-26 Perak, Sultan Abdullah (bertakhta 1874-1877). Secara rasminya baginda masih bergelar Sultan Perak 1877-1887 tetapi ketika itu berada dalam buangan di Pulau Seychelles, luar pantai timur Afrika. 


Turut dibuang sama adalah seorang moyang saya (5 generasi ke atas) Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Beliau dan Sultan Abdullah adalah bersaudara. Ayah saya yang lahir tahun 1942 pernah bercerita semasa zaman kanak-kanaknya sempat bermain-main dalam sebuah rumah besar keluarga (sudah lama dirobohkan) dan melihat singgahsana raja di dalamnya. Ah. Dah banyak pula saya bercerita tentang keluarga. Sedangkan artikel ini dirancang mahu ditulis ringkas sahaja untuk menutup cerita perjalanan pusing Perak 15-18 September.


Namun begitulah saya, menulis untuk melepaskan gerak dan rasa. Lalu ada ketikanya muncul gerak ilham yang tidak boleh ditepis, harus diluahkan jua jika mahu merasa lega. Jam 2.26 sampai ke pekan Sungkai lalu singgah di masjid lama ini. Lihat artikel Lawatan baru ke masjid lama Sungkai (New visit to the old mosque of Sungkai).


Di masjid tersebut saya mendapat panggilan dari isteri meminta supaya mengambil anak-anak dari sekolah agama jam 4 petang. Ini kerana cikgu baru sahaja memberitahu anak murid boleh kembali awal hari itu. Biasanya mereka habis sekolah jam 5.30 lalu isteri boleh ambil selepas habis bekerja. Tapi kali ini tak dapat kerana beliau sudah pun mengambil dari sekolah kebangsaan (sesi pagi) jam 1  petang kemudian menghantar ke sekolah agama sebelum jam 2.30. Sedangkan untuk berbuat begini beliau harus bergerak lebih 13 km dari pejabat ketika waktu rehat makan tengah hari kemudian kembali ke pejabat.

Pada hari-hari biasa adalah menjadi tugasan saya menghantar anak pergi balik sekolah kerana bekerja dari rumah. Bila keluar jauh isteri yang harus bersusah payah. Ini dah 4 hari saya keluar jauh, jadi janganlah ditambahkan lagi susah. Akibat daripada itu saya harus membatalkan rancangan untuk singgah ke UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) bagi menjengok seorang bekas pensyarah saya di ISTAC, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan. Beliau sekarang memegang Kursi Za'aba di UPSI dan saya belum pernah menjengoknya di tempat baru sejak beliau berpindah penghujung Ogos.


Saya juga bercadang untuk melepak di pusat seni Sarang Art Hub kerana sudah lama tidak menziarahi pemiliknya, sutradara filem terkenal saudara Mamat Khalid. Awal tahun ini beliau jatuh sakit teruk sehingga harus 'dikomakan' (induced coma), baru 2-3 bulan gitu katanya dibangkitkan daripada 'tidur'. Akhir sekali bertemu kalau tak salah adalah sebelum Aidl Fitri tahun 2018. Inipun tak sempat. Saya sekadar melihat Sarang Art Hub daripada dalam kereta ketika lalu di pekan Tanjung Malim.


Saya berhenti sekadar untuk makan di satu kedai lain berdekatan. Kalau singgah di tempat Mamat harus diajaknya bersembang lama.


Perjalanan diteruskan dalam keadaan hujan lebat beberapa lama kemudian.


Jam 4.27 petang sampai ke rumah setelah mengambil anak-anak.


Meter menunjukkan perjalanan pusing Perak memakan jarak keseluruhan 672 km sejak dimulakan hari Ahad dengan keluarnya saya ke arah ISTAC untuk satu majlis ilmu terlebih dahulu. Rujuk balik artikel pertama perjalanan, Membawa semangat Aceh ke Perak - Hakikat Lailahaillallah dan 'restu istana'?. Oh, ayat ini ditulis pada jam 8.49 pagi dalam keadaan masih menahan dan semakin lapar. Selepas ini kena semak dahulu artikel sampai puas hati baru boleh dipersembahkan. Selesai itu baru boleh bersiap untuk keluar makan kemudian ke majlis. Sekian perkongsian. Tamatlah siri cerita perjalanan pusing Perak 15-18 September.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan