Bersambung daripada Persidangan ASAL - Daripada busana tradisional Melayu ke matawang Kesultanan Melaka.
Sketsa demi sketsa untuk menunjukkan kehebatan tamadun lama Melayu terus dipaparkan untuk menyokong tema acara. Kelihatan sejumlah pelakon menunjukkan keadaan dalam istana agung Melaka di mana para pembesar malah pedagang asing dapat berinteraksi dengan penuh adab di hadapan sang sultan.
Sketsa tersebut menjadi pembuka untuk pembentang keenam. Profesor Datuk Dr Awang Sariyan yang merupakan pakar pengajian dunia Melayu memulakan perkongsian. Caranya, dia dipanggil masuk menghadap Sultan kemudian pentas diberikan sepenuhnya untuk beliau bercerita.
Beliau yang pernah menjadi profesor bahasa Melayu di Beijing memilih untuk bercerita tentang hubungan Melaka-Cina sejak enam abad lalu. Menariknya Awang memakai busana tradisonal Melayu. Sedangkan setahu saya beliau yang merupakan budayawan bahasa terkenal, pernah menjadi ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka tidak pernah berpakaian begitu dalam mana-mana majlis ilmu sebelum ini.
Sukacita dimaklumkan Awang adalah pensyarah saya bagi kelas "Islam in Malay History and Culture" di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Dunia Melayu di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Rujuk artikel Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia yang dipersembahkan 22 hari lalu kenapa saya menyambung pengajian pasca-siswazah di sana. Setiap kali menghadiri syarahan di ISTAC saya akan sekurang-kurangnya memakai tanjak kalau tidak pun sepersalinan penuh busana tradisional Melayu. Hal ini membuatkan beliau memberitahu kelas pertama kami 17 hari lalu bahawa beliau bercadang untuk memakai busana tradisional semasa persidangan ASAL berlangsung 12-13 September.
Sebagai penutup beliau membawa dua orang pembantu termasuk seorang rakyat Cina yang kini bekerja di Malaysia untuk mendeklamasikan satu sajak tulisan beliau tentang pertautan hubungan antara budaya. Selepas itu saya harus meninggalkan dewan untuk satu urusan
Apabila masuk kembali didapati bermula satu sketsa menggunakan alunan nazam penuh makna mendodoi anak kecil untuk menggambarkan suasana tradisional majlis bercukur bayi dalam dunia Melayu.
Selepas beberapa lama baru tersedar saya nampaknya sudah tertinggal perkongsian ilmu oleh pembentang ketujuh Prof Madya Dr Farish A. Noor, seorang pakar sejarah yang kini bertugas di Singapura. Ini cuma disedari apabila pembentang kelapan, Prof Madya Dr Syed Muhammad Khairudin AlJunied dari Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) naik ke pentas lalu membuka kata-kata.
Menariknya adalah bagaimana beliau menegaskan dengan penuh semangat dan bangga ketinggian serta kehebatan tamadun Melayu lama.
Sedangkan beliau berketurunan Arab bergelar Sayyid daripada susur galur Nabi Muhammad SAW.
Sketsa seterusnya menunjukkan satu latihan silat. Sayangnya gerak langkah yang dipamerkan tebal dengan lenggang lenggok kumpulan penari, bukan langkah mantap kebiasaan pesilat.
Seterusnya naik pembentang kesembilan, Prof Madya Dr Muhd Pauzi Abd Latif, orang yang bertanggungjawab mendirikan muzium warisan Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM) menggunakan koleksi barangan agak nadir seperti senjata api Melayu lama dan manuskrip-manuskrip luar biasa koleksi peribadi. Beliau kini bertugas di ISTAC untuk mendirikan muzium serupa di sana lalu turut menjadi pensyarah saya untuk kelas Research Methodology,
Pauzi bercakap tentang senjata api Melayu sejak zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka abad ke-15 malah seawal abad ke-13 di Pahang. Beliau menggunakan tulisan Barat seperti catatan harian Afonso Albuquerque ketika menyerang Melaka dan kajian lapangan W. Linehan yang terakam dalam JMBRAS (Jornal of Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society) untuk menyokong perkara.
Pembentang kesepuluh, Prof Madya Dr Asyaari Muhammad yang merupakan seorang pakar arkeologi maritim kemudian berkongsi pengalaman menarik beliau dalam bidang.
Beliau bercakap panjang lebar tentang kajian-kajian lapangan yang telah dilakukan di beberapa tempat terutama melibatkan Melaka serta kota pertahanan yang ditinggalkan oleh Portugis, Belanda dan Inggeris.
Saya sudah lupa sketsa seterusnya tentang apa, cuma melayan persembahan visual yang tetap menarik. Tenyata fikiran ini sibuk mencongak pelbagai kemungkinan tentang sejarah Melaka yang hilang lalu belum dapat disahkan melalui kajian-kajian bersifat akademik yang boleh diterima dunia.
Pembentang kesebelas dan terakhir Profesor Emeritus Dorodiatun Kuntjoro-Jakti merupakan seorang pakar ekonomi yang pernah menjadi menteri berkenaan di Indonesia.
Beliau bercakap panjang lebar tentang kepentingan strategik Selat Melaka kepada dunia dan bagaimana pentingnya Malaysia dan Indonesia menjalinkan kerjasama untuk memanfaatkannya bersama.
Menarik adalah data-data yang dipaparkan seperti kelihatan cuma dapat dicapai oleh seorang yang memiliki kedudukan sangat penting dalam negara.
Turut dikongsikan rancangan strategik Indonesia untuk membangunkan seluruh Pulau Sumatera dalam memanfaatkan kepesatan laluan perdagangan Selat Melaka. Untuk butiran lanjut tentang sidang ASAL sila lihat laman sesawang mereka di sini. Cukup perkongsian buat malam ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan