Sabtu, November 26, 2016

Menumpang kegembiraan isteri dan jenama beliau Bona Fida

Satu lagi artikel untuk melengkapkan gerak penceritaan hari ini.


Tepat seminggu lalu saya ada membuat satu artikel bertajuk Bedah buku di Kota Buku dan jenama Bona Fida untuk surat khabar lalu memberitahu, isteri saya telah diwawancara wartawan akhbar Kosmo untuk bercerita tentang jenama busana tradisional Bona Fida yang tak sampai 5 bulan diasaskan beliau, Hari ini Sabtu 26 November 2016 yang kebetulan merupakan hari ulang tahun ke 46 saya cerita berkenaan pun muncul dalam suratkhabar. Saya sendiri menghiasi bahagian tengah cerita, untuk menunjukkan pakaian jenama Bona Fida untuk laki-laki. Isteri saya boleh menghasilkan pakaian untuk kedua-dua laki-laki dan perempuan menurut permintaan sambil mengekalkan ciri-ciri yang dapat memberikan gambaran jati diri orang Melayu sejati.

Lihat artikel Bona Fida dalam Aura Juita akhbar Kosmo di blogspot Bona Fida untuk paparan lebih lanjut. Nah, Lengkaplah gerak saya bercerita buat hari ini. Sebentar lagi saya harus bersiap untuk satu kerja tinjauan melibatkan acara terbaru HIKMAH. Sila rujuk artikel Tentang sambutan Maulidur Rasul, keindahan lokasi HIKMAH Bukit Tinggi dan senarai pembentangan ilmu di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).





Kamera baru Sony dan semangat 46

Salam semua. Adapun lebih sebulan kebelakangan ini saya banyak membuat posting atau artikel menggunakan gambar-gambar yang kurang jelas. Ini kerana kamera kompak milik saya rosak mekanisma fokus akibat terjatuh ketika mengendalikan satu acara. Rujuk artikel Acara kelapan belas HIKMAH di Muzium Negara, Kuala Lumpur 22 Oktober 2016 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) Gambar-gambar jelas yang dikongsikan sejak itu pula didapatkan daripada orang lain misalnya melalui Facebook mereka.

Dalam tempoh kurang seminggu kebelakangan saya ada menggunakan gambar-gambar yang diambil melalui handphone. Tetapi saya tetap lebih selesa dengan kamera. Sejak ia rosak saya menyimpan hajat untuk membeli yang baru. Semalam baru saya berpeluang menunaikan hajat tersebut dengan membeli sebuah kamera baru. Ini ceritanya.




Sabtu lepas, selepas isteri saya diwawancara oleh akhbar Kosmo (rujuk Bedah buku di Kota Buku dan jenama Bona Fida untuk surat khabar saya rasa tidak tahan lagi dengan keadaan ini. Mood saya bercerita dan merakamkan keadaan sebenarnya sangat terganggu dengan hal kamera rosak itu. Apabila melihat jurugambar mengambil gambar-gambar berkenaan wawancara lagi saya terasa. Ahad keesokannya selepas menghadiri satu majlis di Muzium Negara (lihat Bersilat santai di Muzium Negara - Satu natijah daripada acara HIKMAH di sana sebulan lalu) kemudian menghantar anak ke sekolah asrama saya dan isteri pun berjalan di sekitar Bukit Bintang untuk meninjau kamera yang sesuai sebagai ganti. 

Saya cuma mahu mendapatkan kamera kompak yang dapat sedikit sebanyak memenuhi keperluan dan tidak mahal. Alhamdulillah, nampak satu model yang boleh pakai, cuma poket sedang kosong dan kalau sempat saya mahu meninjau lagi kamera dan harga di tempat lain. Semalam, selepas selesai bercakap tentang buku (lihat "Berpetualang ke Aceh" di Kota Buku) saya tergerak untuk masuk ke sebuah kedai di Kompleks Pertama. Terus ternampak kamera yang sudah dituju (target) di Bukit Bintang tetapi pada harga yang jauh lebih rendah. 

Malah ketika jurujual mendapati saya masih teragak-agak untuk membeli dia menurunkan lagi harga. Itu yang membuat saya membeli kamera baru itu. Lagipun memang saya amat memerlukannya untuk satu tinjauan berkenaan HIKMAH dalam masa terdekat. Selepas itu ada beberapa lagi aktiviti yang rasanya perlu dirakamkan demi memenuhi naluri diri yang pernah menjadi wartawan akhbar buat beberapa waktu.

Tentang kamera lama, biar diberitahu ia telah menemani saya ke merata ceruk rantau negara sejak dibeli  29 September 2015. Kenapa saya boleh ingat ini? Kerana ada menulis cerita ketika ia mula mengambil alih tugas kamera sebelumnya melalui artikel yang diberi nama Kamera digital ke-7 memulakan peranan secara rasmi. Itulah kamera hitam yang ditunjukkan dalam gambar atas. Kamera baru yang ditunjukkan pada bawah gambar adalah kamera kompak digital ke-8 saya sejak rajin mengambil gambar hampir penghujung 2006 iaitu lebih 10 tahun. 

Ia adalah juga kali pertama saya memiliki kamera Sony sendiri, sejak beberapa tahun pernah setia dengan Olympus lalu memiliki 3 ke 4 buah kamera jenama tersebut diikuti Nikon kemudian Canon. Sebelum ini saya pernah meminjam kamera Sony milik kawan buat beberapa bulan. Kamera ini datang tepat pada masanya kerana tinjauan berkenaan HIKMAH yang mahu dibuat dalam masa terdekat itu dijadualkan berlaku petang karang. Dan tarikh hari ini, 26 November 2016 adalah ulang tahun saya yang ke-46 mengikut kalendar Gregorian atau kiraan Barat. Itu yang letak "semangat 46" pada tajuk...


Ini adalah gambar rumah saya diambil awal pagi tadi menggunakan kamera terbaru. Ia bukanlah gambar terbaik, paling tajam dan sebagainya. Tapi lebih baik le nampaknya daripada kamera lama. Dengan bajet yang saya ada, bajet hadiah daripada isteri sebenarnya kerana hari jadi saya memadailah kamera baru ini bagi menjalankan tugasan juga memenuhi keperluan untuk merakamkan keadaan di sana sini sekurang-kurangya buat suatu masa.


"Berpetualang ke Aceh" di Kota Buku

Merujuk pada artikel Bedah buku di Kota Buku dan jenama Bona Fida untuk surat khabar yang dibuat Sabtu lepas. Pagi semalam, Jumaat 25 November 2016 sampailah masa untuk melakukan bedah buku.



Saya dan isteri keluar dari rumah sebelum jam 8. Alhamdulillah perjalanan dari rumah kami di Sungai Buaya melalui lebuh raya PLUS hingga keluar di tol Jalan Duta lancar. Bila nak masuk ke Jalan Ipoh baru bertemu kesesakan jalan raya.





Menghampiri lokasi iaitu Menara Maju di atas kompleks membeli belah Maju Junction.


Sampai ke lokasi iaitu pejabat Perbadanan Kota Buku sebelum jam 9.


Di sini ada beberapa ruang santai untuk aktiviti-aktiviti berkenaan buku.


Difahamkan setiap minggu kakitangan Kota Buku mengadakan majlis resensi atau bedah buku tetapi dalam kalangan mereka sahaja. Ini adalah kali pertama penulis sebuah buku terlibat sama. Saya diberitahu selalunya mereka bermula jam 9. Tapi disebabkan kali ini melibatkan orang daripada luar pejabat maka majlis dimulakan jam 9,15.


Memang santai kawasan ini. Sejak pertama kali sampai, untuk melawat tuan Sayed Munawar, CEO Kota Buku pertengahan tahun lepas saya memang menyimpan hajat mahu mengadakan acara di sini. Memang pun dia mengajak saya mengadakan apa-apa majlis melibatkan buku di Kota Buku. Baru kali ini jadi.


Dalam tentatif program saya menyatakan akan memberikan tumpuan pada buku kedua saya bersama Hijjaz Records Publishing merangkap buku ke-9 saya secara keseluruhan iaitu "Menelusuri Jejak Leluhur : Menyingkap Makna Wasiat Nabi" yang terbit Mei lalu.


Sebaliknya, apabila melihat tiada had untuk menceritakan apa-apa, saya terus berkongsi bagaimana siri trilogi asal "Berpetualang ke Aceh" (BKA) boleh terbit 2006-2007. Ini diikuti bagaimana boleh muncul usaha bersama Hijjaz untuk mengembangkan ia menjadi siri baru "Pengembaraan Merah Silu" di mana setiap buku asal BKA mahu dipecahkan kepada dua buku versi baru dengan penambahan maklumat, gambar-gambar, peta dan sebagainya.


Dikongsikan sekali pelbagai pengalaman sebenar hidup termasuk mimpi-mimpi pelik dan sebagainya yang mendorong saya untuk mencari salasilah keturunan lalu terjumpa pelbagai kisah sejarah yang sebelum itu seperti disembunyikan daripada umum. Perkara serupa telah banyak kali dikongsikan dalam majlis-majlis lain. Cuma huraian tentang bab-bab tertentu sahaja boleh muncul mengikut keadaan dan rasa. 

Kelihatan berbaju biru cair di belakang itu Ustaz Mujiburrizal, seorang personaliti televisyen dan penyanyi nasyid dari Aceh yang juga merupakan Duta Muzium Aceh. Beliau yang selalu berulang-alik dari sana turut menyumbangkan pandangan tentang buku dan sejarah Aceh. Menariknya, kemudian baru saya tersedar tarikh bedah buku ini berlaku iaitu 25 November 2016 adalah tepat 4 tahun selepas melaksanakan acara ke-2 HIKMAH di Melaka. Pada majlis itu Mujiburrizal telah membawa dua orang pemuda Aceh untuk berkongsi satu usaha bagi menyelamatkan sebuah situs penting sejarah lama Aceh yang sedang diancam rancangan pembinaan padang golf. Lihat artikel Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Faktor Aceh dan sokongan kerajaan Melaka di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Bergambar selepas acara tamat jam 10,30. Beberapa orang daripada kami terus berlegar-legar berbual-bual dan bercerita panjang macam-macam sehingga jam 12. Kalau tidak kerana selepas itu harus pergi solat Jumaat mahu kami lepak lebih lama di sana. Silap-silap saya boleh melayan tidur di kerusi-kerusi lembut bean bag yang banyak bertaburan di ruang santai. 



Oh. Kota Buku ada membuat rakaman sesi bedah buku ini untuk tatapan semua melalui Facebook mereka. Sila masuk sini kemudian sini untuk menontonnya..



Jumaat, November 25, 2016

Saya dan HIKMAH dalam majalah Seni Bela Diri

Ini ada satu artikel dari blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) yang baru dibuat tadi lalu harus dikongsikan di sini juga, artikel ke-292 di blogspot tersebut. Menariknya, gerak untuk menulisnya muncul pada ketika saya mahu membuat sesi bedah buku di ibu kota Kuala Lumpur dalam tempoh 9 jam lagi dan isteri dijangka muncul dalam suratkhabar esok hari. Lihat Bedah buku di Kota Buku dan jenama Bona Fida untuk surat khabar. Perkongsian di sini pula membentuk artikel ke-1510 di blogspot ini. Semoga ini menjadi petanda banyak perkara baik akan muncul buat usaha dan perjuangan saya. Amin. :]



------------------



Salam malam Jumaat. Pada bahagian akhir artikel Tentang sambutan Maulidur Rasul, keindahan lokasi HIKMAH Bukit Tinggi dan senarai pembentangan ilmu yang ditulis setengah jam lalu ada disebut telah timbul satu keadaan yang mengubah gerak aturan bercerita sehingga saya membuat artikel tersebut sebegitu rupa. Keadaan yang dimaksudkan adalah ada sahabat dalam dunia persilatan telah berkongsikan gambar-gambar berikut. Saya copy paste cerita berkenaan yang telah dibuat di Facebook dengan sedikit suntingan...












SAYA DAN HIKMAH DALAM MAJALAH SENI BELI DIRI

Alhamdulillah ada orang dah kongsi cerita saya bersama HIKMAH yang keluar dalam majalah Seni Bela Diri untuk bulan Disember. Sebetulnya saya pernah diundang untuk ditemuramah oleh seorang wartawan majalah tersebut pada acara ke-7 HIKMAH di Hang Tuah Centre, Melaka 30 November 2013 lagi. Tapi saya menolak dengan baik kerana tak fikir akan begitu lama mengendalikan HIKMAH. Masuk acara ke-14 di masjid lama Chenor, Pahang 9 Mei 2015 pengasas dan pengendali majalah, saudara Azlan Ghanie  sendiri menjadi salah seorang pembentang. Beliau membentang lagi pada acara ke-18 di Muzium, Negara, Kuala Lumpur 22 Oktober 2016 iaitu sekitar sebulan lepas lalu mengundang saya untuk ditemuramah di pejabatnya dalam masa terdekat.

Dua minggu kemudian saya menghubungi beliau untuk satu urusan lain. Lalu cikgu Azlan meminta saya untuk datang ke pejabat dalam tempoh 2-3 hari itu. Saya pun sampai pada suatu petang Jumaat lalu kami berbual-bual panjang tentang pelbagai perkara. Hasilnya adalah artikel dalam majalah Seni Bela Diri edisi Disember 2016 seperti yang kelihatan di atas. Untuk lain-lain cerita dan gambar dalam majalah boleh masuk sini... 


------------------


Nota tambahan tentang hal ini. Adapun saya memang bercadang untuk berkongsi isi berkaitan dalam majalah tetapi apabila dah masuk bulan Disember nanti, dan selepas saya mendapat satu naskah majalah, tak tahu lagi dari mana. Tetapi bila melihat ia sudah ditunjukkan oleh sahabat tersebut melalui FB beliau lalu ditag beberapa orang termasuk saya. timbul rasa ia mesti dikongsikan dalam blogspot HIKMAH malam ini juga. Kebetulan pagi Jumaat ini jam 9.15 saya akan mengadakan satu sesi ulasan buku di tengah  ibu kota Kuala Lumpur. Lihat artikel Bedah buku di Kota Buku dan jenama Bona Fida untuk surat khabar di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Penulisan menurut gerak malam Jumaat ini pula membentuk artikel ke-292 di blogspot HIKMAH. Terasa semuanya muncul dengan barakah dan hikmahnya yang tersendiri, insyaallah.



Isnin, November 21, 2016

Bersilat santai di Muzium Negara - Satu natijah daripada acara HIKMAH di sana sebulan lalu

Berkongsi satu artikel yang baru disiapkan di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) sebentar tadi. Cuma gambar-gambar di sini harus dikecilkan berbanding yang di sana...


------------------


Salam semua. Merujuk pada artikel Memberikan tumpuan pada acara ke-19 di Bukit Tinggi yang dibuat 6 hari lepas. Dalam pada kita mahu memberikan tumpuan pada acara terbaru HIKMAH yang mahu diadakan 17 Disember tak salah jika bercakap tentang acara lain yang mahu mendaulatkan Melayu dan Islam apa lagi ia memang ada kena mengena dengan HIKMAH. Ini ada satu cerita daripada aktiviti semalam...


Hampir tengah hari Ahad 20 November 2016 saya telah membawa isteri dan anak-anak ke Muzium Negara.



Adapun sejak berjaya melaksanakan acara ke-18 HIKMAH di muzium ini sebulan lepas (lihat Acara kelapan belas HIKMAH di Muzium Negara, Kuala Lumpur 22 Oktober 2016) saya cuma pernah sekali sahaja bertandang lagi ke sana.



Itupun saya bertandang sekitar 2 minggu lepas kerana hendak memulangkan satu barangan milik muzium yang seorang sahabat telah terambil kerana menyangkakan ia milik seorang pembentang. Barangan tersebut adalah alatan USB untuk menangkap signal atau isyarat pointer yang biasa digunakan untuk membuat Power Point presentation. Rupanya yang seperti thumb-drive biasa menyebabkan sahabat tersebut menganggap ada salah seorang pembentang telah tertinggal thumb-drive selepas selesai sesi pembentangan pagi hingga tengah hari HIKMAH di auditoriu muzium. Lihat HIKMAH Muzium Negara - Berulang-alik antara pembentangan ilmu di auditorium dengan persembahan silat di dataran. Nasib baik saya dapat jumpa. Kalau tidak, kena bayar RM300 atau beli sendiri yang serupa sebagai ganti.



Kali ini saya datang membawa keluarga untuk melihat satu acara lain tapi berkaitan...



Ia adalah majlis silat santai yang dianjurkan Jabatan Muzium Negara bersama persatuan DSSM (Dunia Seni Silat Melayu) dengan bantuan beberapa pihak.









Alhamdulillah, majlis yang diadakan di tanah lapang berdekatan sebuah istana lama kelihatan cukup meriah dan menarik. Istana berusia lebih 130 tahun itu telah dialihkan dari Terengganu untuk dijaga pihak muzium lalu menjadi sebahagian daripada tarikan pelancong. Lihat artikel Istana Satu (The 'One Palace') di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART.









Saya yang datang santai sebagai seorang pengunjung biasa merasa amat teruja malah terharu pun ada. Kenapa rasa terharu? Kerana melihat anak-anak silat telah diberikan ruang dan kepercayaan oleh Muzium Negara, satu institusi berprestij tinggi lagi ikonik untuk memakmurkan tempat mereka.













Percaya atau tidak inilah salah satu natijah daripada usaha saya dan kawan-kawan membawa acara HIKMAH ke Muzium Negara sebulan yang lalu. Sesungguhnya bukan mudah untuk Jabatan Muzium Malaysia yang turut mengendalikan lebih 20 muzium (kalau tak salah) di seluruh Malaysia untuk memberikan kepercayaan sebegini pada mana-mana pihak. Dengan pertolongan orang tertentu juga reputasi HIKMAH yang telah berjaya mengendalikan 17 majlis ilmu di merata Semenanjung Malaysia membawa luar negara ke Aceh, jalan pun dibuka untuk kami dan kawan-kawan melakukan aktiviti demi aktivi bersama jabatan.


Malah disebabkan usaha penganjuran HIKMAH di muzium kawan-kawan kami telah diberikan peluang untuk mencantikkan satu majlis besar peringkat antarabangsa dan bertaraf diraja anjuran jabatan sebelum acara HIKMAH di Muzium Negara itu sendiri berlangsung. Rujuk artikel Kaitan HIKMAH Muzium Negara dengan perasmian pameran songket Asean oleh Tengku Puan Pahang.



Untuk majlis HIKMAH itu sendiri pula kami telah meminta penggunaan satu kawasan dataran yang agak besar untuk kawan-kawan bersilat di bawah seliaan DSSM negeri Selangor. Lihat HIKMAH Muzium Negara - Kemeriahan di dataran. Inilah yang membuka jalan untuk persatuan silat tersebut menjalinkan usahasama seterusnya bersama jabatan.


Acara bersilat santai semalam adalah yang pertama dianjurkan muzium bersama DSSM.



 Lihatlah kehadiran penonton yang terdiri daripada sejumlah pelancong asing.



Ini baru kali pertama acara diadakan. Penganjurannya baru dirancang secara ad hoc dalam tempoh 2-3 minggu lepas.



Saya dimaklumkan ia mahu diadakan sekurang-kurangnya sekali setiap bulan.



Bila perkara sudah tetap bolehlah ia dimasukkan ke dalam kalendar muzium lalu diwar-warkan ke merata negara. Boleh juga dimasukkan dalam kalendar pelancongan, supaya para pemaju pelancongan dapat memberikan tumpuan dengan membawa lebih ramai pengunjung pada tarikh-tarikh yang ditetapkan.



Bergambar bersama saudara Jazwan Kahar, salah seorang guru yang mengajar pesilat semasa Akademi Silat Pendekar Muda berlangsung di TV Alhijrah beberapa bulan lepas. Beliau datang tidak berbusana tradisional Melayu kerana baru selesai mengendalikan dua program lain. Rujuk artikel-artikel berikut :-





Untuk makluman separuh daripada gambar-gambar yang dikongsikan dalam artikel ini saya ambil daripada Facebook beliau dengan izin.










Ini kerana sudut penggambaran saya sendiri agak terhad. Disebabkan masalah kamera terjatuh semasa HIKMAH Muzium Negara sehingga rosak sistem fokus saya mengambil keputusan untuk mengambil gambar menggunakan handphone kali ini.







Tetapi saya tidak biasa menggunakan handphone untuk mengambil gambar.  Ini sedikit sebanyak mengganggu cara gerak kerja biasa saya ketika merakam perjalanan suatu acara...





Akibatnya saya lebih banyak mengambil gambar daripada satu sudut sahaja.






Nasib baik ada gambar-gambar milik Jazwan untuk membantu menampung cerita...