Sabtu, November 26, 2016

Kamera baru Sony dan semangat 46

Salam semua. Adapun lebih sebulan kebelakangan ini saya banyak membuat posting atau artikel menggunakan gambar-gambar yang kurang jelas. Ini kerana kamera kompak milik saya rosak mekanisma fokus akibat terjatuh ketika mengendalikan satu acara. Rujuk artikel Acara kelapan belas HIKMAH di Muzium Negara, Kuala Lumpur 22 Oktober 2016 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) Gambar-gambar jelas yang dikongsikan sejak itu pula didapatkan daripada orang lain misalnya melalui Facebook mereka.

Dalam tempoh kurang seminggu kebelakangan saya ada menggunakan gambar-gambar yang diambil melalui handphone. Tetapi saya tetap lebih selesa dengan kamera. Sejak ia rosak saya menyimpan hajat untuk membeli yang baru. Semalam baru saya berpeluang menunaikan hajat tersebut dengan membeli sebuah kamera baru. Ini ceritanya.




Sabtu lepas, selepas isteri saya diwawancara oleh akhbar Kosmo (rujuk Bedah buku di Kota Buku dan jenama Bona Fida untuk surat khabar saya rasa tidak tahan lagi dengan keadaan ini. Mood saya bercerita dan merakamkan keadaan sebenarnya sangat terganggu dengan hal kamera rosak itu. Apabila melihat jurugambar mengambil gambar-gambar berkenaan wawancara lagi saya terasa. Ahad keesokannya selepas menghadiri satu majlis di Muzium Negara (lihat Bersilat santai di Muzium Negara - Satu natijah daripada acara HIKMAH di sana sebulan lalu) kemudian menghantar anak ke sekolah asrama saya dan isteri pun berjalan di sekitar Bukit Bintang untuk meninjau kamera yang sesuai sebagai ganti. 

Saya cuma mahu mendapatkan kamera kompak yang dapat sedikit sebanyak memenuhi keperluan dan tidak mahal. Alhamdulillah, nampak satu model yang boleh pakai, cuma poket sedang kosong dan kalau sempat saya mahu meninjau lagi kamera dan harga di tempat lain. Semalam, selepas selesai bercakap tentang buku (lihat "Berpetualang ke Aceh" di Kota Buku) saya tergerak untuk masuk ke sebuah kedai di Kompleks Pertama. Terus ternampak kamera yang sudah dituju (target) di Bukit Bintang tetapi pada harga yang jauh lebih rendah. 

Malah ketika jurujual mendapati saya masih teragak-agak untuk membeli dia menurunkan lagi harga. Itu yang membuat saya membeli kamera baru itu. Lagipun memang saya amat memerlukannya untuk satu tinjauan berkenaan HIKMAH dalam masa terdekat. Selepas itu ada beberapa lagi aktiviti yang rasanya perlu dirakamkan demi memenuhi naluri diri yang pernah menjadi wartawan akhbar buat beberapa waktu.

Tentang kamera lama, biar diberitahu ia telah menemani saya ke merata ceruk rantau negara sejak dibeli  29 September 2015. Kenapa saya boleh ingat ini? Kerana ada menulis cerita ketika ia mula mengambil alih tugas kamera sebelumnya melalui artikel yang diberi nama Kamera digital ke-7 memulakan peranan secara rasmi. Itulah kamera hitam yang ditunjukkan dalam gambar atas. Kamera baru yang ditunjukkan pada bawah gambar adalah kamera kompak digital ke-8 saya sejak rajin mengambil gambar hampir penghujung 2006 iaitu lebih 10 tahun. 

Ia adalah juga kali pertama saya memiliki kamera Sony sendiri, sejak beberapa tahun pernah setia dengan Olympus lalu memiliki 3 ke 4 buah kamera jenama tersebut diikuti Nikon kemudian Canon. Sebelum ini saya pernah meminjam kamera Sony milik kawan buat beberapa bulan. Kamera ini datang tepat pada masanya kerana tinjauan berkenaan HIKMAH yang mahu dibuat dalam masa terdekat itu dijadualkan berlaku petang karang. Dan tarikh hari ini, 26 November 2016 adalah ulang tahun saya yang ke-46 mengikut kalendar Gregorian atau kiraan Barat. Itu yang letak "semangat 46" pada tajuk...


Ini adalah gambar rumah saya diambil awal pagi tadi menggunakan kamera terbaru. Ia bukanlah gambar terbaik, paling tajam dan sebagainya. Tapi lebih baik le nampaknya daripada kamera lama. Dengan bajet yang saya ada, bajet hadiah daripada isteri sebenarnya kerana hari jadi saya memadailah kamera baru ini bagi menjalankan tugasan juga memenuhi keperluan untuk merakamkan keadaan di sana sini sekurang-kurangya buat suatu masa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan