Sabtu, November 26, 2016

"Berpetualang ke Aceh" di Kota Buku

Merujuk pada artikel Bedah buku di Kota Buku dan jenama Bona Fida untuk surat khabar yang dibuat Sabtu lepas. Pagi semalam, Jumaat 25 November 2016 sampailah masa untuk melakukan bedah buku.



Saya dan isteri keluar dari rumah sebelum jam 8. Alhamdulillah perjalanan dari rumah kami di Sungai Buaya melalui lebuh raya PLUS hingga keluar di tol Jalan Duta lancar. Bila nak masuk ke Jalan Ipoh baru bertemu kesesakan jalan raya.





Menghampiri lokasi iaitu Menara Maju di atas kompleks membeli belah Maju Junction.


Sampai ke lokasi iaitu pejabat Perbadanan Kota Buku sebelum jam 9.


Di sini ada beberapa ruang santai untuk aktiviti-aktiviti berkenaan buku.


Difahamkan setiap minggu kakitangan Kota Buku mengadakan majlis resensi atau bedah buku tetapi dalam kalangan mereka sahaja. Ini adalah kali pertama penulis sebuah buku terlibat sama. Saya diberitahu selalunya mereka bermula jam 9. Tapi disebabkan kali ini melibatkan orang daripada luar pejabat maka majlis dimulakan jam 9,15.


Memang santai kawasan ini. Sejak pertama kali sampai, untuk melawat tuan Sayed Munawar, CEO Kota Buku pertengahan tahun lepas saya memang menyimpan hajat mahu mengadakan acara di sini. Memang pun dia mengajak saya mengadakan apa-apa majlis melibatkan buku di Kota Buku. Baru kali ini jadi.


Dalam tentatif program saya menyatakan akan memberikan tumpuan pada buku kedua saya bersama Hijjaz Records Publishing merangkap buku ke-9 saya secara keseluruhan iaitu "Menelusuri Jejak Leluhur : Menyingkap Makna Wasiat Nabi" yang terbit Mei lalu.


Sebaliknya, apabila melihat tiada had untuk menceritakan apa-apa, saya terus berkongsi bagaimana siri trilogi asal "Berpetualang ke Aceh" (BKA) boleh terbit 2006-2007. Ini diikuti bagaimana boleh muncul usaha bersama Hijjaz untuk mengembangkan ia menjadi siri baru "Pengembaraan Merah Silu" di mana setiap buku asal BKA mahu dipecahkan kepada dua buku versi baru dengan penambahan maklumat, gambar-gambar, peta dan sebagainya.


Dikongsikan sekali pelbagai pengalaman sebenar hidup termasuk mimpi-mimpi pelik dan sebagainya yang mendorong saya untuk mencari salasilah keturunan lalu terjumpa pelbagai kisah sejarah yang sebelum itu seperti disembunyikan daripada umum. Perkara serupa telah banyak kali dikongsikan dalam majlis-majlis lain. Cuma huraian tentang bab-bab tertentu sahaja boleh muncul mengikut keadaan dan rasa. 

Kelihatan berbaju biru cair di belakang itu Ustaz Mujiburrizal, seorang personaliti televisyen dan penyanyi nasyid dari Aceh yang juga merupakan Duta Muzium Aceh. Beliau yang selalu berulang-alik dari sana turut menyumbangkan pandangan tentang buku dan sejarah Aceh. Menariknya, kemudian baru saya tersedar tarikh bedah buku ini berlaku iaitu 25 November 2016 adalah tepat 4 tahun selepas melaksanakan acara ke-2 HIKMAH di Melaka. Pada majlis itu Mujiburrizal telah membawa dua orang pemuda Aceh untuk berkongsi satu usaha bagi menyelamatkan sebuah situs penting sejarah lama Aceh yang sedang diancam rancangan pembinaan padang golf. Lihat artikel Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Faktor Aceh dan sokongan kerajaan Melaka di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Bergambar selepas acara tamat jam 10,30. Beberapa orang daripada kami terus berlegar-legar berbual-bual dan bercerita panjang macam-macam sehingga jam 12. Kalau tidak kerana selepas itu harus pergi solat Jumaat mahu kami lepak lebih lama di sana. Silap-silap saya boleh melayan tidur di kerusi-kerusi lembut bean bag yang banyak bertaburan di ruang santai. 



Oh. Kota Buku ada membuat rakaman sesi bedah buku ini untuk tatapan semua melalui Facebook mereka. Sila masuk sini kemudian sini untuk menontonnya..



Tiada ulasan:

Catat Ulasan