Jumaat, Mei 06, 2016

Syarahan arkeologi dan sejarah oleh Profesor Dr Ataullah Bogdan Kopanski di UIAM

Hmm. Nak tulis dalam Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu ni? Apa yang hendak dikongsikan kali ini, syarahan perbincangan dan soal jawab berlaku dalam BI seperti halnya beberapa majlis yang pernah dikongsikan ceritanya sebelum ini baik di blogspot ini mahupun blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEH. Apapun, sebagai seorang aktivis kedaulatan Melayu tentunya saya harus mengutamakan bahasa Melayu. Oleh kerana ini juga melibatkan sejarah Alam Melayu maka eloklah ditulis dalam Bahasa Melayu. Oh, hampir terlupa. Selamat pagi Jumaat untuk semua... :]


Khamis Malam Jumaat 5 Mei 2016. Saya meredah hujan lebat, banjir kilat dan kesesakan jalan raya memandu sendirian 40 km untuk menghadiri satu syarahan ilmu di UIAM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


Syarahan dibuat oleh Profesor Dr Ataullah Bogdan Kopanski, seorang pakar sejarah dan arkeologi bertaraf dunia. Ia dijadualkan bermula jam 8 malam tetapi apabila saya sampai jam 8.52 saya diberitahu ia baru sahaja bermula. Mungkin sebab keadaan cuaca dan jalanraya...


Seperti syarahan-syarahan lain yang pernah saya hadiri di UIAM ia dibuat dalam Bahasa Inggeris kerana melibatkan peserta antarabangsa daripada pelbagai negara. Menariknya ketika saya masuk ke dewan atau mini auditorium tempat ia dilaksanakan, pensyarah/penceramah sedang menunjukkan makam-makam berbatu nesan Aceh yang sudah dikunjungi beliau di Malaysia.


Turut ditunjukkan, gambar makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Kampung Raja, Pagoh, Muar, Johor, satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih terpelihara di Malaysia. Cuma saya rasa Kopanski ada sedikit keliru apabila menyebut ia terletak antara Muar dan Johor. Tak boleh salahkannya. Dia orang Eropah, berasal dari Poland. Walaupun difahamkan beliau sudah lama mengajar di UIAM tak bolehlah harap beliau tahu kedudukan semua tempat di Malaysia dengan tepat. 



Beliau turut menunjukkan perjalanan ke tempat-tempat bersejarah di lain-lain tempat di Asia Tenggara termasuk di Aceh.


Ini disusuli dengan lawatan ke tempat-tempat bersejarah di merata Eropah dan Timur Tengah. Saya difahamkan yang ini memang kepakaran beliau. Dah memang tempat asal beliau pun di sebelah sana...


Kalau tak salah lebih 30 minit juga beliau menunjukkan koleksi gambar-gambar perjalanan beliau sambil berseloroh lalu menimbulkan banyak gelak ketawa. Saya cuma tangkap beberapa sahaja. Antara yang ditunjukkan adalah gambar-gambar beliau semasa muda, pernah jadi askar malah tawanan dan buangan politik pun ada. Ternyata Profesor asal Poland yang pernah menetap lama di Amerika sebelum mengajar di Malaysia memiliki liku-liku hidup yang sangat berwarna-warni. Beliau dilahirkan tahun 1948 dalam kalangan keluarga bangsawan, sempat ditunjukkan kota atau castle serupa istana milik keluarga yang sempat didudukinya ketika membesar, tanah-tanah pertanian luas saujana mata memandang. Lihat sejarah hidup yang tertera dalam Wikipedia di sini.


Sampai tasik sebesar lombong di Malaysia pun beliau ada milik sendiri! Namun perjalanan hidup membawa beliau untuk memeluk Islam pada tahun 1974 lalu berkahwin dengan seorang wanita Arab di Syria. Maka ditunjukkan juga gambar-gambar isteri berjilbab penuh setakat nampak mata, rumah mereka di sana dan apa yang terjadi kepada mereka setelah berlaku kekacauan perang di Syria sehingga memusnahkan rumah.


Jam 9.29 (menurut kamera saya) baru pertunjukan gambar-gambar selesai lalu Kopanski bersyarah secara terus tanpa gambar.


Dengan itu lampu dewan pun dibuka. Kelihatan ramai juga berminat untuk mendengar syarahan...








Beliau mula membuka hal kedatangan Islam ke Asia Tenggara/Alam Melayu. Secara terus terang Kopanski menyatakan tidak bersetuju dengan pendapat Profesor Syed Naguib al-Attas bahawa Islam dibawa ke rantau ini oleh para pendakwah dan pedagang dari Yaman di hujung Semenanjung Arab. Teori-teori lain, tetapi dipelopori Barat turut disebut seperti Islam dibawa dari India juga dari China. Namun beliau menegaskan ada memiliki teori sendiri...


Adapun tajuk syarahan sebenarnya adalah "Historical Archaelogy & Pre-Colonial Malaysia". Terjemahan saya, Arkeologi Berdasarkan Sejarah dan Zaman Sebelum Penjajahan di Malaysia. Beliau membuka hal ini dengan menyatakan banyak kajian arkeologi di dunia ini beliau lihat tidak jujur malah membohong. 'Penemuan' dibuat dalam kerangka pemikiran/pendapat/teori yang sudah lebih awal dipegang oleh pengkaji lalu dipilih untuk menepati teori. Kalau ada bukti atau artifak tidak menepati ia akan dibuang, disingkirkan atau dibuat tak tahu.

Sepatutnya penemuan demi penemuan dibuat dan dikumpulkan sehingga cukup lengkap kemudian baru 'dibaca' keadaan lalu terbitlah teori. Namun realitinya telah berlaku banyak pembohongan dalam dunia arkeologi juga kajian sejarah itu sendiri untuk menyokong pandangan dan kepentingan pihak tertentu terutama perspektif Barat yang anti-Islam.  Lalu Kopanski turut menyebut hal status penjajahan British ke atas tanah Melayu. Kata beliau, secara rasmi dan bertulis, British cuma menaungi negeri-negeri di Tanah Melayu lalu kelihatan seperti ingin melindungi dan membawa kebaikan kepada orang tempatan. Tetapi hakikatnya? Kita semua tahu memang Tanah Melayu dijajah lalu nasibnya ditentukan oleh pihak yang menjajah...


Dalam bercerita hal pembohongan arkeologi Kopanski ada menyebut bahawa para pengkaji Yahudi telah bertungkus-lumus untuk mencari bukti-bukti konkrit dan artifak yang dapat menunjukkan nenek-moyang mereka pernah menguasai kawasan sekitar Israel sekarang, Palestin dan sebagainya sejak zaman berzaman. Ini dibuat untuk menunjukkan 'hak' mereka ke atas bumi/wilayah tersebut lalu layak untuk menghalau keluar orang lain seperti Arab Palestin. Kata beliau apa yang telah ditemui adalah artifak-artifak zaman pendudukan Empayar Rom dan sebagainya, tidak adapun bukti purba penguasaan Yahudi.  Malah tidak pernah ditemui pun artifak menunjukkan zaman keagungan pemerintahan Nabi Daud yang sangat diagung-agungkan oleh Yahudi, satu keadaan yang dikira berlaku 3,000 tahun lalu. 

Beliau pun menambah, ini berlaku kerana kaum Yahudi juga Bani Israel secara umum adalah bangsa nomad yang hidup berpindah-randah lalu tidak betul-betul mendirikan tamadun dengan bangunan-bangunan baru kekal dan sebagainya. Ini disamakan dengan hal bangsa Viking di kawasan Scandinavia (Denmark, Norway, Sweden) juga bangsa Mongol yang wlaaupun menguasai wilayah yang besar tidak pernah menerbitkan bandar-bandar tetapi sering menceroboh dan menjarah bandar orang. Walaupun saya membenci perangai orang Yahudi yang suka membuat onar di merata dunia saya tidak bersetuju dengan kenyataan menyebut mereka sebagai nomad sahaja. Maka apabila syarahan tamat lalu sesi soal jawab dibuka saya pun menyatakan pendirian sambil meminta beliau menerangkan lagi apakah yang dimaksudkan.


Pada saya kenyataan Yahudi/Bani Israel itu nomad adalah benar pada zaman mereka dibawa keluar daripada Mesir oleh Nabi Musa AS ke bumi Palestin dan Baitul Maqdis. Ini juga benar buat beberapa lama sehingga mereka mendapat raja lalu berlakulah peristiwa Jalut menentang Thalut yang sangat terkenal itu diikuti kenaikan Nabi Daud sebagai pemerintah kerajaan Bani Israel. Boleh jadi juga pada zaman itu bangsa Yahudi tidak ada membina bandar-bandar. Tetapi bagaimana pula pada zaman Nabi Sulaiman AS, anakanda Nabi Daud? Bukankah al-Quran sendiri menyebut Nabi Sulaiman membina gedung-gedung yang megah, patung-patung, piring gergasi dan sebagainya?

Kopanski setakat meneruskan pendirian dengan menyatakan bukti arkeologi dan artifak memang belum lagi ditemui untuk menyokong semua cerita tersebut Ini boleh berlaku kerana sering terjadi tinggalan arkeologi zaman terdahulu dimusnahkan oleh mereka yang menguasai wilayah kemudian seperti orang Babilon juga Rom. Dialog diteruskan sambil beliau duduk santai bersama peserta. Ada pula kemudian bertanya apakah beliau sudah melihat makam-makam di Pulau Besar, Melaka? Seorang lagi bertanya sudahkah melihat kesan industri besi purba di Sungai Batu, Kedah? Kopanski menjawab belum. Apabila dinyatakan betapa pentingnya tempat-tempat ini dijejaki untuk memahami lebih baik sejarah Alam Melayu, beliau menyatakan komitmen akan pergi nanti.


Sesungguhnya Kopanski pada awal syarahan ada menyatakan bahawa para pelajar dan pengkaji mesti pergi menjejakkan kaki di tempat-tempat berkenaan yang ada kesan sejarah dan arkeologi, baru boleh memahami duduk letak perkara dengan baik. Lihat dan teliti bentuk muka bumi, aliran sungai, cuaca dan sebagainya. Baru kita boleh membaca apakah kedudukan patut suatu bangunan purba yang sudah runtuh dan hal-hal berkaitan. Ini memang saranan yang saya sendiri sentiasa nyatakan kepada semua. Jangan menulis atau bercakap semata-mata berdasarkan tulisan/hasil kajian usaha orang lain. Usahakanlah untuk menjejak sesuatu secara fizikal, jadi orang yang cakap serupa bikin, bukan setakat pandai cakap berdegar-degar di Internet dan Facebook tetapi hakikat diri dan pengalaman sebenar ibarat jauh panggang dari api.

Dalam hal ini Kopanski sudah membuktikan dirinya sebagai seorang tokoh pemikir besar yang layak dipegang kata-katanya, sudah menjejakkan kaki ke merata tempat bersejarah di dunia. Beliau juga telah menjejakkan kaki ke banyak tempat di Malaysia, cuma ada tempat-tempat penting yang nampaknya beliau terlepas pandang, mungkin kerana belum ada yang memberitahu.  Di atas kelihatan gambar beramai-ramai bersama separuh peserta yang masih berlegar selepas sesi soal jawab selesai. Cuma ada yang melihat syarahan Kopanski terlalu umum kerana mengharapkan sesuatu yang lebih khusus melibatkan Alam Melayu seperti dibayangkan pada tajuk rasmi syarahan. Mungkin tidak cukup masa untuk memperincikan perkara dengan lebih mendalam kerana beliau telah mengambil banyak masa untuk menerangkan pendirian umum berbentuk falsafah diri dalam menanggapi keseluruhan bidang arkeologi dan kajian sejarah itu sendiri.


Rabu, Mei 04, 2016

Ke Pesta Buku KL di Serdang untuk menjernihkan hal buku yang dituduh berunsur Syiah

Salam semua. Malam ini masuklah tarikh 27 Rejab, malam Isra' dan Mikhraj. Semoga dengan berkat malam yang pernah menyaksikan Nabi Muhammad SAW dibawa dari Mekah ke Baitul Muqaddis kemudian diangkat ke langit lebih 1,400 tahun yang lampau akan timbul sesuatu hikmah yang baik daripada apa yang berlaku baru-baru ini. Dengan itu, artikel Tentang Pesta Buku KL 2016 dan cabaran ke atas penulisan buku yang dibuat semalam pun dirujuk. Cerita ini boleh dikira bersambung daripada artikel itu...


Sudah disebut dalam artikel itu bahawa bermula Rabu 4 Mei saya bercadang untuk menghadiri Pesta Buku KL 2016 yang julung-julung kali diadakan di MAEPS, Serdang. Tengah hari tadi saya pun bergegas ke sana bersama isteri. Inilah kali pertama kami bertandang ke tempat ini.


Peliknya kawasan sekitar kelihatan kosong, seperti tiada apa-apa berlaku...





Bila dah sampai ke kawasan antara dewan baru kelihatan aktiviti.






Rupa-rupanya kami masuk melalui jalan belakang. Dah meninjau ke luar dewan baru ternampak kawasan hadapan di mana orang ramai masuk berduyun-duyun.


Baru kelihatan ada suasana pesta. Nampaknya lokasi baru Pesta Buku KL ini boleh tahan walaupun kedudukannya jauh daripada laluan biasa orang ramai, tidak seperti lokasi terdahulu di PWTC yang terletak di tengah bandar raya KL...



Saya difahamkan ada 3 atau 4 dewan digunakan untuk pesta, Mari kita masuk ke dewan utama dan terbesar.





Sambil melihat ke dalam bolehlah diceritakan hal buku pertama saya bersama Hijjaz Records Publishing (HRP) yang baru-baru ini dituduh pihak KDN sebagai berunsur Syiah. Akibatnya HRP disarankan agar memberhentikan jualan lalu sesi bedah buku yang dijadualkan akan berlangsung pagi Jumaat 6 Mei harus dibatalkan. Sebelum ke sini, saya dan isteri telah terlebih dahulu bertandang ke pejabat HRP untuk bertemu dengan pengurus besar. Kami cuba meminta beliau agar meneruskan sesi bedah buku. Cadangan kami, kalau KDN tetap bertegas buku yang bertajuk "Mencari Diri dan Erti" itu tidak boleh dibincangkan maka kita tukar sahaja tajuk. Tak perlu bincang tentang buku tersebut tetapi bincang tentang Siri Pengembaraan Merah Silu secara keseluruhan...

Opps. Ketika menulis ayat ini dah masuk jam 9 malam. Saya kena berhenti sebentar untuk menonton episod ke-9 Akademi Silat Pendekar Muda di TV Alhijrah ya... :]


OK. Sambung balik cerita...


Pengurus besar HRP menjawab mereka perlu menonjolkan buku. Pada ketika ini cuma satu sahaja buku saya sudah keluar bersama mereka. Oleh itu tidak dapatlah diteruskan sesi bedah buku kerana KDN sudah melarang tajuk itu daripada diangkat dalam sesi. Saya pun menyahut, kalau begitu biar saya cuba jumpa orang KDN di lokasi pesta buku. Semoga keadaan dapat dijernihkan dengan penerangan yang pada saya cukup mudah. Bahawa apa yang dikatakan sebagai unsur-unsur Syiah dalam buku saya itu sekadar penerangan dalam bentuk dialog untuk menjelaskan pelbagai bentuk mazhab Syiah yang wujud agar konflik Sunni-Syiah yang dikatakan pernah melanda kesultanan Perlak di Aceh lebih 1,000 tahun lalu dapat difahami dalam konteks yang lebih adil dan saksama. 


Saya pun disarankan agar bertemu dengan seorang petugas HRP yang bertanggungjawab ke atas keseluruhan gerai mereka di pesta buku. Mintak petugas itu membawa saya berjumpa dengan pegawai KDN. Kalau perkara dapat dijernihkan lalu KDN memberikan kebenaran, insyaallah boleh diteruskan sesi bedah buku, kata pengurus.



Saya dan isteri pun pergi ke lokasi membawa harapan tersebut. Sampai di luar dewan terserempak pula dengan saudara Sayed Munawar yang merupakan seorang personaliti televisyen, Beliau yang juga menerajui Perbadanan Kota Buku, satu badan berkaitan kerajaan yang ditugaskan untuk mempromosi dan memajukan industri buku negara sudah lama saya dan isteri kenali. Untuk pengetahuan beliau pernah menemuramah saya untuk program Resensi dalam Selamat Pagi Malaysia siaran tv RTM ketika siri trilogi  novel "Berpetualang ke Aceh" yang diterbitkan tahun 2006-2007 baru bertapak hampir 10 tahun lalu. Lihat artikel lama Mengenang ulasan siri buku "Berpetualang ke Aceh" dalam program Resensi, Selamat Pagi Malaysia di RTM1 penghujung 2007...


Apabila HRP bersetuju untuk menerbitkan kembali siri ini dalam bentuk baru yang dikembangkan menjadi 6 buku dalam Siri Pengembaraan Merah Silu lalu terbitlah buku pertama siri pada bulan September 2015, Sayed juga yang menemuramah saya tentang buku untuk program sama. Lihat Wawancara siaran langsung "Mencari Diri dan Erti" di TV1.  Maka beliau sudah sedia tahu akan keadaan buku yang baru beberapa hari mendapat teguran KDN sehingga mengganggu rancangan untuk mengadakan bedah buku. Kebetulan ketika itu juga seorang pegawai tinggi pihak pengurusan pesta berada dekar situ, Sayed memperkenalkannya sebagai bos MOAB ke apa, saya tak berapa dengar tapi nampaknya merujuk kepada suatu badan pengajuran majlis. Oleh kerana dia harus bergegas untuk satu mesyuarat saya dan isteri ditinggalkan bersama hamba Allah tersebut.



Pegawai itu juga sudah sedia maklum akan hal buku saya yang didakwa berunsur Syiah itu. Katanya menjadi prosedur mereka, setiap buku yang mahu dibincangkan dalam sesi bedah buku harus diteliti oleh KDN sebelum diberikan pelepasan untuk meneruskan acara. Katanya lagi pihak Hijjaz telah menghantar buku lewat, sebab itu baru mendapat teguran. Kalau dihantar awal tentu perkara boleh diselesaikan dengan menghantar surat menerangkan hal kepada KDN. 

Apapun dia menambah bahawa nasib buku tersebut kini berada dalam tangan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) untuk menilai.. KDN akan menurut keputusan JAKIM. Jadi kalau saya atau pihak HRP dapat berjumpa dengan pihak JAKIM lalu hal ini dijernihkan pun ia akan memakan masa. Yang pasti, ia takkan dapat diselesaikan sebelum Jumaat 6 Mei, tarikh sesi bedah buku dijadualkan. Maka itu buku itu langsung tidak boleh dibincangkan kepada umum di pesta buku, jadi bagaimana mahu dibuat bedah buku?


Mendengar ini saya pun bertanya. Apa kata kalau slot bedah buku itu digantikan dengan perbincangan umum mengenai penulisan buku? Oleh kerana saya dijangka akan menulis banyak lagi buku untuk HRP terutama atas nama Siri Pengembaraan Merah Silu, maka boleh sahaja kita berbincang banyak perkara lagi. Yang penting, saya ada peluang untuk menjelaskan pendirian saya kepada umum walau tanpa menyebut hal buku "Mencari Diri dan Erti" sekalipun. Saya sudah nampak caranya kerana saya bukan baru menulis satu dua buku. Saya ada banyak lagi pengalaman, kajian dan penemuan yang boleh dikongsikan jika perlu. Pegawai itu kata tiada masalah. Bila dah ambil slot kita boleh aje bercerita apa yang kita mahu. Tak semestinya tentang buku, apa lagi berkenaan buku yang mendapat teguran KDN.



Pegawai itu pun menghubungi petugas yang bertanggungjawab terhadap slot penggunaan pentas utama iaitu lokasi khas untuk bedah buku dan lain-lain promosi, Kelihatan di atas jadual slot/program untuk pentas tersebut sepanjang Pesta Buku KL 2016 berlangsung 29 April hingga 9 Mei. Terus saya mendapat jawaban bahawa pihak HRP sendiri telah membatalkan sesi sebaik sahaja mendapat teguran KDN. Pihak pengurusan pesta akan memulangkan wang yang dibayar untuk slot.

Tapi pegawai itu juga menyatakan kalau saya dapat meyakinkan HRP untuk mendapatkan kembali slot tersebut maka acara pun boleh diteruskan atas nama perbincangan umum buku atau penulisan yang sudah saya cadangkan. Itupun kalau slot tersebut belum diberikan kepada pihak lain. Dengan itu saya pun menghubungi pengurus besar HRP untuk menyatakan perkara. Selagi hal ini boleh diusahakan, saya akan tetap mencuba.


Dipendekkan cerita, sesi bedah buku saya tetap tidak dapat diadakan. Pengurus besar sudah tawar hati untuk menghubungi pihak pesta buku mahupun KDN. Mendengar ini saya rasa tak perlulah dipanjangkan lagi perkara. Saya pun sudah bersedia untuk menerima pembatalan acara, akur akan hak penerbit yang harus memikirkan hal dan kepentingan jangka panjang. 

Sekarang yang diperlukan adalah menjernihkan perkara dengan JAKIM dan HRP sedia untuk melakukan ini. Di atas adalah bahagian pada poster slot acara menunjukkan bahawa sesi bedah buku saya telah diwar-warkan kepada umum oleh pihak pengurusan pesta buku itu sendiri. HRP ada memberitahu mereka tidak terlewat menyerahkan buku kepada pihak pesta untuk dinilai. Terasa seperti ada yang tak kena, ada gangguan daripada pihak tertentu untuk menggagalkan acara malah memburukkan reputasi saya dengan cara mengaitkan diri ini dengan Syiah...


Keadaan ruang letak kereta di hadapan kompleks MAEPS dilihat dari dalam dewan berdekatan. Nampak cukup meriah, tidak seperti di ruang belakang tempat saya masuk bersama isteri. Terus terang cakap apabila sampai ke rumah timbul rasa sedih dan kecewa sehingga saya merasakan tidak mahu lagi ke pesta buku ini walaupun masih berbaki lagi beberapa hari. Tempat ini pun bukannya dekat, lebih 70 km dari rumah saya. Buat apa berpenat-lelah lagi datang pada kala buku saya sedang dituduh berunsur Syiah dan sesi bedah buku telah dibatalkan?



Gambar ketika menuju ke kereta. Dah sampai sini baru terfikir saya tiada gambar sendiri untuk pesta ini. Tapi ada le beberapa orang meminta untuk bergambar sama ketika berada di dalam dewan. Itu semua direkodkan dalam kamera atau telefon bimbit mereka...

Tadi ketika menonton program Akademi Silat Pendekar Muda yang ditayangkan setiap hari Rabu malam Khamis jam 9-10.30 tiba-tiba saya mendapat sedikit kesegaran. Terus terfikir, apa salahnya bertandang lagi ke pesta buku pada hari Ahad ini 8 Mei?  Apa salahnya membantu menyerikan gerai HRP walaupun buku saya telah mendapat teguran KDN lalu berada di bawah perhatian dan pengawasan mereka? Lagipun memang saya ada diundang untuk menghadiri sesi bedah buku bersama seorang lagi penulis HRP yang dijadualkan berlangsung jam 10-11 kalau tak pun 11-12.

Dengan itu, insyaallah saya akan berada di sana sepanjang hari Ahad ini. Silalah datang ke gerai HRP, Cari kami  di gerai bernombor 2019-2020, Dewan A2, MAEPS. Mudah aje. Masuk melalui pintu dewan seperti yang tertera dalam gambar ke-9 artikel ini. Jalan terus ke hadapan sampai ke gerai terakhir pada arah itu, belok kiri dan terus berjalan sampai ke hujung. Gerai HRP harus kelihatan ke kiri. Meh. Jumpa kita di sana.. :]



Selasa, Mei 03, 2016

Tentang Pesta Buku KL 2016 dan cabaran ke atas penulisan buku

Rasanya ramai sudah tahu bahawa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 sedang berlangsung di MAEPS, Serdang 29 April hingga 9 Mei. Untuk pengetahuan inilah kali pertama ia diadakan di sana, di kompleks ekspo yang biasanya digunakan untuk pameran dan jualan barangan pertanian dan penternakan, Sebelum ini ia sudah beberapa tahun diadakan di PWTC iaitu di tengah bandar raya Kuala Lumpur. Ini ada sedikit cerita...



Mereka yang rajin mengikut perkembangan penulisan saya tentu tahu sejak awal tahun lepas saya telah komited untuk menghasilkan buku-buku baru bersama HRP, Hijjaz Recording Publishing. Antara yang mahu dihasilkan adalah Siri Pengembaraan Merah Silu. Ia adalah pengembangan daripada trilogi asal novel "Berpetualang ke Aceh" yang saya tulis dan terbitkan sendiri 2006-2007.  Setakat ini sebuah buku siri baru telah selamat diterbitkan pada bulan September 2015. Lihat artikel-artikel berikut :-


1. Mencari Diri dan Erti : Menjejak Salasilah Kesultanan yang Hilang" dah keluar!

2. Kenangan Sekolah Sains Johor dalam buku "Mencari Diri dan Erti"

3. Wawancara siaran langsung "Mencari Diri dan Erti" di TV1

4. Buku "Mencari Diri dan Erti" dah masuk kedai...

5. Bila yang tiada daya dan upaya mengharapkan gerak penulisan yang tepat daripadaNya...


Untuk pesta buku ini saya asalnya dijadualkan untuk keluar dengan satu buku baru di bawah siri lain yang dipanggil Siri Pemikiran Merah Silu. Tetapi disebabkan gangguan dalam rentak penulisan saya cuma dapat menyiapkan manuskrip buku pertama siri tersebut pada penghujung bulan Mac lalu tidak sempat diterbitkan untuk pesta buku. Apapun saya ada naskah buku kedua Siri Pengembaraan Merah Silu yang sudah cukup sifat untuk diterbitkan seawal pertengahan April. Tetapi disebabkan muncul halangan lain pada pihak penerbit saya dimaklumkan ia juga tidak dapat dipersembahkan untuk pesta buku.

Maka nak tak nak cuma buku "Mencari Diri dan Erti" yang sudah berada di pasaran sejak setengah tahun lalu sahajalah yang dapat ditonjolkan dalam pesta buku KL yang merupakan pesta terbesar seumpamanya di negara kita. Sekitar 3 minggu lepas saya dihubungi pihak HRP meminta saya untuk hadir sesi bedah buku untuk tajuk itu, pada 6 Mei. Setelah mendapati tarikh ini tiada selisih dengan apa-apa komitmen lain saya pun bersetuju. Tidak lama kemudian poster untuk sesi pun dikeluarkan lalu diwar-warkan melalui Facebook dan Whatsapp.



Seminggu lepas pihak HRP menghubungi saya lagi lalu memberitahu bahawa buku sambungan untuk "Mencari Diri dan Erti", buku yang diberi tajuk "Menelusuri Jejak Leluhur : Menyingkap Makna Wasiat Nabi" dapat diterbikan untuk pesta buku. Cuma ia akan keluar daripada kilang lambat sedikit iaitu selepas beberapa hari pesta berlangsung. Dengan itu ia juga akan dimasukkan dalam sesi bedah buku 6 Mei. Biar dikongsikan rangka soal jawab untuk sesi yang disediakan oleh pihak HRP...


TAJUK BUKU: MENCARI DIRI DAN ERTI: MENJEJAK SALASILAH KESULTANAN YANG HILANG

PENULIS: RADZI SAPIEE@ MERAH SILU

6 Mei 2016 (Jumaat): 10-11 Pagi
                                                      
Dalam tempoh 5-10 minit pertama, penulis diminta memperkenalkan sedikit sebanyak tentang buku Mencari Diri dan Erti tersebut. Dan pada akhir sesi, penulis diminta memperkenalkan buku baru Menelusuri Jejak Leluhur: Menyingkap Makna Wasiat Nabi.

1.       Saya difahamkan buku travelog ini sebenarnya telah diolah daripada siri Berpetualang Ke Aceh, yang pernah diterbitkan sebelum ini. Jadi boleh En Radzi terangkan sedikit tentang siri-siri  buku tersebut.

2.       Mengenai buku Mencari Diri dan Erti Ini: Menjejak Salasilah Kesultanan yang Hilang, apa yang Encik Radzi cuba sampaikan?

3.       Encik Radzi, mengapakah Berpetualang Ke Aceh? Kenapa ‘Aceh’ yang dipilih, bukan negara lain? Adakah ianya ada keistimewaan sendiri? Ataupun hanya kebetulan sebagai penyedap tajuk?

4.       Jadi, adakah buku ini hanya menyentuh sejarah-sejarah berkaitan kerajaan Aceh sahaja? Atau turut mengaitkan dengan kerajaan lain.

5.       Dalam buku ini ada diceritakan tentang kerajaan, kesultanan terdahulu dan sebagainya. Adakah semua itu berdasarkan kajian En Radzi sendiri? Atau ada unsur tokok tambah atau sebagainya?

6.       Menghasilkan sebuah travelog pada masa sama menyelitkan unsur sejarah dengan fakta yang ampuh, bukanlah sesuatu yang mudah. Jadi bagaimana En Radzi mendapat ilham dalam  menghasilkan sebuah buku yang begitu unik ini?

7.       Saya juga mendapat dapat tahu, banyak lagi buku yang akan dihasilkan dan diterbitkan oleh Hijjaz Record Publishing selepas ini, boleh jelaskan secara ringkas bersama-sama kami di sini. (memperkenalkan buku Menelusuri Jejak Leluhur; Menyingkap Makna Wasiat Nabi).

8.       Sejak berada di pasaran pada akhir tahun lepas, buku ini antara buku best seller HRP yang begitu mendapat sambutan.  Namun, untuk selepas ini apa pula harapan En Radzi terhadap buku-buku bergenre sejarah seperti ini?

9.       Akhir kata, mengapa buku ini wajar dimiliki dan dibaca oleh semua pembaca?




Berita bahawa buku kedua dalam Siri Pengembaraan Merah Silu dapat diterbitkan untuk Pesta Buku KL, cuma lewat sedikit apa lagi baru ini kilang harus bercuti lama kerana sambutan Hari Buruh 1 Mei sungguh menaikkan semangat untuk terus berkarya. Cuma tadi saya baru mendapat berita yang agak mengganggu daripada HRP. Saya diberitahu oleh pengarang bahawa pihak KDN iaitu Kementrian Dalam Negeri telah datang ke gerai HRP lalu meminta penjualan buku "Mencari Diri dan Erti" dihentikan. Ini kerana ada dakwaan bahawa buku ini memiliki unsur-unsur Syiah lalu harus disemak dahulu oleh JAKIM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Apabila HRP memberitahu bahawa satu sesi bedah buku untuk tajuk tersebut akan diadakan pada 6 Mei, KDN juga meminta ia agar dibatalkan. Hal ini cukup mengganggu sehingga saya diberitahu pengurus besar HRP sudah akur lalu mahu membatalkan sesi. Saya pula meminta kepastian daripada pengarang bagaimanakah kata-kata dituturkan oleh pihak KDN. Setelah meneliti butiran saya dapati ia lebih pada nasihat, bukan disabitkan kesalahan lalu sebetulnya tidak ada halangan untuk meneruskan penjualan mahupun sesi sekurang-kurangnya buat masa ini.

Cuma saya tidak dapat menghubungi pengurus untuk menjernihkan keadaan, Beliau harus sangat sibuk ketika ini lalu susah untuk dihubungi. Tak mengapa. Saya pun telah bercadang akan mula hadir ke pesta buku mulai esok iaitu hari Rabu 4 Mei. Saya percaya sesi boleh diteruskan... kalau perlu, ubah sahaja tajuk menjadi perbincangan buku tentang keseluruhan Siri Pengembaraan Merah Silu itu sendiri. Di celah-celah itu bolehlah disentuh tentang buku "Mencari Diri dan Erti". Kalau mahu boleh sahaja dakwaan buku kononnya berunsur Syiah diangkat lalu saya akan menjawabnya di hadapan khalayak ramai. Saya yakin tidak berbuat salah dan boleh menerangkan keadaan walau secara spontan.

Pengarang memaklumkan pihak KDN telah menunjukkan muka-muka surat tertentu yang didakwa berbau Syiah itu. Saya telah menelitinya kembali lalu mendapati ia cuma satu kumpulan hujah untuk menjawab dakwaan sesetengah sejarawan bahawa Kesultanan Perlak yang muncul di bahagian utara Pulau Sumatera 1,200 tahun dahulu adalah sebuah kerajaan Syiah. Dalam membina hujah dan menerangkan keadaan saya telah menghuraikan beberapa cabang ajaran Syiah dan perkara pokok yang dipercayai penganutnya. Tidaklah sesekali saya menyokong mana-mana unsur Syiah yang sesat lagi menyesatkan. 

Nah. Anda nilailah sendiri muka-muka surat berkenaan. Cukup saya menyebut tentangnya. Insyaallah jumpa kita di pesta buku terutama pada sesi bedah buku jam 10-11 pagi Jumaat 6 Mei ini...


















Isnin, Mei 02, 2016

Misi jelajah Bukit Jeram dan sekitarnya

Salam semua. Ini ada satu cerita. Sekitar 2 bulan lalu saya telah dihubungi oleh seorang hamba Allah yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang anak tempatan dari Jeram, berdekatan Kuala Selangor. Beliau memberitahu mahu mengadakan satu ekpedisi bagi menandakan tempat-tempat bersejarah di Jeram lalu mengajak saya bersama. Satu tarikh yang sesuai pun dipersetujui lalu perancangan diatur sambil membawa lebih ramai untuk terlibat sama. Tetapi entah kenapa, tinggal beberapa hari sebelum ekspedisi tiba-tiba ia dibatalkan begitu sahaja. 

Tanpa memberitahu kepada saya, setakat menyatakan secara umum dalam satu grup WhatsApp yang dibuka untuk ekpedisi, hamba Allah yang mengajak menyatakan ia ditunda ke satu tarikh yang tak tentu. Hal ini menyebabkan beberapa rakan isteri saya yang sudah begitu teruja untuk bersama merasa kecewa. Mereka betul-betul teringan hendak ke Jeram terutama ke sebuah bukit yang terdapat di sana. Dengan itu mereka pun merancang untuk membuat ekspedisi sendiri lalu saya harus bersama. Inilah ceritanya...


Rancangan untuk mengadakan ekspedisi itu sendiri disepakati lebih kurang 2 minggu lalu. Sabtu 30 April 2016 kami pun bergegas ke lokasi utama iaitu Bukit Jeram.


Saya dan isteri pernah menjelajah dan mendaki sendiri bukit ini 6 tahun lalu. Kali ini, dengan dipandu beberapa orang penduduk tempatan kami dibawa melalui jalan lain berdekatan kubur awam Islam di satu bahagian kaki bukit.


Termasuk dalam ekspedisi adalah empat orang kanak-kanak dan beberapa orang perempuan. Semuanya kelihatan begitu teruja.


Kami pun mula masuk ke dalam hutan lereng bukit.








Setelah mendaki ke satu bahagian separuh bukit kami turun untuk sampai ke tempat tertentu...


Kami ditunjukkan satu kawasan tersorok di mana terdapat sejumlah makam lama. Dipercayai ada satu tragedi telah berlaku melibatkan perebutan takhta kerajaan Selangor. Lihat artikel Makam-makam lama di lereng Bukit Jeram (Old tombs at the slopes of Jeram hill) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Selesai urusan di makam kami kembali mendaki bukit.


Laluan yang diambil agak curam dan mencabar. Nasib baik anak-anak dan kaum perempuan yang ikut sama cukup lasak dan bersemangat untuk meneruskan...


Sampai ke kawasan terbuka tetapi penuh semak baru tanah kembali landai. Dari sini boleh kelihatan pemandangan menarik ke arah Selat Melaka. Lihat artikel Views from an open part of Bukit Jeram di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Kemudian baru kami mendaki ke puncak.


Ke bawah sedikit sebelum puncak adalah tinggalan perigi...


Naik ke kawasan landai yang terletak di puncak.


Anak saya, Rasyid berdiri di atas sebuah batu penanda.


Berehat di batu lain yang turut menandakan kawasan puncak.


Kami turun lalu keluar hutan bukit melalui bahagian lain tanah perkuburan awam. Penduduk tempatan yang memandu kami dalam perjalanan ini menunjukkan beberapa buah kubur yang kelihatan menonjol. Tenyata saya telah merekodkannya pada satu lawatan terdahulu yang dibuat 5 tahun lalu. Lihat artikel Tanah perkuburan Islam (Muslim burial ground at) Bukit Jeram.


Seterusnya kami dibawa ke dalam satu kawasan ladang kelapa sawit untuk melihat tanah perkuburan lama yang juga ada kena mengena dengan kerabat diraja Selangor.


Saya terasa seperti pernah sampai di sini lalu memberitahu isteri tentangnya. Dia tak ingat langsung lalu menyatakan mungkin saya seorang sahaja yang dah sampai... atau saya deja vu. Nasib baik hal ini boleh disemak dengan melihat artikel-artikel lama yang pernah dikongsikan di blogspots. Ternyata memang kami pernah sampai pada tahun 2011. Lihat Tanah perkuburan di dalam estet kelapa sawit (Burial ground inside a palm oil estate of) Jeram


Selepas itu kami bertandang ke makam lain yang cukup terserlah.


Yang ini isteri cukup ingat kami dah sampai. Lihat Makam (Tomb of) Lebai Hussin, Jeram.


Selesai ekpedisi atau penjelajahan kami makan tengah hari lewat di Sungai Sembilang. Inilah kali pertama saya dan keluarga singgah di kawasan ini. Ternyata ada pantai cantik berdekatan yang patut dikunjungi. Lihat A visit to Pantai Sungai Sembilang. Sebelum ini kami setakat pernah sampai ke Pantai Remis juga Pantai Jeram yang juga terletak berdekatan malah sebaris dengan pantai ini.

Apapun, penjelajahan terbaru ke Bukit Jeram dan sekitarnya mengingatkan betapa saya dan isteri pernah begitu teruja mahu menjejak sejarah di bukit-bukit yang terdapat di sekitar Kuala Selangor. Ini rata-rata berlaku pada tahun 2010, selepas itu ada sedikit pada tahun 2011 diikuti 2012, Dengan ini biar dikongsikan pautan artikel-artikel lama yang berkenaan. Semoga akan terbuka beberapa perkara baru yang dapat memantapkan lagi pemahaman tentang hal-hal yang berkaitan...