Khamis, Julai 16, 2015

Daulah Melayu - Ke Kedah untuk outdoor shooting pertama, naik Gunung Jerai

Adapun 3 artikel terakhir dalam siri kecil "Misi Pulau Pinang dan Perak" telah dipersembahkan dalam keadaan saya kurang mood untuk bercerita tetapi harus dilepaskan juga menurut gerak lalu saya pun bercerita secara ringkas. Dengan itu gerak bercerita telah dilangsaikan namun selepas itu timbul rasa agar ditambah satu lagi episod dalam siri di mana beberapa butiran (banyak sebenarnya) yang tercicir sebelum ini diperincikan. Insyaallah ini akan dilakukan kemudian. Buat masa ini, mengambil berkat malam ini sudah diisytiharkan sebagai 1 Syawal biar dipersembahkan satu siri perjalanan lain yang menyusul selepas itu.


Pembaca setia blogspot ini harus tahu saya terlibat dengan satu projek dokumentari bernama "Daulah Melayu" di mana saya menjadi penyelidik dan hos. Beberapa artikel bawah tajuk besar "Daulah Melayu" telah dipersembahkan terutama tentang perjalanan recce atau membuat tinjauan di PantaiTimur dan Selatan 1-6 Jun. Lihat artikel-artikel berikut :-




Daulah Melayu - Tarikan batu bersurat dan orang yang menulisnya

Daulah Melayu - Bergegas ke Pekan dan Kota Tinggi

Daulah Melayu -Sekitar Kota Tinggi dan Johor Lama

Daulah Melayu - Memohon restu Sultan Alauddin di Pagoh


Tengah hari Selasa 7 Julai 2015 saya keluar lagi bersama ahli tim penerbitan "Daulah Melayu". Kali ini kami terus ke Kedah dan sebuah van menyusul sekali membawa peralatan untuk membuat outdoor shooting atau penggambaran luar.


Sebetulnya kami sudah memulakan proses penggambaran dokumentari sejak seminggu lebih awal tapi itu di dalam bangunan dan di sekitar Lembah Klang. Maka penggambaran di Kedah ini adalah kali pertama ia dilakukan di luar...


Hari Selasa itu diperuntukkan semata-mata untuk perjalanan kerana ia memakan masa tidak kurang 5 jam. Sambil berjalan ada sedikit penggambaran dibuat daripada dalam van tetapi tidak melibatkan saya, setakat menunjukkan proses perjalanan. Kelihatan dalam gambar tim "Daulah Melayu" berbuka puasa di sebuah restoran di Sungai Petani. Kami sampai ke tempat penginapan sekitar jam 5.30 petang.



Esoknya Rabu 8 Julai kami ke Gunung Jerai.


Naik ke puncak dengan van sambil membuat penggambaran. Kereta yang saya naiki untuk ke Kedah ditinggalkan di kaki gunung.


Di kawasan puncak yang bukan tertinggi iaitu berdekataan resort Gunung Jerai kami mengeluarkan barangan penggambaran.





Kami menyambung perjalanan ke puncak tertinggi dengan membonceng motosikal anak-anak tempatan kerana laluan seterusnya sempit, kalau selisih dengan kenderaan beroda 4 lain susah hendak meneruskan perjalanan.





Destinasi kami adalah Padang Tok Sheikh, tidak jauh daripada puncak tertinggi Gunung Jerai.








Apabila sampai alangkah terperanjatnya saya apabila mendapati batu sejadah yang terdapat di padang sudah dipecahkan, katanya oleh pencari harta karun sekitar bulan April. Kalau tidak tentu ia dapat dimasukkan dalam penggambaran.


Apapun kerja harus diteruskan menurut keadaan. Menyiapkan barangan untuk penggambaran.



Beginilah pakaian saya untuk penggambaran ini.



Selesai itu saya ke satu tempat yang terasing untuk beramal bersendirian.


Kembali ke tempat ahli lain tim turun hujan lebat.


Walaupun penggambaran melibatkan saya sudah selesai masih ada yang perlu dibuat untuk menggambarkan keadaan sekeliling tanpa melibatkan saya dalam gambar. Untuk itu kami harus menunggu cuaca kembali cerah.



Selepas beberapa lama hujan pun kurang tetapi keadaan berkabus pula menghalang pemandangan. Kami membuat keputusan untuk turun dahulu ke puncak lebih rendah. Selepas cuaca elok baru separuh daripada kami naik ke atas lagi, saya pula berjalan-jalan di sekitar, sempat mandi di telaga Tok Sheikh sebelum sama-sama menikmati pemandangan indah daripada sekitar resort. Lihat artikel Enjoying the views from Gunung Jerai resort... again di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan