Rasanya tidak terlambat untuk saya dan keluarga mengucapkan selamat hari raya maaf zahir batin kepada semua pembaca. Ini ada sedikit cerita...
Pada 2 malam lalu saya ada membuat pengumuman berikut di Facebook :-
Alhamdulillah, selamat sampai ke rumah ibu bapa di Muar petang tadi. Pagi raya insyaallah saya akan bersolat jemaah di masjid jamek di Tanjung Emas memakai busana tradisional. Ada sesapa mau join terutama kawan2 lama zaman budak2 di Muar tahun 70an-80an dahulu? Lepas solat iaitu semasa khutbah raya boleh jumpa kat kawasan letak kereta di luar bahagian belakang masjid, bahagian yang ada kolam bulat tempat ambik wudhuk tu, bahagian yang kelihatan dalam gambar ni. Meh...
Maka sampai masa untuk menunaikan solat raya pagi tadi bergegaslah saya bersendirian ke Masjid Jamek Muar yang terletak lebih 7 km daripada rumah ibu bapa. Ahli keluarga lain bersolat di masjid berdekatan. Walaupun terdapat beberapa buah masjid lebih dekat dengan rumah saya tetap bergegas ke sana kerana di sekitar itulah tempat saya membesar lebih 40 tahun lalu. Ketika itu saya menetap di rumah keluarga ibu, tak sampai 1 km daripada masjid tersebut.
Cuma disebabkan perut buat hal saya keluar lambat lalu sampai ketika orang ramai sedang bergegas keluar kerana dah selesai solat malah khutbah. Kalau pergi ke masjid berdekatan tentu sempat solat raya berjemaah. Tak mengapalah. Saya meneruskan niat masuk ke masjid jamek lalu membuat solat raya bersendirian.
Pun begitu masih ada sejumlah manusia berlegar-legar dalam masjid. Antaranya adalah kumpulan rakan muda masjid yang mengajak saya bergambar sama. Sebelum itu saya sempat berjumpa beberapa orang kawan lama, ketika berjalan kaki daripada tempat letak kereta ke masjid.
Balik ke rumah isteri dan anak-anak sudah siap dengan busana.
Masuk waktu solat Jumaat saya membawa mereka ke masjid jamek. Tapi cuma seorang anak ikut sama bersolat.
Isteri dan anak kecil menunggu di kawasan peranginan bersebelahan masjid.
Untuk pengetahuan ini adalah kali pertama kami sekeluarga malah saya sendiri memakai busana tradisional untuk menyambut kedatangan bulan Syawal.
Walaupun sudah hampir 3 tahun saya berpakaian begini ke majlis-majlis saya tidak memakainya pada hari raya kerana menghormati kehendak ibu yang masih terasa janggal melihat saya berpakaian begini.
Untuk Syawal tahun ini baru saya membuat keputusan untuk memakai busana tradisional. Tentang kehendak dan pendapat ibu nanti saya akan cerita elok-elok.
Entah camana, dah sampai masa agaknya, malam semalam iaitu malam 1 Syawal terkeluar cerita pasal memakai tanjak apabila berbual-bual dengan ayah. Beliau pula boleh berkata lebih kurang begini : "Kalau nak tunjuk Melayu elok dimulakan pakai tanjak semasa raya." Saya ambil ini sebagai isyarat bahawa memang sesuai saya berbusana tradisional kali ini. Alhamdulillah ibu pun tiada masalah. Mungkin sebab setelah beberapa lama mereka telah cukup biasa melihat saya berpakaian begitu. Ada pula keratan surat khabat daripada awal tahun disimpan mereka menunjukkan saya memakai tanjak, siap berkeris lagi untuk tatapan semua. Nampaknya ia tidak janggal lagi buat keluarga... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan