Rabu, Februari 11, 2015

Misi HIKMAH Beruas - Jejak Malikul Mansur

Salam semua. Ketika menulis artikel Misi HIKMAH Beruas - Faktor Tok Sego Aceh lewat malam tadi tiba-tiba saya mendapat tawaran untuk berangkat ke satu tempat menarik dalam masa terdekat. Dengan itu eloklah cerita perjalanan ke Perak hujung minggu lalu diselesaikan secepat mungkin.


Ahad 8 Februari 2015, selepas bermalam di pekan Ayer Tawar selesai sarapan dan sebagainya, saya dan keluarga menghala kembali ke Beruas. Kelihatan dalam gambar batu tanda menyebut ke Taiping. Ini kerana laluan ke Beruas juga boleh membawa ke Taiping...


Ada beberapa tempat ingin saya lihat di Beruas, antaranya rumah agam lama di hujung timur pekan... 


Saya ada terfikir mahu mengadakan HIKMAH Beruas di rumah ini, setelah diberitahu tentang kewujudannya beberapa minggu lalu. Tetapi ternyata ia sudah begitu lama tidak dipakai dan terbiar lalu memerlukan banyak pemulihan. Kalau tidak tentu agak klasik mengadakan acara di sini. Lihat artikel Sebuah rumah agam tradisional di Beruas (A traditional mansion in Beruas) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Saya juga melihat masjid jamek diikuti sebuah masjid lama berdekatan. Lihat artikel Masjid (Mosque of) As-Saadah, Beruas dan Masjid (Mosque of) Al-Qadim, Beruas.


Selepas itu baru masuk ke pekan Beruas untuk meninjau kedudukan dan keadaan sebuah dewan orang ramai yang dipanggil Dewan Inderawati.


Adapun pada mesyuarat tentang HIKMAH Beruas hari Sabtu pihak penganjur tempatan telah menyatakan mahu mengadakan majlis di dewan ini. Patutlah mereka memerlukan masa sebulan dua untuk menjayakan acara. Nampaknya selain beberapa hal logistik untuk memastikan acara lebih meriah dewan ini sendiri perlu dipersiapkan untuk menerima tetamu.


Apapun telah diputuskan bahawa HIKMAH Beruas yang asalnya smahu adakan 21 Februari, 2 minggu sahaja selepas mesyuarat ditunda ke 6 Jun. Perjalanan melihat tempat-tempat di Beruas hari Ahad pun nenjadi lebih santai, tidak perlu terkejar-kejar. Tempat seterusnya mahu diziarahi adalah Pulau Meranti. Ia terletak agak jauh ke dalam ladang kelapa sawit, beberapa kilometer ke barat-daya pekan.


Sudah bertahun juga saya berhajat untuk ke tempat ini. Di sekitanya, di kawasan Pulau Meranti telah ditemui banyak artifak-artifak bersejarah dipercayai daripada zaman kerajaan Beruas lebih 500 tahun lalu malah daripada zaman kerajaan Gangga Negara 1,000 tahun lalu pun katanya ada. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)...






Namun saya sendiri lebih berminat untuk menziarahi sebuah makam lama. Lihat Makam berbatu nesan Aceh di Pulau Meranti (Tombs with Aceh stones at Pulau Meranti).


Selesai itu kami pun menghala ke Pantai Remis.


Sejurus sebelum sampai ke Pengkalan Baru terlihat kedai menjual masakan istimewa mee rebus udang lipan. Saya pun layan sementara isteri yang tak berapa minat masakan ini berehat dalam kereta bersama anak-anak.


Perjalanan ke Pantai Remis diteruskan. Kelihatan bukit tinggi ke selatan yang dipanggil Gunung Tunggal.


Pemandangan bukit daripada bandar Pantai Remis. Entah kenapa setiap kali melihatnya mesti teringat deskripsi pusat kerajaan Gangga Negara dalam kitab Sulalatus Salatin karangan Bendahara Tun Sri Lanang semasa ia diserang oleh Raja Suran satu zaman yang lampau. Ayatnya seperti berikut :-

Negeri itu di atas bukit, dipandang dari hadapan terlalu tinggi, dan dari belakang rendah juga, ada sekarang kotanya di darat Dinding, ke sana Perak sedikit.


Pemandangan dari tepi melepasi bukit. Nampak rendah bukan seperti disebut oleh Tun Sri Lanang Walhal ia boleh tahan tinggi juga, puncaknya melebihi 1,500 kaki tinggi daripada paras laut. Baru ini saya diberitahu Sultan Malikul Mansur yang menurut ceritanya membuka kerajaan Beruas di atas puing-puing Gangga Negara pernah bersemayam di atas bukit ini.


Siapa itu Sultan Malikul Mansur? Bagindalah cucu Sultan Malikus Saleh, pengasas kerajaan Samudera dan Pasai hampir 800 tahun dahulu (kini berada di dalam Aceh). Kenapa dinamakan artikel ini "Misi HIKMAH Beruas - Jejak Malikul Mansur"?. Kerana saya baru diberitahu bahawa selain membuka Beruas, Malikul Mansur juga telah meninggalkan legasi di merata tempat sekitar ini. Di atas adalah gambar jambatan menyeberangi Sungai Dinding menghala ke selatan...


Sesungguhnya saya sudah lama merasakan kehadiran jejak baginda di sekitar Beruas. Pantai Remis, Manjung dan Lumut. Lihat sahaja artikel-artikel berkenaan yang pernah dibuat :-


1. Beruas, Malikul Mansur dan Gangga Negara

2. Beruas, Malikul Mansur dan Gangga Negara lagi

3. Mencari asal-usul Beruas Gangganegara yang sebenar...

4. Beruas, kaitan dengan Aceh dan melihat bulan... Antara mimpi dan realiti kehidupan


6. Jalan-jalan Perak sebelah barat : Makam Puteri Bunian, jejak kegemilangan Beruas Gangganegara

7. Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Cabaran pusing Beruas-Gangganegara?

8. HIKMAH menjejak Beruas-Gangga Negara (yang ni selepas acara ke-3 HIKMAH diadakan di Lumut 2 tahun lalu)


Lawatan kali ini terlebih istimewa kerana selain mahu menjayakan satu acara HIKMAH di Beruas, saya diberitahu pihak tempatan betapa meluasnya jejak Sultan Malikul Mansur di sekitar. Nampaknya lebih banyak akan terbuka kerana niat saya mengadakan HIKMAH di situ adalah untuk menyemarakkan kembali pencarian satu objek misteri yang telah dilupakan selama lebih 2 dekad.

Lihat Mencari Batu Bersurat Beruas - Misi untuk acara ke-13 HIKMAH nanti?. Penundaan HIKMAH Beruas ke 6 Jun menjadikannya acara ke-15 HIKMAH. Ini kerana 2 acara yang asalnya dijadualkan selepas itu telah mengambil-alih giliran lebih awal. Jika sebelum ini saya bercadang untuk menutup kalender aktiviti HIKMAH sekurang-kurangnya untuk tahun 2015 di Pahang, kini HIKMAH Beruas pula bakal menyempurnakan ini. Semoga dengan selesainya satu fasa perjalanan hidup akan terbuka lebih banyak perkara yang bermakna. Amin. :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan