Salam Jumaat. Artikel kali ini agak istimewa kerana menunjukkan hajat asal perjalanan di Aceh 23-30 Mac ditunaikan. Lebih istimewa ia berlaku pada pagi Jumaat. Pada waktu itu juga rombongan dari Malaysia yang akan memeriahkan acara ke-10 HIKMAH di Banda Aceh bertemu kami. Bersambung dari Misi HIKMAH Aceh - Berkejar ke Perlak sebelum bermalam Jumaat di makam Malikus Saleh.
Pada artikel pengenalan Misi 2 serampang - Membawa Johan dan HIKMAH ke Aceh yang dibuat hampir sebulan lalu ada disebut perjalanan ke Aceh kali ini asalnya dibuat untuk membawa anak kecil kami Muhammad Alauddin Johan menjejak makam pengasas kerajaan Samudera dan Pasai, Sultan Malikus Saleh. Saya dan isteri juga mahu mengambil gambar baru memaparkan Johan bersama untuk menggantikan gambar kami dan anak lebih tua Rasyid yang sudah sekian lama menghiasi bahagian atas blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Maka pagi Jumaat 27 Mac 2014, selepas puas bermalam di rumah anak penjaga makam, sekitar 200 meter dari makam kami pun kembali ke sana.
Bersama kami adalah Ustaz Ikhwan dari Pulau Pinang yang datang melalui Medan. Beliau telah bermalam di surau berdekatan, apabila ke makam awal pagi ada orang memberitahu bahawa saya dan keluarga berada di rumah anak penjaga makam. Beliau bergegas untuk berjumpa kami di situ. Setelah siap mandi dan sarapan kami sama-sama pergi ke makam sultan yang merupakan seorang wali besar.
Selain ziarah kami juga menunggu kedatangan rombongan 15 orang dari Malaysia yang akan bersama memeriahkan acara ke-10 HIKMAH di Banda Aceh hari Sabtu. Mereka telah sampai dari Kuala Lumpur ke Banda Aceh petang Khamis dan terus bertolak ke Lhokseumawe, 6 jam perjalanan untuk bermalam. Ketika kami sampai ke makam jam 9 mereka harus sudah siap sarapan dan keluar dari hotel. Dari Lhokseumawe ke makam yang terletak dalam kawasan bernama Geudong jaraknya cuma 20 km atau kurang setengah jam perjalanan.
Sementara menunggu rombongan sampai kami mengambil gambar keluarga. Rasanya yang ini paling sesuai untuk menjadi gambar baru bahagian atas blogspot...
Saya juga membawa anak-anak menjejak kaki di atas tanah belakang makam. Rasyid yang kini sudah berusia 4 tahun setengah pertama kali menjejak tanah di sini, ketika berumur 3 setengah bulan. Lihat artikel lama Jejak Al-Rasyid di Aceh! juga Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Menjejak kegemilangan Samudera-Pasai. Johan pula pertama kali menjejak tanah ketika berumur 31 hari sahaja! Di makam Sultan Alauddin Riayat Syah Melaka, di Muar. Lihat Dari Tok Bentayan ke Sultan Alauddin ke Tuanku Tambusai - Latihan awal Johan untuk pengembaraan akan datang. Ini dibuat sebagai persediaan untuk membawa anak kecil kami itu berjalan mengeliling Pulau Jawa. Lihat Koleksi artikel "Pusing Pulau Jawa".
.
Dengan ini selesailah tujuan asal perjalanan ke Aceh dibuat. Tinggal menunggu untuk menyelesaikan tujuan kedua yang muncul kemudian seperti diceritakan dalam artikel Misi 2 serampang - Membawa Johan dan HIKMAH ke Aceh.
Nampaknya tujuan itu juga direstui 'pihak atasan'. Pada tabung derma sebelah makam siap tertera perkataan HIKMAH. Walhal seingat saya tiada lagi perkataan ini dalam lawatan-lawatan terdahulu.
Tidak lama kemudian muncullah rombongan dari Malaysia, 15 orang yang diseliakan badan bernama Anjung Hikmah. Kebetulan lagi nama badan ini dekat sama. Tak perlulah dipanjangkan cerita sebab sudah dihuraikan pada artikel Ziarah rombongan Malaysia ke makam Sultan Malikus Saleh di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).
Selepas itu saya membawa rombongan menziarahi makam Sultanah Nahrisyah yang terletak sekitar 2-3 km dari makam moyangnya Sultan Malikus Saleh. Lihat artikel HIKMAH group visit to the tomb of Sultanah Nahrisyah di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Mungkin berkat datang berjemaah sambil melepaskan hajat ramai mahu menziarahi makam sultan, kali ini saya mendapat tahu di manakah keturunannya yang menjadi raja perempuan itu sebenarnya dimakamkan. Rupa-rupanya binaan cantik dari batu mar-mar yang biasa dinyatakan sebagai makam adalah tambahan kemudian. Lihat artikel Makam sebenar (Real tomb of) Sultanah Nahrisyah di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Selesai ziarah itu kami pun mengorak langkah untuk kembali ke Banda Aceh. Makan tengah hari di sebuah kedai berdekatan kota Lhokseumawe.
Selepas makan kami menyambung perjalanan tanpa henti untuk solat Jumaat. Jarak perjalanan ke Lhokseumawe ke Banda Aceh adalah sekitar 6 jam sedangkan ada tempat yang perlu kami singgah. Kalau berhenti kami boleh kehilangan waktu lebih setengah jam sedangkan orang perempuan yang ada dekat 10 orang boleh jadi terpinga-pinga dan kepenatan menunggu lama. Lagipun solat Jumaat tidak wajib pada orang yang sedang bermusafir jauh.
Tempat tujuan seterusnya adalah makam Tun Sri Lanang, Bendahara Empayar Johor-Riau-Lingga yang kemudian diangkat Sultan Aceh menjadi raja daerah di Samalanga.
Kami sampai ke makam beliau sekitar 2.45 petang. Di situ juga terdapat makam keturunannya. Lihat Makam keturunan ke-5 Tun Sri Lanang (Tomb of 5th generation descendants of Tun Sri Lanang). Di sebelah terdapat rumah yang telah dijadikan muzium ringkas. Lihat Pameran di rumah Tun Sri Lanang (Exhibition at the house of Tun Sri Lanang). Di halaman rumah ada pokok mangga yang amat besar.
Kami menjamakkan solat Zuhur (sebagai ganti solat Jumaat) dengan Asar di masjid berdekatan yang katanya diasaskan Tun Sri Lanang. Lihat Rupa baru (New look of) Masjid Kota Blang, Samalanga. Di laman belakang masjid juga ada sejumlah makam. Lihat Makam keluarga Tun Sri Lanang dan Teungku di Awe Geutah (Family tombs of Tun Sri Lanang dan Teungku di Awe Geutah).
.
Perjalanan ke Banda Aceh disambung sampai ke satu kawasan sebelum Sigli baru berhenti lagi, kali ini untuk membeli hidangan kuih enak. Di sini baru kereta yang membawa saya dan keluarga berpisah dengan rombongan. Ini kerana apabila kami sudah bersedia untuk pergi ramai masih berlegar-legar.
Itupun pada awalnya kami bercadang untuk bertemu kembali di sebuah stesyen minyak di Sigli. Tetapi setelah beberapa lama kami mendapati mereka masih jauh di belakang. Selain itu kami mahu mencuba satu jalan alternatif ke Banda Aceh, mereka pula mahu ikut jalan biasa. Maka kami teruskan mengikut laluan yang membawa ke jalan berliku-liku menghadap Selat Melaka. Lihat The alternative road to Banda Aceh
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan