Jumaat, November 15, 2013

Kenangan zaman UK : Sedikit barangan lama sebagai 'jambatan' cerita

Salam. Sebaik sahaja selesai menulis artikel Kenangan zaman UK : Mengimbau melalui paspot awal pagi Sabtu lepas saya menjangkakan akan berlepas ke Aceh dengan tenang pada waktu petangnya. Sebaliknya saya terlepas pesawat dan ini antaranya membawa saya untuk menginap di rumah milik keluarga di Kajang Isnin malam Selasa. Adapun saya sudah setahun tidak masuk ke rumah yang pernah diduduki ketika kembali dari UK penghujung 1995 dahulu. Malam itu saya tergerak untuk menggeledah sedikit barang lama yang ada cerita.


Adapun sejak memulakan siri "Kenangan zaman UK" lebih sebulan lalu ada terbetik di fikiran dah lama saya tak terima surat daripada universiti lama. Kalau tak ada aje surat sampai kat saya. Apakah kerana tidak pernah membalas surat atau pergi menghadiri majlis-majlis yang dijemput? Saya terlupa bahawa surat cuma sampai pada alamat rumah milik keluarga di Kajang sedangkan saya dah lama tak singgah sana. Baru itu saya sedari ada sekurang-kurangnya 2 buah surat belum dibuka.


Ketika menggeledah barangan lama terjumpa sejumlah surat yang dihantar buah hati lama. Saya aturkan 3 keping ini kerana ia menunjukkan 3 alamat kediaman yang pernah diduduki ketika saya berada di tahun 3 pengajian universiti 1994-1995. Ketika itu buah hati lama sudah tamat pengajian dan lebih awal kembali ke Malaysia. Saya sudah lama lupa alamat rumah, bila melihat surat baru saya tahu...


Terjumpa juga surat slip gaji ketika bekerja untuk menampung perbelanjaan hidup tahun ketiga pengajian di universiti. Ketika itu pembiayaan pelajaran saya telah dihentikan akibat tidak memberitahu kepada penaja bahawa saya harus mengulang tahun kedua. Melihat surat ini fikir saya ini adalah slip gaji seminggu bekerja di kantin. Kemudian baru saya teringat, kalau di universiti saya cuma pernah bekerja di kantin University of London Union. Kalau di University College of London iaitu tempat saya belajar (University of London adalah satu konsortium yang menggabungkan sejumlah univeristi di kota besar ini) itu adalah sebagai pengatur buku di perpustakaannya.


Ini adalah tulisan tangan draf cerita yang mahu dihantar untuk siaran akhbar The New Straits Times sekitar tahun 1997 kalau tak salah. Ia adalah berkenaan perjalanan pusing Eropah musim panas 1995, masuk ke bahagian bagaimana saya sampai ke negara Jerman dari Belanda.


Saya sertakan sebagai ingatan untuk penceritaan yang akan datang. Saya sudah lama terlupa bahawa saya masuk ke Jerman itu dalam gelap gelita meredah hutan malam-malam seorang diri setelah seharian berjalan secara hitchhiking atau menumpang kenderaan orang dari Den Haag yang menghadap Selat Inggeris iaitu di barat-laut Belanda ke Venlo di sempadan timur negara.


Ini adalah sepasang suit yang dipakai ketika pertama kali berlepas dari Kuala Lumpur ke London. Rujuk cerita pada Kenangan zaman UK : Keriangan hari pertama di London. Sejak kembali ke Malaysia penghujung 1995 ia cuma disimpan dalam beg. Isnin malam Selasa baru ini baru saya tergerak untuk mengeluarkan lalu mengantungkannya begini. Lama tu... selepas 18 tahun!


Malam itu juga saya tergerak untuk membuka 2 buah surat dari universiti, surat yang ditunjukkan pada gambar pertama. Satu surat adalah untuk meminta derma bagi dana penyelidikan yang melibatkan bidang perubatan, bukan bidang saya. Maka cuma surat kedua menarik perhatian saya kerana ia dari jabatan matematik tempat saya pernah mengaji. Melihat tarikh surat Mac 2013 baru terasa begitu lama saya tidak menjenguk rumah di Kajang. Melihat nama acara disebut sebagai De Morgan Dinner, majlis makan malam De Morgan merujuk pada seorang tokoh matematik terkenal Britain abad ke-19 Masihi, teringat saya pernah menjadi ahli kelab matematik De Morgan tetapi tidak aktif.


Saya juga pernah menjadi ahli kelab peminat muzik rock di universiti. Gambar yang diambil daripada  artikel Beberapa barangan lama dan kenangan di sebaliknya.... (terbit 2009) ini menunjukkan jaket kulit yang dibeli tahun 1992 di London. Turut dibeli tahun sama adalah gitar eletrik jenama Washburn (warna merah). Mungkin saya boleh membuat artikel khas tentang minat muzik di mana saya sering singgah dari kedai gitar ke kedai gitar mencuba pelbagai model, bila ada duit sikit beli alatan penyokong bunyi atau dikenali sebagai gadgets untuk sound effects. Sementara itu saya sedang mengumpulkan kekuatan untuk bercerita tentang hari-hari belajar di universiti itu sendiri. Kerana ia melibatkan begitu banyak hal pahit manis kehidupan yang masih merupakan luka berparut jiwa buat saya hingga ke hari ini. Sekarang bolehlah saya berehat malam Jumaat ya. :]


Khamis, November 14, 2013

Lawatan tak dijangka ke Putrajaya, Hulu Langat dan sekitar ganti lawatan tak dijangka ke Aceh

Sebahagian dari wang emas Aceh yang ditemui baru ini...


Pada artikel Dari Aceh ke Putrajaya : Tidak bergerak walau sezarah sekalipun tanpa izinNya yang dibuat Ahad lalu telah diberitahu bagaimana saya boleh terlepas penerbangan ke Aceh petang Sabtu. Kalau tidak tentu saya berada di bumi Serambi Mekah itu 9-14 Nov lalu dijangka pulang ke tanah air petang tadi dengan pesawat mendarat di KLIA sekitar 7.25 malam. Sepanjang masa itu saya dijadualkan mengikuti beberapa program yang diatur rakan-rakan orang sana dengan hari terakhir jatuh pada 10 Muharam atau Hari Asyura siang tadi. Namun sudah ditakdirkan saya terlepas pesawat lalu dalam tempoh itu cuma berjalan-jalan jauh sedikit dari persekitaran di Lembah Klang.

Sambil itu berlaku beberapa peristiwa menarik, antaranya penemuan wang syiling emas Aceh, katanya beratus keping di Kampung Pande 12 Nov iaitu hari Selasa kalau tak salah. Pada hari Ahad 10 Nov iaitu 2 hari lebih awal telah diadakan satu perjumpaan waris raja-raja daerah Aceh yang menurut fahaman saya dipanggil Uleebalang. Bunyinya macam hulubalang yang bermaksud pahlawan di Malaysia. Tapi kalau di Aceh, uleebalang itu pemerintah daerah yang kuasanya hampir menyerupai sultan sebuah negeri.

Kalaulah tidak kerana tertinggal pesawat tentunya saya akan berjalan dan menziarahi beberapa tempat bersejarah, sekurang-kurangnya di sekitar Banda Aceh membawa ke situs bersejarah pusat kerajaan lama Lamuri di Teluk Lamreh. Tentunya sekembalinya saya ke Malaysia satu siri artikel akan dibuat dan besar kemungkinan tajuk utamanya adalah "Lawatan tak dijangka ke Aceh", memikirkan ia memang tidak dijangka kerana tiba-tiba mendapat tawaran percuma seminggu sebelum tarikh berlepas ke Aceh. Maka itu sebagai ganti biar disenaraikan artikel-artikel yang dibuat merujuk pada aktiviti di tanah air sepanjang tarikh sepatutnya berada di sana. Semoga ini dapat membantu saya mencari suatu petunjuk tersembunyi atau hikmah di sebalik apa yang berlaku...


Sabtu 9 Nov


Ahad 10 Nov





Isnin 11 Nov


7.. Exploring the upper level of Raja Alang mosque

8. Dari Bangi beralih ke Kajang

Selasa 12 Nov

9. The broken stretch at Semenyih Dam

10. Masjid (Mosque of) Sungai Tekali, Hulu Langat

11. Dari Kajang ke Hulu Langat dan KL


Rabu 13 Nov pula saya sibuk dengan urusan pembelian rumah baru. Khamis 14 Nov iaitu siang 10 Muharam @ Hari Asyura tadi penceritaan untuk semua artikel yang tersenarai kecuali artikel 1 pun dibuat sehingga tamat. Selepas ini biar dilepaskan satu artikel sebelum saya dapat berehat...


Dari Kajang ke Hulu Langat dan KL

Untuk melengkapkan gerak penceritaan bagi 10 Muharam biar disambung dari artikel Dari Bangi beralih ke Kajang. Gambar-gambar telah diletakkan sejurus sebelum masuk waktu Maghrib. Cerita pula dibuat kemudian.


Selasa 12 Nov, selepas bermalam di sebuah rumah milik keluarga di Kajang saya pun bersedia untuk berjalan lagi.


Dari Kajang saya turun kembali selatan ke Semenyih untuk mengambil satu jalan pendalaman ke Hulu Langat.


Jalan di mana terdapat beberapa sungai dan air terjun ini merupakan salah satu jalan kegemaran ketika santai.


Dah berjalan agak jauh baru saya dapat tahu bahagian hadapannya ditutup. Tapi ia nampak ditutup kepada 'lalulitas'. Saya bukan 'lalulitas', paling dekat pun lalulintas. Jadi boleh lalu kot?


Berhenti sebentar di Sungai Tekala di mana terdapat air terjun saya minum air di gerai dan sempat berbual-bual dengan peniaga. Katanya dah setahun jalan di hadapan tutup kerana tanah runtuh. Kalau nasib baik motosikal dibenarkan lalu.


Ke hadapan sedikit baru saya nampak jalan mula 'dicatu'.


Tu dia. Rasanya dekat 300 meter jalan roboh. Boleh ke motosikal saya lepas? Kalau nak berpatah balik hanya untuk ke hadapan tu perlu pusing 50 km.


Saya turun motosikal lalu berjalan kaki meninjau keadaan. Nampaknya boleh lepas tapi perlu berhati-hati sangat. Ada bahagian memanjat tajam ke atas di mana saya tidak boleh membuat apa-apa kesalahan. Lihat artikel The broken stretch at Semenyih Dam di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Alhamdulillah dengan lepasnya halangan ini sampailah saya ke simpang yang kelihatan ini. Terus boleh ke Batu 18 Hulu Langat lalu ke Pangsun dan itulah rancangan asal saya. Belok kira masuk simpang boleh ke Batu 14 Hulu Langat juga ke Sungai Tekali di mana saya juga terfikir untuk singgah.


Saya mengambil simpang kerana mahu ke Sungai Tekali dahulu. Saya teringin hendak melihat tapak perumahan tergendala di mana sepatutnya sudah berdiri sebuah rumah milik saya 10 tahun lalu. Lihat Punca kesukaan pada nombor 131 - Hal rumah yang membuka sedikit luka lama. Kelihatan dalam perjalanan, Gunung Nuang, gunung tertinggi di Selangor. Teringat satu pengembaraan lama sesat dalam hutan mendaki ke puncaknya. Lihat Pendakian dan sesat di Gunung Nuang dalam ingatan.....


Jalan ini juga sedang diperbaiki setelah masalah tanah runtuh tetapi tidaklah seteruk jalan tadi.


Sampai ke simpang Sungai Tekali terasa hendak singgah ke masjid. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Sungai Tekali, Hulu Langat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Di masjid saya mengambil peluang untuk membasuh sedikit motosikal juga kasut yang terkena lumpur tanah merah semasa melalui jalan tanah runtuh.


Ketika itulah timbul rasa elok perjalanan ke Batu 18 dan Pangsun dibuat lain kali. Dari masjid saya terus ke pekan Batu 14.

Berhenti sebentar makan petang.


Kemudian memotong melalui jalan bukit untuk ke Ampang, Kuala Lumpur.


Biasanya apabila lalu di sini say akan berhenti lama untuk melihat pemandangan indah bandar raya dari satu bahagian atas bukit.


Tapi kali ini saya berhenti sekejap sahaja kerana mahu berkejar ke Ampang. Saya telah memberitahu ingin berurut satu badan di sebuah rumah.


Selepas berurut saya mengambil lebuh raya istimewa atas sungai untuk menuju ke pusat bandar raya KL.


Singgah di kompleks membeli-belah Sogo untuk membeli satu minuman kegemaran sebelum berehat melihat aktiviti jalanan.


Adapun rancangnya selepas itu mahu menghadiri satu forum sejarah waktu malam di sebuah rumah di Taman Tun, diberitahu seorang rakan pagi ketika di Kajang. Tapi bila dah hampir senja baru dapat tahu ia dibatalkan kerana tuan rumah kurang sihat. Biar diberitahu ini adalah artikel ke 1,155 di blogspot ini. Maka gerak yang muncul sudah dituruti sampai ke tahap yang sepatutnya, tinggal satu artikel mahu dibuat untuk mengaitkan semua yang berlaku dari 9 hingga 14 Nov...

Dari Bangi beralih ke Kajang

Meneruskan gerak penceritaan pada petang 10 Muharram ini. Bersambung dari Antara Putrajaya dan Bangi : Melestarikan kewangan Islam atau mengangkat 'kedaulatan' kumpulan sendiri?.


Alang-alang sudah berada di sekitar Putrajaya dan Bangi saya bermalam di rumah seorang sahabat baik yang sudah agak lama tidak dikunjungi. Rumahnya terletak tidak jauh dari pekan lama Bangi. Esoknya pagi Isnin 11 Nov saya pun menyambung perjalanan melalui jalan pendalaman dari pekan itu ke Semenyih.

Singgah sebentar di masjid ini. Lihat artikel Masjid Kariah (Congregational mosque of) Bangi di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Perjalanan diteruskan menghala ke Semenyih sampai ke satu simpang lalu berhenti untuk sarapan.


Ada jalan melalui Kampung Rinching menghala ke Beranang lalu saya fikir eloklah mengambil jalan ini pula.


Beranang terletak ke selatan Semenyih menghampiri sempadan Negeri Sembilan. Sampai sahaja penghujung jalan bertemu jalan besar terlihat sempadan negeri.


Saya masuk sebentar Negeri Sembilan sekadar menurut rasa sebelum berpatah kembali menghala ke utara. Singgah di Masjid Raja Alang dekat pekan Beranang, terlihat pula tangga naik ke atasnya. Lihat artikel Exploring the upper level of Raja Alang mosque di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Tengah hari baru perjalanan disambung menghala ke Semenyih. Sampai satu simpang sebelum pekan terasa nak belok ke kanan.


Ia adalah simpang ke Broga. Kelihatan Bukit Broga yang terkenal sebagai tempat rekreasi memanjat. Pengalaman memanjat bersama anak dan isteri ada diceritakan dalam artikel lama Dari Central Market ke Bukit Broga.


Kali ini saya tidak memanjat bukit. Nak memanjat bagaimana sedangkan saya masih jalan terhencot-hencot akibat patah kaki setengah tahun lalu dan perlu memakai tongkat? Cukuplah berjalan sehingga ke pekan Broga masuk bahagian di dalam Negeri Sembilan sebelum berpatah balik lalu ke pekan Semenyih.


Di Semenyih saya berhenti makan tengah hari.


Dua perkara menarik berlaku. Satu, saya dapati hidangan di restoran yang disinggahi agak murah, satu set nasi beriyani berlaukkan ayam madu cuma RM7. Sedangkan makan nasi putih satu lauk dengan sayur pun RM6 di kebanyakan restoran mamak. Teh aisnya pula cuma RM1.50 segelas sedangkan tempat lain termasuk kedai biasa Melayu pun jual RM1.80 segelas. Selain itu terserempak seorang kawan lama yang sudah 15 tahun rasanya tak ditemui. Beliau menceritakan pengalaman menyokong perkembangan rangkaian pesantren seorang ulamak di Indonesia.


Dari Semenyih saya bergerak ke Kajang untuk singgah di sebuah rumah milik keluarga.


Petang sikit keluar berjalan-jalan di pinggiran bandar, terlihat kedai menjual gazebo dan ukiran kayu.


Masuklah sebentar kerana saya memang sedang mencari barang untuk dipasang pada rumah baru. Kiranya tengah survey harga dan design...


Setelah berjalan di 2-3 tempat lain baru saya masuk ke pusat bandar Kajang.


Rasanya inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke pusat bandar ini setelah lebih setahun, mungkin 2-3 tahun! Tentunya ada nostalgia memandangkan saya pernah menetap di Kajang, selalu berjalan di bandarnya setelah kembali dari belajar di London pertengahan 1995 sehinggalah berpindah ke Bangsar agar lebih dekat dengan tempat kerja di pejabat akhbar The New Straits Times  penghujung 1997. Namun selepas itu saya tetap rajin singgah di rumah milik keluarga di Kajang sehinggalah saya mula menetap di Bandar Tasik Puteri, Rawang yang terletak 70 km dari sini. Alhamdulillah. Penulisan untuk artikel ini sempat disiapkan sejurus sebelum masuk waktu Maghrib lalu tamat 10 Muharam. Nanti akan disambung cerita seterusnya ya. Ni nak bersiap untuk berbuka puasa... :]


Rabu, November 13, 2013

Antara Putrajaya dan Bangi : Melestarikan kewangan Islam atau mengangkat 'kedaulatan' kumpulan sendiri?

Cantik tarikh Rabu ni, 13/11/13. Boleh le bercerita tentang sesuatu yang berlaku Ahad lalu...


Pada artikel Dari Aceh ke Putrajaya : Tidak bergerak walau sezarah sekalipun tanpa izinNya telah diceritakan bagaimana saya boleh terlepas penerbangan ke Aceh petang Sabtu. Saya pun membuat keputusan Ahadnya mahu menghadiri satu majlis tentang sejarah Melayu di Bangi. Tapi sebelum itu pergi dahulu ke Putrajaya untuk menghadiri satu forum ekonomi Islam antarabangsa.


Ia diadakan di bangunan Perbadanan Putrajaya berhadapan Istana Kehakiman yang kelihatan ini. Hampir setiap kali melihat bangunan ini saya mesti teringat sebuah mimpi yang berlaku 16 tahun lalu atau lebih. Lihat artikel Petunjuk baru tentang kerajaan lama di Putrajaya? yang dibuat tahun 2010.


Alhamdulillah, ternyata ia forum ekonomi yang sangat menarik. Para pembentang cukup berani menyentuh kepincangan sistem kewangan dunia moden yang berasaskan riba' sehingga ada yang terang-terang menyebutnya terutama sistem perbankan sebagai satu penipuan yang bertujuan untuk terus menjerumuskan manusia ke dalam lubang gelap hutang-piutang lalu diperhambakan sistem. Lihat artikel Global Economics and Monetary Crisis - What needs to be done? di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Saya rasa cukup teruja dengan perkara-perkara yang dibincangkan lalu menjadi agak aktif melemparkan soalan dan berkongsi sedikit pandangan semasa sesi soal jawab. Kemudian saya diajak duduk makan bersama para pembentang lalu menyambung perkongsian ilmu. Seorang pembentang, David Musa Pidcock, pengasas dan pemimpin Islamic Party of Britain bercerita panjang lebar tentang kewujudan sejumlah hadis yang katanya telah digelapkan lebih seribu tahun tetapi ditemui tercatat dalam sebuah kitab yang ditemui di Turki beberapa tahun lalu. Kata beliau, ia mencatatkan Nabi Muhammad SAW pernah memperincikan beberapa hal yang berlaku abad ke- 20 Masihi lalu nama Hitler berserta negara Jerman yang dipimpinnya tahun 1940an turut disebut dengan terang! Kalaulah tidak kerana mahu menghadiri majlis perbincangan sejarah di Bangi iaitu di UKM tentu sahaja saya akan duduk lebih lama di Putrajaya.


Saya sampai di tempat majlis perbincangan sejarah diadakan jam 2.30 petang. Fikir dalam hati harap dapatlah melihat sekurang-kurangnya 2 jam perbincangan.


Menurut maklumat yang dibaca di Facebook acara ini berlangsung 3 hari, 9-11 Nov atau Sabtu hingga Isnin. Katanya ada lapan orang sejarawan terlibat iaitu dari Malaysia, Riau, Patani, Kemboja, Sulu/Filipina, Aceh, Sulawesi, Brunei dan Pulau Jawa. Hmm. Pelik juga. Nama tempat/negara/negeri yang disebut dalam website kumpulan yang menganjurkan majlis ini ada 9. Kok sejarawannya cuma ada 8? Rujuk artikel mereka sini.


Dan pelik juga suasana di ruang legar sangatlah senyap. Bila dah sampai di luar bilik baru saya tahu ia acara tertutup dan saya tidak dibenarkan masuk kerana tidak dijemput. Nak menjenguk melihat acara berlangsung di balik pintu pun tak boleh. Alahai...

Terus terang. cakap, saya sangat kecewa dan terkilan dengan keadaan ini. Biar dicopy paste luahan yang dibuat di Facebook lewat malam itu...


-----------------


UNTUK KEDAULATAN MELAYU KE 'KEDAULATAN' KUMPULAN SENDIRI?

Masih ada rasa terkilan akan apa yang berlaku siang tadi. Saya telah menunggang motosikal kira2 100 km dari rumah untuk menghadiri satu majlis perbincangan sejarah yang kelihatan seperti terbuka kalau dilihat pada laporan berita tentangnya. Tapi apabila sampai saya tidak dibenarkan masuk lalu diberitahu ia acara tertutup. Ini adalah kali pertama saya dilayan begini. Sudah berapa banyak majlis sejarah saya pergi, dari yang diadakan di pejabat ketua menteri hingga ke arkib negara ke muzium negara ke perpustakaan negara ke DBP malah kawasan tertutup di UM. Semuanya membariskan para pembentang yang hebat-hebat sekurang-kurangnya dalam dunia intelektual tanah air. Tak pernah pun orang menghalang walau saya datang tidak memberitahu. 

Sebelum itu iaitu pada hari yang sama saya telah menghadiri satu majlis yang jauh lebih berprestij di Putrajaya, majlis tentang melestarikan ekonomi Islam. Orang-orang yang hadir harus lebih terpelajar, para pembentangnya adalah cendekiawan peringkat dunia. Elok sahaja mereka berbual2 bertukar fikiran dengan saya. Walaupun datang begitu sahaja saya diajak makan tengah hari semeja dengan pembentang. Misalnya tuan David Musa Pidcock, pengasas dan pemimpin Islamic Party of Britain. Begitu mesranya beliau dan tidak lokek ilmu bercerita panjang lebar tentang apa yang beliau tahu, antaranya tentang kumpulan hadith Nabi yang telah disembunyikan sekian lama tetapi ditemui dalam sebuah kitab lama di Turki. Katanya ada hadith2 ini menyebut dengan terang butiran beberapa perkara yang akan berlaku abad ke 20 Masihi, misalnya kemunculan Hitler sebagai pemimpin Jerman.

Saya sampai harus meminta diri kerana mahu mengikuti pula majlis sejarah yang diadakan di Bangi. Tapi bila dah sampai jauh sungguh layanan yang diterima. Sampai hati saya berbisik ini majlis untuk para dewa sahaja agaknya. Kalau tahu begini tentu saya akan duduk lebih lama berbual2 dengan orang2 yang berilmu serta berkedudukan tinggi tapi amat merendah diri di Putrajaya. Takkan saya membuang masa mewar2kan majlis sejarah tersebut di page HIKMAH, wall sendiri juga blogspot yang dimiliki. Tapi mungkin saya akan menulis artikel bertajuk "Antara Putrajaya dan Bangi : Melestarikan kewangan Islam yang betul-betul bebas dari riba' atau mengangkat kedaulatan kumpulan sendiri?" nanti.


-------------------


Kemudian saya diberitahu NGO yang menganjurkan majlis ini, NGO yang kelihatan ada cita rasa dan cita-cita politik biasanya membuat majlis sebegitu cara. Yang dijemput sahaja boleh datang. Kalau begitu baik sebut dengan terang awal-awal bahawa ia majlis tertutup. Jangan buat apa-apa pengumuman apa lagi sidang akhbar yang seolah-olah memberi gambaran dapat memberi peluang untuk penyertaan orang ramai.

Mungkin kesilapan atau salah komunikasi/salah faham berlaku kerana NGO ini baru pertama kali menganjurkan majlis melibatkan perbincangan sejarah sebegini rupa.  Ini kerana sudah bertahun pihak yang lebih berwibawa dengan cendekiawan-cendiawan ternama mengadakan majlis polemik sejarah tidak pernah dibuat tertutup sebegini. Rujuk sahaja beberapa ulasan tentang majlis-majlis lebih berprestij yang telah diletakkan di kanan bawah blogspot ini, di bawah tajuk "Siri refleksi sejarah". Saya copy and paste beberapa links artikel terpilih :-


1. Seminar Beting Beras Basah, keluarga Al-Shahab dan faktor 191

2. Pameran di Muzium Seni Islam dan "Aji Yaki Dastagi"

3. Penemuan-penemuan menarik pada polemik sejarah di Arkib Negara 19 April 2011

4. Sepetang di Universiti Malaya

5. La Galigo dan makna Daeng buat orang Bugis

6. Pameran Manuskrip Melayu di Perpustakaan Negara

7. Satu sisi lain salasilah Raja-raja Perak - Fantasi gila atau ada yang tersirat?

8. Seminar Antarabangsa Hang Tuah di Seri Negeri - Menjana kebangkitan jati diri Melayu sejati?

9. Forum Hang Tuah di DBP : Nampaknya Khoo Kay Kim masih bertegas Hang Tuah tidak wujud lalu terus memperkecilkan Melayu

10. Tentang orang besar Pahang yang dipanggil Tok Jebek dan perang saudara 1857-1863

11. Forum Identiti Melayu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

12. Wacana manuskrip Melayu - Hang Tuah : Adiwira Dunia Melayu di Wisma Sejarah

13. Pameran lukisan Sulalatus Salatin di Balai Seni Visual Negara : Antara harapan dan kekecewaan
14. Bengkel kajian naskhah kesultanan Melayu Selangor di Muzium Alam Shah

15. Sumber-sumber Portugis berkaitan sejarah Malaysia dan hal-hal lain

16. Pameran dan Wacana Ilmu Telusuri Kegemilangan Melayu di Perpustakaan Negara

17. Seminar Memartabatkan Islam Agama Negara di Pusat Islam

18. Dialog pengkisahan Istana Bandar Kuala Langat

19. Wacana Perpaduan Ummah di Dewan Bahasa dan Pustaka

20. Simposium Serantau Asal Usul Melayu - Antara buku dan HIKMAH

21. Simposium Serantau Asal Usul Melayu - Dari asal membawa ke usul

22. Hari pertama Seminar 400 Tahun Sulalatus Salatin di DBP - Mencari bahan dan 'rasa' untuk filem epik Melayu

23. Hari kedua Seminar 400 Tahun Sulalatus Salatin di DBP - Membawa gerakan kedaulatan ke peringkat yang lebih tinggi


Ini belum dicampur polemik-polemik yang dianjurkan oleh kumpulan HIKMAH yang diasaskan oleh saya tahun lepas. Lihat Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)First impression saya dapat akibat peristiwa ini adalah seperti berikut :-


1. NGO ini mahu melonjakkan diri sebagai satu wadah perjuangan kedaulatan Melayu Islam tetapi masih berfikiran sempit seperti orang politik yang risaukan sokongan dan undi

2. Oleh itu mereka membuat majlis tertutup kerana takut muncul soalan-soalan luar biasa ketika majlis yang mereka yang tak mampu jawab lalu tersebar di kalangan masyarakat umum.

3. Mereka mahu merangka satu kurikulum sejarah sendiri tetapi mahu orang lain mengikut sahaja.

4. Mereka mahu meletakkan diri sebagai orang paling ke hadapan berjuang walhal ramai pihak lain telah menangani subjek sama lebih awal tanpa perlu menutup penglibatan ramai.


Pendek kata ia memberikan impresi perjuangan mereka mahu mendaulatkan Melayu dan Islam tidak jujur tetapi ada kepentingan politik. Bahasa mudah seperti disebut sesetengah rakan lain setelah mendapat tahu hal ini adalah ia majlis syok sendiri. Kelihatannya kedaulatan yang didakwa mahu diangkat mereka bukanlah kedaulatan Melayu dan Islam tetapi 'kedaulatan' kumpulan sendiri sebagai satu peneraju utama kebangkitan konon.


Namun setiap yang berlaku tetap ada hikmahnya. Sekurang-kurangnya saya terbawa untuk menunggang motosikal besar ke sekitar Bangi malah kehadiran di forum antarabangsa ekonomi Islam di Putrajaya lebih awal hari itu pun adalah dalam rangka perjalanan ke majlis perbincangan sejarah 'syok sendiri' ini. Selepas meninggalkan premis saya bersolat dan berehat sebentar di Masjid UKM. Lama juga tak masuk kawasan UKM apalagi ke masjid yang agak terserlah ini. Lihat artikel Masjid (Mosque of) UKM, Bangi di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).

Petang itu saya berjalan-jalan lagi ke Putrajaya, kali ini bersama seorang rakan yang menetap tidak jauh dari pekan lama Bangi, rakan baik yang agak lama tidak diziarahi. Ini kerana tengah hari tadi saya tak sempat singgah di Masjid Besi juga Masjid Putra akibat ingin mengejar majlis 'tahap dewa-dewa' di Bangi (ya, timbul rasa marah mengatakannya begitu apabila ia boleh menutup pintu kepada peminat sejarah tegar seperti saya juga beberapa orang lain di kala majlis-majlis yang dihadiri para menteri dan intelektual negara pun tidak begitu sombong terhadap kami). Lihat Putrajaya and its two big mosques

Hari-hari berikutnya saya mengambil peluang untuk mengembara sendirian sekitar Beranang, Broga, Semenyih dan Hulu Langat. Kiranya semua ini menggantikan lawatan ke Aceh 9-14 Nov yang tidak jadi. Adapun gambar-gambar pada artikel ini diletakkan pada Selasa 13 Nov. Tetapi penceritaan dibuat petang 14 Nov yang bersamaan Hari Asyura, 10 Muharam 1435 Hijriah. Insyaallah selepas ini akan dibuat 2 cerita dari 2 hari pengembaraan yang menyusul selepas peristiwa di Bangi. Tunggu...