Khamis, November 14, 2013

Dari Kajang ke Hulu Langat dan KL

Untuk melengkapkan gerak penceritaan bagi 10 Muharam biar disambung dari artikel Dari Bangi beralih ke Kajang. Gambar-gambar telah diletakkan sejurus sebelum masuk waktu Maghrib. Cerita pula dibuat kemudian.


Selasa 12 Nov, selepas bermalam di sebuah rumah milik keluarga di Kajang saya pun bersedia untuk berjalan lagi.


Dari Kajang saya turun kembali selatan ke Semenyih untuk mengambil satu jalan pendalaman ke Hulu Langat.


Jalan di mana terdapat beberapa sungai dan air terjun ini merupakan salah satu jalan kegemaran ketika santai.


Dah berjalan agak jauh baru saya dapat tahu bahagian hadapannya ditutup. Tapi ia nampak ditutup kepada 'lalulitas'. Saya bukan 'lalulitas', paling dekat pun lalulintas. Jadi boleh lalu kot?


Berhenti sebentar di Sungai Tekala di mana terdapat air terjun saya minum air di gerai dan sempat berbual-bual dengan peniaga. Katanya dah setahun jalan di hadapan tutup kerana tanah runtuh. Kalau nasib baik motosikal dibenarkan lalu.


Ke hadapan sedikit baru saya nampak jalan mula 'dicatu'.


Tu dia. Rasanya dekat 300 meter jalan roboh. Boleh ke motosikal saya lepas? Kalau nak berpatah balik hanya untuk ke hadapan tu perlu pusing 50 km.


Saya turun motosikal lalu berjalan kaki meninjau keadaan. Nampaknya boleh lepas tapi perlu berhati-hati sangat. Ada bahagian memanjat tajam ke atas di mana saya tidak boleh membuat apa-apa kesalahan. Lihat artikel The broken stretch at Semenyih Dam di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Alhamdulillah dengan lepasnya halangan ini sampailah saya ke simpang yang kelihatan ini. Terus boleh ke Batu 18 Hulu Langat lalu ke Pangsun dan itulah rancangan asal saya. Belok kira masuk simpang boleh ke Batu 14 Hulu Langat juga ke Sungai Tekali di mana saya juga terfikir untuk singgah.


Saya mengambil simpang kerana mahu ke Sungai Tekali dahulu. Saya teringin hendak melihat tapak perumahan tergendala di mana sepatutnya sudah berdiri sebuah rumah milik saya 10 tahun lalu. Lihat Punca kesukaan pada nombor 131 - Hal rumah yang membuka sedikit luka lama. Kelihatan dalam perjalanan, Gunung Nuang, gunung tertinggi di Selangor. Teringat satu pengembaraan lama sesat dalam hutan mendaki ke puncaknya. Lihat Pendakian dan sesat di Gunung Nuang dalam ingatan.....


Jalan ini juga sedang diperbaiki setelah masalah tanah runtuh tetapi tidaklah seteruk jalan tadi.


Sampai ke simpang Sungai Tekali terasa hendak singgah ke masjid. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Sungai Tekali, Hulu Langat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Di masjid saya mengambil peluang untuk membasuh sedikit motosikal juga kasut yang terkena lumpur tanah merah semasa melalui jalan tanah runtuh.


Ketika itulah timbul rasa elok perjalanan ke Batu 18 dan Pangsun dibuat lain kali. Dari masjid saya terus ke pekan Batu 14.

Berhenti sebentar makan petang.


Kemudian memotong melalui jalan bukit untuk ke Ampang, Kuala Lumpur.


Biasanya apabila lalu di sini say akan berhenti lama untuk melihat pemandangan indah bandar raya dari satu bahagian atas bukit.


Tapi kali ini saya berhenti sekejap sahaja kerana mahu berkejar ke Ampang. Saya telah memberitahu ingin berurut satu badan di sebuah rumah.


Selepas berurut saya mengambil lebuh raya istimewa atas sungai untuk menuju ke pusat bandar raya KL.


Singgah di kompleks membeli-belah Sogo untuk membeli satu minuman kegemaran sebelum berehat melihat aktiviti jalanan.


Adapun rancangnya selepas itu mahu menghadiri satu forum sejarah waktu malam di sebuah rumah di Taman Tun, diberitahu seorang rakan pagi ketika di Kajang. Tapi bila dah hampir senja baru dapat tahu ia dibatalkan kerana tuan rumah kurang sihat. Biar diberitahu ini adalah artikel ke 1,155 di blogspot ini. Maka gerak yang muncul sudah dituruti sampai ke tahap yang sepatutnya, tinggal satu artikel mahu dibuat untuk mengaitkan semua yang berlaku dari 9 hingga 14 Nov...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan