Meneruskan gerak penceritaan pada petang 10 Muharram ini. Bersambung dari Antara Putrajaya dan Bangi : Melestarikan kewangan Islam atau mengangkat 'kedaulatan' kumpulan sendiri?.
Alang-alang sudah berada di sekitar Putrajaya dan Bangi saya bermalam di rumah seorang sahabat baik yang sudah agak lama tidak dikunjungi. Rumahnya terletak tidak jauh dari pekan lama Bangi. Esoknya pagi Isnin 11 Nov saya pun menyambung perjalanan melalui jalan pendalaman dari pekan itu ke Semenyih.
Singgah sebentar di masjid ini. Lihat artikel Masjid Kariah (Congregational mosque of) Bangi di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Perjalanan diteruskan menghala ke Semenyih sampai ke satu simpang lalu berhenti untuk sarapan.
Ada jalan melalui Kampung Rinching menghala ke Beranang lalu saya fikir eloklah mengambil jalan ini pula.
Beranang terletak ke selatan Semenyih menghampiri sempadan Negeri Sembilan. Sampai sahaja penghujung jalan bertemu jalan besar terlihat sempadan negeri.
Saya masuk sebentar Negeri Sembilan sekadar menurut rasa sebelum berpatah kembali menghala ke utara. Singgah di Masjid Raja Alang dekat pekan Beranang, terlihat pula tangga naik ke atasnya. Lihat artikel Exploring the upper level of Raja Alang mosque di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Tengah hari baru perjalanan disambung menghala ke Semenyih. Sampai satu simpang sebelum pekan terasa nak belok ke kanan.
Ia adalah simpang ke Broga. Kelihatan Bukit Broga yang terkenal sebagai tempat rekreasi memanjat. Pengalaman memanjat bersama anak dan isteri ada diceritakan dalam artikel lama Dari Central Market ke Bukit Broga.
Kali ini saya tidak memanjat bukit. Nak memanjat bagaimana sedangkan saya masih jalan terhencot-hencot akibat patah kaki setengah tahun lalu dan perlu memakai tongkat? Cukuplah berjalan sehingga ke pekan Broga masuk bahagian di dalam Negeri Sembilan sebelum berpatah balik lalu ke pekan Semenyih.
Di Semenyih saya berhenti makan tengah hari.
Dua perkara menarik berlaku. Satu, saya dapati hidangan di restoran yang disinggahi agak murah, satu set nasi beriyani berlaukkan ayam madu cuma RM7. Sedangkan makan nasi putih satu lauk dengan sayur pun RM6 di kebanyakan restoran mamak. Teh aisnya pula cuma RM1.50 segelas sedangkan tempat lain termasuk kedai biasa Melayu pun jual RM1.80 segelas. Selain itu terserempak seorang kawan lama yang sudah 15 tahun rasanya tak ditemui. Beliau menceritakan pengalaman menyokong perkembangan rangkaian pesantren seorang ulamak di Indonesia.
Dari Semenyih saya bergerak ke Kajang untuk singgah di sebuah rumah milik keluarga.
Petang sikit keluar berjalan-jalan di pinggiran bandar, terlihat kedai menjual gazebo dan ukiran kayu.
Masuklah sebentar kerana saya memang sedang mencari barang untuk dipasang pada rumah baru. Kiranya tengah survey harga dan design...
Setelah berjalan di 2-3 tempat lain baru saya masuk ke pusat bandar Kajang.
Rasanya inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke pusat bandar ini setelah lebih setahun, mungkin 2-3 tahun! Tentunya ada nostalgia memandangkan saya pernah menetap di Kajang, selalu berjalan di bandarnya setelah kembali dari belajar di London pertengahan 1995 sehinggalah berpindah ke Bangsar agar lebih dekat dengan tempat kerja di pejabat akhbar The New Straits Times penghujung 1997. Namun selepas itu saya tetap rajin singgah di rumah milik keluarga di Kajang sehinggalah saya mula menetap di Bandar Tasik Puteri, Rawang yang terletak 70 km dari sini. Alhamdulillah. Penulisan untuk artikel ini sempat disiapkan sejurus sebelum masuk waktu Maghrib lalu tamat 10 Muharam. Nanti akan disambung cerita seterusnya ya. Ni nak bersiap untuk berbuka puasa... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan