Jumaat, November 15, 2013

Kenangan zaman UK : Sedikit barangan lama sebagai 'jambatan' cerita

Salam. Sebaik sahaja selesai menulis artikel Kenangan zaman UK : Mengimbau melalui paspot awal pagi Sabtu lepas saya menjangkakan akan berlepas ke Aceh dengan tenang pada waktu petangnya. Sebaliknya saya terlepas pesawat dan ini antaranya membawa saya untuk menginap di rumah milik keluarga di Kajang Isnin malam Selasa. Adapun saya sudah setahun tidak masuk ke rumah yang pernah diduduki ketika kembali dari UK penghujung 1995 dahulu. Malam itu saya tergerak untuk menggeledah sedikit barang lama yang ada cerita.


Adapun sejak memulakan siri "Kenangan zaman UK" lebih sebulan lalu ada terbetik di fikiran dah lama saya tak terima surat daripada universiti lama. Kalau tak ada aje surat sampai kat saya. Apakah kerana tidak pernah membalas surat atau pergi menghadiri majlis-majlis yang dijemput? Saya terlupa bahawa surat cuma sampai pada alamat rumah milik keluarga di Kajang sedangkan saya dah lama tak singgah sana. Baru itu saya sedari ada sekurang-kurangnya 2 buah surat belum dibuka.


Ketika menggeledah barangan lama terjumpa sejumlah surat yang dihantar buah hati lama. Saya aturkan 3 keping ini kerana ia menunjukkan 3 alamat kediaman yang pernah diduduki ketika saya berada di tahun 3 pengajian universiti 1994-1995. Ketika itu buah hati lama sudah tamat pengajian dan lebih awal kembali ke Malaysia. Saya sudah lama lupa alamat rumah, bila melihat surat baru saya tahu...


Terjumpa juga surat slip gaji ketika bekerja untuk menampung perbelanjaan hidup tahun ketiga pengajian di universiti. Ketika itu pembiayaan pelajaran saya telah dihentikan akibat tidak memberitahu kepada penaja bahawa saya harus mengulang tahun kedua. Melihat surat ini fikir saya ini adalah slip gaji seminggu bekerja di kantin. Kemudian baru saya teringat, kalau di universiti saya cuma pernah bekerja di kantin University of London Union. Kalau di University College of London iaitu tempat saya belajar (University of London adalah satu konsortium yang menggabungkan sejumlah univeristi di kota besar ini) itu adalah sebagai pengatur buku di perpustakaannya.


Ini adalah tulisan tangan draf cerita yang mahu dihantar untuk siaran akhbar The New Straits Times sekitar tahun 1997 kalau tak salah. Ia adalah berkenaan perjalanan pusing Eropah musim panas 1995, masuk ke bahagian bagaimana saya sampai ke negara Jerman dari Belanda.


Saya sertakan sebagai ingatan untuk penceritaan yang akan datang. Saya sudah lama terlupa bahawa saya masuk ke Jerman itu dalam gelap gelita meredah hutan malam-malam seorang diri setelah seharian berjalan secara hitchhiking atau menumpang kenderaan orang dari Den Haag yang menghadap Selat Inggeris iaitu di barat-laut Belanda ke Venlo di sempadan timur negara.


Ini adalah sepasang suit yang dipakai ketika pertama kali berlepas dari Kuala Lumpur ke London. Rujuk cerita pada Kenangan zaman UK : Keriangan hari pertama di London. Sejak kembali ke Malaysia penghujung 1995 ia cuma disimpan dalam beg. Isnin malam Selasa baru ini baru saya tergerak untuk mengeluarkan lalu mengantungkannya begini. Lama tu... selepas 18 tahun!


Malam itu juga saya tergerak untuk membuka 2 buah surat dari universiti, surat yang ditunjukkan pada gambar pertama. Satu surat adalah untuk meminta derma bagi dana penyelidikan yang melibatkan bidang perubatan, bukan bidang saya. Maka cuma surat kedua menarik perhatian saya kerana ia dari jabatan matematik tempat saya pernah mengaji. Melihat tarikh surat Mac 2013 baru terasa begitu lama saya tidak menjenguk rumah di Kajang. Melihat nama acara disebut sebagai De Morgan Dinner, majlis makan malam De Morgan merujuk pada seorang tokoh matematik terkenal Britain abad ke-19 Masihi, teringat saya pernah menjadi ahli kelab matematik De Morgan tetapi tidak aktif.


Saya juga pernah menjadi ahli kelab peminat muzik rock di universiti. Gambar yang diambil daripada  artikel Beberapa barangan lama dan kenangan di sebaliknya.... (terbit 2009) ini menunjukkan jaket kulit yang dibeli tahun 1992 di London. Turut dibeli tahun sama adalah gitar eletrik jenama Washburn (warna merah). Mungkin saya boleh membuat artikel khas tentang minat muzik di mana saya sering singgah dari kedai gitar ke kedai gitar mencuba pelbagai model, bila ada duit sikit beli alatan penyokong bunyi atau dikenali sebagai gadgets untuk sound effects. Sementara itu saya sedang mengumpulkan kekuatan untuk bercerita tentang hari-hari belajar di universiti itu sendiri. Kerana ia melibatkan begitu banyak hal pahit manis kehidupan yang masih merupakan luka berparut jiwa buat saya hingga ke hari ini. Sekarang bolehlah saya berehat malam Jumaat ya. :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan