Malam Jumaat ini atau dah pagi buta sebenarnya, pada satu hari yang tarikhnya iaitu 21 Disember 2012, 21/12/12 agak istimewa kerana dikatakan tarikh tamatnya satu pusingan besar kalendar tamadun lama Maya, rasanya sesuailah dimulakan penceritaan satu siri baru. Dalam artikel Terbaru (dan mungkin terakhir untuk 2012) : Perjalanan misi ceramah di Kelantan sebelum bercuti di Langkawi telah diberikan sedikit ringkasan perjalanan. Sekarang bolehlah cerita dihuraikan...
Sekitar 10 malam, Jumaat malam Sabtu 7 Disember 2012 kami anak beranak bertolak meninggalkan rumah.
Sekali lagi kami akan berjalan jauh. Kali ini disertai juga dua orang anak tertua. Singgah sebentar makan di Genting Sempah.
Kami juga ada singgah di rumah saudara di Raub. Disebabkan itu kami sampai ke Kota Bahru, Kelantan waktu Subuh.
Di masjid lama terkenal, Masjid Kampung Laut yang terletak di Nilam Puri kami berehat sebentar sebelum menyambung perjalanan.
Dari Nilam Puri kami lalu di kawasan bernama Kedai Mulong yang terletak cuma 1-2 km dari Masjid Kampung Laut. Oh, beberapa hari sebelumnya isteri saya ada terjumpa maklumat di Internet yang memberitahu bahawa di Kedai Mulong terdapat sebuah masjid lama yang asalnya adalah sebuah istana kerabat diraja. Kata isteri beliau teringat sekitar 3 tahun lalu saya pernah bermimpi mencari sesuatu di Kedai Mulong. Walhal dalam tempoh 3 tahun itu kami sudah beberapa kali pergi ke Kelantan dan memang lalu kawasan ini. Tak tergerak pun nak mencari, baru kini tahu kewujudan masjid ini. Lihat artikel Masjid
lama (Old mosque of) Kedai Mulong di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Selepas itu kami bersiar-siar di bandar raya Kota Bahru.
Sarapan sebentar di satu kawasan berdekatan tebing Sungai Kelantan, dekat juga dengan makam seorang kerabat diraja yang nampaknya dilupakan. Lihat artikel lama Menjejak
kegemilangan lama Pantai Timur : Antara Long Sulaiman dan Long Deraman.
Kemudian baru kami ke Kubang Kerian untuk menemui kenalan di Masjid Sultan Ismail Petra, masjid yang kalau tidak paling besar pun adalah antara yang terbesar di Kelantan. Yang pasti ia berstatus masjid sultan. Rujuk artikel Masjid
(Mosque of) Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian.
Kami ke sini kerana saya telah dijemput untuk memberi ceramah tentang kedatangan awal Islam di Alam Melayu. Selepas melihat hasil wacana pertama HIKMAH di Shah Alam 4 Nov (rujuk artikel HIKMAH
4 Nov - Dari pagi ke Zuhur berkongsi ilmu, HIKMAH
4 Nov - Lepas Zuhur hampir ke Maghrib masih tak balik-balik! dan Video
klip sekitar HIKMAH 4 Nov di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH), HIKMAH diasaskan oleh saya lebih 2 bulan lalu) kenalan yang dimaksudkan telah mencadangkan kepada AJK masjid terutama imam besar agar menjemput saya berceramah di Kelantan.
Beliau dan imam membawa kami ke tempat penginapan berdekatan. Selepas berehat sebentar kami keluar ke Masjid Tok Kenali yang juga terletak di Kubang Kerian.
Sudah menjadi kebiasaan apabila di Kota Bahru kami mesti singgah di masjid ulamak besar bertaraf wali ini. Selain itu, kali ini saya mengambil peluang mengambil gambar beliau yang terpampang di hadapan masjid untuk dimasukkan ke dalam slaid persembahan untuk ceramah.
Adapun saya dijadualkan memberi ceramah dua sesi, satu selepas solat Asar, satu lagi selepas Maghrib. Itupun masih sempat membuat persiapan last minute. Bayangkan... kami sampai di Masjid Tok Kenali pun dah dekat 3.40 petang. Sempat bersolat dan rehat sebentar kemudian ke makam di mana baru saya betul-betul mengatur lagi slaid.
Oh. Saya juga baru mendapat tahu berdekatan makam terdapat sebuah masjid kecil. Selama beberapa tahun, sejak kali pertama menziarahi makam tahun 2003 kalau tak salah ingatan (rujuk artikel lama Sedikit
cerita berkaitan Tok Kenali) dan terus menziarahinya setiap kali ke Kota Bahru saya tidak pernah sedar akan kewujudan masjid tersebut, nampaknya sama hal dengan masjid lama di Kedai Mulong. Tetapi disebabkan bayi kami yang bernama Johan buang air besar lalu kami perlu membersihkan, saya terjumpa masjid yang terletak 50-100 meter sahaja dari makam. Lihat Masjid
kecil berdekatan makam Tok Kenali (Small mosque nearby the tomb of Tok
Kenali).
Selepas Asar saya pun memberikan ceramah. Ini pula gambar di dalam masjid sejurus sebelum memberikan ceramah sesi kedua iaitu selepas Maghrib.
Pada dua-dua sesi saya datang berceramah memakai baju Melayu sepasang, bersongkok bersampinkan kain pelikat dengan keris sepokal Bugis 13.5 inci tersisip di pinggang siap memakai pending yang diikat kain lembut kemerah-merahan. Mula-mula hadirin agak pelik melihat saya berjalan begitu dengan selambanya berkeris berjalan ke hadapan masjid. Namun ada yang tersenyum seronok. Malah kata imam : "Ini ikut sunnah Nabi ni, orang lelaki jalan-jalan pakai senjata di badan!".
Ini adalah nama ceramah seperti dihantarkan kenalan melalui SMS kepada saya seminggu sebelum majlis, ketika saya sedang berjalan dengan keris sama tersisip di pinggang untuk menghadiri satu acara di Melaka. Lihat Berbusana
tradisi melaksanakan misi di Istana Kesultanan Melaka.
Video klip ceramah insyaallah akan saya kongsikan nanti bila ada kelapangan. Lewat malam itu saya membawa anak kecil saya Rasyid berjalan-jalan lagi di tengah bandar raya. Isteri dan anak-anak sedang tidur ketika itu.
Sambil berehat di tempat yang kelihatan saya sempat memeriksa keadaan kereta yang sudah kekurangan air sistem penyejukan akibat ada masalah. Kereta yang sudah berjasa membawa kami ke merata Semenanjung Malaysia malah pusing Singapura dan selatan Thailand ini juga mengalami masalah enjin makan minyak hitam, sejak bahagian atasnya dibuka untuk top overhaul di sebuah bengkel berdekatan rumah. Alhamdulillah dapat juga kami berjalan 500 km dari rumah sampai ke Kota Bahru demi memenuhi jemputan.