Khamis, Ogos 26, 2010

Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Empayar Khalifah Sharif yang sebenar?

Assalamualaikum semua. Sempena malam 17 Ramadhan ini juga biar ditambah lagi satu cerita Muar. Bersambung dari Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Tinggalan Aceh di hulu Muar.... Mari! :]



Pagi Ahad 15 Ogos 2010 bersamaan hari ke-5 kita berpuasa, saya, isteri dan anak pun sedia berjalan lagi.


Sasaran awal kami terletak dekat dalam kampung ibu juga...


Mula-mula ziarah kubur...


Al-Fatihah untuk Hajah Sariyah moyang saya di sebelah ibu yang berdarah Jawa.



Kemudian baru kami menuju ke sasaran, sebuah bukit kecil bernama Bukit Treh.




Seperti dalam kisah lagenda Si Tanggang, Bukit Treh juga katanya terbentuk akibat sumpahan seorang ibu yang kecewa anaknya tidak mahu mengakuinya sebagai ibu. Kapal yang dinaiki anak itu disumpah menjadi batu. Pada kaki bukit terdapat sebuah makam misteri. Lihat artikel Makam seorang puteri di Bukit Treh? (Tomb of a princess at Bukit Treh) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).





Walaupun bulan puasa kami begitu bersemangat untuk naik ke atas bukit. Isteri saya terasa begitu teruja... dia pertama kali sampai dan ada sesuatu yang boleh dirungkai di sini, terasa kuat melibatkan dirinya, bukan setakat diri saya sahaja...




Setelah sedikit berpenat-lelah, terpaksa pula mengelak halangan seperti pokok tumbang, kami pun sampai ke atas. Lihat artikel Climbing Bukit Treh with the wife and baby di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Perhatikan bagaimana kami mengelak pokok tumbang yang menutup laluan...







Ketika turun saya teringat bagaimana satu pihak telah menggunakan beberapa gambar yang telah saya ambil lebih 3 tahun dahulu lalu digunakan untuk membuat dakwaan bahawa di Bukit Treh pernah berdiri istana raja kedua dari bangsa Siam yang kononnya menguasai satu empayar Islam yang bukan sahaja meliputi seluruh bumi Nusantara malah jajahannya meluas sampai ke benua Australia!

Lihat artikel Pictures in Muar 3. Lihat tinggalan tembok yang ada pada gambar 4, 5 dan 7. Gambar-gambar itulah yang didakwa oleh pihak tersebut dalam blogspot mereka sebagai bekas tinggalan istana raja lama bangsa Siam mereka yang kononnya wujud sekitar 1,200 tahun lalu. Perhatikan dengan teliti. Walaupun saya sendiri sering ke sana ke mari mencari kesan sejarah lama, saya tidak berani membuat dakwaan sebegitu apalagi jika bukan berdasarkan gambar yang diambil sendiri. Takut tersilap membuat jangkaan. Tinggalan tembok yang mungkin sebenarnya didirikan British awal abad ke 19 kita kata sebagai bukti tinggalan istana nenek-moyang kita abad ke 9. Kan dah jadi bahan gelak ketawa?








Merujuk balik pada Climbing Bukit Treh with the wife and baby yang merupakan artikel sokongan untuk penceritaan di sini. Ada ditunjukkan pokok tumbang yang menghalang laluan biasa. Ini memaksa kami memilih laluan lain yang sedikit ke bawah lalu terlihatlah binaan lama ini...



Apakah ia binaan buatan British untuk menyokong infrastuktur sokongan seperti paip untuk loji air yang dibina di atas Bukit Treh? Apakah ia memang satu tinggalan yang lebih lama? Seketika itu juga terbetik di hati, memang dahulu pernah berdiri sebuah istana raja di Bukit Treh, memang sekitar 1,200 tahun lalu.




Jadi apakah dakwaan pihak pro-Siam itu benar? Hati saya menjawab ia separuh benar. Sebelum itu biar disebut. Semasa meletakkan link untuk artikel Pictures in Muar 3 pada gambar yang menunjukkan tangga turun dari puncak Bukit Treh baru saya teringat... gambar-gambar dalam artikel yang dibuat lebih 3 tahun lalu ini sebenarnya diatur untuk kegunaan seorang sahabat agar dapat digabungkan dengan artikel terbaru saya untuk sebuah akhbar tabloid bernama Kencana.

Sayangnya artikel tersebut tidak dapat menemui pembaca apabila Kencana menghadapi masalah. Yang sempat keluar adalah artikel sebelumnya, boleh dilihat pada posting bertajuk Jalan-jalan Perak sebelah barat : Atlantis Gangganegara? dengan isi asal tanpa disunting dipersembahkan di Laksamana pulang ke Perak: Menyusuri cerita lama Muar. Namun saya ada meletakkan tulisan yang tidak sempat keluar di Kencana itu pada artikel Laksamana pulang ke Perak: Kota Portugis, Si Tanggang dan Raja Temenggung Muar . Bacalah, Insyaallah akan membuka minda bagaimana Muar juga menjadi satu titik untuk mengembangkan perjuangan Islam akhir zaman... :]





Selepas Bukit Treh saya pergi ke satu kawasan berhampiran kuala Sungai Muar.

Selain merehatkan minda melihat monyet-monyet hutan kayu bakau yang ada, saya mahu menjejakkan kaki untuk mendapatkan gerak rasa seterusnya. Lihat Monkeying around in Muar.


Saya pun pergi ke satu bahagian lain yang dekat dengan kuala Sungai Muar...



Perhatikan pada hujung bumbung bangunan, sebuah jeti sebenarnya. Lihat bentuk yang saya suka sebut sebagai lidah tergantung atau terjulur, bentuk yang secara rasmi disebut dalam pengajian senireka lama sebagai motif papan kepala cicak.

Dalam sejumlah artikel lama di blogspot ini juga blogspots saya yang lain sudah disebut bagaimana bentuk ukiran ini biasa terdapat pada rumah-rumah lama di Perak juga sebahagian Kedah dan Pulau Pinang. Tetapi ia bukan bentuk yang biasa dipakai di Muar juga di bahagian lain selatan Semenanjung. Jadi mengapakah jeti di kuala sungai Muar ini memakai bentuk ini? Walhal sepanjang membesar di Muar, sejak dilahirkan hinggalah umur 18 apabila betul-betul meninggalkan Muar (saya pernah bersekolah asrama penuh di Kluang sejak berumur 13 tapi belum boleh dikira meninggalkan Muar), sepanjang sering mengembara ke sana ke mari sehingga hampir masuk umur 40 tahun kini (kalau ikut kalender Islam, saya sudah pun berumur 40 sejak 27 Ramadhan tahun lepas) di jeti ini sahaja terdapat bentuk lidah tergantung. Kenapa? Adakah ia sekadar dibuat suka-suka atau menjadi tanda?



Adalah menjadi kepercayaan peribadi saya bahawa bentuk lidah tergantung ini berasal dari Aceh lama. Peliknya, setelah 4 kali ke Aceh baru saya terjumpa ia dipakai di sana, itupun pada satu tempat sahaja lalu saya pun menulis artikel Dah jumpa dah di Aceh! Bentuk "lidah terjulur" yang mengaitkannya dengan Perak.... Seminggu kemudian saya mendapatkan gerak baru dalam mengupas asal-usul bentuk ini. Dengan pertolongan seorang rakan yang lebih arif meninjau melalui alam ghaib saya pun dapat memutuskan sedikit sebanyak keadaan. Artikel Kepala naga Merong Mahawangsa dan legasi Saidina Salman Al-Farisi, satu petanda daripada era lebih 1,200 tahun lalu? pun ditulis awal Mac.





OK. Di sini saya ingin melepaskan sesuatu. Adapun di antara negeri-negeri yang ada di Malaysia, cuma Terengganu sahaja yang rumah tradisionalnya rata-rata memakai satu jenis ukiran yang dipanggil buah potong. Ukiran berbentuk batang dengan hujung tajam menunjuk ke atas ini diletak pada hujung atas bumbung iaitu pada bucu atas bentuk V terbalik bumbung. Dalam pengajian senireka saya difahamkan ia dipanggil kayu buton. Namun saya dapati rumah-rumah tradisional Muar juga rata-rata memiliki bentuk buah potong yang sama. Apakah kena-mengena Muar dengan Terengganu? Apakah ada cerita lama yang selama ini terpendam?


Berbalik pada bentuk lidah terjulur pula. Seperti di Muar, ia bukan bentuk yang boleh didapati di Terengganu. Namun seperti jeti di kuala Sungai Muar yang dibina dalam tempoh 10 tahun kebelakangan kalau tak salah ingatan, ada satu sahaja tempat di Terengganu di mana saya pernah terjumpa bentuk lidah terjulur. Peliknya ia ada pada banglo-banglo baru yang dibina berdekatan Masjid Kristal Wan Man. Lihat artikel Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Menyelesaikan 'bil tertunggak' bagi sekitar Kuala Terengganu... dan fikirkan kenapa...





OK, saya tidak boleh menulis panjang lagi. Selepas ini saya harus bersiap untuk memandu jauh ke utara. Walaupun informasi di bawah menyebut artikel ini ditulis jam 11:37 malam, itu cuma waktu penulisan dibuka. Ketika menulis ayat ini sudah jam 1:43 pagi.


Biar disebut semasa turun dari Bukit Treh saya mendapat jawaban di hati bahawa kewujudan sebuah empayar Islam besar di Nusantara yang diterajui para Sharif berketurunan Nabi itu benar... sangatlah benar. Namun ia tidaklah seperti disebut pihak yang taksub dengan teori Siam Islam. Kemungkinan besar mereka dan nenek-moyang mereka tahu akan kewujudan empayar tersebut. Tetapi disebabkan ingin sangat menaikkan kaum keluarga sendiri sebagai peneraju empayar konon mereka telah tersilap tafsir, atau sengaja membuat salah tafsir lalu segala rujukan yang ada jadi berbelit-belit untuk menyokong teori sendiri.


Di atas adalah gambar satelit sekitar bandar Muar dilihat dengan program Google Earth. Perhatikan mana kedudukan jeti juga Bukit Treh...





Ini adalah gambar yang sama setelah dibuat sedikit pengubah-suaian. Berpandukan pada cerita bahawa kapal yang disumpah menjadi batu (sehingga timbul Bukit Treh) itu sedang berlabuh di laut lepas berdekatan pantai, saya membuat anggaran beginilah rupa-bentuk geografi Muar ketika sumpah berlaku. Cuma saya tidak melebarkan Sungai Muar yang sepatutnya lebih lebar kerana tidak pasti bagaimanakah alirannya waktu itu. Lebih elok kita mengaku tak tahu daripada berlagak pandai, tahu ilmu yang 'mutlak', 'pewaris takhta mutlak' dan sebagainya... takut nanti jadi bahan ketawa dan kita pula tidak dipercayai orang lagi apabila ternyata apa yang kita yakin sangat itu menyimpang akhirnya.


Ini bukanlah bermakna kita tidak boleh mengemukakan pendapat mahupun teori. Tetapi lebih elok dan sopan jika kita menggunakan kata-kata yang merendah diri misalnya : "Pada pendapat saya beginilah rupa kerajaan lama itu..." atau "menurut wasiat keluarga kami orang inilah waris terbaik tetapi itu dari pihak kami... pihak lain mungkin tidak bersetuju". Jangan mudah menggunakan perkataan 'mutlak' kerana tiada yang 'mutlak' selain Allah Ta'ala. Janganlah kita memakai pakaian kebesaran Allah. Tiada yang layak merasa sombong kecuali Dia sahaja...




Hikayat Malim Dewa juga Hikayat Malim Deman ada menyebut tentang kedatangan Malim Dewa dari Aceh ke Muar di satu zaman di mana "Muar belum bernama Muar, Muar bernama Teluk Dalam." Jika gerak rasa saya betul bahawa di Bukit Treh itu pernah berdiri sebuah istana ketika Malim Deman anakanda kepada Malim Dewa itu wujud maka seharusnya muka-bumi Muar telah berubah dengan air surut sehingga Bukit Treh terletak sedikit jauh dari laut. Sekali lagi saya tidak berani mengubah bentuk Sungai Muar yang seharusnya lebih besar kerana tidak tahu bagaimanakah aliran sebenarnya zaman itu. Kalau tahu mungkin dapat menjawab kenapa ada peta-peta lama menunjukkan Sungai Muar terus sahaja bersambung dengan Sungai Pahang, bukan seperti kemudian di mana kapal yang masuk dari Pantai Barat boleh ke Pantai Timur melalui Sungai Muar tetapi harus masuk dahulu ke Sungai Jempol kemudian ditarik atas darat sejauh lebih kurang 300 meter sebelum masuk air balik di Sungai Serting untuk pergi ke Sungai Pahang, laluan yang dipanggil sebagai Jalan Penarikan. Lihat artikel Kembara terbaru ke Pantai Timur... Sesi dibuka dengan menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan! dan Sambungan cerita "Menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan!"... Menyusuri juga makna sebuah mimpi lebih 10 tahun lalu dan kehadiran hantu Siam? yang dibuat lebih 2 tahun lalu.


Untuk artikel akan datang Insyaallah akan saya cuba kupas siapakah Khalifah Sharif yang sebenar memerintah empayar Islam besar di Nusantara sambil memecah persoalan bagaimana pihak pro Siam boleh tersasar samada sengaja atau tidak ketika meneliti persoalan ini. Seharusnya nama Sharif itu menunjukkan si pemakainya itu berketurunan Nabi Muhammad SAW daripada nasab Saidina Hassan. Keturunannya harus bersambung lelaki atas lelaki (patrilineal) hingga ke cucu sulung Rasulullah SAW yang pernah menjadi khalifah ke-5 umat Islam seluruh dunia itu kerana tidak pantas dan tidak diterima dalam hukum nasab Ahlul Bait bahawa seorang lelaki yang ibunya berketurunan Nabi tapi ayahnya bukan terus memakai gelaran Sharif mahupun Sayyid dan itulah petunjuk awal yang paling terang agar kita tidak termasuk dalam golongan yang mengada-adakan cerita mahupun suka membuat dakwaan palsu.


Oh. Sebagai persediaan kepada apa yang akan dipersembahkan akan datang sila baca-baca artikel-artikel lalu ini...


KeSultanan Perlak: Bermulanya sebuah cerita

Akhirnya... Membuka misteri identiti Nakhoda Khalifah!

Petunjuk baru tentang kerajaan lama di Putrajaya?


Sekian! :]




11 ulasan:

  1. Tahniah MS atas artikel ini yang begitu banyak merungkai persoalan tentang Dinasti Al-Kamil, Empayar Temir ini. Pada pendapat saya, kemungkinan besar Muar pada suatu ketika dulu diperintah oleh Raja Mandalika yang berbaiaah kepada Khalifah Nakhoda/ Muhammad Abdullah Al-Mahdi/ Muhammad An-Nafs Zakiyyah/ Syarif Muhammad Al-Baghdadi. Ini membuktikan empayar yang diasaskan oleh baginda adalah amat besar, bukan hanya di Terengganu.. Tetapi Benua Terqanun yang meliputi nusantara ini.. Dan paksinya adalah di Terengganu.. Kampung Temir yang digunakan untuk Empayar Temir masih wujud sampai sekarang. Ia berada berdekatan dengan makam Tok Pauh di Kampung Pauh, beberapa kilometer dari Kuala Berang..

    BalasPadam
  2. salam saudara radzi...

    saya sering membaca artikel saudara...dan saya mengucapkan selamat menulis dan mengembara serta mengumpulkan khazanah2 yg sering terlepas pandang dari generasi sekarang. walau ramai juga yg suka komplen x tentu arah, tp sudah jd adat dunia...benda kalau x dikomplen x sah....banyak pengetahuan yg sy perolehi disini terutama dr segi struktu bangunan, salasilah raja2 melayu yg wujud dan yg sudah hilang dll. semoga saudara dikurniakan kesihatan dan akal yg tajam dalam meneruskan membongkar khazanah silam bangsa kita.

    salam ramadhan

    BalasPadam
  3. (((Untuk artikel akan datang Insyaallah akan saya cuba kupas siapakah Khalifah Sharif yang sebenar memerintah empayar Islam besar di Nusantara sambil memecah persoalan bagaimana pihak pro Siam boleh tersasar samada sengaja atau tidak ketika meneliti persoalan ini. Seharusnya nama Sharif itu menunjukkan si pemakainya itu berketurunan Nabi Muhammad SAW daripada nasab Saidina Hassan. Keturunannya harus bersambung lelaki atas lelaki (patrilineal) hingga ke cucu sulung Rasulullah SAW yang pernah menjadi khalifah ke-5 umat Islam seluruh dunia itu kerana tidak pantas dan tidak diterima dalam hukum nasab Ahlul Bait bahawa seorang lelaki yang ibunya berketurunan Nabi tapi ayahnya bukan terus memakai gelaran Sharif mahupun Sayyid dan itulah petunjuk awal yang paling terang agar kita tidak termasuk dalam golongan yang mengada-adakan cerita mahupun suka membuat dakwaan palsu. ))))


    ***********************************

    Kalau anda berpegang pada pendapat ini anda akan menafikan beratus ribu cucu cicit Rasullulllah SAW di nusantara ini.

    Tahukah anda ada sebahagian yang lain mengambil IBU sebagai keutamaan pada nasab keturunan.Contonya,Mungkin anda bolih mengkaji adat-adat orang Minang.

    mungkin anda akan ketemui kenapa mereka bernasab pada ibu,hidup bersuku2 dlln.

    BalasPadam
  4. Jika anda mengambil berat sebelah patrilineal shj, maka Fatimah anaknya Hassan dan Hussein, tidak dapatlah saudara menerimanya, kerana diketahui ramai Nabi Muhammad tidak meninggalkan zuriat sebelah lelaki.

    Setahu saya, nasab yg terutama yg menjadi kiraan ahlul bait salah satunya yg diambil kira dan menjadi persoalan salasilah yg diambil kira, adalah cucu dari Hussein atau Hassan saya kurang pasti, berkahwin dengan cucu kepada Saidina Abu Bakar.

    Jika saudara ingin memmbuktikan keturunan ahlulbait, dapatkan saudara mengkaitkan setiap patrilineal dari bapa kepada bapa hingga kepada skrg ini?

    Maksud saya,anak lelaki Hussein dan Hassan membawa kepada cucu dan seterusnya adalah daripada lelaki kepada lelaki sehingga ke zaman skrg ini???

    Melainkan pada tafsiran saya melalui apa yg saudara lakukan adalah mempercayai apa yg ditulis oleh sumber2 itu, (entahkan benar atau tidak) contohnya mengenai Makhdum dan pemerintah Khalifah yg dikatakan dari Parsi.

    Mungkin saudara suka untuk mempercayainya kerana ia melibatkan ahlulbait pada sangkaan saudara dipihak yg bersangkutan dengan saudara.

    Beginilah kalau seseorang itu keturunan ahlulbait, memang telah diketahui ahli keluarganya dan tidak perlu mencari-cari untuk membuktikan.

    Sebagai contohnya, seorang kaum keluarga ahlulbait akan begitu perihatin dari segi pemakanan halal haram dan dari kehidupan dan cara mana ia dibesarkan, sikap2 merendah diri akan sentiasa diperingatkan. Ahlulbait tidak digalakkan memakan organ2 dalaman binatang, sebagai contohnya, hati, perut, limpa, otak lembu atau ayam. Kerana mengikut sunna nabi memakan makana2 seperti ini melemahkan otak dan menjadikan hati degil dan keras.

    Sedikit info utk pengetahuan.

    BalasPadam
  5. Wassalam. Saya tak pernah menafikan wujudnya darah Ahlul Bait dari sebelah ibu ataupun perempuan. Saya cuma menekankan hukum nasab Ahlul Bait... pemakaian nama Syarif dan Sayyid adalah cuma untuk mereka yang nasab bapa atas bapanya sampai ke Saidina Hassaan ataupun Hussein. Perkara ini sudah disebut banyak pihak termasuk persatuan seperti Asyraaf di Malaysia dan Naqobatul Asyraaf di Indonesia. Seorang Syarifah yang berkahwin dengan lelaki bukan Syarif/Sayyid anaknya tidak lagi boleh dipanggil Syarif mahupun Sayyid atau Syarifah.

    Jangan bandingkan dengan Minang. Kalau nak ikut Minang ikut aje le tapi itu tidak dipakai dalam hukum nasab Ahlul Bait. Mengaku aje le orang Minang ke orang Siam... tapi mengaku Ahlul Bait dah tak boleh. Orang sebegini dah terkeluar dari daftar nasab Ahlul Bait. Kalau ada pun kena tambah perkataan lain untuk menunjukkan nasabnya bersambung ke Ahlul Bait melalui pihak perempuan, misalnya untuk keluarga Azamat Khan (termasuk anak cucu Sayyid Jamaluddin Kubro) kena sebut nama pas tu kalau nak tambah Azamat Khan, kena tambah sekali huruf KH kat belakang menunjukkan nasab dari belah perempuan.

    Dan ya... setiap yang memakai nama Syarif dan Sayyid dapat dikaitkan nasab bapa atas bapa sampai ke Saidina Hassan dan Saidina Hussein... setiap nasab yang asli le, bukan nasab yang dibuat-buat untuk menyokong sesuatu telahan. Pendek kata takda Syarif ataupun Sayyid yang bapa atas bapanya juga bukan Syarif ataupun Sayyid.

    Perkara ini tak payahlah bertanya lagi pada saya. Kalau anda JUJUR mahu tahu, tanya pada persatuan Sayyid, boleh tanya pada banyak guru2 berdarah Sayyid yang ada datang mengajar agama di masjid2 dan sebagainya. Itupun kalau kita JUJUR nak tahu le, bukan setakat nak membina hujah, misalnya masih terus berdegil mengatakan keturunan Merong Mahawangsa tu kononnya layak memakai gelaran Syarif walhal Merong itu sendiri dikatakan anak raja China yang bukan pun Sayyid.

    BalasPadam
  6. Ramai ahul bait gelombang penghijrahan yg pertama pun meninggalkan nama dan tittle nasab keturunannya.

    Mereka dah beranak pinak hidup macam org biasa saje.Ramai keturunan yg bercampur ni iris matanya berwarna coklat....

    Red,sungai muar yang berkelok2 tu hulunya kat mana ye???

    BalasPadam
  7. Tengok ni...

    http://merahsilu.blogspot.com/2009/07/jalan-hujung-minggu-negeri-sembilan_31.html

    BalasPadam
  8. wah!!! sampai ke neg 9, rupanyaaa....

    jauh tuuuu!!!!org tuo2 kata asal yg hujung adalah yg pangkal..

    BalasPadam
  9. Yep. Sungai Muo tu panjangnya lebih 280 km dengan hulu kat Negeri Sembilan. Ingat tak cerita Raja Melewar dihantar dari PagarRuyung untuk menjadi raja pertama Negeri Sembilan? Masa tu Negeri Sembilan belum wujud tapi dah ada daerah bernama Hulu Muar di mana Raja Melewar berkahwin dengan anak Penghulu Ulu Muar.

    Tapi itu kita bercerita tentang Ulu Muar dalam tempoh 300 tahun kebelakangan. Kalau lebih dahulu dari itu ada kemungkinan Ulu Muar terletak di tempat lain kerana ada peta lama menunjukkan Sungai Muar dengan Sungai Pahang pernah bersambung. Malah aku pernah dengar cerita Sungai Pahang asalnya pendek sebelum ia 'menawan' sebahagian Sungai Muar kemudian alirannya terpecah. Jadi Ulu Muar yang ada sekarang adalah ulu salah satu cabang utama sungai sedangkan ulu dahulu mungkin lebih kuat ke ulu Sungai Pahang, mungkin juga tempat lain yang kita tak nampak kaitan disebabkan perubahan mukabumi kebelakangan?

    BalasPadam
  10. Sri Seroja : Banyak sungguh sejarah di Muar ni dan rasanya banyak lagi yang tak diketahui. Nak tanya... semasa saudara Radzi menjelajah Muar, ada tak jumpa cerita tentang kisah ala-ala tenggang di Jorak?

    Semasa saya kecil-kecil dulu semasa ke kampung Kolam, saya ada nampak sebuah kubur yang dililit dengan kain kuning akibat dari busut yang tumbuh di atasnya. Rumah pemilik kuburan tersebut pula reka bentuknya seperti Istana Melaka. Dikhabarkan dia seorang kaya pada zaman dahulu. Saudara Radzi pernah tahu tak tentang dia ini. Sekiranya ada maklumat, sudi kiranya saudara berkongsi kerana saya sehingga kini tertanya-tanya siapa sebenarnya dia. Terima kasih.

    BalasPadam
  11. salam saudara radzi... saya sering membaca artikel saudara...dan saya mengucapkan selamat menulis dan mengembara serta mengumpulkan khazanah2 yg sering terlepas pandang dari generasi sekarang. walau ramai juga yg suka komplen x tentu arah, tp sudah jd adat dunia...benda kalau x dikomplen x sah....banyak pengetahuan yg sy perolehi disini terutama dr segi struktu bangunan, salasilah raja2 melayu yg wujud dan yg sudah hilang dll. semoga saudara dikurniakan kesihatan dan akal yg tajam dalam meneruskan membongkar khazanah silam bangsa kita. salam ramadhan

    BalasPadam