Jumaat, Mei 18, 2007

Kat beauty saloon pun ada BKA woo!!!


Lihat gambar di atas... Cuba teka ia diambil di mana... Apakah di dalam kedai buku? Perpustakaan? Dewan Bandaraya? Mungkin sekolah bistari, dewan serbaguna, mungkin juga di lobi hotel? Ataupun di dalam kapal terbang (yang tentunya bukan, saja nak mengarut, hehe!).
Perhatikan betul-betul... Nampak tak barangan kecantikan yang terletak di belakang? Juga tulisan Aroma Kasturi pada cermin di belakang gadis bertudung di atas?
Perhatikan juga longgokan buku-buku di hadapan... Bukan setakat novel "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" atau BKA I (berwarna kuning) yang sudah berada di pasaran sejak Jun 2007 malah novel "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II (warna hijau kebiruan) yang baru sahaja siap dicetak hari Isnin lalu!
Bayangkan, proses pengedaran BKA II pun belum dimulakan kerana masih dalam perbincangan (selalunya lepas pengedar mengambil buku, seminggu hingga dua minggu kemudian barulah sampai ke kedai-kedai) tetapi gambar di atas menunjukkan ia sudah ada di sebuah lagi premis tertentu... Apa ceritanya ini?
Untuk makluman, ini adalah PREMIS KEDUA YANG ADA MENJUAL BKA II DI MALAYSIA! Premis pertama adalah kedai Khazanah Fathaniyah peninggalan almarhum Ustaz Wan Saghir di Chow Kit, Kuala Lumpur (sejak pagi Rabu)...
Tidak hairanlah Khazanah Fathaniyah dah ada BKA II sebab kedai itu memang menjual buku tapi premis kedua ini lain sikit! Percaya atau tidak, ia adalah sebuah pusat kecantikan dan tempat menjaga badan! Siapa sangka, beauty saloon pun ada jual BKA woo!!! Jangan main-main!
Hmm... Tentu ada pembaca yang tertanya-tanya kenapa pula buku "Berpetualang ke Aceh" ini diletakkan di sebuah pusat kecantikan? Sebelum meneruskan cerita, elok saya beritahu terlebih dahulu... Pusat ini bukan setakat untuk wanita malah ia juga untuk lelaki yang ingin menjaga badan serta kesihatan kerana ia mempunyai kemudahan mandi wap herba tradisional Melayu yang menggunakan formula tersendiri termasuk air kolah daripada beberapa buah masjid lama! Soalnya, bagaimana pula saya dan buku saya terlibat dengan pusat ini.... Baiklah, biar saya berterus-terang.
Kira-kira 2 bulan lalu, setelah kembali daripada siri perkelanaan jauh yang meliputi beberapa destinasi di Pantai Timur, kemudian di Selatan (kawasan Muar dan Melaka) seterusnya perjalanan lebih panjang di Utara (termasuk Pulau Langkawi dan memanjat Gunung Jerai), saya menghadapi masalah kesihatan yang tak pasti apa. Saya selalu mengalami kesesakan nafas dan sering merasa penat serta kurang semangat... Mungkin ini adalah penangan letih berjalan jauh bercampur usaha berhenti rokok yang masih berjalan hingga kini?
Untuk pengetahuan, saya telah serta-merta berhenti merokok sejak bulan Ramadhan tahun lepas. Alhamdulillah, saya masih lagi bertahan tidak merokok walaupun senafas setakat ini, sudah masuk 9 bulan rasanya... Tetapi saya diingatkan banyak kesan sampingan akibat berhenti merokok dengan mendadak... Dan saya masih belum berani mengaku sudah berjaya berhenti merokok, setakat berani mengatakan saya masih lagi berusaha! Maklumlah, sudah lebih 20 tahun menjadi perokok tegar, sejak menuntut di Tingkatan Tiga lagi.
Seorang kenalan risau melihat keadaan saya lalu mengatur untuk saya mencuba mandi wap herba di pusat kecantikan (atau pusat kesihatan?) milik seorang rakannya. Saya pun akur dengan harapan akan mendapat sedikit kelegaan... Oh, nama pusat ini Seri Harum atau Aroma Kasturi... Maka saya pun mencuba, bukannya mahal, cuma RM30 sahaja duduk dalam bilik wap dengan menggunakan herba terpilih selama mana yang kita tahan (selalunya lepas setengah jam kebanyakan orang dah keluar sebab tak tahan panas).
Apapun, saya merasa lebih segar selepas itu. Walaupun proses itu belum cukup untuk memulihkan masalah kesihatan yang saya alami, ia adalah langkah permulaan untuk saya mengembalikan diri ke arah yang lebih normal setelah bertahun-tahun hidup berkelana dalam dunia pengembaraan tersendiri. Lebih penting lagi, saya telah mendapat ramai kenalan baru dan rupa-rupanya ada sebab tersendiri kenapa Allah menemukan kami.
Perkenalan inilah yang membuka jalan sehingga buku BKA diletakkan di situ. Mungkin ini satu konsep baru, menjual buku di pusat kecantikan @ beauty saloon @ pusat rawatan dan kesihatan? Sekurang-kurangnya boleh menghayati cerita "Berpetualang ke Aceh" selepas mandi wap? Atau setelah membuat urutan badan, rawatan muka, kuku, rambut dan sebagainya?
Dari satu segi, saya membuat cerita ini untuk menolong seorang kawan. Dari segi lain pula, kawan itu juga menolong saya menjual buku... Kira win-win situation le ni... Insyaallah. Dan satu konsep yang agak unik, menjual bahan bacaan serius yang bersifat intelektual dan mencabar minda di sebuah pusat kecantikan.... Kira cantik luar dan dalam ya tak?
Hmm... Rasanya, cukuplah apa yang dicoretkan setakat ini. Kalau nak tahu lebih lanjut, sila hubungi Puan Salma Humaira (019-3141157). Nak lagi canteeekkkk, pergi sendiri ke sana... Tak jauh pun, dekat Bandar Tasik Selatan, dekat dengan LRT menyeberangi lebuhraya MRR II. Baik daripada arah mana di lebuhraya, tetap akan lalu satu landmark iaitu Shell. Di hadapannya adalah Metro Centre Bandar Tasik Selatan. Sat... Cuba tengok peta di bawah...


OK... Daripada Shell juga daripada tepi lebuhraya MRR II di kawasan Bandar Tasik Selatan, boleh nampak bangunan di bawah ini... Adapun pusat kecantikan (hmm... Macam tak best pulak sebab bunyinya macam untuk orang perempuan sahaja, tukarlah)... Atau pusat rawatan (kira rawatan juga, melalui beberapa kaedah tradisional) yang bernama Seri Harum atau Aroma Kasturi ini terletak di dalam deretan bangunan betul-betul di belakang Metro Centre. Kalau daripada Shell, kita harus membelok ke kanan... Sat...

OK... Bila dah masuk ke kanan dalam beberapa ela begitu, akan nampaklah pemandangan seperti gambar di bawah... Kalau daripada Shell, memang terus nampak. Maka masuklah ke jalan yang tertera di dalam gambar ini. Boleh nampakkan papan tanda berwarna kuning?

Bila dah masuk dalam dan pergi lebih dekat, maka nampaklah papan-tanda itu tertulis Seri Harum. Carilah pintu masuk di dereten kedai di bawah. Naik lif untuk sampai ke pusat rawatan ini yang terletak di tingkat 2.



Keluar daripada lif, anda akan nampak pintu masuk dan terus nampak kaunter seperti di gambar bawah... Tengok, jangan tak tengok, hehe! Ada amoi cun loooo....


Saja nak bercerita. Gambar di atas adalah gambar yang terhasil apabila saya menggunakan flash pada kamera digital murah... Tu dia... Memantul balik cahaya tapi jadi pula semacam kesan yang agak menarik. Macam mandi dalam cahaya lah pulak... Mungkin satu hari nanti kita akan buat pusat mandian cahaya pulak? Hehe!

Oh, hampir saya terlupa... Dalam banyak bercerita tentang buku terbaru saya "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II, saya mungkin terlupa memberitahu, harganya adalah RM24.90, sama seperti BKA I atau "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti"... Maklumlah saiz sama iaitu A5, mukasurat pun sama banyak iaitu 304. Yang lain adalah isi dan penambahannya... Insyaallah lebih menarik dan adventure.
Jadi apalagi... Silalah bertandang ke Seri Harum dan beli BKA II... BKA I pun ada untuk sesiapa yang belum memilikinya... Silakan! :]

Le... Satu mende lagi aku lupa (sori ek... Tetiba aku nak cakap ikut stail kutu le plak)....

Alamat pusat rawatan Seri Harum @ Aroma Kasturi ialah:
No 2-2 Jalan 3/146, Metro Centre,
Bandar Tasik Selatan, 57100 KL.

Boleh hubungi reception di nombor talifon 03-90586677

Waktu operasi: Dibuka setiap hari kecuali Rabu, Isnin-Jumaat 10 pagi -10 malam. Sabtu, Ahad dan cuti am 10 pagi - 6 petang... Orait...

Khamis, Mei 17, 2007

Pelancaran tidak rasmi buku BKA II di Khazanah Fathaniyah?

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Tadi saya telah membaca komen yang diberi dalam posting sebelum ini iaitu BKA II dah keluar! Terjumpa satu cadangan yang sangat menarik daripada seorang pembaca yang memakai nama Abu Zahrah... Ini cadangannya...

Assalamu'alaikum, Apakata kalau tuan penulis ada kelapangan, set satu hari (public holiday laa) tuan pi dok di kedai Khazanah Fathaniyyah, so bolehlah kami para pembeli/pembaca berkenalan seterusnya dapat tandatangan dari tuan penulis. Biar ada ikatan ukhwah antara penulis dan pembaca. Ini perkara besar. Sejarah bangsa yang membawa panji-panji Islam.

Jawab saya begini:

Untuk Abu Zahrah, cadangan yang baik tu... Saya boleh set tapi sebelum itu, saya kena dapatkan feedback orang ramai terlebih dahulu. Hmm.... Insyaallah nanti saya open satu posting baru tentang ini sambil buat survey... Dapatkan feedback, bilakah masa yang sesuai, maka saya akan "melepak" di Khazanah Fathaniyah bertemu para pembaca sekalian...
Insyaallah!

Ketika sedang mandi malam tadi, timbul pula satu fikiran. Elok juga jika diadakan pelancaran secara tidak rasmi buku BKA II di kedai Khazanah Fathaniyah... Sambil-sambil itu, boleh juga mewar-warkan akan kewujudan kedai ini yang mengandungi banyak hasil kerja almarhum Ustaz Wan Saghir... Kebetulan pula sub-title BKA II ialah "Membela Syiar yang Asal". Rasanya kena sangat lah itu... Dan saya rasa pihak Khazanah Fathaniyah tentu bersetuju. Nak buat proper launching, memang saya takda budget tapi kita boleh buat informal launching yang tidak perlukan apa-apa kos kecuali saya perlu menghadirkan diri dan sedia melayan segala pertanyaan serta kerenah orang... Rasanya tak jadi masalah bagi saya, soalnya bila...
Maka di sini saya ingin mengambil peluang. Saya perlukan feed-back para pembaca sekalian, apakah tarikh yang paling sesuai untuk membuat majlis tidak rasmi ini sekurang-kurangnya untuk bersuai-kenal dan bersantai dengan para pembaca terutama yang sudah saling kenal-mengenal? Nyatakan pendapat anda melalui ruangan comment di bawah. Semua bentuk feed-back amat dialu-alukan!
Oh... Pagi tadi saya baru bertemu dengan saudara Sayid Munawar yang mengelolakan program Resensi yang ada membuat ulasan buku. Insyaallah bila sampai masa yang sesuai, buku-buku Berpetualang ke Aceh akan dibincangkan melalui RTM. Selepas itu, gerak hati saya menyuruh pergi melawat pejabat lama saya iaitu syarikat The New Strait Times di Bangsar. Lalu saya ambil peluang ini untuk meminta bahagian sastera akhbar Berita Harian supaya membuat ulasan tentang BKA II. Tanpa disangka, terus mereka buat satu temu-bual. Tak tau lah bila nak keluar.
Di sini, saya juga ingin mengambil peluang untuk mengenengahkan kata beberapa orang pembaca buku "Berpetualang ke Aceh" (selepas membaca BKA I). Adapun kata-kata ini dikumpul untuk dibuat testimonial oleh seorang saudara yang merancang untuk menjual BKA dalam bentuk e-book. Tetapi nampaknya dia menghadapi masalah tertentu, sampai sekarang saya tidak mendengar apa-apa berita tentang e-book yang dirancang daripada pihaknya.
Apapun, biar saya kongsi sahaja kata-kata itu di sini ya... Ini dia...

1.

Bagi saya, Berpetualang Ke Aceh adalah karya yang dikarang dengan hati. Pengkisahannya santai.Membacanya terasa menusuk ke lubuk hati sepanjang jalan cerita, ibarat turut sama berpetualang bersama watak utama. Wajib dibaca jika ingin memahami - Apa itu Melayu? Bagi saya juga, tersisip di dalamnya antara jawapan kepada persoalan mengapa Hang Tuah mengatakan "Takkan Melayu hilang di dunia".Buku ini amat baik untuk mengetahui dan memahami iktibar sejarah rantau ini daripada perspektif yang segar. Ianya juga amat baik sebagai iktibar, bagi insan-insan yang ingin mencari diri dan memahami erti hidup, di samping memaknakan erti kehidupan itu sendiri.Tak sabar rasanya menanti buku Berpetualang Ke Aceh yang seterusnya.

Mahadher, Melaka.

2.

Sebuah cerita yang mengisahkan kebenaran yang hampir pupus. Sumber asli yang tidak pernah saya temui selama ini. Buku ini merangkumi banyak aspek, bukan hanya sejarah dan fakta malahan mengandungi mesej tersembunyi peristiwa akhir zaman. "Mencari Diri dan Erti" - wajib di baca oleh semua umat Islam untuk merenung, mengenal dan memahami rahsia perjuangan yang di bawa Nabi Muhammad S.A.W dan siapakah penerus perjuangan ini.
"Berpetualang ke Aceh - Mencari Diri dan Erti" penuh dengan teka-teki dan persoalan yang memaksa saya berfikir. Memang tak sabar rasanya untuk membaca buku yang kedua.

Khalidzulhuddin - Melaka

3.

Buku Berpetualang ke Aceh... !
saya dah baca sekali... Alhamdulillah selepas saya baca banyak perkara yang saya sedar tentang diri saya sendiri... Bukan selama ini saya tak sedar diri tapi sedikit sebanyak, buku ini lebih menyedarkan saya tentang konsep mim dalam melayu dan apa itu melayu dan ke mana seharusnya hala tuju melayu.... Bukan nak kata selama ini semua perkara yang saya tahu sebelum membaca buku ini tidak betul tapi ada la banyak perkara yang perlu diperbetulkan, InsyaAllah.... Bacalah dengan nama Tuhanmu yang maha Mencipta....
Saya nak baca lagi buku tu... InsyaAllah.

Edy Faizal, Taiping.

4.

Saya rasa buku ini amat mengasyikkkan, jalan ceritanya perlu penelitian dari mata hati sendiri, supaya tidak ketinggalan untuk bab-bab di hadapan. Ada bab yang saya baca sampai dua kali, kerana syahdunya.. Pernah menangis sendiri kerana banyak yang saya tidak tahu dari apa yang sepatutnya saya perlu tahu... Bacaan yang tidak menekan perasaan dan amat santai pembahasaannya..Buku yang outstanding dan saya tidak sabar-sabar menunggu untuk sequel Berpetualang ke Acheh.., diharap Merahsilu teruskan penulisan yang seumpama ini'

Kak Tim, Kota Bahru, Kelantan.

5.

Berpetualang Ke Aceh, Penulisan yang kreatif dan berpandangan jauh dari penulis yang mencari erti diri dan kebenaran.
Gabungan pelbagai rujukan bertulis dan lisan serta pengalaman penulis yang sungguh menarik dan nampak penulis cuba membawa pembaca sendiri menyelami dan menghayati sejarah sepertimana dirinya. Pendekatan yang sangat berani. Bukan karya sambil lewa yang sekadar memperbanyakkan mukasurat.
Buku ini membuat saya berfikir sejenak sambil melihat masa lampau yang tidak pernah dimengerti dengan sepenuhnya tetapi sangat penting bagi mencorak langkah ke hadapan.

Selayang Pandang, Kuala Lumpur


Jadi apa lagi? Sila berikan komen dan pendapat tentang tarikh (dan masa) yang sesuai untuk membuat pelancaran tidak rasmi buku "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II di kedai Khazanah Fathaniyah... Atau saja bagi komen sebab nak berborak. Kalau tak tahu kat mana kedai Khazanah Fathaniyah, cuba baca artikel ini dahulu... Ustaz Wan Saghir, Khazanah Fathaniyah, perjuangan Islam dan aku. Lagi ramai lagi meriah. Saya harap ramai yang sudi untuk bertandang ke sana apabila sampai masanya, Insyaallah! Wassalam... :]

BKA II dah keluar!

Saja je testing ambik gambor sendiri malam-malam pakai lampu dapur lepas tu main dengan Photoshop... Konon artistik le tu, hehe!

Pengumuman! Sukacita dimaklumkan, buku "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II yang merupakan sambungan cerita kepada "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" atau BKA I sudah siap, sedia untuk dibaca. Buku ini bersaiz sama dengan BKA I iaitu A5 dengan 304 mukasurat. Antara tajuk-tajuk yang termuat ialah:

Mukadimah: Jihad danRaja-raja

Malikul Mansur:
Pewaris yang disisihkan

KeSultanan Melaka: Kesinambungan Pasai ke Aceh

Munawar ke Mughayat: Kemunculan Aceh sebagai kuasa besar

Demokrasi vs. Raja-raja: Satu sisipan tambahan

Hamzah Fansuri dan Iskandar Muda:
Puncak kegemilangan Aceh

serta

Penutup:
Perang Aceh-Portugis di Melaka 1629


Adapun, proses pengedaran masih lagi dalam perbincangan dan apabila selesai, mungkin mengambil masa 2 minggu lagi sebelum sampai ke kedai-kedai. Tetapi atas inisiatif sendiri, saya telah menghubungi pihak Khazanah Fathaniyah (milik almarhum Ustaz Wan Saghir) lalu meletakkan beberapa buah buku BKA II di kedai mereka di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur pagi Rabu. Maka itu, Khazanah Fathaniyah adalah KEDAI BUKU PERTAMA DI MALAYSIA YANG ADA MENJUAL BUKU BKA II! Untuk makluman lanjut tentang kedai itu dan bagaimana hendak ke sana, sila baca artikel sebelum ini atau klik: Ustaz Wan Saghir, Khazanah Fathaniyah, perjuangan Islam dan aku

Diharap mereka yang sudah lama menunggu buku ini keluar turut sukacita dengan berita ini. Pada sesiapa yang ingin membeli secara terus dengan saya, bolehlah menghantar wang pos RM30 (harga buku + kos pos) dengan nama serta alamat untuk dikirimkan buku itu ke alamat ini...

Radzi Sapiee,
Lot 646,
Jalan 9,
Taman Ampang Utama,
68000 Ampang,
Selangor.


Mereka yang masih belum memiliki buku BKA I juga boleh menghantar wang pos dengan jumlah yang sama ke alamat tersebut. Sila nyatakan bahawa anda ingin membeli BKA I... Takut tersilap hantar BKA II pula. Insyaallah, saya masih ada sedikit stok untuk memuaskan permintaan tertunda dan buku yang dipinta akan sampai dalam tempoh 2 hari (di Semenanjung Malaysia, kalau luar pada itu, saya pun tak pasti). Wassalam... :]

p/s (tambahan ini dibuat tengahari Khamis): Tadi ada orang talifon saya, tanya dalam wang pos tu nak letak apa atau nama siapa. Masa tu saya jawab biar kosong aje le... Boleh juga. Memang sebelum ini ada yang hantar wang pos tanpa meletakkan nama.

Sekarang setelah memikirkan dengan lebih mendalam, saya rasa patut juga letak nama... Takut ada sesiapa intercept surat yang mengandungi wang pos kosong lalu joli sakan. Rasanya, letak nama saya mengikut IC: Mohd. Fahrulradzi b Mohamad Sapiee... IC no: 701126-01-5227. Wokey, selamat! :]

Rabu, Mei 16, 2007

Ustaz Wan Saghir, Khazanah Fathaniyah, perjuangan Islam dan aku...

Sebahagian kitab-kitab lama yang cuba dihidupkan kembali oleh Khazanah Fathaniyah yang diasaskan almarhum Ustaz Wan Saghir.

Ingat lagi tak nama Ustaz Wan Saghir yang selalu menulis tentang ulamak-ulamak Melayu dan peranan mereka dalam menyebarkan Islam di Nusantara terutama di dalam ruangan agama di akhbar nasional Utusan Malaysia? Saya rasa, ramai orang tahu beliau telah meninggalkan dunia yang fana' ini lebih sebulan lalu. Sedikit cerita tentang pemergian almarhum ada dinukilkan di dalam blogspot ini... Kalau mahu baca, sila klik di sini: Takziah untuk Ustaz Wan Saghir

Oh... Sebelum berceloteh lebih panjang, saya rasa elok dipaparkan sedikit cerita tentang bagaimana saya mengenali perjuangan ustaz dalam memartabatkan kembali para ulamak Melayu di Nusantara ini. Elok juga kita bertafakur sebentar terlebih dahulu seraya menghadiahkan Al-Fatihah kepada roh almarhum, semoga beliau dimasukkan ke dalam golongan solihin... Dan alang-alang kita menghadiahkan Fatihah (bukan derma ya, salah adab tu...) kepada Ustaz, elok juga kita niatkan hadiah juga kepada para wali, Nabi-nabi dan para Rasul sehingga ke junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallahualaihi Wassalam.

Kebetulan siang tadi saya ada melawat kedai peninggalan Ustaz Wan Saghir, tergerak pula untuk mengambil beberapa keping gambar untuk diabadikan di sini supaya dapat ditatap ramai. Termasuk dalam gambar-gambar itu adalah gambar rak buku di bawah ini. Entah kenapa, gerak hati saya menyuruh supaya mengambil sebuah gambar lukisan Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani yang terperosok di belakang kaunter pembayaran lalu diletakkan bersama buku-buku ini.

Lihat gambar di bawah sambil membaca Fatihah dan niat hadiahkan kepada Ustaz, para wali, para Nabi, para Rasul lalu seluruh muslimin dan mukminat samada masih hidup atau telah meninggal dunia. Al-Fatihah...




Baik... Sekarang baru boleh disambung cerita... Tentang bagaimana saya mula mengenali perjuangan Ustaz Wan Saghir...

Kebetulan cerita itu telah pun dinukilkan dalam novel saya yang akan datang (belum disunting lagi) iaitu "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" atau BKA III. Untuk makluman, novel "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" atau BKA I sudah berada di pasaran sejak Jun 2006 sementara novel "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II baru sahaja selesai dicetak dan akan menemui khalayak pembaca tidak lama lagi.

Apapun, inilah sedutan berkenaan daripada buku BKA III, daripada bab bertajuk "Tok Pulau Manis, Batu Bersurat Terengganu dan beberapa warisan Aceh"... Silalah baca! :]

--------------------------


Pada satu hari tahun 2003, setelah selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Sungai Mulia di Batu 6, Jalan Gombak, Rasyid tergerak untuk berjalan kaki tanpa sebab menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur. Seperti biasa, apabila mendapat gerak dan getaran tertentu dalam hati, pemuda ini akan mengikut sahaja tanpa banyak soal kerana percaya akan ada hikmahnya nanti... Tentu akan ada sebab-musabab dan penemuan baru yang akan dibuat samada secara sengaja ataupun tidak. Maka dia pun berjalan tanpa henti menyusuri kesibukan serta hiruk-pikuk Jalan Gombak lalu masuk ke Jalan Pahang. Sampailah di sebuah masjid lama berusia 70 tahun, barulah berehat setelah hampir 8km berjalan tanpa henti.
Kebetulan sudah hampir masuk waktu Asar. Anak muda yang sedang cuba memperbaiki dirinya dengan mendekati kembali agama inipun menunaikan Rukun Islam yang wajib itu sebelum menyambung kembali perjalanan hampir 2km lagi ke Hospital Tawakal. Di sana gerak hatinya menyuruh membelok ke kanan pula. Lalu Rasyid pun menyusuri sebuah jalan yang belum pernah dilaluinya sebelum itu, tidak ingat nama jalan itu... Tetapi pemuda itu masih ingat, di dereten kedai yang dilaluinya, terdapat Restoran Haslam milik pengarah filem terkenal iaitu Yusuf Haslam.
Sampai ke penghujung deretan, selepas melalui perkarangan sebuah bangunan tunggal yang agak besar, terjumpa sebuah kedai cermin mata yang ada menjual buku-buku agama di satu sudut. Tergerak pula hendak singgah sebentar... Masuk sahaja ke dalam, anak muda yang sudah lama meminati bidang Tasawuf ini terus tertarik kepada sebuah buku... Terus ternampak buku itu yang terletak di tengah para walaupun terdapat banyak lagi buku serta bahan bacaan lain pelbagai rupa, warna dan saiz di sekeliling.
Sebenarnya, buku itu adalah sebuah risalah photostat yang dijilid dengan kertas berwarna kuning sebagai kulit. Tidak ingat tajuk penuhnya... Yang pasti, ada tertera nama Tok Pulau Manis dengan terang di hadapan. Rasyid pernah dengar nama ini. Pemuda ini memang suka membaca kisah para wali Allah dan Tok Pulau Manis termasuk dalam golongan ulamak bernama besar di Tanah Melayu. Tetapi sebelum itu, dia tidak pernah berminat atau hendak mengambil tahu lebih lanjut tentang Wali Allah ini. Baru kali itulah tergerak untuk membaca sedikit tentangnya. Lalu dia mendapat tahu bahawa wali besar dan ulamak dahulukala dari Terengganu ini pernah menuntut ilmu di Aceh malah pernah berguru kepada Sheikh Abdul Rauf Singkel, anak murid wali besar Aceh Sheikh Hamzah Fansuri.
Tiba-tiba tubuh seluruh tubuh Rasyid bergetar. Mungkinkah ini satu petunjuk sebagai jawaban bagi doanya selepat solat Jumaat tadi? Jawaban bagi permohonannya kepada Allah SWT untuk disambungkan wasilah kerohanian sampai ke Aceh? Ini kerana pemuda berdarah Aceh ini mula mengenali dunia Tasawuf setelah terbaca ulasan dan syair-syair Hamzah Fansuri ketika berumur 18 tahun. Lalu terus timbul gerak untuk ke Terengganu, setelah mendapat tahu bahawa makam Tok Pulau Manis ini masih wujud di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu.



Adapun cerita di atas tadi adalah nukilan yang dijadikan sebahagian isi siri buku "Berpetualang ke Aceh". Apa yang berlaku begitu bermakna dalam hidup saya kerana satu, itulah kali pertama saya tahu tentang perjuangan serta hasil kerja Ustaz Wan Saghir, kedua, itu juga kali pertama saya terjumpa koleksi kitab dan buku Khazanah Fathaniyah dan ketiga, itulah pembuka gerak yang membawa saya untuk pergi ke makam Tok Pulau Manis di Kuala Terengganu... Tidak lama kemudian timbul pula kekuatan untuk berkelana lagi seorang diri dengan lebih jauh, pergi menyeberangi Selat Melaka untuk ke Medan seterusnya ke Aceh walaupun wilayah itu sedang darurat akibat peperangan antara Tentera Republik Indonesia (TRI) dengan puak pemisah Gerakan Aceh Merdeka (GAM). Hasil dari perjalanan ini bercampur pengalaman hidup yang berkaitan, terhasillah buku "Berpetualang ke Aceh"... Ooppsss... Saya sudah melangkau ke hadapan... Kena undur balik ke belakang sedikit...

Balik ke peristiwa terjumpa hasil kerja Ustaz Wan Saghir tahun 2003, ketika itu Khazanah Fathaniyah setakat menumpang ruang menjual dan memperkenalkan kitab-kitabnya di dalam sebuah kedai cermin mata. Saya dapati koleksi kitab-kitab itu termasuk hasil kajian peribadi Ustaz sangat menarik lebih-lebih lagi kerana ia tidak terdapat di tempat atau kedai lain. Sejak itu saya selalu ke sana apabila timbul gerak dan sampai masanya saya terpanggil untuk menghubungi pihak Khazanah Fathaniyah melalui pembantu Ustaz iaitu saudara Azrul.

Daripada saudara Azrul, saya mendapat tahu Khazanah Fathaniyah sebenarnya berpusat di Taman Melewar di kawasan Gombak. Ketika itu, saya masih bekerja dengan bapa angkat saya, penulis terkenal S.H. Al-Attas dan sering bermalam di pejabat kami di Batu 5 1/2 Jalan Gombak. Sampai masanya, saya terus memecutkan motosikal berkuasa tinggi (yang sekarang ini sudah lebih 2 tahun terbengkalai di kampung Janda Baik, Bentong, Pahang) untuk ke situ... Rupa-rupanya, pusat Khazanah Fathaniyah ini adalah sebuah rumah teres, tetapi di dalamnya terdapat beribu-ribu naskah buku, kertas kerja dan berbagai lagi hasil kajian serta penulisan Ustaz.

Yang pasti, ketika itu Khazanah Fathaniyah boleh dikira agak dhaif... Hasil kerja yang disimpan di rumah teres memenuhi hampir setiap ruang sehingga rumah kediaman itu kelihatan seperti sebuah gudang buruk. "Kedai"nya pula setakat satu sudut dengan dua tiga rak buku yang menumpang di sebuah kedai cermin mata berdekatan Hospital Tawakal. Jauh sekali daripada keadaan kedai sekarang yang lebih luas seperti terpapar di gambar bawah ini... (Perhatikan dengan teliti, buku BKA I termasuk sekali dalam gambar ini... Cuba cari, hehe!)


Selepas lawatan ke pusat Khazanah Fathaniyah di Taman Melewar itu, saya telah disibukkan dengan berbagai hal lain. Rasanya lebih setahun kemudian baru tergerak untuk menghubungi kembali Khazanah Fathaniyah. Baru dapat tahu, ia telah menyewa sebuah lot kedai di Plaza Idaman, tidak jauh daripada pejabat S.H. Al-Attas.

Ah! Betullah itu! Lebih setahun malah setelah masuk tahun 2006, baru tergerak untuk bertanya khabar. Ketika itu, saya sudah berhenti bekerja dengan bapa angkat dan telah pun keluar daripada rumahnya di Janda Baik di mana saya pernah menetap sekitar 2 tahun lamanya!

Yang pasti, ketika itu, saya sudah menyiapkan draf utama buku pertama "Berpetualang ke Aceh"... Setelah lebih 2 tahun berhempas-pulas memikirkan gaya penulisan, bahasa bagaimana yang perlu digunakan (berat? santai? atau di tengah-tengah? ataupun berubah-ubah). Format buku, saiz, aturan rupa atau page layout, penggunaan font semuanya harus difikirkan. Bukan senang untuk sampai ke peringkat draf yang boleh dibaca orang, lebih-lebih apabila membuat segala-galanya seorang diri... Asalnya buku ini ingin dibuat dalam bentuk straightforward history atau sejarah terus yang agak akademik. Setelah beberapa kali pertukaran serta bermacam pengalaman berkaitan, barulah ia menjadi buku yang boleh dikongsi ramai... Dan di sinilah baru Ustaz Wan Saghir pula mengenali perjuangan saya dalam dunia Islam...


Lihat gambar di atas. Inilah rupa buku pertama "Berpetualang ke Aceh" yang asal, dengan rekabentuk kulit dicipta secara eksperimen menggunakan program Adobe Photoshop (sebelum itu telah ada rekabentuk kulit yang lain tapi telah ditukar setelah mengambil kira pandangan beberapa pihak, kemudian ditukar lagi sehingga jadi rupa buku yang masuk di pasaran Jun 2006). Adapun buku di atas ini dibuat menggunakan program Pagemaker. Kemudian dengan menggunakan satu option, isi di dalamnya dapat dibentuk lebih-kurang sama seperti buku-buku yang telah siap di kedai-kedai!

Saya masih ingat lagi bagaimana letihnya mencari printer (kerana saya kekurangan dana dan sokongan) elok yang boleh digunakan. Oh... Sudah lama saya terlupa... Dalam hal ini, terima-kasih kepada saudara Jo, bekas ketua jabatan artis di The New Strait Times kerana membenarkan saya menggunakan printer di rumahnya. Hasilnya saya photostat pula di kedai menjadi dua copy tambahan sebelum dilipat secantik boleh, malah di ketip dan digam dengan teliti sehingga menjadi rupa sebuah buku.

Masih teringat lagi bagaimana dalam keadaan mendesak akibat dilanda berbagai tekanan hidup, saya cuba menyiapkan ketiga-tiga buku (naskah print asal campur dua naskah copy). Naskah-naskah inilah yang digunakan sebagai bukti betapa seriusnya saya ingin menulis buku sehingga akhirnya mendapat pembiayaan pinjaman seorang bapa saudara. Dan naskah sebeginilah yang dipinjamkan kepada saudara Azrul ketika Khazanah Fathaniyah sudah mempunyai kedai di Plaza Idaman lalu dapat dibaca almarhum Ustaz.

Melalui buku itu, Ustaz Wan Saghir dapat membaca bahawa saya juga ingin memperjuangkan kesyumulan serta kedaulatan Islam. Cuma cara kami berlainan, dia melalui pengkajian akademik terutama terhadap kitab-kitab lama lalu dibentangkan kertas-kerja dalam wacana-wacana para intelektual sementara saya pula cuba mengenengahkan penemuan sendiri (melalui cara tersendiri juga) yang diadun bersama fakta-fakta akademik dalam bentuk novel dengan harapan dapat mencapai golongan sasaran pembaca yang lebih luas, termasuk mereka yang selama ini lebih selesa membaca novel-novel cinta.

Kata Ustaz: "Teruskan!"... Ringkas...

Oh... Elok saya beritahu di sini. Kami tidak pernah bertemu-muka walau sekali pun, setakat berkirim salam melalui pembantunya saudara Azrul. Entah kenapa, saya rasa kami tidak perlu bersua walaupun peluang memang ada terutama apabila beberapa orang memberitahu tahu saya, Ustaz Wan Saghir akan membuat satu pembentangan kertas kerja di Masjid Raub. Untuk pengetahuan, ayahanda saya dilahirkan di Teluk Intan, Perak tetapi membesar di Raub, Pahang kerana datuk dan nenek saya berhijrah ke sana. Maka Raub menjadi kampung sebelah ayah. Kami masih memiliki sebuah rumah peninggalan dengan beberapa orang saudara-mara masih menetap di sana.

Apapun, pembentangan kertas kerja itu berlaku lebih kurang 2 bulan lalu. Beberapa hari kemudian, saya tergerak untuk pergi ke kedai Khazanah Fathaniyah yang ketika itu sudah lebih 3 bulan beralih ke kawasan Chow Kit... Terus terjumpa saudara Azrul yang menceritakan apa yang berlaku di Raub malah menghadiahkan saya satu salinan kertas kerja untuk tatapan peribadi.

Lebih kurang seminggu atau dua minggu kemudian, saya tergerak untuk ke sana lagi bersama seorang kawan. Ketika itulah saya juga terpanggil untuk membeli sebuah gambar lukisan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (memerintah Aceh abad ke 17). Oh... Yang pasti keesokannya masuk 1 Rabiulawal. Saya masih ingat bagaimana pagi itu, saya terbangun tidur dengan bayangan Sultan Iskandar Muda di hadapan mata di samping timbul semangat untuk berbuat sesuatu yang mungkin boleh menolong Khazanah Fathaniyah... Tak sangka pula Ustaz Wan Saghir telah menghembuskan nafasnya yang terakhir sebelum saya sempat berbuat apa-apa yang konkrit untuk menolong perjuangannya memartabatkan Islam di negara ini.

Hmm... Selingan sebentar...

Gambar di atas ini sebenarnya adalah gambar pertama berkenaan Khazanah Fathaniyah yang diambil hari ini, malah gambar pertama kedai itu yang saya ambil sejak mengenali pustaka hasil kerja Ustaz Wan Saghir ini. Adapun tujuan saya mengambil gambar ini adalah untuk memudahkan sesiapa sahaja untuk mencari kedai tersebut, dengan melihat kedudukan kedai berdasarkan gambar yang diberi... Maklumlah, Khazanah Fathaniyah bukanlah sebuah syarikat besar yang kaya-raya sehingga mampu untuk menarik perhatian melalui pengiklanan atau papan-tanda terserlah yang sewajarnya. Cuma dalam gambar ini tidak berapa terang kedudukan kedai kerana kamera digital murah saya tidak ada wide shot. Cukuplah gambar ini sekadar menunjukkan pintu masuk kedai di belakang motosikal merah ( di kiri) dengan stesyen monorail Chow Kit kelihatan di latar belakang di belah kanan gambar.

Lokasi kedai ini terletak di persimpangan Jalan Chow Kit dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Alamatnya (baru diambil tadi) adalah:

Khazanah Fathaniyah,
486-G, Jalan Tuanku Abdul Rahman,
50100 Kuala Lumpur.

Letak sekali informasi lain sekalilah…

Nombor tel: 03-61889121,
Fax: 03-61897231
pengkaji@streamyx.com
pengkaji_khazanah@yahoo.com

Di bawah ini adalah gambar kedai Khazanah Fathaniyah dilihat daripada hadapan. Lelaki berkopiah dalam gambar itu adalah saudara Azrul...


Hmm... Teringat pula. Ada satu cerita menarik tentang kali pertama saya sampai ke kedai yang ini kira-kira 3 bulan lalu. Ketika itu, saya sudah hampir setahun tidak berhubung dengan pihak Khazanah Fathaniyah, maka tak tahu langsung mereka telah bertukar lokasi kedai lagi!

Pada suatu hari, entah kenapa, timbul gerak untuk berjalan-jalan di pusat bandaraya Kuala Lumpur, setelah sehari suntuk "membodohkan" diri di rumah ibu saudara di Ampang, tempat saya menumpang sekarang (tengah hilang punca masa tu sebab proses penyuntingan BKA II sedang tersangkut). Terus keluar ambil bas, fikirnya hendak ke kawasan Masjid Jamek ataupun Masjid India... Tapi entah kenapa, semasa sampai ke persimpangan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Ampang, terus timbul gerak untuk turun bas lalu mengambil monorail hingga ke Chow Kit.

Sampai ke Chow Kit pula, saya setakat terfikir untuk pergi ke sebuah kedai makan berhadapan Plaza Safuan di mana saya suka makan rojak tahu dan tepung udang. Entah kenapa lagi, saya memilih untuk turun daripada stesyen monorail Chow Kit (dipanggil orang sebagai pulau kerana kedudukannya yang seolah terapung di persimpangan beberapa jalan besar) melalui escalator yang menghala ke persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman/ Jalan Chow Kit sedangkan ada beberapa arah lain untuk turun daripada "pulau" itu. Setelah turun, saya terus bergegas dengan niat untuk pergi ke kedai makan tersebut... Tetapi sebaik sebelum sampai Jalan Chow Kit, ternampak pula sebuah kedai menjual sedikit suratkhabar di luar.

Kalau dilihat daripada tempat saya berdiri ketika itu, kedai ini kelihatan seperti mana-mana kedai buku atau majalah biasa. Kalau tidak disebabkan gerak untuk meneliti, tentu sahaja saya akan terus berjalan tanpa mempedulikannya. Tapi entah kenapa lagi, saya tergerak untuk pergi lebih rapat... Barulah terperasan, itulah lokasi terbaru kedai Khazanah Fathaniyah, baru sebulan dua beralih ke situ!

Subhanallah, Maha Suci Allah! Jodoh pertemuan di tanganNya jua. Itulah cara Allah mempertemukan saya kembali dengan Khazanah Fathaniyah serta perjuangan Ustaz Wan Saghir. Dengan ini saya rasa cukuplah nukilan kali ini (ditulis secara spontan bermula jam 12 malam, sekarang sudah lebih jam 3 pagi!). Di bawah ini biarlah dipaparkan sedikit lagi gambar supaya lebih terang di manakah kedudukan kedai ini.

Di sini saya mengambil peluang menyeru kawan-kawan, kenalan dan para pembaca sekalian, sudi-sudilah bertandang ke kedai Khazanah Fathaniyah. Mari kita tolong lestarikan perjuangan Ustaz Wan Saghir dengan membeli buku-buku, kitab serta hasil-kerjanya... Lagipun banyak hasil kerja di situ yang tidak terdapat di tempat lain.

Oh, lagi satu perkara. Saya sudah beritahu bukan yang buku terbaru saya iaitu "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II baru sahaja siap dicetak. Selepas ini barulah akan diberi kepada pihak pengedar untuk disampaikan ke kedai-kedai terpilih seluruh Malaysia. Rasanya proses ini akan mengambil masa tidak kurang 2 minggu sedangkan tadi semasa berada di Khazanah Fathaniyah, saudara Azrul telah menyatakan kesediaan untuk menerima buku baru saya secepat mungkin. Maka kemungkinan besar, kedai itu akan menjadi kedai pertama di Malaysia yang menjual BKA II? Mungkin dalam 2-3 hari lagi, Insyaallah!



Gambar diambil di hadapan kedai Khazanah Fathaniyah seraya menghadap ke stesyen monorail Chow Kit.





Gambar diambil menghadap ke Jalan Chow Kit... Boleh nampak Supermarket Yoon Thye di hadapan.



Dan ini pula gambar kedai daripada sudut menyendeng sedikit. Sekali lalu, boleh terlepas... Mungkin tak perasan di situlah terletaknya kedai Khazanah Fathaniyah tapi setelah diceritakan serta diambil gambar daripada beberapa sudut, rasanya pembaca boleh nampak bukan? Jadi apa lagi? Silalah bertandang, sekurang-kurangnya untuk membeli buku BKA II... Ada juga komisyen untuk Khazanah Fathaniyah... Wassalam! :]

Selasa, Mei 15, 2007

Siapakah Datuk Matsita?


Terperosok di satu sudut di belakang Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, bersebelahan sebuah kawasan letak kereta, terdapat sebuah bangunan kecil yang menimbulkan tanda-tanya. Bangunan itu adalah sebuah tokong Cina di bawah rimbunan sebuah pohon jejawi, satu pemandangan yang agak biasa di Malaysia. Apa yang luar biasa adalah papan-tanda di tokong yang menyebut "Datuk Matsita"... Ait??? Timbul tanda-tanya besar apabila pertama kali melihat tempat ini sebulan lalu. Nama "Datuk Matsita" bunyinya macam nama Melayu. Kenapa pula dijadikan nama tokong Cina?
Sebelum meneruskan cerita, biar dibuat sedikit penerangan mengenai gambar di atas. Adapun gambar ini adalah gambar tokong tersebut. Petang tadi, saya tergerak untuk singgah di sana lalu mengambil 3 keping gambar. Malangnya, perkataan "Datuk Matsita" yang terpapar pada papan-tanda di tokong itu (lihat bahagian yang kelihatan berkilat) tidak melekat di dalam kamera digital murah saya. Saya cuba bermain dengan komposisi warna serta cahaya dan kontras melalui program Photoshop untuk cuba menimbulkan perkataan itu tetapi tidak berjaya. Sebaliknya apa yang terhasil adalah gambar di atas yang mungkin ada sedikit nilai seni pula!
Teringat sebuah gambar yang saling tak tumpah rupanya seperti seorang pahlawan atau Raja Melayu di sebuah tokong Cina di Teluk Intan, Perak. Memang rupa-paras yang kelihatan nampak seperti seorang pembesar yang memakai baju Melayu, siap duduk bersila lagi! Tidak jauh daripada tokong tersebut, terdapat sebuah tokong lebih kecil dengan gambar tiga orang tua, ada yang mukanya seperti orang Cina, ada pula seakan-akan orang Melayu. Kebetulan ada seorang nyonya Cina sedang menjemur kain di rumah sebelah. Saya pun bertanya gambar siapakah yang dipaparkan ini. Jawabnya mudah: "Saya pun tak tahu tapi orang kata ini gambar latok Melayu!"
Semasa bertandang di Sabak Bernam, Selangor, saya diberitahu bahawa terdapat kuil besar di situ di mana terdapat gambar dan patung yang terang-terang menyerupai rupa-paras seorang pembesar Melayu. "Memang orang Cina di sana kata, patung itu patung seorang Melayu, patung seorang raja. Katanya, orang itu banyak keramat dan penjaga kawasan itu!" seorang Melayu memberitahu.
Patung di tokong "Datuk Matsita" di belakang Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur ini lebih menyerupai orang Cina. Apakah "Datuk Matsita" itu orang Cina? Entah le... Sebab perkataan "Datuk" itu sendiri selalunya diberi kepada orang Melayu yang ada pengaruh. Tapi itu dahulu... Sekarang ramai orang bangsa lain dapat gelaran "Datuk" daripada Raja-raja Melayu. Tapi ada ke mana-mana Datuk Cina sekarang yang telah diangkat jadi dewa atau patung sembahan selepas meninggal dunia? Rasanya tidak... Rasanya yang dibuat tokong ini cuma watak-watak daripada zaman dahulu... Watak-watak yang dikira amat berpengaruh, ada keramat atau kuasa sekurang-kurang ke atas sesuatu wilayah.
Jadi siapakah "Datuk Matsita" ini? Tiba-tiba teringat pula nama Matsushita... Tapi itu adalah nama sebuah syarikat eletrik Jepun. Bagaimana pula dengan nama ustazah terkenal yang telah menjadi seorang ahli politik Malaysia iaitu Datuk Dr Siti Mashitah? Apakah ada kena-mengena? Hehe! Gurau aje... Hmm... Mungkin majalah Mastika patut membuat penyiasatan, siapakah "Datuk Matsita" yang dimaksudkan?

Isnin, Mei 14, 2007

Suka bebenor Gurindam Hamzah Fansuri!


Entah kenapa, rasa nak letak lagi Gurindam Hamzah Fansuri pulak... Ahh... Letak aje le...


Wahai segala kita yang bernama Islam
Sayogia diturut Hadith dan Kalam
Karena firman dalamnya tamam
Mengatakan Tuhan tiada bermakam

Kalam itu datangnya daripada Ma'shuq
Mengatakan dirinya la tahta wa-la fawq
Jangan dii'tiqadkan seperti mahluq
Supaya dakhil engkau pada ahl al-dhawq

Dhatnya itu tiada berkiri kanan
Zuhurnya daim tiada berkesudahan
Tiada berjihat belakang dan hadapan
Dimanakan dapat manzil kau adakan?

Qala Allah : Ana makan al-makan
Wa-laysa li makan, ma'nanya 'iyan
Jangan kau cari pada makan dan zaman
Supaya dapat kau peroleh iman

Jika kau dapat hakikat liqa'
Di ubun-ubun jangan menyembah diya'
Karena Tuhan kita itu tiada rida'
Akan ilmu cahaya dan Ilmu riya'

Tuhan kita itu yang empunya wujud
Di ubun-ubun tiadakan Iya qu'ud
Jangan ditamhilkan amin dan quyud
Supaya wasil dengan hakikat shuhud

Jika engkau arif akan ashya' ka-mahi
Tiada bercerai dengan ruh idafi
Di ubun-ubun jangan kau cari
Supaya jasadmu jadi ruhani

Tuhan kita yang bersifat hayat
Terlalu suci dari sittu jihat
Jika tiada engkau tahu hakikat sifat
Manakan dapat olehmu ma'rifat al-dhat

Menghadap Tuhan yogya dengan sopan
Buangkan segala rupa yang bukan
Jangan kau muhtajkan bintang tujuan
Supaya wasil adamu dengan Tuhan

Pada cahaya dan maqam tiada di sana amar
Menyuruhkan hintai i'tiqad dan nazar
Akan samadnya itu belum engkau khabar
Manakan dapat olehmu Rabb al-bashar

Sabda Allah pada sekalian salikun
Ya'ni : Wa-fi anfusikum a fa-la tubsirun
Adamu itu dawam al-wasilun
Dengan Subhana'llah 'amma yasifun

Man 'arafa nafsaha, sabda Baginda Rasul
Fa-qad 'arafa Rabbahu, tiada dengan hulul
Wahidkan olehmu fa'il dan maf'ul
Jangan ditakhsiskan maqam tempat nuzul

Li ma'a'llahi waqtun Qala sayyid Ahmad
Ya'ni wasillah Ia dengan Ruh al-jasad
Inilah ilmu yang menjadi Ahad
Manakan dapat oleh sekalian walad

Laysa ka-mithlihi shay'[i] ma'nanya bayan
Dalam Tawrat, Injil, Zabur dan Furqan
Wa-Huwa'l-sami'u 'l-basiru pada sekalian awan
Demikianlah sekarang, al-an kama kan

Jika sungguh kamu sekalian talibun
Pada rupa diri jangan ghafilun
Akan salat al-wusta sayogia kamu 'arifun
Supaya dapat ma'na 'ala salatihim da'imun

Tuhan kita itu terlalu zuhur
Pada kedua-dua 'alam wa'l-zulumati wa'l-nur
Jangan pada manzil tempatmu hudur
Supaya wasil dengan Rabb al-Ghafur

Hamzah Fansuri terlalu murah
Mengata ma'rifat pada orang mudah
Dari sekalian maqam disuruhnya ubah
Supaya wasil tiada dengan susah

Ahad, Mei 13, 2007

Demokrasi vs Raja-raja lagi?

Assalamualaikum. Malam tadi, ketika melihat perbincangan terbaru dalam thread "Berpetualang ke Aceh" di Forum CVT (sekarang dah jadi Forum Rawatan Alternatif), saya dapati arah perbincangan berlegar-legar ke atas makna raja... Apakah bezanya darah raja dengan orang biasa dan perkara-perkara yang sewaktu dengannya. Dalam pada itu, timbul gerak untuk menjawab tentang asal-usul raja-raja dengan sedutan daripada buku terbaru saya, "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II" yang akan keluar tidak lama lagi, daripada bab bertajuk "Demokrasi vs Raja-raja".
Sedutan yang diletakkan dalam forum telah menerbitkan sedikit polemik. Lalu dijawab dengan sedutan tambahan daripada bab yang sama. Kebetulan, lebih 2 minggu lepas, saya ada meletakkan bahagian lain daripada bab ini dalam website Tranung-Online lalu malam tadi, saya tergerak untuk menyambungnya dengan sedikit lagi sedutan yang bersambung daripada cerita yang terdahulu.
Sebentar tadi, saya berhempas-pulas cuba untuk tidur kerana sudah larut malam tetapi entah kenapa, terasa begitu susah hendak melelapkan mata. Saya pun membuka komputer dan masuk ke Internet, tergerak pula untuk membuat update di blogspot ini menggunakan sedutan-sedutan dalam bab "Demokrasi vs Raja-raja yang telah diletakkan di dalam forum tadi. Sila... :]

----------------------------------

Kalau dikaji secara mendalam, sistem beraja adalah sistem pentadbiran masyarakat berasaskan wahyu yang menjemput naungan kerajaan langit. Ia diturunkan daripada Nabi Syith bin Nabi Adam sebagai pecahan sistem keKhalifahan dan keNabian yang diwarisi keturunan tertentu yang dipelihara Ilahi, keturunan terpilih yang memiliki ketokohan serta kelebihan semulajadi untuk memimpin masyarakat. Maka itu, sistem pemerintahan beraja yang sebenar berlandaskan Syariat dapat memartabatkan rakyat serta menjaga kemaslahatan mereka seperti pernah dilakukan raja-raja berdaulat yang memerintah Perlak, Samudera-Pasai, Melaka dan Aceh dahulukala.
Malangnya, raja dan kerabat diraja yang ada sekarang rata-rata bersifat seperti orang kebanyakan, terlalu sukakan hiburan, sibuk berniaga berjual-beli mencari keuntungan materialistik dan keduniaan dengan menggunakan kedudukan sebagai orang istana atau orang yang rapat dengan istana untuk mendapatkan cable perniagaan dan pengaruh politik yang tidak boleh dicapai orang lain. Masyarakat juga sudah terbiasa melihat gaya kehidupan sesetengah kerabat diraja yang mengarut, suka minum arak, main betina, keBaratan melebihi Orang Putih sendiri... Maka bagaimana orang Melayu sekarang mahu menghormati raja serta kerabatnya sedangkan kehidupan mereka telah jauh menyimpang daripada peranan sepatutnya sebagai ketua adat orang Melayu dan ketua Islam? Hormat yang ditunjukkan sekarang tinggal hormat luaran sahaja, itupun kerana manusia-manusia ini masih berpangkat dan berdarjat... Mereka cuma dihormati kerana ada gelaran Tengku, Tunku atau Raja, menetap pula di istana ataupun rumah-rumah besar bagaikan istana, kaya-raya, ada kekuasaan, ada panggilan Yang Mulia walaupun perangai mereka kadang-kala lebih teruk daripada binatang.
Bagaimana pula mereka yang bergelar Yang Teramat Mulia dan Duli Yang Maha Mulia? Adakah peribadi mereka setimpal dengan gelaran itu? Bukankah ia cuma layak diberikan kepada Allah Subhanahuwata’ala sahaja? Bagaimana raja-raja tidak besar kepala sedangkan mengikut kitab-kitab lama seorang raja sepatutnya adalah orang yang paling merendah diri di kalangan rakyatnya. Itulah salah satu amalan sebenar raja-raja dahulukala. Kalaulah harta kekayaan, istana dan kekuasaan serta gelaran dijadikan kayu pengukur untuk menentukan kemuliaan seorang raja atau kerabatnya, maka mana-mana orang buruk akhlak pun boleh menjadi raja. Malah sekarang ini ramai yang berani berkata terang-terangan: "Aku pun boleh jadi raja, kalau dilahirkan di istana dengan segala nikmat dunia tersaji di depan mata..."
Pada masyarakat liberal sekarang, seseorang itu dapat menjadi raja kerana nasib sahaja... Lahir di istana, anak kepada raja, itu sahaja. Mereka tidak nampak apa-apa yang mulia tentang raja. Yang mereka nampak, raja sama sahaja sifatnya seperti mana-mana manusia, tidak ada apa-apa kelebihan yang dapat membezakan mereka dengan rakyat biasa kecuali pangkat luaran yang diwarisi kerana lahir di dalam lingkungan istana.
Sejarah moden pula menunjukkan sistem beraja tidak cukup berwibawa untuk menangani masalah rakyat dan keperluan semasa. Malah pernah Raja-raja Melayu nyaris mengorbankan martabat mereka, kedaulatan negeri-negeri Melayu juga martabat orang Melayu sendiri apabila bersetuju menerima gagasan Malayan Union tahun 1946 yang akan menarik segala hak istimewa orang Melayu. Nasib baik ada pemimpin masyarakat seperti Datuk Onn Jaafar dan orang-orang sepertinya menubuhkan UMNO untuk membela nasib orang Melayu dan menyelamatkan institusi beraja daripada dijahanamkan penjajah biadab. Maka orang sekarang lebih menghormati pemimpin politik daripada menghormati raja... Kerana apa yang telah berlaku membuktikan mereka sebagai suara-hati rakyat yang lebih relevan dan berkuasa di kala raja-raja terdiam membisu, tidak lagi berani dan berwibawa, sedangkan sifat-sifat ini sepatutnya menonjol ada pada seorang raja. Tidak hairanlah jika orang kebanyakan sekarang beranggapan mereka pun boleh menjadi raja, menjadi kepala tertinggi rakyat jika sahaja diberi peluang... Seolah-olah raja adalah jawatan yang boleh dipikul sesiapa. Maka pada orang sekarang, lebih baik menerima sistem demokrasi berParlimen ciptaan Yahudi yang diterapkan penjajah Inggeris dahulu, sistem yang membenarkan orang buruk akhlak bermahajalela mendabik dada mengaku raja kerana boleh mendapatkan harta kekayaan, istana dan kekuasaan, malah gelaran-gelaran yang muluk-muluk melalui dunia politik dan perniagaan.
Cuba kalau rakyat tahu hakikat sebenar seorang raja, sifat yang perlu dimiliki, amalan yang perlu ditekuni supaya layak memimpin... Jika sahaja mereka tahu tanggungjawab beratnya. Ibarat kata Saidina Umar, dia akan dipersoalkan jika seekor kambing mati di Sungai Furat walaupun kambing itu tidak ada kena-mengena dengannya! Cuba baca adab dan amalan raja-raja dalam kitab Tajus Salatin atau Mahkota Raja-raja karangan Bukhari Al-Jauhari, karangan yang dikatakan adalah saduran daripada kitab-kitab ketatanegaraan Parsi, dibuat di Aceh pada tahun 1603. Tentu ramai akan menjadi takut walaupun sekadar untuk berangan menjadi seorang raja!
Cuba amati bagaimana beratnya amalan sebenar seorang raja… Selain mendirikan Syariat Rasulullah SAW yang wajib seperti solat dan puasa, seorang raja juga perlu selalu mengamalkan puasa sunat, seperti Nabi Daud, Raja Bani Israel yang mengamalkan puasa selang sehari sepanjang tahun. Kalau makan pun tidak boleh banyak, cukup sekadar boleh berdiri tegak... Paling kurang harus mengikut anjuran Nabi yang paling lemah dalam bab ini iaitu makan bila lapar, berhenti sebelum kenyang. Isi perut dengan nisbah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman, satu pertiga untuk angin atau ruangan kosong. Cuba baca cerita-cerita Melayu lama seperti Hikayat Malim Deman… Baginda bersantap beradat dengan memakan tiga suap sahaja sekali santap, barulah boleh dinamakan bersantap. Baru nampak perbezaan nyata dengan cara makan rakyat biasa, cara orang kebanyakan.
Itu belum dikira amalan lain yang patut dihidupkan, gaya hidup bertunjangkan amalan Tasawuf para wali, Nabi dan Rasul… Seorang raja yang memerintah mesti telah berjaya mengikis sifat-sifat buruk atau mazmumah seperti hasad dengki dan iri hati, tidak lagi mempunyai perasaan berdendam seperti orang kebanyakan. Sebaliknya semua ini telah digantikan dengan sifat-sifat mulia atau mahmudah seperti berbesar hati, zuhud, pemaaf dan lain-lain sifat muluk yang sepatutnya ada pada diri seorang berdarah raja, juga golongan bangsawan. Maka setiap perbuatan seorang raja menjadi ibadat yang mendapat pahala dan mengundang daulat kerana ada niat dan garis tujuan yang nyata seperti digariskan melalui wahyu dan sumber Ilahi. Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Hidup semata-mata untuk mendapatkan keredahaan Allah. Kalau begini, barulah mandinya layak dikatakan bersiram, perjalanannya dikatakan berangkat dan pergaulannya dengan masyarakat biasa dikatakan mencemar duli... Kerana baginda terpaksa keluar daripada lingkungan hidupnya yang mulia, yang penuh sifat-sifat mahmudah untuk memasuki gelanggang kehidupan rakyat biasa yang masih lagi bergelumang dengan sifat-sifat mazmumah. Itu sahaja.
Masalahnya, rata-rata orang sekarang termasuk mereka yang berdarah raja sendiri tidak faham hakikat hidup yang bertunjangkan amalan Tasawuf. Lalu untuk menyatakan "ketinggian" dan "perbezaan" mereka dengan masyarakat kebanyakan, mereka setakat mengamalkan penggunaan bahasa-bahasa istana yang berbunga-bunga sedangkan ia bukanlah sesuatu yang patut dibangga-banggakan sebagai simbol status atau lambang kebesaran yang menunjukkan penggunanya adalah seorang berdarah raja.

.......... (melompat sedikit ke hadapan)........

Apapun, daulat yang sebenar tidak perlu malah tidak dapat dipelajari. Apa yang dikehendaki adalah zat tertentu dalam tubuh seperti dimiliki seseorang berketurunan raja diikuti pengamalan mendalam Islam berdasarkan Tasawuf yang sampai ke lubuk hati... Kalau boleh, lebih dalam lagi ke suatu tempat yang dipanggil sir iaitu rahsia hati... Sebelum mencapai peringkat sir dalam sir, rahsia dalam rahsia hati. Kemudian serahkanlah segala urusan kepada Allah, bertawakallah 100 peratus, tawakal yang disebut Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al Jilani juga Imam Ghazali sebagai tawakal khusus wal khusus, tawakal orang khusus dari yang khusus. Maka jadilah mereka seperti seorang mayat di tangan pembasuh mayat, tidak boleh membantah apa-apa yang dibuat oleh tukang basuh mayat, apalagi hendak melawan. Biarlah pembasuh mayat yang hakiki menggerakan segala tubuh badan…
Peringkat tawakal sebegini bukan lagi tawakal orang awam atau tawakal yang diibaratkan Nabi seperti mengikat tali unta ke sebatang pohon sebelum masuk bersolat di masjid supaya unta tidak lari ketika tuannya bersolat... Bukan jenis tawakal yang memerlukan seseorang itu menyediakan payung sebelum hujan, kalau sakit cari ubat, paling kurang pun, berdoa meminta supaya cepat disembuhkan.Mereka yang ingin memasuki tawakal peringkat tertinggi ini mesti sanggup menerima segala dugaan Allah SWT dengan sabar dan redha termasuk penyakit yang memeritkan dan malapetaka yang tidak kunjung putus. Biar Dia sahaja yang menentukan bila semua ini selesai, bila akan datang hari-hari bahagia seperti yang pernah dialami Nabi Ayub AS. Maka itu sedikit sangat yang mampu mengamalkan semua ini...
Orang yang mengamalkan tawakal khusus wal khusus, yang juga merupakan peringkat tawakal yang menjadi pakaian raja-raja yang sebenar akan berani menyeberangi padang pasir yang luas tanpa membawa sedikit pun bekalan makanan dan minuman. Jika perlu berlapar, dia akan menahan perut sehingga pengsan kerana telah mempunyai keyakinan yang kental bahawa jika Tuhan mahukannya makan, tiba-tiba sahaja seekor burung boleh muncul dari atas awan lalu datang menyuapkan. Kalau ada orang berniat jahat pula misalnya hendak menetak raja itu dengan parang, silap-silap orang itu boleh beku di tempatnya berdiri. Itupun kira baik juga... Kalau tidak mungkin orang itu mati langsung disambar petir atau apa-apa sahaja sebab lain yang mencarik adat sedangkan sang raja mungkin terus berjalan seperti biasa tanpa menyedari pun ada percubaan orang untuk membunuhnya.
Raja sebegini tidak gentar menghadapi segala mara bahaya. Dan dia juga tidak hairan dengan perkara-perkara karamah yang berlaku di hadapan mata kerana amalan Tasawuf yang telah sebati menjadi pakaian dirinya zahir dan batin mengajar supaya tidak terpesona dengan ini semua. Malah seringkali dia sebenarnya tidak sedar pun apa yang berlaku di sekelilingnya kerana seluruh hati dan jiwanya sentiasa tenggelam dalam mengingati Allah semata. Sebagai imbal-balas atas ingatannya yang begitu kuat terhadap Sang Pencipta sehingga hilang ingatan pada makhluk dan apa-apa selainNya, raja inipun diberi perlindungan Ilahi sentiasa. Pada mereka yang faham, inilah yang dikatakan daulat sebenar, daulat orang yang sebenar-benar menyerahkan seluruh jiwa-raganya kepada Yang Maha Memelihara dan Wakil Terbaik dalam setiap urusan. Dalam keadaan sebegini, barulah seseorang itu layak memakai gelaran Al-Mutawakil - Yang bertawakal kepada Allah.
Dalam keadaan ini juga, dalam keadaan segala bentuk nafsu rendah seperti keinginan untuk dipuja dan dipuji telah disapu-bersih, maka segala perbuatan, gerak-geri dan kata-kata yang keluar daripadanya adalah daripada kudrat dan iradat Allah semata-mata. Maka itu dia marah kerana melihat sesuatu perkara yang Allah marah, dan dia memaafkan, sayang, dan merasa kesihan kerana Allah itu Maha Pemaaf, Penyayang dan Mengasihani. Pendekkata, segala apa yang muncul dari dalam dirinya adalah perbuatan Allah semata, bukan perbuatan seorang manusia biasa lagi Apabila ini terjadi, barullah seseorang raja itu boleh dikatakan Dzilullahi fil alam, bayangan Allah di alam ini... Ataupun Dzilullahi fil ard, bayangan Allah di muka bumi. Barulah dia boleh menjadi raja dalam erti katanya yang sejati.
Seorang raja sejati adalah seorang manusia yang telah mencapai taraf insan-al kamil iaitu insan yang sempurna, Maka dia merupakan seorang wali Allah yang kemudian diberi pula kerajaan untuk melaksanakan urusan memakmurkan rakyat di bawah naungannya. Malah dia adalah wakil Allah untuk mengatur keperluan makhluk...Dia cuma bertindak mengikut "gerak" Ilahi lalu menepati ciri-ciri yang menepati sebuah Hadis Qudsi:

Bila Aku mencintai seorang hamba,
maka Aku akan menjadi pendengarannya,
penglihatannya, lidahnya, tangannya dan kakinya.
oleh Ku dia marah dan oleh Ku dia berjalan.


Inilah dia daulat sebenar raja-raja yang tidak boleh disanggah, daulat yang muncul kerana dia telah menjadi "perkakas" Allah untuk menyatakan wujudNya di alam ini. Sebab itu kitab-kitab lama tafsir mimpi ada menyebut, bermimpi berjumpa seorang raja adalah sama dengan bertemu Allah! Dan sebab itulah tahap sebegini adalah di luar pencapaian manusia biasa...
Apapun, walaupun bakat semulajadi yang boleh menimbulkan daulat tersebut wujud di kalangan mereka yang terpilih daripada keturunan mulia, besar kemungkinan ia akan terpendam dan dibazirkan begitu sahaja jika tidak digilap dengan amalan-amalan tertentu. Sebab itu amalan khusus seperti adab makan, berpuasa, bercampur-gaul dan sebagainya seperti dihuraikan dalam kitab Tajus Salatin atau Mahkota Raja-raja yang menjadi pegangan istana diajarkan kepada setiap putera yang layak suatu masa dahulu.
Cara terbaik untuk mendapatkan manafaat sepenuhnya adalah dengan mendapatkan tunjuk ajar seorang guru mursyid yang diakui pencapaiannya, guru yang wasilah kerohaniannya bersambung terus-menerus daripada seorang guru mursyid kepada seorang guru mursyid yang terdahulu sampailah kepada guru segala guru iaitu Rasulullah SAW. Bukankah baginda pernah bersabda: "Aku ini gedung ilmu, dan Ali itu pintunya. Maka jika engkau hendak masuk ke gedung ilmu, masuklah ikut pintunya."
Pada yang faham, Nabi Muhammad SAW adalah raja segala raja. Maka setiap bakal raja mesti mendapatkan didikan khusus baginda yang diturunkan kepada guru-guru yang memiliki pertalian peribadi dengannya. Di sinilah terserlah peranan golongan Sufi dan para wali... Inilah yang berlaku dalam mendaulatkan bumi Aceh dan menimbulkan kebesaran raja-rajanya!