Selasa, Mei 15, 2007

Siapakah Datuk Matsita?


Terperosok di satu sudut di belakang Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, bersebelahan sebuah kawasan letak kereta, terdapat sebuah bangunan kecil yang menimbulkan tanda-tanya. Bangunan itu adalah sebuah tokong Cina di bawah rimbunan sebuah pohon jejawi, satu pemandangan yang agak biasa di Malaysia. Apa yang luar biasa adalah papan-tanda di tokong yang menyebut "Datuk Matsita"... Ait??? Timbul tanda-tanya besar apabila pertama kali melihat tempat ini sebulan lalu. Nama "Datuk Matsita" bunyinya macam nama Melayu. Kenapa pula dijadikan nama tokong Cina?
Sebelum meneruskan cerita, biar dibuat sedikit penerangan mengenai gambar di atas. Adapun gambar ini adalah gambar tokong tersebut. Petang tadi, saya tergerak untuk singgah di sana lalu mengambil 3 keping gambar. Malangnya, perkataan "Datuk Matsita" yang terpapar pada papan-tanda di tokong itu (lihat bahagian yang kelihatan berkilat) tidak melekat di dalam kamera digital murah saya. Saya cuba bermain dengan komposisi warna serta cahaya dan kontras melalui program Photoshop untuk cuba menimbulkan perkataan itu tetapi tidak berjaya. Sebaliknya apa yang terhasil adalah gambar di atas yang mungkin ada sedikit nilai seni pula!
Teringat sebuah gambar yang saling tak tumpah rupanya seperti seorang pahlawan atau Raja Melayu di sebuah tokong Cina di Teluk Intan, Perak. Memang rupa-paras yang kelihatan nampak seperti seorang pembesar yang memakai baju Melayu, siap duduk bersila lagi! Tidak jauh daripada tokong tersebut, terdapat sebuah tokong lebih kecil dengan gambar tiga orang tua, ada yang mukanya seperti orang Cina, ada pula seakan-akan orang Melayu. Kebetulan ada seorang nyonya Cina sedang menjemur kain di rumah sebelah. Saya pun bertanya gambar siapakah yang dipaparkan ini. Jawabnya mudah: "Saya pun tak tahu tapi orang kata ini gambar latok Melayu!"
Semasa bertandang di Sabak Bernam, Selangor, saya diberitahu bahawa terdapat kuil besar di situ di mana terdapat gambar dan patung yang terang-terang menyerupai rupa-paras seorang pembesar Melayu. "Memang orang Cina di sana kata, patung itu patung seorang Melayu, patung seorang raja. Katanya, orang itu banyak keramat dan penjaga kawasan itu!" seorang Melayu memberitahu.
Patung di tokong "Datuk Matsita" di belakang Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur ini lebih menyerupai orang Cina. Apakah "Datuk Matsita" itu orang Cina? Entah le... Sebab perkataan "Datuk" itu sendiri selalunya diberi kepada orang Melayu yang ada pengaruh. Tapi itu dahulu... Sekarang ramai orang bangsa lain dapat gelaran "Datuk" daripada Raja-raja Melayu. Tapi ada ke mana-mana Datuk Cina sekarang yang telah diangkat jadi dewa atau patung sembahan selepas meninggal dunia? Rasanya tidak... Rasanya yang dibuat tokong ini cuma watak-watak daripada zaman dahulu... Watak-watak yang dikira amat berpengaruh, ada keramat atau kuasa sekurang-kurang ke atas sesuatu wilayah.
Jadi siapakah "Datuk Matsita" ini? Tiba-tiba teringat pula nama Matsushita... Tapi itu adalah nama sebuah syarikat eletrik Jepun. Bagaimana pula dengan nama ustazah terkenal yang telah menjadi seorang ahli politik Malaysia iaitu Datuk Dr Siti Mashitah? Apakah ada kena-mengena? Hehe! Gurau aje... Hmm... Mungkin majalah Mastika patut membuat penyiasatan, siapakah "Datuk Matsita" yang dimaksudkan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan