Jumaat, Februari 06, 2026

Tentang kemahiran analisis

Salam petang Jumaat ke-3 bulan Sya'aban. Lagi tentang majlis ilmu, kali ini di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam).


Jumaat dua minggu lalu telah ditulis dan dipersembahkan artikel Tentang kemahiran menafsir menunjukkan edisi pertama satu siri baru tentang kemahiran kaedah membuat kajian di ISTAC. Edisi kedua, tentang kemahiran analisis diadakan pagi Jumaat tadi 6 Februari 2026.



Saya yang sayangkan dunia pemikiran pun bergerak ke kampus untuk majlis lalu sampai jam 10.17. Sedikit lambat walau keluar sekitar jam 8.30. Kerana satu, harus meredah kesesakan jalan raya luar biasa akibat hujan lebat.  Kemudian harus menunaikan janji untuk menjengok kawan yang kurang sihat di rumahnya di Sri Hartamas.



Sampai ke kampus didapati satu beg sisi motosikal dimasuki air sehingga bertakung lalu mengambil masa untuk mengeluarkan. Sedangkan beg kulit tiruan itu sepatutnya kalis hujan. Ah. Apabila difikirkan kembali mungkin juga air masuk bukan dari atas tetapi tepian hadapan. Ini disebabkan ada melalui kawasan air bertakung yang cukup dalam untuk memperlahankan motosikal. Air memercik cukup tinggi dan banyak. Mungkin itu yang masuk ke dalam beg.



Betullah itu. Memang selepas meletakkan motosikal di luar pintu masuk utama bangunan didapati bahagian hadapan beg berkenaan melekuk. Nampaknya kerana tekanan air memercik banyak. Apabila melekuk ada lompong membenarkan air masuk ke dalam. Apapun, masuk ke dewan syarahan jam 10.26, pensyarah iaitu Profesor Jamal Bashier sedang rancak bercakap.



Dinyatakan analisis sebagai kemahiran kedua harus diperolehi untuk pemikiran kritis dalam membuat kajian. Ia adalah proses memecahkan suatu permasalahan rumit menjadi beberapa bahagian kecil yang lebih mudah difahami dan dicerap.



Bila dapat menganalisis sesuatu kita dapat melihat bagaimana bahagian-bahagian berkenaan bercantum dan kenapa ia berfungsi dengan cara tertentu.



Ini boleh dimulakan dengan meneliti idea atau buah fikiran, mengesan hujah lalu menganalisisnya.



Oh. Tergerak untuk selfie daa... :]



Tentang meneliti buah fikiran. Maknanya melihat dekat kerangka untuk memahami bahagian.



Misalnya meneliti makna sustainability atau kemampanan. Apakah maknanya dalam dunia perniagaan berbanding untuk peribadi seseorang?



Untuk lebih maju berlatih dengan meneliti topik rumit seperti isu sosial.



Seterusnya bina sub kemahiran untuk mengenal pasti hujah.



Cari kata-kata kunci tertentu seperti "kerana", "maka" dan "hasilnya".






Sub kemahiran ketiga adalah menganalisis hujah.



Tanya soal seperti "apakah sebab yang diberikan itu benar" dan sebagainya.






Analisis adalah alat bagi menyelesaikan masalah...






Matlamatnya adalah untuk memahami struktur suatu buah fikiran atau permasalahan.



Selesai majlis pergi ke Bangsar untuk menikmati hidangan kegemaran nasi beringin.



Kemudian kembali ke ISTAC untuk menunaikan solat Jumaat di masjidnya.



Sukacita dimaklumkan. Jumaat terakhir Sya'aban minggu depan insyaallah akan menunaikan solat di Masjidil Haram.



Selepas solat mencari sudut sesuai untuk memperbaiki cadangan tesis (thesis proposal) PhD saya di ISTAC. Lepaskan tulisan ini terlebih dahulu sebagai pembuka rentak.


Khamis, Februari 05, 2026

Keantarabangsaan Madinah Nabawi : Pembinaan asas Madani universal dan global

OK. Bersambung penceritaan daripada artikel Kecerdasan buatan dan perkembangan pemikiran kritis.




Selesai majlis ilmu jam 5 berehat di dataran berdekatan dalam kampus UIA (Universiti Islam Antarabangsa) makan petang menghadap sungai berlatarbelangkan Bukit Tabur.



Alhamdulillah sudah dua kali mendaki seorang diri ke puncak bukit setinggi 400 meter dari paras laut itu. Pertama kali sampai ke paras 330 meter d.p.a., tak sempat ke puncak tertinggi kerana matahari hendak terbenam. Ketika turun tersesat sekitar setengah jam dalam kegelapan. Kali kedua baru sampai kerana ada banyak masa disebabkan memulakan pendakian pada waktu pagi. Ini adalah pemandangan bukit dari hadapan masjid Kampung Sungai Pusu, ke belakang kampus UIA.




Setelah beriktikaf dan menunaikan solat di masjid kemudian makan malam di warung berdekatan baru kembali ke kampus.



Ini adalah untuk majlis ilmu seterusnya yang diadakan di dewan sama...















Ada yang datang membawa anak. Kerana katanya mahu ikut ibu, tak mahu tinggal di rumah bersama bapa.



Poster bagi majlis. Ini adalah yang ke-10 dan terakhir dalam siri berkenaan. Rujuk edisi sebelumnya dalam artikel-artikel berikut :-






Syarahan dimulakan selepas jam 8.30 malam.



Beginilah saya berpakaian pada majlis itu, juga majlis ilmu sebelumnya.




Apa yang mahu diangkat kali ini adalah ciri-ciri keantarabangsaan yang dizahirkan di Madinah oleh Nabi Muhammad SAW pada zaman baginda. Namun pembentang iaitu Rektor UIA, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar yang juga merupakan penyelia PhD saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) menyatakan ada lebih banyak lagi dizahirkan pada zaman-zaman kemudian menurut perkembangan zaman.




Semuanya berasaskan ajaran Islam dan Al Quran yang dibawa oleh baginda.




Ia menjadi ciri Madani Nabawi (ketamadunan kota berasaskan ajaran Nabi) yang disebarluaskan apabila ajaran Islam mencapai lebih jauh ke merata pelusuk dunia. Oh. Ada kesilapan typo di sini. Sepatutnya ditulis tahun 629 M, bukan 929 pada slaid atas.



Disebut bahawa pada zaman Nabi lebih 1,400 tahun lalu lagi sudah berlaku orang Islam di Madinah memihak pada kuasa besar tertentu, atas sebab tertentu. Ini menunjukkan kesedaran mereka terhadap hal-hal antarabangsa di luar lingkungan Tanah Arab.




Akhir kalam. Sifat keantarabangsaan Madinah Nabawi turut tergambar dalam khutbah terakhir baginda yang dikenali sebagai Khutbah Wida' di mana disebut orang Arab tidak lebih daripada bukan Arab dan sebagainya. Sila ikuti sendiri majlis melalui rakaman di bawah. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,787 di CATATAN SI MERAH SILU.





Rabu, Februari 04, 2026

Kecerdasan buatan dan perkembangan pemikiran kritis

Adapun artikel  Nisfu Sya'aban dan "Merah Silu Live" ke-22 ditulis dan dipersembahkan di kampus utama UIA (Universiti Islam Antarabangsa) di Gombak selepas menghadiri satu majlis ilmu. Ini ceritanya.


Poster bagi majlis. Dianjurkan oleh satu badan baru bawah UIA bernama CTAIS, singkatan bagi Centre of Tawhidic AI Studies (Pusat Kajian Kecerdasan Buatan Tawhidi) ia adalah pembuka dalam siri syarahan mereka. Tajuk syarahan boleh diterjemahkan sebagai "Kecerdasan Buatan dan Perkembangan Pemikiran Kritis". Bersyarah adalah Rektor UIA, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Beliau adalah penyelia PhD saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam).



Selepas jam 1 petang tadi Rabu 4 Februari 2026 bergeraklah ke UIA untuk mengikuti syarahan.



Singgah dahulu mendaki Bukit Guling Ayam, 3 km sebelum UIA.



Sampai ke puncak sekitar jam 2.



UIA yang bangunan-bangunannya kebanyakan berbumbung biru dilihat dari puncak bukit (ke kiri sedikit dalam gambar)



Zoom in...



Selepas mandi, bersalin pakaian kemudian menunaikan solat di suatu tempat baru ke kampus.







Masuk dewan sejurus sebelum majlis dijadualkan bermula jam 3. Apabila mendapati belum bermula sambung bacaan Al Quran untuk proses pengkhataman bulan Sya'aban. Ketika itu masuk Surah Al-Rum, juzuk ke-21.



Tidak lama kemudian majlis pun bermula.



Tengok-tengok ada tambahan daripada poster asal. Dinyatakan bahawa selepas Osman bersyarah Profesor Dr Amir dari Pejabat Timbalan Rektor akan membuat ulasan.



Osman membuka kata-kata.



Diterangkan dahulu apa itu CTAIS, apa maksud kajian Tawhidi terhadap kecerdasan buatan, kenapa mahu dibuat siri syarahan. Ini adalah atas kesedaran bahawa di UIA wujud ramai yang sebenarnya cukup pakar dalam bidang kecerdasan buatan namun berkhidmat dalam pelbagai kulliyah atau fakulti berbeza. Pusat ditubuhkan sebagai wadah untuk saling berhubung dan bertukar fikiran. Ini adalah berasaskan prinsip Epistemologi Tawhidi yang menjadi tunjang hala tuju UIA sejak Osman menjadi Rektor hampir penghujung tahun 2024. Ia adalah tentang bagaimana semua bidang ilmu pengetahuan sebenarnya saling berkait, kerana semuanya berasal daripada Tuhan. Lihat artikel-artikel lama berikut :-








Dinyatakan syarahan pembuka ini sebagai susulan satu artikel tulisan beliau dalam makalah "The Muslim 500". Disebut dalam artikel kepentingan memiliki pemikiran kritis. Namun kajian menunjukkan ada penurunan dalam kualiti pemikiran ramai disebabkan terlalu bergantung pada kecerdasan buatan untuk menyelesaikan masalah atau mendapat jawaban bagi suatu persoalan. Oleh itu ada keperluan untuk mengangkat kembali seni pemikiran tradisional (yang meliputi pemikiran kritis) ke tempat sepatutnya.




Makalah tahunan tersebut menyenaraikan 500 orang tokoh beragama Islam yang dilihat paling berpengaruh di dunia. Osman adalah antara tokoh akademik tersenarai sejak beberapa tahun lalu. 




Secara rata beliau menyatakan kecerdasan buatan harus berlatarbelakangkan kecerdasan asli manusia.




Ia harus menurut etika keilmuwan Islam.




Dalam hal ini UIA harus menggerakkan lalu CTAIS ditubuhkan untuk itu. Pusat harus melangkaui had-had yang ada dalam kecerdasan buatan, berdasarkan prinsip Allah adalah kecerdasan tertinggi yang meliputi kesemuanya, dengan kecerdasan keNabian sebagai panutan untuk membentuk segala bentuk kecerdasan makhluk. Lihat apa yang dimaksudkan, dalam artikel lama Pemahaman kerohanian dan falsafah yang tercermin dalam teknologi kecerdasan buatan.




Amir memberikan ulasan terhadap syarahan Osman. Cukuplah ya perkongsian tentang majlis. Selepas ini ada lagi majlis ilmu mahu dikongsikan cerita, di tempat sama tetapi pada malamnya.