Khamis, Julai 03, 2025

Forum tentang pencerobohan Amerika-Israel terhadap Iran

Merujuk pada artikel Jejak Langkasuka 2025 - Ziarah ke makam-makam dan tempat bersejarah Patani sebelum ke makam Sheikh Abdussamad yang dipersembahkan malam tadi. Ada dinyatakan ketika itu saya sudah menghadiri satu majlis ilmu di Petaling Jaya pada petangnya sementara satu lagi akan menyusul di Gombak malam itu. Sekarang biar dikongsikan cerita tentang majlis pertama. Seperti biasa menurut gaya 'jalan-jalan' saya. 



Untuk majlis-majlis ilmu tersebut diikuti keesokan harinya saya telah bercadang untuk keluar menaiki motosikal kesayangan lalu beriktikaf dan bermalam di mana-mana sesuai. Tak perlulah ulang alik ke rumah lebih 40 km dari Lembah Klang sedangkan majlis berlangsung di tiga tempat berlainan arah. Isteri sudah sedia faham kecenderungan saya ini. Namun didapati cuaca kurang memberangsangkan. Maka keluarlah dengan kereta tengah hari Rabu 2 Julai 2025 semalam untuk majlis pertama.



Kebetulan lokasinya tidak jauh dari gerai nasi beringin kegemaran berdekatan pejabat lama saya The New Straits Times di Bangsar. Singgahlah dahulu makan...




Sampai ke tempat majlis iaitu IAIS (International Institute of Advanced Islamic Studies - Institut Antarabangsa Pengajian Lanjut Islami) di Petaling Jaya jam 1.47.



Tajuk majlis dalam bahasa Inggeris ini boleh diterjemahkan sebagai "Forum Tentang Pencerobohan Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran dan Masa Depan Order Antarabangsa".



Kelihatan ramai juga yang berminat dengan tajuk ini.



Pengerusi IAIS Dr. Maszlee Malik memberikan kata-kata aluan...



Moderator Ir. Mohd Jamaludin Shamsudin yang merupakan ketua pegawai ekskutif bagi badan bernama Allied Coordinating Council of Islamic NGOs Malaysia (ACCIN) memberikan latar belakang perkara. Ini adalah susulan daripada serangan dron dan sabotaj dalaman Israel terhadap Iran yang bermula 13 Jun lalu dibalas balik Iran dengan menghantar peluru-peluru berpandu hipersonik yang sejumlahnya berjaya menembusi pertahanan berlapis Tel Aviv. Balas membalas pun berlaku sehingga Amerika Syarikat masuk campur tangan mengebom tiga tempat di Iran yang dinyatakan sebagai pusat pembangunan nuklear 21 Jun. Pada 24 Jun berlaku gencatan senjata antara mereka.



Di sini biar saya mengulas agak ringkas.



Panelis pertama, Dr. Abdolreza Alami seorang warga Iran yang menjadi pensyarah kanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) menghuraikan latar belakang panjang konflik negara asal beliau dengan Barat bermula dengan revolusi Islam tahun 1979 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan pimpinan Shah Iran yang sangat pro Barat. Kerajaan ganti berpaksikan pimpinan ulamak tidak disenangi Barat lalu berlaku pelbagai usaha untuk memencilkan apabila gagal menjatuhkan. Itulah yang akhirnya membawa kepada pencerobohan.



Setelah beberapa lama Duta Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi muncul menyertai majlis. Beliau kelihatan di kanan gambar membelakangkan saya.




Panelis kedua Dr. Danial Yusof, pengarah Centre for Peace, Dialogue and Xenophobia Studies (Pusat Kajian Keamanan, Dialog dan Xenofobia), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga memberikan latar belakang tetapi lebih pada bab ideologi, bagaimana ia bertembung antara Iran dan Barat membawa kepada keadaan sekarang.



Panelis ketiga Dr. Noor Nirwandy, felo tentang perang saraf di UiTM melihat daripada sudut kepakaran beliau terutama media.   Antaranya adalah bagaimana Israel yang selama ini dilihat kebal kerana kekuatan tentera telah tergugat imej disebabkan Iran ternyata memiliki teknologi tinggi sehingga dapat membina sendiri lalu menghantar peluru-peluru berpandu hipersonik menembusi sistem pertahanan yang sangat dibanggakan mereka.



Panelis keempat dan terakhir Dr. Ahmad El-Muhammady, timbalan pengarah  Pusat Kajian Keamanan, Dialog dan Xenofobia melihat perkara daripada sudut ketahanan dan kemandirian Iran. Walau disisih masyarakat antarabangsa sejak lebih 40 tahun, walau Barat menghalang daripada berhubung dan berdagang malah memberikan bermacam lagi sekatan ia tetap dapat membina kekuatan sendiri lalu menjadi satu-satunya negara Islam yang berjaya betul-betul menggugat Israel malah Amerika Syarikat itu sendiri. Untuk lebih lanjut sila tonton video bawah...





Tiada ulasan:

Catat Ulasan