Meneruskan tentang acara ilmu seterusnya. Bersambung daripada artikel Forum tentang pencerobohan Amerika-Israel terhadap Iran.
Semalam Rabu malam Khamis 2 Julai 2025, sebaik sahaja selesai mempersembahkan artikel Jejak Langkasuka 2025 - Ziarah ke makam-makam dan tempat bersejarah Patani sebelum ke makam Sheikh Abdussamad (dari tepian jalan di Bangsar sambil menunggu kesesakan lalu lintas surut) saya pun bergegas ke lokasi majlis ilmu seterusnya iaitu di kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak.
Majlis merupakan yang ketiga dalam siri "Syarahan Idea Madani". Disampaikan oleh guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar yang juga rektor IIUM ia diadakan setiap Rabu malam Khamis awal bulan bermula Mei. Syarahan pertama ada dikongsikan dalam artikel Mengapa idea madani wajar dipopularkan, syarahan kedua dalam Dari Yathrib ke Madinah Nabi : Sebuah Transformasi. Madani. Kali ini tajuk yang ingin dibawa adalah "Ciri-ciri Madani Kota Sempurna : Bayangan Madinah Nabi".
Cuma dahulu, kedua-dua syarahan diadakan di auditorium utama UIAM. Kali ini di dewan senat.
Apapun saya sampai lewat iaitu pada hampir jam 9. Difahamkan Osman telah memulakan perkongsian sekitar jam 8.15.
Ketika saya sampai beliau sedang mengulas perkara pertama dalam slaid iaitu tentang tauhid mutlak. Dinyatakan tentang bagaimana Nabi Muhammad SAW memurnikan tauhid yang asalnya harus sama dianuti oleh penganut agama Nasrani juga Yahudi tetapi sudah menyimpang. Mengenai perkara kedua, Osman menyatakan baginda Rasulullah membawa demokrasi spiritual. Dalam Islam sesiapa sahaja layak menuntut ilmu bukan golongan tertentu sahaja. Bagi menunaikan solat jemaah sesiapa yang cukup umur boleh memimpin sebagai imam.
Ditunjukkanlah bahawa syarahan kali ini, walau ketiga dalam siri, adalah yang pertama menurut senarai topik atas. Sila ikuti sendiri acara melalui video bawah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan