Khamis, Julai 03, 2025

Asas struktur perlembagaan - Isu dan implikasi

Pergi pada majlis ilmu ketiga yang mahu dihadiri secara berturut. Bersambung daripada artikel Ciri-ciri Madani kota sempurna : Bayangan Madinah Nabi.



Selepas selesai majlis di kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak Rabu malam Khamis saya ke Kampung Pusu yang terletak bersebelahan lalu beriktikaf dan bermalam di masjid sana. Hampir tengah hari Khamis 3 Julai 2025 baru bergerak meninggalkan kawasan.




Pergi ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku untuk majlis seterusnya.



Di ruang legar bangunan utama buka komputer riba lalu menulis dan mempersembahkan artikel Forum tentang pencerobohan Amerika-Israel terhadap Iran iaitu tentang majlis ilmu pertama petang Rabu di Petaling Jaya.




Menurut poster, majlis yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Asas Struktur Perlembagaan - Isu dan Implikasi" ini dijadualkan bermula jam 2 petang. Mereka yang terlibat adalah seperti yang tertera.




Gambar ini diambil di luar bilik majlis jam 2.13.



Masuk ke dalam didapati ada masa untuk menulis dan mempersembahkan artikel majlis kedua iaitu Ciri-ciri Madani kota sempurna : Bayangan Madinah Nabi.



Malah masih sempat membaca 1/4 juzuk ke-7 bagi proses pengkhataman Al Quran bulan Muharram.



Ketika gambar ini diambil jam 3.03 majlis baru 2-3 bermula.



Sudah ramai memenuhi bilik.




Difahamkan kebanyakan adalah ahli-ahli NGO bagi memartabatkan Melayu dan Islam.




Tun Zaki Azmi, mantan Ketua Hakim Negara membuka setelah disoal oleh moderator, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi dari ISTAC. Disebutlah bagaimana doktrin "constitutional basic structure" yang boleh diterjemahkan sebagai "asas struktur perlembagaan" bermula dengan meniru perkara sama yang mula dipakai di India berdasarkan undang-undang kolonial British setengah abad lalu. Secara asasnya ia adalah tentang prinsip-prinsip yang dianggap menjadi intipati perlembagaan. Menggunakan prinsip ini mahkamah boleh menolak undang-undang yang digubal oleh parlimen jika dilihat melanggar asas struktur perlembagaan.

Pun begitu doktrin itu sendiri tidak pernah termaktub dalam perlembagaan mahupun undang-undang negara. Tun Zaki menyatakan tidak bersetuju dengan doktrin kerana melanggar prinsip pembahagian kuasa yang mana undang-undang digubal oleh parlimen (melalui wakil rakyat), dilaksanakan oleh legislatif (jemaah menteri) dan ditafsirkan oleh mahkamah. Doktrin ini memberi ruang untuk mahkamah membatalkan suatu undang-undang sedangkan itu sebenarnya adalah dalam bidang kuasa parlimen.



Panelis kedua Profesor Dr Nik Ahmad Kamal pula mengupas daripada aspek akademik, panelis ketiga tuan Shamsul Bolhassan sebagai peguam yang pernah berhadapan dengan kes-kes berkenaan di mahkamah. Dapatan saya, doktrin itu ada bagus kalau kembali pada asal asbab perkara bahawa perlembagaan daripada segi sejarah yang panjang berpunca daripada raja-raja Melayu mewakilkan kuasa kepada rakyat. Lalu struktur asas harus kembali pada peranan raja-raja Melayu sebagai pelindung agama Islam dan orang Melayu sambil turut menjaga hak asas bangsa dan penganut agama lain. Ia menjadi bermasalah apabila perkara seperti hak asasi manusia ala Barat yang antaranya membenarkan hubungan sejenis dihujahkan oleh pihak berkepentingan sebagai asas untuk memenangkan kes di mahkamah. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan