Meneruskan penceritaan. Bersambung daripada Asbab ke Muar awal Zulkaedah - Antara Shah Alam, PJ dan kenangan lama.
Pagi Jumaat 2 Mei 2025 bersamaan 4 Zulkaedah 1446 Hijriah saya keluar berseorangan menuju ke satu lokasi lebih 40 km ke arah tenggara dari Muar.
Bersarapan sebelum sampai ke pekan Parit Sulong.
Kemudian bergerak melepasi pekan menyeberangi Sungai Simpang Kiri, satu daripada dua cabang utama Sungai Batu Pahat.
Singgah di surau ini untuk melepaskan hajat.
Namun hajat sebenar saya adalah untuk mendaki bukit bukau yang kelihatan.
Sudah lebih 40 tahun menyimpan hajat. Sejak kali pertama kali terlihat ketika menumpang kereta saudara dua pupu kembali dari bercuti ke sekolah asrama penuh, Sekolah Menengah Sains Johor atau SMSJ di Kluang.
Ketika itu sekitar tahun 1983-95 abang dua pupu itu bertugas sebagai ADO (penolong pegawai daerah) Kluang. Beliau selalu bercuti ke kampung datuk saya, bapa kepada ibu di Kampung Temiang. Ini kerana berasal dari kampung yang sama. Beliau adalah cucu kepada akak datuk saya.
Walaupun saya menetap sekitar 8 km ke barat kampung ada beberapa kali juga beliau menumpangkan kembali ke sekolah dari Muar dan sebaliknya. Setiap kali beliau mengambil jalan yang lalu di tepian bukit bakau.
Walaupun sudah lama menyimpan hajat baru dalam setahun dua baru betul-betul hendak mendaki.
Ini kerana baru mendapat tahu melalui perkongsian beberapa orang di media sosial bahawa ada denai-denai yang jelas untuk sampai ke puncak.
Alhamdulillah. Setelah beberapa lama baru tertunai hajat.
Bukan setakat satu didaki tetapi ada beberapa bukit sambung menyambung memanjangkan perjalanan.
Pada mulanya rasa larat setakat dua bukit. Tetapi alhamdulillah diberi semangat dan kekuatan untuk meneruskan.
Cuaca pun cukup baik dan terang.
Cuma ada masa terasa begitu panas dan membahang. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
5. Bukit Payung and its stone wall
Saya mendaki dengan niat mahu menunaikan solat Jumaat di mana-mana masjid berdekatan. Tengok-tengok tak sempat. Ketika masuk waktu solat (boleh kedengaran azan dan khutbah daripada masjid di bawah) cuma sempat sampai kembali ke bukit ketiga lalu menjamakkan solat Zohor dan Asar di puncak.
Sebetulnya saya silap menjangka keadaan diri. Saya dilanda sakit lutut dan otot yang agak teruk lalu cuma boleh turun pada kadar yang sangat perlahan. Apapun, tetap diusahakan menjejak kembali puncak setiap bukit dalam perjalanan turun...
Dan nasib baik jejak kembali setiap puncak bukit. Kerana ketika sampai kembali ke puncak bukit pertama baru ternampak kedudukan sebenar batu-batuan yang biasa dilihat dari bawah ketika berulang alik dari Kluang ke Muar, dinding batu yang pernah membuat terfikir di atas bukit itulah terletak Batu Belah Batu Bertangkup yang terkenal dalam cerita rakyat.
Selepas jam 3.30 baru sampai kembali ke kereta. Sedangkan tadi ada berjanji akan membawa isteri keluar membeli rempah di suatu tempat di Muar, petang sedikit selepas solat Jumaat.
Saya sampai kembali ke rumah sekitar jam 5, masih ada masa kerana tempat rempah tutup jam 7. Sebaliknya isteri kata tak perlu lagi. Ini kerana semasa saya mendaki beliau dan ibu saudara pergi ke rumah abang dua pupu yang disebut tadi lalu mendapat tahu ada saudara lain mahu membuat majlis marhaban malam itu.
Gambar ini dan sebelumnya diambil ketika marhaban. Oh. Selepas meninggalkan jawatan ADO abang dua pupu itu yang sekarang sudah berumur 75 tahun pernah menjadi setiausaha politik kepada seorang tokoh terkenal, kemudian ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan EXCO (ahli jawatankuasa eksekutif) kerajaan negeri Johor. Sebaik sahaja bertemu terus memberitahu telah memanjat bukit bukau di Parit Sulong yang mana saya pertama kali melihatnya ketika menumpang kereta beliau balik ke sekolah asrama di Kluang.
Selain bertemu saudara mara ada kawan saudara yang rupanya seorang pelakon kelahiran Muar. Cerita-punya cerita beliau mengenali ramai kawan-kawan sepermainan saya zaman sekolah menengah. Ah. Begitu banyak nostalgia terkeluar... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan