Rabu, Mei 07, 2025

Asbab ke Muar awal Zulkaedah - Persinggahan demi persinggahan ke arah Segamat hingga ke Seremban

Salam lewat petang Rabu 9 Zulkaedah. Pergi pada bahagian terakhir siri kecil berkenaan. Bersambung daripada Asbab ke Muar awal Zulkaedah - Menunaikan hajat yang sudah lebih 40 tahun tertunda.




Pagi Sabtu 3 Mei 2025 bersamaan 5 Zulkaedah 1446 Hijriah. Sampai masa untuk meninggalkan rumah ibu bapa di Kampung Temiang, Muar lalu bergerak kembali ke Lembah Klang.




Kami mengambil jalan menghala ke Pagoh.




Saja-saja keluar sedikit daripada laluan untuk melihat pekan kecil Panchor...




Kemudian menziarahi makam Sultan Alauddin Riayat Shah di Kampung Raja, Pagoh.




Perjalanan diteruskan ke pekan Lenga.




Ziarah ke makam Sheikh Fadhil Banten, guru kepada Sultan Ibrahim Johor, moyang kepada Sultan Johor yang sedang memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong sekarang. Untuk pengetahuan daripada Sheikh Fadhil inilah pejuang terkenal Kiyai Salleh dan pasukan Selempang Merah mendapat ilmu perang bersandarkan amalan "Ayat 4". Mereka jadi terkenal kerana berjaya membasmi ancaman pengganas Komunis yang bermaharajalela di Muar dan Batu Pahat tahun 1945.




Laluan seterusnya membawa ke Bukit Kepong di mana berdiri galeri di bekas balai polis yang pernah diserang teruk pengganas Komunis tahun 1950. Ramai anggota polis berbangsa Melayu beragama Islam terkorban dengan cara yang sangat menyayat hati...




Kami mengambil laluan yang membawa ke Pagoh diikuti Lenga kemudian Bukit Kepong kerana mahu menghadiri majlis perkahwinan saudara di Segamat.




Dapatlah bertemu ramai saudara mara terutama daripada cabang adik kepada atuk perempuan sebelah ibu saya yang berpusat di Johor Bahru. Pengantin perempuan adalah saudara dua pupu saya. Keluarga belah mereka ada sedikit kelihatan dalam gambar iaitu di meja hadapan.



Tiba-tiba ada seorang menegur. Kenal lagi tak? Rupa-rupanya seorang kawan lama sebilik asrama di Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang. Rasanya sejak saya bertukar sekolah penghujung tahun 1986 memang tak pernah bertemu kawan yang berasal dari Kluang itu. Dia duduk berjiran dengan bapa pengantin. Ibu pengantin yang sudah arwah adalah sepupu ibu saya.




Perjalanan diteruskan ke rumah kakak isteri di Felda Jelai di mana kami berehat barang sejam dua.




Selepas masuk Maghrib sampai ke rumah saudara di Seremban lalu bertemu beberapa orang saudara mara lagi, sepupu-sepupu ibu.



Seterusnya ke rumah anak buah isteri di bahagian lain Seremban.




Ini pula gambar ketika bersarapan pagi Ahad 4 Mei bersamaan 6 Zulkaedah berdekatan Bukit Damansara. Kami telah bermalam di rumah ibu saudara di Petaling Jaya.




Apabila sampai kembali ke rumah hampir jam 10 pagi didapati saya sudah memandu sejauh 855 km. Oh. Isteri ada merakam sedikit video yang kemudian dimasukkan ke Tiktok. Boleh lihat melalui pautan-pautan berikut :-






 Sekian cerita.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan