OK. Suatu kesinambungan daripada cerita perjalanan ke selatan Thailand.
Dalam artikel Raya Aidilfitri 2025 di selatan Thailand - Jumaat di Janda Baik dan UIA yang dipersembahkan semalam ada dinyatakan, saya tidak boleh berada lebih lama di negara itu kerana harus menghantar anak-anak kembali ke tahfiz pada hari Ahad, iaitu pada 13 April 2025. Gambar ini diambil selepas menghantar anak. Saya sudah berada di Hulu Langat menuju lebih jauh ke pendalaman.
Bersolat Maghrib di masjid Batu 14 Hulu Langat.
Makan malam di sebuah warung ke dalam lagi dari masjid merangkap baru betul-betul berbuka puasa. Sebelum itu sekadar sebiji kurma dan 2-3 teguk air. Sambil menunggu makanan siap meneruskan usaha mengkhatamkan Al Quran bagi bulan Syawal. Sebaik sahaja kembali daripada perjalanan selatan Thailand lalu sampai ke rumah petang Jumaat 11 April saya memulakan puasa enam iaitu pada keesokannya Sabtu 12 April. Tarikh itu adalah bersamaan 13 Syawal. Dengan itu juga dimulakan puasa putih 13, 14 dan 15 bulan Islam.
Hampir jam 9.30 malam layan mandi air panas di kolam awam di Dusun Tua, Batu 16.
Semasa kali terakhir bertandang, penghujung bulan puasa (lihat Iktikaf 25 Ramadan di Janda Baik - Menyambung ke Ampang, Hulu Langat dan persekitaran Cheras) saya ada tertinggal seluar dan baju di luar kolam. Tengok-tengok masih ada, selamat. Cuma dialih sedikit tempat.
Dalam perjalanan terdahulu itulah saya kemudian mengambil anak-anak keluar bercuti dari tahfiz untuk musim raya. Adapun selepas mandi air panas waktu itu ada bercadang untuk ke Pangsun, penghujung jalan di Hulu Langat. Tetapi tak jadi kerana minyak kereta sudah tinggal sedikit. Sedangkan stesyen minyak terdekat terletak ke arah keluar dari kawasan. Kali ini baru pergi. Saya pun mengambil peluang beriktikaf dan bermalam di masjid Pangsun.
Pagi Isnin 14 April bersamaan 15 Syawal. Keadaan ketika menunggu azan Subuh. Kelihatan sejumlah anak-anak dari pusat tahfiz di sebelah masjid. Di masjid inilah ditulis dan diterbitkan artikel Raya Aidilfitri 2025 di selatan Thailand - Menghayati tarikan Pakbara dan sejarah di sebaliknya. Sebelum itu harus disediakan terlebih dahulu 10 artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 3 di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Itu dilakukan selepas solat Subuh, wirid dan bacaan Al Quran. Selepas itu sambung sedikit tidur. Apabila bangun didapati suasana sibuk di luar. Rupa-rupanya ada majlis untuk menyerahkan barang makanan bantuan bagi penduduk sekitar... sedangkan kereta saya, yang berwarna merah di tengah gambar 'terperangkap' dalam majlis.
Lama saya menunggu bila majlis hendak selesai supaya boleh bergerak meninggalkan kawasan. Tunggu punya tunggu tak juga selesai saya pun keluar melihat. Nampaknya jalan keluar pun terhalang.
Saya pun menelefon isteri untuk memberitahu nampaknya harus berada lama di Pangsun kerana tidak dapat membawa kereta keluar dari kawasan masjid. Ada ahli masjid terdengar memberitahu ada jalan lain untuk keluar.
Sungai Langat yang mengalir di sebelah kawasan masjid. Jalan biasa keluar masuk masjid adalah di sebelah kiri gambar. Gambar diambil dari atas jambatan yang menyambungkan jalan dengan masjid. Rupa-rupanya ada jalan alternatif kecil ke kanan gambar. Ia membawa ke jambatan lain di penghujung sungai (tidak kelihatan dalam gambar).
Jam 11.30 baru meninggalkan masjid lalu masuk lebih jauh ke pendalaman.
Ke dalam lagi adalah laluan untuk mendaki Gunung Nuang.
Sungai Langat keluar sedikit dari masjid. Setelah 3 minggu selalu berjalan dengan keluarga kembali keluar beriktikaf berseorangan ada keseronokan yang tersendiri buat orang seperti saya.
Singgah sebentar di satu kolam air panas yang saya baru tanya kewujudannya pada malam sebelumnya. Ada penduduk tempatan memberitahu ketika singgah di warungnya lewat malam. Lihat Hot spring at Kampung Jawa, Hulu Langat.
Masuk berjalan-jalan pula ke pusat bandar raya Kuala Lumpur.
Saya, isteri dan anak-anak sudah ada persefahaman. Ada masa untuk bersama mereka berjalan-jalan, ada masa ingin bersendirian. Selalunya begitulah keadaan kalau mahu masuk ke kawasan-kawasan pendalaman terutama apabila ke hutan mendaki bukit, sesekali gunung. Kadangkala anak ikut. Ada masa isteri ikut. Bezanya, jika dengan anak sahaja boleh lebih lasak.
Aktiviti sebegitu biasanya dilakukan orang lain secara berkumpulan dengan banyak persediaan. Namun tidak bagi saya yang selalu spontan. Semasa itulah biasanya jiwa saya lebih dekat dengan Tuhan. Bila begitu memang lebih suka berseorangan. Nasib baik saya penulis. Itulah alasan paling mudah untuk orang lain faham.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan