Khamis, Disember 12, 2024

Motosikal besar kesayanganku dan tarikh 12/12/24

Salam malam Jumaat. Ada cerita berkenaan motosikal. Sudah lama tidak berkongsi apa-apa cerita melibatkan motosikal.



Pagi tadi 12 November 2024 ada majlis ilmu menarik tentang merenung kembali usaha Islamisasi ilmu pengetahuan (Islamization of knowledge), di kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak. Saya ada ikuti sedikit secara atas talian melalui Zoom. Tetapi tidak dapat memberikan tumpuan kerana harus melakukan beberapa perkara. Antaranya, menghidupkan kembali insurans dan cukai kenderaan bagi motosikal besar kesayangan yang sudah 2 tahun, mungkin lebih tidak ditunggang kerana ada masalah enjin. 

Memandangkan tarikh cantik 12/12/24 itu yang mahu dikongsikan cerita. Kiranya menyambung gerak berkenaan daripada artikel sebelum ini iaitu Mengingati tarikh-tarikh penting - Satu catatan sisipan. Tak sangka dan tak dirancang ada membuat persinggahan ke tempat menyambung pengajian peringkat pascasiswazah, dahulu Master sekarang PhD iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku. Apa yang berlaku adalah pagi itu saya keluar bersama isteri ke cawangan pejabat beliau di Rawang. Selepas beliau dapat menyelesaikan sejumlah kerja pergi agensi berkenaan bagi menghidupkan insurans dan cukai jalan. 

Selesai itu pergi ke bengkel untuk mengambil motosikal kesayangan. Rancangan asal adalah beliau kembali ke tempat kerja dengan kereta saya balik ke rumah dengan motosikal. Tiba-tiba isteri  mengajak berjalan-jalan dengan motosikal. Saya pun mengajak ke Sentul untuk melihat jika ada aksesori sesuai untuk ditambah. Nampak jejantas membawa ke jalan yang boleh menyambung ke ISTAC timbul rasa spontan untuk singgah.




Di situlah diambil gambar-gambar yang ada ini, selepas menunaikan solat Zohor berjemaah di masjidnya. Untuk pengetahuan motosikal telah diletakkan di bengkel sejak April 2023. Tetapi penghujung Oktober 2024 baru dimulakan usaha untuk membaik pulih. Ini kerana banyak modal diperlukan akibat banyak yang sudah rosak. Setelah beberapa lama baru terasa ada cukup untuk membuat bayaran awal supaya dapat dimulakan kerja membaik pulih. 

Sebetulnya sebelum dihantar ke bengkel pun motosikal sudah beberapa bulan tak hidup. Walaupun dibeli bateri baru lalu suis dapat dihidupkan enjin tetap asyik mati. Kelihatan seperti minyak tidak dapat ditarik masuk ke enjin. Selain itu memang ada beberapa masalah tetapi tetap dapat menghidupkan motosikal. Ada le dibawa ke sana ke mari. Cuma beberapa tahun kebelakangan itu banyak di kawasan perumahan termasuk untuk menghantar anak pergi balik sekolah.




Saya tidak berjaya menemukan apa-apa rekod untuk menunjukkan bilakah kali terakhir motosikal ada dibawa berjalan. Mungkin pada penghujung 2022, mungkin lebih awal. Akhir sekali jelas ada direkodkan dalam CATATAN SI MERAH SILU adalah apabila keluar jauh sikit daripada kawasan rumah hingga ke Batang Kali pagi Sabtu 27 Julai 2019. Lihat Tunggangan spontan motosikal besar pagi Sabtu 24 Zulkaedah. Akhir sekali ada berjalan jauh adalah pada penghujung 2017. Lihat Antara kenangan pengembaraan bermotosikal dan naik gunung dengan pusing separuh Semenanjung bersama ibu bapa. Ia adalah perjalanan jauh pertama saya dengan motosikal sejak tahun 2013. Lihat Misi penganjuran HIKMAH IV - Dari perjalanan bermotosikal besar hingga kembali berkereta 2,700 km.




Dahulu, motosikal yang dibeli baru tahun 1997 ini memang kenderaan utama saya ke mana-mana. Tidak lama selepas memilikinya, sekitar sebulan dua gitu ada dibuat perjalanan sejauh 3,850 km.  Lihat Kompilasi artikel mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung. Selain itu ada direkodkan  satu perjalanan sejauh 950 km tahun 2000. Lihat Kompilasi cerita kenangan perjalanan bermotosikal besar mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000. Kemudian 780 km tahun 2001. Lihat Kompilasi cerita kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001.

Tahun 2003 ia mengalami kerosakan teruk sehingga tidak dapat dihidupkan lalu beberapa tahun terbengkalai. Setelah beberapa lama baru dapat modal untuk membaik pulih lalu masuk Ogos 2008 boleh berjalan. Lihat Yahoo, eh... Alhamdulillah... Moto beso aku boleh jalan dah!. Berlakulah beberapa hal membawa kepada penceritaan dalam Motosikal besar saya dan nombor 999! Semoga timbul era baru dalam hidup saya... diikuti Wajah baru motosikal besarku, tanda satu peralihan zaman?. September itu balik beraya ke Muar dengan motosikal. Lihat Perjalanan berliku untuk kembali berhari raya tahun 2008.

Walaupun perjalanan tersebut memakan jarak lebih 700 km ia tidak direkodkan sebagai jauh. Pada Ogos 2012 baru dibuat perjalanan yang terasa layak disebut begitu kerana melebihi 1,400 km. Lihat Compiled - Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama setelah 9 tahun. Bulan berikutnya buat lagi satu perjalanan melebih 1,400 km. Lihat Explorasi bermotosikal besar Pantai Timur bersama rakan - Complete. Tahun berikutnya baru berlaku perjalanan seperti dinyatakan dalam Misi penganjuran HIKMAH IV - Dari perjalanan bermotosikal besar hingga kembali berkereta 2,700 km. Empat tahun kemudian iaitu pada 2017 baru berlaku seperti diceritakan dalam Antara kenangan pengembaraan bermotosikal dan naik gunung dengan pusing separuh Semenanjung bersama ibu bapa

Insyaallah tahun 2025 akan dibuat perjalanan jauh seterusnya. Kali ini bersama isteri. Beliau belum pernah ikut saya berjalan jauh dengan motosikal besar walaupun sudah 16 tahun kami bergelar suami isteri. Dahulu saya ada mengajak. Tetapi beliau disibukkan dengan kerja selain rasa tak larat. Beberapa bulan kebelakangan beliau yang beriya-iya mengajak. Mungkin kerana seorang kakaknya agak selalu berjalan begitu, semenjak suaminya membeli motosikal besar sekitar 4-5 tahun lalu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan