Salam. Ini ada saru catatan sisipan, tentang mengingati tarikh-tarikh penting dalam kehidupan.
Mukadimah...
Gambar ijazah Master ini baru diambil jam 10.24 pagi tadi Selasa 11 Disember 2024. Saya cuma pernah menunjukkan ia sekali dalam CATATAN SI MERAH SILU, itupun berlatarbelakangkan masjid di UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), universiti yang menaungi tempat pengajian saya, ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) lalu ijazah dikeluarkan atas nama universiti. Lihat artikel Berkat 10 Muharram dan menimba ilmu di ISTAC yang dipersembahkan hampir 5 bulan lalu. Ketika itu baru betul-betul mengambil ijazah fizikal ini walau secara rasmi telah menerimanya hampir 6 bulan lebih awal dalam majlis konvoksyen ke-39 UIAM. Lihat Menerima ijazah Sarjana ISTAC pada hari lahir ke-53. Selepas itu ada sekeping gambar ijazah diambil untuk permohonan melanjutkan lagi pelajaran, ke peringkat PhD di ISTAC. Alhamdulillah kini sudah 2 bulan melanjutkan pelajaran.
Apa yang seingat saya belum pernah dikongsikan adalah fakta secara rasminya saya sebenarnya telah menerima ijazah pada 13 Oktober 2023. Pada 26 November 2023 baru dirasmikan pemberian melalui majlis konvokesyen, baru wujud ijazah bercetak yang diambil beberapa bulan kemudian. Tarikh 13 Oktober 2023 sebagai tarikh sebenar mendapat ijazah ada tertera pada sudut kiri bawah ijazah yang bercetak ini. Satu perkara menarik. 13 Oktober itu adalah hari ulang tahun kelahiran ke-14 anak lelaki sulung saya Muhammad Al-Aminul Rasyid. Sedangkan pemberian pada 26 November berlaku pada hari lahir saya yang ke-53. 'Kebetulan' seterusnya, 53 - 14 = 39. Saya menerima pada majlis konvokesyen ke-39 UIAM.
Satu lagi perkara menarik. Tarikh lahir saya 26 November 1970 adalah bersamaan 27 Ramadhan 1390 Hijriah. Saya lahir tak cukup bulan. Sepatutnya pada tarikh yang bersamaan 24 Syawal. Sebaliknya Rasyid pula lahir 13 Oktober 2009, terlebih 5 hari daripada jangkaan doktor. Lalu tarikh Islamnya bersamaan 24 Syawal 1430 Hijriah, tepat 40 tahun Hijriah selepas tarikh saya 'sepatutnya dilahirkan'. Hal ini ada dinyatakan dalam artikel Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Terbitnya nama Muhammad Al-Aminul Rasyid sekitar 2 setengah tahun lalu.
OK. Kenapa pula tergerak untuk bercerita panjang lebar tentang ini? Sebabnya semalam saya cuba hendak mengingati apa yang dilakukan pada hari ulang tahun kelahiran saya yang ke-54 iaitu pada 26 November baru ini setengah bulan lalu. Biasanya, seperti halnya pada tahun-tahun sudah saya boleh menemui nota berkenaan dalam CATATAN SI MERAH SILU. Kali ini tiada. Saya tidak ada membuat apa-apa artikel pada tarikh tersebut malah ada lompong catatan selama 5 hari iaitu daripada 24 hingga 28 November.
Rekod bulanan gambar yang disimpan dalam komputer riba pula menunjukkan saya tidak ada mengambil apa-apa gambar dari 23 hingga 27 November. Cuma tahu melalui artikel Kedatangan Islam di Alam Melayu : Telaah Manuskrip Melayu ada ke majlis ilmu di UM (Universiti Malaya) pada 22 November, melalui Sedikit daripada Festival Idea Putrajaya ada mengikuti majlis lain di Putrajaya tetapi secara atas talian pada 27 November. Yang ingat pada 26 November iaitu hari Selasa banyak menghabiskan masa di rumah. Ketika itu isteri pun bekerja dari rumah lalu ada menghadiahkan telefon pintar baru.
Ah. Baru teringat. Yang mula menyebabkan sibuk hendak mengingat apa yang dibuat pada 26 November adalah petang semalam 10 Disember baru akhirnya menghidupkan dan menggunakan telefon bimbit baru lalu mengalihkan sejumlah data dari telefon bimbit lama ke dalamnya. Ketika itulah disedari, entah kenapa rekod interaksi saya di WhatsApp sejak 13 November 2024 tidak ada dalam telefon baru. Rekod dalam Facebook pula menunjukkan saya tidak membuat apa-apa hantaran antara 24 hingga 26 November. Seolah-olah informasi diri saya ada black out.
Apa yang boleh ingat, ada menjawab ucapan-ucapan selamat hari jadi yang disampaikan oleh saudara mara, kawan dan kenalan. Begitu juga di WhatsApp. Tak ingat langsung apa yang dilakukan selain itu dan berada di rumah. Ini yang menimbulkan rasa untuk menulis catatan sisipan.
Tetapi kenapa pada hari ini 11 Disember 2024? Kerana ini adalah hari ulangtahun ke 16 perkahwinan dengan isteri Nor Afidah binti Yusof. Ini juga hari ulangtahun kelahiran bapa saya, Mohamad Sapiee yang ke-82. Ibu saya Rahimah @ Ramlah telah beberapa bulan lebih awal menyambut hari ulang tahun kelahiran yang ke-82 juga. Sambil itu hari ini juga adalah hari keputeraan Sultan Selangor lalu hari bercuti. Sementara ada kelapangan dan ingat biar dibuat catatan.
Lagi satu perkara, sementara ingat. Malam tadi keluar satu dokumentari televisyen di TV3 menunjukkan masjid warisan keluarga saya, keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak di Batak Rabit, Teluk Intan. Tapi terlupa hendak tonton. Nasib baik ada saudara terjumpa pautan Youtube rakaman. Sila tonton ini. Sekian perkongsian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan