Selasa, Disember 17, 2024

Antara legasi Abdulhamid AbuSulayman, Islamisasi ilmu pengetahuan dan naik motosikal meredah hujan

Salam semua. Satu cerita melibatkan ilmu, motosikal dan hujan.



Hampir tengah hari tadi Selasa 17 Disember 2024 saya keluar dengan motosikal besar kesayangan ke pusat bandar raya Kuala Lumpur. Asalnya, sekadar mahu memandu kereta ke kampus utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak. Tetapi apabila melihat langit cukup cerah tu yang tukar naik motosikal menghala ke pusat bandar raya.




Malam sebelumnya asyik terfikir tentang dokumen-dokumen rasmi melibatkan negeri Perak penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20. Tu yang ke pusat bandar raya terlebih dahulu, mahu ke Perpustakaan Negara. Singgah sebentar di Sentul untuk membeli satu barangan motosikal. Sebetulnya apabila menghampiri pusat bandar raya kelihatan awan hitam berlegar-legar. Nasib baik setakat kena sedikit hujan dalam 1 km sebelum sampai ke perpustakaan.

 


Selesai hal di perpustakaan didapati langit di pusat bandar raya sudah kembali cerah. Namun kelihatan banyak awan gelap menghala utara ke Gombak. Alhamdulillah, seperti ke perpustakaan, sekitar 1 km nak sampai ke UIAM baru kena hujan. Terus mencari satu tempat teduh untuk meletakkan motosikal tak jauh dari fakulti yang difikirkan mahu diadakan majlis yang menjadi asbab datang.




Poster bagi majlis. Ia adalah tentang legasi dan wawasan kesarjanaan almarhum Profesor Emeritus Dr Abdulhamid AbuSulayman, rektor ke-2 UIAM (1989-1999, meninggal dunia 2021)). Almarhum juga salah seorang pengasas IIIT (International Institute of Islamic Thought - Institut Antarabangsa Pemikiran Islam) yang berpusat di Amerika Syarikat. Institut ini dikenali ramai sebagai hasil gagasan buah fikiran almarhum Profesor Ismail Faruqi (hidup 1921-1986) salah seorang peneraju gerakan Islamisasi ilmu pengetahuan (Islamisation of knowledge). Secara umumnya usaha tersebut dilihat ada dua aliran utama, satu mengikut Faruqi, satu mengikut Syed Naquib al-Attas.




Rupanya tersalah lokasi. Majlis diadakan di bangunan utama UIAM, bukan fakulti.




Bercakap tentang perkara adalah Profesor Dr Anis Ahmad, timbalan canselor Riphah International University di Pakistan. Beliau yang berumur 80 tahun juga ada kedudukan di IIIT, pernah memegang jawatan tinggi di UIAM semasa Abdulhamid menjadi rektor. Beliau berkongsi bagaimana mereka sudah lama saling mengenali, ketika baru wujud beberapa gerakan mahu memartabatkan keilmuan Islam dalam dunia akademik di Amerika penghujung tahun 70an dan awal 80an. Disebutlah legasi dan wawasan Abdulhamid lebih pada mahu menerbitkan para sarjana yang dapat menzahirkan kegemilangan Islam pada setiap diri masing-masing. Pun begitu beliau tidak mahu mengupas perkara menurut watak dan personaliti. Sebaliknya, beliau menyatakan watak dan personaliti diwujudkan oleh gerakan. Gerakan bagi memartabatkan Islam itu yang penting, bukan mana-mana orang perseorangan walau sebesar mana pun nama, mahupun sumbangan.




Sekadar menambah. Dalam artikel Motosikal besar kesayanganku dan tarikh 12/12/24 ditulis 12 Disember ada dinyatakan bahawa pada pagi itu ada majlis ilmu menarik tentang merenung kembali usaha Islamisasi ilmu pengetahuan (Islamization of knowledge), di kampus utama UIAM. Yang membawa tajuk itu sama orangnya seperti iaitu Anis. Beliau diakui sebagai antara peneraju usaha berkenaan, walaupun semasa sesi soal jawab tadi saya tidak bersetuju dengan maklum balas yang diberikan terhadap soalan saya. Ia adalah tentang bagaimana proses Islamisasi sekarang boleh dibandingkan dengan Islamisasi semasa awal zaman kegemilangan Islam abad ke-8 dan 9 Masihi. 

Saya mengikut pandangan guru saya, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, rektor UIAM sekarang. Beliau melihat itulah permulaan proses Islamisasi ilmu pengetahuan dalam dunia Islam. Ini kerana ia bermula dengan tertubuhnya perpustakaan Baitul Hikmah di Baghdad yang mengumpulkan buku-buku daripada tamadun Yunani, Hindi dan sebagainya lalu diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Hasil terjemahan kemudian dikaji lalu diulas dan dikupas balik menurut neraca ilmu pengetahuan Islam. Itulah Islamisi ilmu pengetahuan yang awal 

Sebaliknya Anis menyatakan apa yang berlaku adalah meYunanikan Islam, bukan Islamisasi ilmu pengetahuan. Saya memang tak setuju kerana faham saya, proses Islamisasi yang mula mendapat nama dan gerakan rasmi selepas persidangan pendidikan Islam di Mekah tahun 1977 adalah reaksi terhadap dominasi ilmu akademik Barat yang meminggirkan segala berkenaan agama dan Tuhan. Kalau kitab Turath atau pengajian tradisional Islam tidak perlu lagi diIslamisasikan kerana sudah sedia Islam. Pada saya Islamisasi cuma boleh dilakukan terhadap sesuatu yang asalnya bukan Islam, atau kurang ciri-ciri keIslaman.

Merujuk pada hal ulamak-ulamak silam beliau ada menambah nama Ibnu Sina selain Al Farabi yang saya sebut sebagai contoh dalam soalan. Namun beliau juga menambah nama Ibnul Arabi yang saya tahu lain aliran pemikiran. Cara beliau menjawab itu seolah-olah tidak bersetuju dengan pemikiran nama-nama besar ini. Kalau menolak setakat Ibnu Sina dan Al Farabi sahaja saya tiada masalah kerana mereka-mereka inilah yang dikatakan membawa falsafah Yunani masuk dalam pemikiran Islam. Tetapi menolak Ibnul Arabi yang terkenal sebagai seorang wali besar? Ini menjurus ke arah aliran pemikiran yang menolak ilmu Tasawuf dan kelebihan pengalaman kerohanian.




Apapun selesai majlis lalu ke luar bangunan didapati suasana seperti baru sahaja habis hujan.




Boleh sahaja bergerak ke rumah dalam keadaan itu. Mungkin dapat mengelakkan hujan sepanjang perjalanan, kalau turun lagi pun harus sudah bergerak jauh ke hadapan. Tetapi disebabkan belum lagi membaca Al Quran bagi siang itu maka diselesaikan dahulu sebuah surah, kali ini Surah Al-Qasas dalam juz 20. Ketika itu didapati turun kembali hujan. Tu yang ditulis artikel ini, di medan selera paling dekat dengan tempat motosikal diletakkan sambil menunggu cuaca cukup menyenangkan untuk bergerak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan