Salam petang Jumaat terakhir sebelum masuk bulan Rejab. Adapun lewat malam semalam saya dan isteri baru sahaja kembali dari satu perjalanan ke Perak. Sekarang, mengambil berkat daripada Jumaat sebagai penghulu hari biar dimulakan perkongsian. Walaupun masih sangat kepenatan biar dilepaskan semuanya secepat mungkin supaya tidak bertindih dengan urusan-urusan akan datang.
Perjalanan dimulakan pagi Ahad 14 Disember 2025 dengan terus mengambil Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke Perak.
Cadangnya mahu keluar di Sungkai lalu telah bersedia apabila terlihat papan tanda menyatakan tinggal 1 km ke simpang. Tetapi entah bagaimana terbit hal lain dalam kepala sehingga terleka lalu terlepas jalan susur keluar. Terpaksalah keluar di Bidor lebih 10 km lagi ke hadapan.
Ini menyebabkan rancangan asal mahu brunch di Sungkai bertukar menjadi makan tengah hari penuh di satu tempat di Teluk Intan. Kemudian baru ke destinasi pertama sebenar, satu lot tanah milik kaum keluarga saya belah bapa di Batak Rabit di mana pernah berdirinya sebuah kota Melayu lama menjadi tempat bersemayam Sultan ke-26 Perak, Sultan Abdullah Muhammad Syah II tahun 1874-1876.
Gambar terkenal ini diambil dalam kawasan kota oleh pihak British ketika rombongan Residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch (ketika itu belum bergelar residen) mendarat 12 April 1874.
Satu gambar close-up menunjukkan Sultan Abdullah duduk di sebelah Birch yang sedang memangku anakanda baginda Raja Chulan (ingat Jalan Raja Chulan di tengan bandar raya Kuala Lumpur). Berdiri ke kanan baginda adalah moyang utama saya, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Kota sebenarnya adalah milik seorang lagi moyang, Haji Musa, sepupu kepada Laksamana. Kedua-duanya adalah saudara tiga pupu kepada Sultan ke-23 Perak, Sultan Jaafar Muazam Syah, ayahanda kepada Sultan Abdullah.
Fakta bahawa Sultan pernah bersemayam di sini ada dalam catatan British. Baru ini saya temui lakaran atas dalam sebuah tesis yang ditulis tahun 1952.
Sekarang yang tinggal cuma hutan belukar dan sebuah rumah moden yang diwariskan kepada sepupu bapa. Namun bapa yang lahir tahun 1942 sempat membesar ketika rumah besar merangkap istana tempat bersemayam juga singgahsana Sultan masih wujud. Ikuti cerita berkenaan dalam rakaman video di sini.
Perjalanan diteruskan untuk masuk ke suatu kawasan terpencil di selatan Kampung Gajah.
Ada tempat bernama Bandar Baru. Di situlah bersemayam Sultan ke-19 Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Syah lebih 200 tahun lalu. Asalnya memang sebuah bandar Melayu, tetapi sudah jadi belukar dan ladang kelapa sawit.
Bila dah tahu cerita sebenar baru faham kenapa boleh ada makam raja dalam tempat-tempat terpencil. Lihat artikel Makam (Tomb of) Sultan Abdul Malik Mansur, tahun (year of) 2025 di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Ke utara selepas makam Sultan, masih dalam kawasan Bandar Baru, terdapat kubur Birch juga kubur keraninya Mat Arshad yang turut terbunuh akibat amukan orang Melayu di Pasir Salak pada 2 November 1875. Birch pernah mengambil alih Bandar Baru lalu dijadikan markas British. Lihat Kubur (Grave of) J.W.W. Birch diikuti Kubur (Grave of) J.W.W. Birch.
Turut terdapat jeti untuk mencapai makam Sultan melalui Sungai Perak. Lihat artikel Jetty to the tomb of Sultan Abdul Malik Mansur Shah in 2025 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Tak jauh dari situ terdapat tapak batu sebuah masjid kayu yang bangunannya telah dialihkan ke Ipoh. Lihat artikel Projek pemindahan masjid lama tinggal di Perak - Satu kes sirih pulang ke gagang (2016) diikuti Masjid Teluk Memali yang dipindahkan ke Ipoh - Apakah ia memang berasal dari bandar raya itu atau bagaimana?.
Perjalanan diteruskan dengan menyeberangi Sungai Perak dari Kampung Gajah.
Pergi ke Pasir Salak.
Singgah sebentar ke makam Seputum juga dikenali sebagai Si Puntum, antara orang yang terlibat membunuh Birch dalam peristiwa berkenaan pada 2 November 1875.
Pergi pula ke masjid lama sana. Berehat dan beriktikaf buat sejam dua. Lihat Lawatan baru ke masjid lama (New visit to the old mosque of) Pasir Salak.
Selepas itu baru ke tempat di mana dikatakan berlaku pembunuhan, dekat sahaja dengan masjid.
Dibuatlah video penceritaan yang seperti di makam Sultan kemudian dimuat naik ke Tiktok. Lihat sini.
Perjalanan diteruskan ke selatan Pasir Salak di mana terdapat tempat bernama Bandar Tua.
Ke selatan lagi terdapat masjid ini yang kedudukannya setentang dengan Bandar Baru di seberang Sungai Perak.
Seterusnya ke tempat bernama Bandar. Semuanya sudah menjadi tempat-tempat terpencil padahal dahulu itulah antara bandar-bandar Melayu yang asal. Tentang kedudukan tempat-tempat dan hal-hal berkenaan boleh rujuk artikel lama Tentang masjid lama yang berasal dari Ipoh - Antara Bandar, Bandar Baru dan Bandar Tua. Kemudian rujuk penceritaan terbaru melalui pautan-pautan berikut :-
Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke-2,757 di CATATAN SI MERAH SILU.



















Tiada ulasan:
Catat Ulasan