Ahad, Disember 28, 2025

Asbab Perjanjian Pangkor - Kembali pada hal tanah Laksamana di Mekah

Salam. Pergi pada hari ke-5 perjalanan baru Perak. Bersambung daripada artikel Asbab Perjanjian Pangkor - Dari getaran ombak ke ikan busuk ke genggaman keris ke masjid terapung dan macam-macam.



Pagi Khamis 18 Disember 2025. Setelah bermalam di rumah kawan di selatan Ipoh bergeraklah saya dan isteri ke utara bandar raya.



Pergi ke Mahkamah Syariah Perak Darul Ridzuan. Ada satu hal susulan daripada kes tanah moyang di Mekah. Rujuk perkara berkenaan dalam artikel lama Perbicaraan hak faraid harta Laksamana Muhammad Amin dan hal-hal berkaitan.




Disebabkan hal susulan itulah harus keluar dari Pulau Pangkor petang Rabu lalu tidak dapat menghadiri Simposium Seni Pangkor sehingga selesai, pada hari ketiganya tengah hari Khamis. Sebetulnya memang sudah lebih awal merancang mahu ke Perak untuk ke mahkamah. Undangan untuk membentang di Pangkor yang diterima kemudian menambah rencah yang selari dengan matlamat.



Sebetulnya hal tanah Laksamana di Mekah itu sendiri boleh dikatakan muncul atas asbab Perjanjian Pangkor. Masalah demi masalah yang terbit selepas perjanjian 20 Januari 1874 membawa kepada pembunuhan Residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch pada 2 November 1875. Berlakulah perang antara British dengan para pejuang Perak sehingga tahun 1876. Susulan kekalahan Perak, Laksamana Muhammad Amin adalah antara yang dibuang negeri ke Pulau Seychelles di perairan Afrika tahun 1877. Dari situlah beliau kemudian menghantar wakil untuk membeli tanah berdekatan Masjidil Haram di Mekah. Lebih seabad kemudian tanah menjadi punca pertikaian membawa pada kes di Mahkamah Syariah.




Kami berada di mahkamah sehingga masuk waktu Zohor. Selepas itu saudara mengajak makan bersama di bahagian lain Ipoh.






Mereka juga mengajak makan durian di Batu Kurau, hampir 100 km perjalanan ke utara Ipoh. Tetapi itu terlalu jauh buat kami yang sudah penat beberapa hari berjalan di Perak.



Lainlah bagi saudara mara yang menetap di Ipoh, juga beberapa orang yang menetap di Kedah dan Pulau Pinang. Sebaliknya kami bergerak kembali ke arah Mahkamah Syariah. Isteri mahu menziarahi kawan lama.



Tengok-tengok ada rezeki makan durian yang dibawa dari kebun suami kawan di Parit, kalau tak salah ingatan.



Selepas itu terus masuk ke Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke rumah kami di Rawang.






Keluar dahulu ke Sungkai.



Kawan yang rumahnya diinapi di Ipoh ada mencadangkan agar singgah di sebuah kedai makan unik di pekan tersebut.









Jam 9.45 malam baru sampai rumah. Meter kereta menunjukkan saya telah memandu sejauh 573 km.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan