Salam. Merujuk pada artikel Tinjauan beberapa puncak bukit di Kuala Lumpur yang dipersembahkan awal pagi Jumaat 5 hari lalu. Ada dinyatakan bahawa ketika itu sudah masuk hari ke-4 satu perjalanan baru, kali ini ke selatan. Sukacita dimaklumkan lewat petang semalam selamat kembali ke rumah. Tanpa membuang masa biar dimulakan perkongsian.
Perjalanan secara rasminya bermula awal pagi Selasa 14 Oktober 2025 apabila keluar bersama isteri untuk menghantar ke pejabat beliau di Shah Alam.
Sejak 8 bulan kebelakangan iaitu sejak anak bongsu masuk tahfiz lalu duduk di asrama meninggalkan kami berdua di rumah saya agak kerap menghantar isteri pada hari-hari perlu berada di pejabat. Sementara isteri bekerja beriktikaflah di masjid negeri yang terletak tak sampai 1 km dari pejabat.
Kadangkala berjalan-jalan juga ke tempat lain di Shah Alam. Antaranya, ke kampus utama UiTM, Universiti Teknologi MARA seperti dilakukan petang itu kemudian. Selepas mengambil isteri dari pejabat balik ke rumah seorang ibu saudara di Petaling Jaya. Ini juga biasa dilakukan sejak 8 bulan kebelakangan. Kerana lebih dekat hendak pergi balik Shah Alam berbanding rumah sendiri di Bandar Sungai Buaya, 50 km sehala perjalanan.
Cuma kali ini menginap Selasa malam Rabu sedangkan telah ditetapkan harus diadakan acara mingguan "Merah Silu live" melalui Tiktok bermula jam 9.30. Dengan itu berlangsunglah edisi ke-9 di rumah ibu saudara. Berdasarkan giliran dalam Senarai 171 perjalanan menurut kronologi dari tahun 1989 hingga 2021 tumpuan diberikan pada perjalanan berikut :-
19. Umrah ziarah 2005 - lebih 1,100 km. Lihat Cerita An-Nur yang membawa kepada Umrah 2005 dan seterusnya....
Pagi Rabu 16 Oktober keluar membawa beliau bersama menuju ke selatan. Isteri bercuti panjang mengambil kesempatan atas cuti umum perayaan Deepavali Isnin 20 Oktober.
Singgah berjalan-jalan di Putrajaya...
Ibu saudara yang berumur sekitar 74 tahun sudah lama tak sampai.
Kami sempat 'beraya' di rumah adik beradik isteri di Bukit Changgang diikuti Salak Tinggi kemudian ke rumah adik beradik bapa saya di Tanjung Minyak dan Bukit Beruang, Melaka. Lewat malam sampailah ke rumah keluarga di Muar lalu bermalam.
Pagi Khamis 16 Oktober membawa ibu bapa saya keluar berjalan-jalan di sekitar bandar Muar...
Memang setiap kali balik ke Muar akan ada satu hari ditumpukan untuk membawa mereka berjalan.
Ini adalah kali kedua ibu saudara berkenaan, adik kepada ibu, ikut sekali.
Kali pertama adalah pada sekitar 7 bulan lalu Asbab ke Muar awal Zulkaedah
Kali ini ibu saudara sempat menangani satu hal melibatkan tanah dan rumah yang diturunkan kepada adik beradik, di pejabat perbandaran. Dan kali ini juga beliau akan dibawa lebih jauh ke selatan.














Tiada ulasan:
Catat Ulasan