Hubungan kemanusiaan di Madinah Nabi - Wahyu Ilahi sebagai asas
Merujuk pada artikel Asbab membayar kompaun motosikal yang dipersembahkan Isnin 4 Ogos jam 8.20 malam Selasa. Ada dinyatakan bahawa pada jam 1 lebih pagi sebelum itu iaitu 19 jam lebih awal baru kembali dari satu permusafiran di Pahang. Cadangnya siang Selasa 5 Ogos mahu mula berkongsi cerita tetapi tak larat, terasa penat sangat. Untuk makluman sebelum kembali ke rumah saya ada tersesat dalam hutan atas bukit setinggi 1,000 kaki dari paras laut di Lembah Klang. Dekat jam 9.30 malam baru keluar hutan dan sampai kembali ke kereta. Ketika azan Maghrib berkemundang masih di atas salah satu puncak bukit berkenaan.
Penat perjalanan yang turut meliputi pendakian Bukit Kertau di Chenor tengah hari Jumaat 1 Ogos, dan pendakian Gunung Ulu Kali di Genting Highlands hampir tengah hari Ahad 3 Ogos selain memandu sejauh 740 km lalu membuat banyak lagi persinggahan masih belum betul-betul kebah hingga sekarang. Pun begitu diusahakan untuk hadir ke satu majlis ilmu di kampus utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) malam semalam... kerana sudah berjanji kepada guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar yang sekarang juga adalah Rektor UIAM akan hadir. Maka biar dilepaskan ceritanya sekarang.
Poster bagi majlis yang merupakan ke-4 dalam siri berkenaan. Sejak bulan Mei ia diadakan setiap Rabu malam Khamis awal bulan. Dan setiap kali itu guru saya Osman memberikan syarahan.
Setakat ini belum terlepas mana-mana edisi walaupun baru kembali dari perjalanan jauh. Lihat artikel-artikel berikut :-
Ketika edisi pertama berlangsung 7 Mei saya baru kembali dari perjalanan ke Muar 29 April hingga 4 Mei yang mana ada dibuat pendakian 5 buah bukit berangkai. Lihat Asbab ke Muar awal Zulkaedah. Ketika edisi kedua berlangsung 4 Jun baru kembali dari perjalanan hingga ke Pulau Pinang dan Alor Setar 29 Mei-2 Jun yang mana saya memandu sejauh 1,080 km. Lihat Asbab urusan di Kuala Selangor dan Alor Setar. Ketika edisi ketiga berlangsung 2 Julai pula baru kembali dari perjalanan ke selatan Thailand 24-29 Jun yang meliputi jarak hampir 1,800 km. Lihat Jejak Langkasuka 2025 - The compilation.
Kadangkala terlupa betapa kerap saya keluar berjalan. Bila hendak menyusun penulisan lalu menyemak kembali apa yang berlaku dalam suatu tempoh berkenaan baru tersedar. Mana tak penat? Selepas selesai suatu perjalanan pula hati menyuruh agar menulis tentangnya. Sementara menunggu majlis bermula sempat membaca sedikit Al-Quran dalam proses pengkhataman bagi bulan Safar.
Terus pada syarahan Osman.
Tajuk yang ditunjukkan kelihatan lain sedikit daripada dalam poster.
Ia dinyatakan sebagai yang kedua dalam senarai atas. Dua edisi terawal lebih pada pengenalan sebelum masuk huraian lebih mendalam bermula pada edisi ketiga...
Dihuraikanlah apakah itu hubungan antara manusia, dalam bahasa Arab disebut sebagai hablun min al-Nas bermula dengan zaman sebelum Nabi Muhammad SAW membawa agama Islam di Mekah diikuti di Madinah.
Hubungan ini dizahirkan paling sempurna selepas kota Madinah diasaskan, selepas berlaku peristiwa Hijrah yang mana para pengikut Nabi dari Mekah berpindah ke Yathrib yang diubah nama menjadi Madinah. Mereka dikenali sebagai kaum Muhajirin sementara penduduk asal yang menerima mereka sebagau saudara sendiri dikenali sebagai kaum Ansar. Persaudaraan yang terjalin dikatakan adalah yang terbaik pernah berlaku dalam sejarah manusia.
Semua itu berlaku kerana adanya Hablun Mina'llah, perhubungan dengan Tuhan. Sesungguhnya ada hubungan antara manusia berlaku sambil mengetepikan atau menolak langsung kewujudan, apa lagi kepentingan Tuhan seperti di negara-negara berideologi Komunis.
Dinyatakan 5 rukun yang membentuk Hablun Min al-Nas di Madinah. Sila ikuti sendiri syarahan melalui video bawah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan