Lagi majlis ilmu. Bersambung daripada Membentuk identiti : Perjalanan Azerbaijan melalui empayar, konflik dan kemerdekaan.
Petang Ahad 5 Oktober 2024. Saya dan isteri menerima dua orang tetamu dari Sungai Siput, seorang kenalan lama dan anaknya, diikuti seorang bapa saudara, adik bongsu ibu saya, dan isterinya. Selepas itu baru menyedari ada poster bagi majlis ilmu atas talian seperti di atas ini di grup WhatsApp ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Ketika itu sudah melepasi jam 6. Majlis sudah pun bermula.
Ketika saya masuk sudah jam 6.19. Kelihatan tajuk ada sedikit lain daripada yang diwar-warkan pada poster. Tajuk ini susah hendak diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Namun dengan rujukan pantas di Internet dapat difahami makna.
Perkataa Inggeris Necessitarianism merujuk pada satu falsafah yang mana segala yang wujud, alam ini dan segala isinya berbentuk sebegitu rupa kerana memang sepatutnya ia begitu, tidak ada kemungkinan ia boleh wujud dengan rupa dan keadaan lain (misalnya gajah boleh terbang). Ia boleh dikaitkan dengan kata akar necessary yang bermakna perlu, atau necessity yang bermakna keperluan. Avicenna pula merujuk kepada tokoh ilmuwan Islam Ibnu Sina yang sangat terkenal dalam ilmu perubatan. Tetapi beliau juga seorang tokoh ilmu kalam dan falsafah.
Diakui saya menyertai majlis dalam keadaan terpinga-pinga. Maklumlah lambat masuk malah sudah hampir ke penghujung pembentangan oleh Jari Kaukua, profesor falsafah di Universiti Jyvaskara di Finland. Difahamkan beliau banyak mengkaji pemikiran tokoh-tokoh silam Islam termasuk ahli Sufi seperti Shihabudin Surahwadi. Yang pasti beliau dinyatakan sebagai seorang pakar ilmu falsafah yang disegani.
Yang dapat dan sempat ditangkap adalah bagaimana pemikiran falsafah Ibnu Sina melihat bahawa alam ini dijadikan sebegitu rupa seperti sepatutnya, tidak ada pilihan atau alternatif lain berdasarkan prinsip-prinsip tertentu melibatkan ilmu mantiq ataupun logik juga metafizik. Hal ini menjadi lebih jelas apabila masuk sesi soal jawab sekitar jam 6.25 lalu saya mengambil peluang untuk berinteraksi bersama pembentang.
Secara rata, seperti ramai ahli falsafah silam Islam, Ibnu Sina ada terpengaruh lalu menggunakan landasan fikir ilmuwan Yunani terkenal, Aristotle yang hidup 3-4 abad Sebelum Masihi. Saya pun membuat perbandingan bagaimana saintis ateis zaman sekarang suka menggunakan hujah kononnya terdapat banyak malah tidak terbilang alam yang menerbitkan pelbagai kemungkinan. Disebabkan adanya pelbagai kemungkinan itu maka boleh wujud alam yang kita duduki sekarang yang mana ada hukum-hukum dan nilai-nilai tertentu seperti Gravitional Constant (satu nombor malar melibatkan interaksi graviti antara objek besar seperti planet dengan planet) yang mana jika lain nilainya tidak boleh wujud alam seperti halnya kini. Kemungkinan ini diterbitkan secara falsafah untuk menolak wujudnya Tuhan lalu alam-alam dinyatakan sebagai cuma tercipta secara rawak melalui proses-proses 'semulajadi'. Sedangkan pemikiran yang saya terjemahkan sebagai "isma keperluan Ibnu Sina" itu berdiri atas prinsip paling awal dan asas bahawa wujud satu kuasa pertama atau first cause untuk menentukan keadaan. Dalam falsafah Yunani kuasa pertama itulah Tuhan. Daripada itu muncul rantaian peristiwa sebab dan akibat yang membawa kepada wujudnya alam seperti diketahui sekarang.
Majlis ditamatkan sebelum jam 7 oleh penganjur disebabkan tidak ada lagi mahu bersoal jawab. Bukan tidak mahu sebenarnya. Tetapi banyak yang perlu dihadamkan. Dan lagi, cuma saya dan seorang lagi hadirin atas talian yang banyak berinteraksi dengan pembentang. Seorang pula menyatakan soalan melalui ruang komen. Daripada soalannya tentang sustenance, tentang bagaimana Allah SWT terlibat secara terus menerus tanpa putus 'menyokong' lalu menentukan perjalanan alam, bukan sekadar mencipta lalu membiarkan ia berjalan dengan sendirinya serta jawaban pembentang saya pun memanjangkan perkara.
Disebutlah tentang satu ayat dalam Surah Ar-Rahman menyatakan bahawa pada setiap saat Allah 'melakukan kerja' lalu dikaitkan dengan konsep Nafas ar-Rahman oleh ahli Tasawuf terkenal Sheikh Muhyiddin Ibnu Arabi. Ini adalah tentang bagaimana alam yang dapat kita lihat ini sebenarnya ibarat satu roll atau gulungan filem yang terdiri daripada banyak frame atau bingkai gambar. Filem dimainkan atau ditayangkan frame by frame, bingkai demi bingkai. Pada kadar 24 bingkai setiap saat mata kita melihat ia seperti tayangan yang tidak putus. Padahal ia putus antara bingkai ke bingkai.
Dan lagi cerita sebenarnya sudah wujud secara 'setongkol' atau sedia ada semunya dalam gulungan filem. Begitulah Allah melihat alam, seperti wujud satu gulungan filem yang sudah tercipta di luar perkiraan masa. Tetapi kita manusia ibarat cuma melihat ketika ia ditayangkan, bingkai demi bingkai. Lalu kita melihat suatu cerita itu mempunyai permulaan membawa kepada pertengahan kemudian pengakhiran. Sedangkan semua itu telah sedia wujud secara serentak dalam gulungan filem lalu sudah ditentukan arah dan tujuan cerita. Dengan ini terkaitlah dengan "isma keperluan Ibnu Sina" yang diperkatakan.
Untuk makluman saya sedang menyediakan satu senarai artikel tentang acara-acara ilmu yang dihadiri atau disertai lalu ada dikongsikan cerita di CATATAN SI MERAH SILU sejak satu tarikh awal tahun 2020. Sukacita dimaklumkan artikel ini membentuk yang ke-131 dalam senarai. Ini adalah satu nombor yang ada makna home sweet home atau rumahku syurgaku buat saya.