Lagi majlis ilmu secara atas talian.
Isnin malam Selasa satu badan NGO bernama YASMA-SEPAMA-ASMAK juga dikenali sebagai YASMAK telah mengadakan wacana secara atas talian dengan nama di atas. Sebelum ini saya pernah sekali sahaja mengikuti wacana anjuran pihak berkenaan. Lihat artikel Kesan peninggalan arkeologi masyarakat Melayu Champa abad ke 7-14 Masihi yang dipersembahkan 8 bulan lalu.
Memperkenalkan majlis dan pembentang adalah pengasas YASMAK merangkap penganjur majlis, Dr Zain Musa. Beliau adalah seorang Melayu Champa dari Cambodia (Kemboja) yang telah berpuluh tahun bermastautin di Malaysia. Untuk makluman beliau asalnya seorang graduan Matematik daripada Sorbonne University di Paris, Perancis tetapi beralih ke bidang sejarah. Saya sudah lama mengenali beliau kerana selalu terjumpa di majlis-majlis wacana sejarah. Dan ada beberapa majlis yang beliau menjadi pembentang termasuk di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di mana saya secara rasminya akan memulakan pengajian peringkat PhD seminggu lagi. Lihat artikel-artikel lama berikut :
Pembentang iaitu Profesor Datuk Dr Murad Merican pula adalah ketua unit Tamadun Melayu di ISTAC sejak beberapa tahun lalu. Beliau yang latar belakang utamanya adalah dalam bidang sejarah intelektual, kajian media dan kewartawanan memulakan dengan menceritakan bagaimana mula terlibat memperjuangkan isu-isu sejarah dan ketamadunan Melayu secara akademik bermula di UiTM (Universiti Teknologi MARA) membawa ke USM (Universiti Sains Malaysia). Di situ beliau mencipta nama sebagai cendekiawan yang memperjuangkan naratif Melayu tempatan Pulau Pinang melawan naratif ciptaan Barat yang membawa kepada masyarakat asal Melayu disudutkan oleh kuasa-kuasa politik tertentu. Beliau masuk ke ISTAC membawa reputasi itu.
Usaha serupa melawan naratif Barat kemudian dilebarkan untuk meliputi seluruh Kepulauan Melayu . Ini membawa kepada konsep "tanah dan air" yang bahkan dijadikan satu siri wacana di ISTAC. Banyak sebenarnya artikel di CATATAN SI MERAH SILU melibatkan pembentangan-pembentangan beliau termasuk dalam bidang kewartawanan dan persuratan Melayu. Biar diletakkan sedikit pautan seperti berikut :-
Liputan Alam Melayu yang diceritakan berdasarkan lapisan-lapisan lingkungan dan takrifan oleh tokoh akademik, almarhum Tan Sri Profesor Emeritus Dato' Pendita Dr Ismail Hussein. Namun Murad mengaku kurang tahu tentang sejarah Champa tetapi membawa tajuk berkenaan atas pemintaan penganjur. Lalu konsep Alam Melayu terutama entiti geografi yang dikenali sebagai Kepulauan Melayu (beliau tidak suka terma moden Asia Tenggara ciptaan Barat juga terma tempatan Nusantara yang sebenarnya bersifat Jawa-sentrik) dikaitkan dengan Champa yang termasuk dalam lingkungan geografi. Dengan itu dinyatakan orang Melayu Champa sebagai sebahagian daripada kelompok besar bangsa Melayu yang bergerak dalam lingkungan "tanah dan air" Kepulauan Melayu.
Disebut sedikit tentang hal perairan berkenaan iaitu ke barat dan selatan negara Vietnam pernah dikenali sebagai Laut Champa sebelum dimasukkan ke dalam takrif moden Laut China Selatan. Untuk pengetahuan Champa adalah sebuah negara dan kesultananan Melayu lama yang hilang 'ditelan' oleh orang Vietnam yang sebenarnya berasal dari selatan China. Takrif moden ini ada implikasi politik yang tidak menyenangkan. Ini terbukti apabila negara China cuba menuntut hak terhadap hampir seluruh laut. Sejak beberapa bulan kebelakangan selalu menghantar kapal peronda masuk hingga hampir ke persisiran Sarawak atas alasan mahu menjaga 'kedaulatan' negara mereka.
Menariknya hal ini akan dibincangkan dalam wacana seterusnya anjuran YASMAK. Sebetulnya banyak lagi perkara dibincangkan tentang tamadun Melayu. Apabila masuk sesi soal jawab keluar beberapa hal tentang Champa lalu menjadi rancak membawa kepada perbincangan tidak rasmi yang berpanjangan sehingga selepas jam 11 malam. Sedangkan majlis sepatutnya tamat selewatnya jam 10.30.
Apapun biar dilepaskan cerita ini sekarang walaupun sudah melepasi jam 1 malam. Saya mahu kepala clear kerana banyak perkara mahu dilakukan siang hari. Sesungguhnya selain komitmen keluarga saya sudah mula disibukkan dengan kajian dan penulisan tesis PhD. Nanti apabila penganjur telah memuatnaik video akan dikongsikan.
Nota tambahan (dibuat jam 9.24 pagi Selasa 1 Oktober 2024) : Baru dapat tahu pihak penganjur belum pernah memuatnaik rakaman video acara-acaranya ke Youtube atau mana-mana platform. Namun ada rakaman untuk setiap acara yang pernah diadakan. Saya memberitahu itulah cara agar acara-acara yang diadakan sentiasa 'hidup' dan boleh ditonton pada bila-bila masa oleh sesiapa. Lihat misalnya ISTAC TV. Beliau pun menjawab akan membuka akaun dan memuatnaik rakaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan