Ahad, Oktober 27, 2024

Asbab mesyuarat agung persatuan - Perjalanan baru Perak, pendakian Bukit Singa dan borak keris pedang

Merujuk pada artikel Ulasan buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" di Edu Hub Pagoh yang dipersembahkan pada petang Rabu 23 Oktober. Pada pembukaannya ada dinyatakan bahawa pada hari sebelumnya Selasa 22 Oktober saya selamat kembali daripada satu perjalanan baru di Perak yang memakan masa 4 hari 3 malam. Namun dinyatakan juga biar dilepaskan cerita lain terlebih dahulu. Ini adalah cerita tentang ulasan buku. Kemudian ada dua majlis ilmu mahu diikuti, satu di Wisma Sejarah, Khamis24 Oktober, satu di kampus utama UIA (Universiti Islam Antarabangsa) Jumaat 25 Oktober.

Kedua-dua itu telah dilepaskan ceritanya, yang pertama, Pengalaman mengurus hubungan Malaysia-China bersama Syed Hamid Albar pada petang Khamis, yang kedua Menjuarai epistemologi ketauhidan - Syarahan perdana Osman Bakar sebagai Rektor ke-7 UIAM pada lewat malam semalam 26 Oktober. Dengan itu bolehlah mula dibuat perkongsian cerita perjalanan Perak.




Perjalanan dimulakan awal pagi Sabtu 19 Oktober 2024 atas asbab mahu menghadiri mesyuarat agung Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) cawangan Perak di sebuah hotel di pinggir selatan bandar raya Ipoh.




Dengan itu mengambil Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dari tol Bandar Sungai Buaya sehingga ke Simpang Pulai, baru keluar untuk mengambil jalan biasa ke hotel.




Adapun saya baru setahun lebih sahaja menjadi ahli PSM Perak. 




Mesyuarat agung pula diadakan 2 tahun sekali.




Ketika meneliti minit mesyuarat yang mana ada tersenarai aktiviti-aktiviti persatuan tahunn 2023 hingga 2024 tersedar bahawa tarikh mesyuarat 19 Oktober adalah tepat setahun selepas saya menjadi pembicara dalam satu majlis besar peringkat negeri melibatkan persatuan.




Poster bagi majlis tersebut. Lihat artikel lama Misi hartanah dan wacana Laksamana - Akhirnya terlaksana rancangan lebih 3 bulan lalu. Apabila ditanya tentang tarikh 19 Oktober bagi mesyuarat kepada Setiausah Kehormat (tetap meletakkan jawatan untuk menumpukan pada kerja sebenar di sebuah universiti) jawab beliau, iya. Memang sengaja dipilih tarikh sama dengan majlis setahun lalu. Ada sebabnya...




Selepas itu saya beriktikaf agak lama di Masjid Panglima Kinta sebelum menghala ke Sungai Siput. Sampai ke Chemor terlihat satu tempat menarik. Lihat artikel Himpunan bangunan tradisional Melayu di Chemor (Collection of Malay traditional buildings in Chemor)  di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Saya ke Sungai Siput kerana mahu mendaki lagi Bukit Singa yang terserlah di sekitar itu. Saya pernah mendaki sekali lebih 7 tahun lalu. Tetapi sampai ke bahagian pangkal puncak yang menegak ketika cuaca menjadi buruk. Sedangkan saya tidak nampak lagi jalan bagaimana hendak meneruskan ke atas. Lihat Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Kuala Kangsar ke Ipoh dan cabaran pendakian Bukit Singa.




Sekitar seminggu sebelum ke Perak seorang kawan lama yang menetap di Sungai Siput, Syahir namanya, ada bertandang ke rumah saya di Sungai Buaya lalu memberitahu ada jalan belakang untuk sampai ke puncak  Sudah bertahun kami tidak berjumpa, tiba-tiba boleh datang bertandang. Keluar pula cerita mengenai Bukit Singa. Ini kerana beliau pernah menetap di rumah kerajaan berdekatan bukit. Itu yang menimbulkan semangat berkobar-kobar mahu mendaki lagi. 




Mesyuarat agung di Ipoh menjadi asbab perlaksanaan. Dipendekkan cerita, setelah melalui cabaran laluan tidak kelihatan kerana lereng bukit teruk bersemak baru dapat menemui jalan yang dikatakan lalu sampai ke pangkal batu besar ke puncak. Cuma sayang tidak dapat menemukan tangga besi yang katakan boleh digunakan untuk memanjat menegak. Sedangkan matahari hendak terbenam. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.

1.  New attempt at Bukit Singa

2. New attempt at Bukit Singa part II



Saya ingat lagi ketika kembali sampai ke kereta yang diletakkan di satu bahagian pangkal bukit sudah jam 7.41. Saya menuruni bukit melalui jalan ladang yang lebih jauh tetapi lebih nyata dan selamat walau dalam kegelapan. Jauh lebih selamat daripada turun lereng bukit yang curam dan bersemak. Cuma apabila memandu kereta keluar dari kawasan ladang didapati pintu pagar ke jalan raya telah berkunci. Nasib baik dapat menghubungi Syahir untuk meminta pertolongan. Beliau dapat mencari pengawal keselamatan ladang untuk membuka pagar. Sementara menunggu itu sempat menghabiskan beberapa muka surat terakhir Juzuk 17 Al Quran juga menjamakkan solat Maghrib dan Isyak serta wirid harian.




Kami meninggalkan ladang hampir jam 9 lalu Syahir membelanja makan malam di kedai berdekatan. Borak punya borak keluar nama Raja Shariman, seorang pengukir logam terkenal. Oh. Asbabnya adalah bercerita tentang sejarah negeri Perak. Sebagai anak cucu Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin saya juga ada hubungan persaudaraan dengan Sultan Abdullah yang dibuang ke Pulau Seychelles tahun 1877 bersama Laksamana. Sedangkan Raja Shariman adalah keturunan Sultan Abdullah. Dan kami sebenarnya pernah bertemu di rumah seorang tokoh keagamaan di Kuala Kangsar.

Syahir terus mengajak ke rumah Raja Shariman di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Memang pun selepas mendaki Bukit Singa saya mahu ke bandar diraja itu. Alhamdulillah beliau ada di rumah lalu sedia menerima kedatangan. Pergilah kami ke sana, sampai selepas jam 10 malam.




Di rumah Raja Shariman kami berbual panjang tentang bermacam-macam perkara. Beliau turut menunjukkan koleksi ukiran logam juga beberapa bilah keris dan pedang yang ditempa sendiri di rumah. Tiga gambar teratas ini diambil oleh beliau di tingkat atas. Pedang pada tangan itu memang terasa begitu 'sedap'. Bila dapat senjata 'sedap' ni selalunya automatik tubuh badan boleh melangkah dan 'memainkan'.

Satu perkara menarik tak dirancang. Ketika hendak keluar ke Perak terasa sebilah keris kesayangan mahu 'ikut sama'. Sebetulnya sarung keris itu ada masalah patah akibat terjatuh ke atas simen. Alhamdulillah Raja Shariman sudi membetulkan. Selepas jam 3 pagi baru meninggalkan rumah beliau.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan