OK. Setelah beralih topik sedikit sejenak dengan artikel Apabila Bukit Kiara menjadi persinggahan antara majlis zikir dan tazkirah ilmu petang tadi berbalik kita pada perkongsian majlis ilmu.
Majlis kali ini diadakan sepenuhnya secara atas talian. Tajuk dan mereka yang terlibat adalah seperti yang kelihatan pada poster.
Sampai masanya jam 9 malam tadi saya pun masuk ke ruangan siaran langsung melalui Facebook. Nampaknya saya adalah penonton pertama mengikuti majlis.
Pengacara pun memperkenalkan pembicara, Ustaz Syed Muhammad Muhiyuddin al-Attas. Beliau adalah anak kepada penulis buku politik terkenal Syed Hussein al-Attas (Pak Habib) dan anak murid kepada pemikir besar Malaysia bertaraf dunia, Professor Tan Sri Syed Naquib al-Attas.
Beliau membuka dengan menceritakan sedikit latar belakang kehidupan tokoh yang mahu dibicarakan iaitu Raja Ali Haji ibni Raja Ahmad ibni Raja Haji Fisabillah (yang terkenal syahid melawan Belanda tahun 1784, Yang Dipertuan Muda Riau ke-4). Tentang bagaimana semasa kecil pernah mengikut ayahanda menunaikan haji ke Mekah lalu sempat mengaji dengan Sheikh Daud al-Fathani. Diceritakan juga aktiviti-aktiviti beliau menghasilkan sejumlah penulisan dan kitab dalam keadaan Belanda sedang menguasai separuh Alam Melayu termasuk Kepulauan Riau yang diduduki Raja Ali Haji dan kaum kerabat yang berketurunan raja-raja Bugis, melalui pusat pemerintahan di Jakarta.
Raja Ali Haji cukup terkenal dengan Gurindam Dua Belas yang mengandungi banyak pesanan suri teladan bagi menjadi orang yang berguna dan bertakwa juga kitab Tuhfat al-Nafis yang menceritakan sejarah asal usul raja-raja Bugis-Riau dan raja-raja Melayu serta persemendaan membawa kepada penglibatan dalam sosio-politik negeri-negeri Melayu terutama apa yang dikenali sebagai Empayar Johor-Riau-Lingga sehingga selepas pertengahan abad ke-19 Masihi. Selain itu beliau terkenal sebagai pengarang Bustanul-Katibin yang merupakan kitab tatabahasa Melayu dan Samarat al-Muhimmah yang merupakan kitab panduan bagi menjadi raja dan pembesar yang baik dan berwibawa.
Semua fakta ini boleh ditemui dengan mudah di Internet. Nilai tambah bicara adalah apabila dapat mengaitkan penulisan Raja Ali Haji terutama Samarat al-Muhimmah dengan kitab-kitab tatananegara di Timur Tengah termasuk kitab-kitab ilmuwan silam Islam seperti Imam al-Ghazali. Selain itu kenyataan bahawa Raja Ali Haji membawa penulisan histografik yang bersifat lebih rasional, bukan seperti sebelumnya yang mana penulisan 'sejarah' atau lebih tepat "sastera sejarah" di Alam Melayu bersifat lebih mistik lalu kelihatan penuh tahyul bagi pembaca moden.
Masuk sesi soal jawab saya telah mengajukan dua soalan melalui ruangan chat di Facebook live. Namun soalan kedua pula yang dibacakan terlebih dahulu oleh pemudahcara. Teks penuhnya adalah seperti berikut :-
Lagi satu, Ustaz sebut tentang asal usul raja2 tidak lagi diceritakan secara mistik seperti berasal daripada celah pokok tetapi lebih positivistik oleh Raja Ali Haji. Memang teks2 sastera sejarah di Tanah Bugis menyebut asal usul raja2 Bugis adalah kebanyakannya dari langit. Mereka disebut sebagai Tomanurung, orang yang turun dari langit. Kawin dengan wanita tempatan lalu melahirkan raja2. Raja Ali Haji dalam Tuhfat al Nafis pula menyatakan raja2 Bugis berasal daripada keturunan Ratu Balqis (melalui Nabi Sulaiman). Lalu mengatakan apa yang mustahilnya jika keturunan Nabi Muhammad SAW dari Tanah Arab pun boleh bertebaran di bumi sebelah sini. Apa maklum balas ustaz tentang Raja Ali Haji mengatakan raja2 Bugis berasal daripada keturunan Ratu Balqis?
Kelihatan pemudahcara kurang faham tujuan saya bertanyakan soalan lalu terlalu 'melompat teks' pergi pada hujung, untuk menjimatkan masa nampaknya sehingga tidak tercapai maksud soalan. Maka jawaban yang diberikan oleh Muhyiddin kira bolehlah. Beliau memberikan prinsip-prinsip tertentu seperti istiqlal (itu yang saya dengar) dalam memilih pemimpin sebagai justifikasi keabsahan keturunan untuk memerintah. Tidak tercapai maksud untuk mendengar apa pendapat beliau tentang kenyataan raja-raja Bugis dikatakan keturunan Ratu Balqis, jawaban kedengaran 'sipi-sipi' sahaja.
Tetapi untuk soalan pertama yang dibacakan kemudian saya cukup berpuas hati dengan jawaban. Teks penuhnya berbunyi begini (ada typo telah dibetulkan) :-
Salam ustaz. Kita tahu Raja Ali Haji adalah cucu kepada Raja Haji Fisabilillah, Yang Dipertuan Muda Riau ke-4. Bapanya Raja Ahmad adalah adinda kepada YDMR ke-6, Raja Jaafar. Raja Ali Haji adalah sepupu kepada anak2 Raja Ja'afar yang menjadi YDMR ke-7, ke-8 dan ke-9. YDMR ke-10 dan terakhir. Raja Yusuf adalah anak saudara beliau. Mereka ini semua bangsa Bugis dan biasa terlibat dengan perang. Soalan saya, apakah Raja Ali Haji sendiri pernah terlibat dengan perang. Baik ya atau tidak, apa yang membuat beliau menjadi seorang ilmuwan, tidak dikenali sebagai pahlawan seperti halnya kebanyakan kerabat diraja Bugis?
Walaupun ini juga tidak baca penuh dan banyak 'melompat' tetapi maksud soalan dapat dicapai. Jawaban Muhyiddin lebih kurang begini. Menjadi ilmuwan tidak menafikan kepahlawanan Raja Ali Haji. Cuma beliau mengambil jalan perjuangan lebih berstrategi melalui ilmu sehingga tulisan dan kitab-kitab beliau terus terkenal dan menjadi rujukan hingga sekarang. Raja Ali Haji ada menyatakan pekerjaan kalam (penulisan) itu mengatasi pekerjaan pedang. Semua yang boleh dicapai dengan pedang boleh dicapai dengan kalam. Tetapi tidak semua yang boleh dicapai oleh kalam boleh dicapai dengan pedang. Disebabkan kalam banyak pedang yang terhunus boleh disarungkan kembali. Ikuti sendiri majlis melalui video bawah. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,545 di CATATAN SI MERAH SILU.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan