Jumaat, Julai 12, 2024

Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Mengejar 1 Muharram di Perak

Salam petang Jumaat 6 Muharram 1426 Hijriah. Rasanya masih belum lewat untuk mengucapkan Salam Ma'al Hijrah, selamat tahun baru Islam. Ini adalah cerita yang berkenaan.



Dalam artikel Ismail al Faruqi - Relevan untuk kajian kontemporari yang ditulis dan dipersembahkan petang Sabtu lalu 6 Julai 2024 bersamaan 29 Zulhijjah 1445 Hijriah ada dinyatakan bahawa ia adalah  perkongsian bagi hari itu, hari terakhir tahun 1445 Hijriah. Selepas itu saya akan memulakan satu perjalanan baru ke Perak. Sekitar jam 6 petang bergeraklah meninggalkan rumah lalu masuk ke Lebuh Raya Utara Selatan.



Ikut bersama adalah anak yang bernama Muhammad Al-Aminul Rasyid. Asalnya isteri dan anak bongsu mahu dibawa sekali. Tengok-tengok anak bongsu ada peperiksaan sekolah agama bermula hari Selasa. Maka bergeraklah kami berdua sahaja ke Perak.


Dari lebuh raya masuk jalan biasa di Hulu Bernam. Ketika hendak menghampiri pekan Tanjung Malim  didapati jalan sesak dengan kereta berderet menuju ke pekan. Maklumat yang menyertai gambar menunjukkan ia diambil jam 6.41 petang. Ini adalah selepas lebih 5 minit berada dalam kesesakan.



Gambar selepas melepasi lampu isyarat ini diambil jam 6.44. Masih ada 200 meter lagi sebelum sampai ke jambatan melepasi Sungai Bernam, sungai yang menjadi sempadan semulajadi antara negeri Selangor dan Perak.



Jam 6.47. Sudah hampir ke penghujung jambatan, kurang 10 meter masuk ke negeri Perak.



Sebetulnya boleh mengambil jalan lain untuk lebih cepat masuk ke Perak. Tetapi laluan masuk ke pekan diambil kerana bercadang hendak singgah ke tempat makan Sarang Art Hub. Apabila sudah berapa lama melalui kesesakan baru tersedar petang itu petang Sabtu ada pasar malam. Kawasan di sebahagian pekan membawa ke Sarang biasanya penuh dengan orang ramai, patutlah sesak. Dengan itu ditukar haluan terus mengambil jalan mengelak kesesakan selepas jambatan lalu terus ke arah utara Tanjung Malim...



Pada jam 7.27 petang, di satu bahagian jalan antara Trolak ke Sungkai masuklah waktu Maghrib. Lalu masuklah juga tarikh 1 Muharram, hari pertama tahun baru 1426 Hijriah.



Sampai di Sungkai berhenti untuk makan malam...



Merujuk pula pada artikel Salah ke kajian saya diakui seorang pemikir tersohor Melayu? yang dipersembahkan 25 Jun. Ada dinyatakan bahawa pada Rabu hingga Jumaat 19-21 Jun ada beberapa urusan di Lembah Klang membawa ke Janda Baik di mana saya beriktikaf di surau sebelum mengambil anak lalu telah memandu sejauh 328.9 km. Apa yang tidak dinyatakan petang Jumaat 21 Jun itu saya membawa anak bernama Rasyid ini keluar terus daripada tahfiz di Janda Baik untuk ditukarkan ke tahfiz lain yang lebih dekat dan lebih murah yuran. Disebabkan itulah beliau dapat bercuti lama lalu ikut saya ke Perak.




Sampai ke masjid warisan keluarga di Batak Rabit, Teluk Intan sempat mengikuti solat Isyak berjemaah. Gambar ini diambil selepas jemaah keluar lalu saya bersendirian bersama anak.



Selepas beberapa lama baru keluar ke rumah ibu saudara berdekatan. Ada majlis doa selamat. Oh. Kenapa cerita ini diberi tajuk utama "Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid"? Insyaallah akan diceritakan dalam sambungan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan