Sabtu, Februari 17, 2024

Masuk jalan kebun dan panjat bukit sebagai terapi untuk memperdalamkan ilmu

OK. Hari ini 17 Februari 2024 adalah hari ulang tahun anak bongsu saya, Muhammad Alauddin Johan yang ke-12. Saya pula pada malamnya mahu mengambil kesempatan untuk berkongsi satu luahan.


Lapan hari lalu iaitu pada hari Ahad 11 Februari jam 11.59 pagi saya telah meletakkan gambar atas ini di Facebook diikuti sari kata : "Layan panjat bukit daa...". Ketika itu baru sahaja sampai ke puncak sebuah bukit setinggi hampir 170 meter dari paras laut. Letaknya ke timur dari rumah saya di Bandar Sungai Buaya dan ia adalah kali ke-3 saya naik ke puncak bukit itu.



Jam 4.39 petang pula saya meletakkan gambar atas ini di FB diikuti teks berikut :-


LAYAN PANJAT BUKIT DAN AL-QURAN 1 SYA'ABAN

Tadi punya laluan panjat bukit dekat Bandar Sungai Buaya, Rawang. Kononnya bajet nak naik motokap sampai dekat2 puncak sebab nampak macam ada laluan boleh pakai. Tengok2 sampai satu peringkat moto tak boleh lalu. Harus menyambung dengan berjalan kaki.

Yang merah tu laluan berjalan kaki hingga sampai ke puncak. Dekat 2 km berjalan kaki ke atas, lagi 2 km turun balik ke moto sebelum balik ke rumah. Banyak bahagian denai bersemak tumbuh pokok bagai. Berapa kali tak jumpa jalan lalu main redah.

Keluar rumah jam 9.30, 4 jam kemudian baru balik. Sepanjang perjalanan tak makan mahupun minum setitik air pun. Itu kebiasaan saya kalau keluar hiking. Dah selesai baru boleh minum.

Ada satu part awal tiba2 kena sesak nafas. Mungkin kombinasi hari panas campur dah agak lama tak panjat bukit. Umur pun nak masuk 54 tahun. Senam jarang2 dan kebelakangan ini memang kurang sihat.

Saya pun bukak Al-Quran sambung bacaan Surah Al-Baqarah yang dimulakan malam tadi selepas Al-Fatihah. Pagi tadi dah masuk separuh Juz 2 sebelum keluar rumah. Mengaji berlagu lagi 5 muka surat. Alhamdulillah nafas kembali normal lalu sambung balik pendakian. Sampai ke puncak dapat tamatkan Juz 2 + 2 setengah helai Juz 3.

Balik rumah sambung kasi settle terus Surah Baqarah. Biasanya saya cuma selesaikan 1 Juz sehari demi mengejar sasaran khatam setiap bulan Islam. Kali ini, untuk tarikh hari ini 1 Sya'aban dah dapat sehingga hampir setengah Juz 3.

Lagi istimewa bila dibuat sambil panjat bukit yang boleh tahan tinggi, dekat 170 meter dari paras laut dalam keadaan kurang sihat. Ertinya masih ada harapan boleh fit balik tubuh badan insyaallah.


Gambar tersebut merupakan lakaran laluan yang diambil, dibuat menggunakan Google Earth. Ia boleh dikatakan susulan satu perjalanan lain sebegitu rupa tetapi lebih mendatar pada beberapa hari sebelumnya. Timbul rasa untuk berkongsikan cerita berkenaan di CATATAN SI MERAH SILU. Tetapi harus menyelesaikan dahulu satu lagi perjalanan sebegitu rupa di bahagian lain berdekatan Sungai Buaya lalu ia baru dapat dilakukan pada 14 Februari iaitu 3 hari lalu.

Sekarang, dengan timbulnya gerak untuk berkongsi cerita biar dinyatakan, sudah disediakan artikel-artikel tentang perjalanan-perjalanan tersebut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH seperti berikut :-


1. Checking a path to the west from Sungai Buaya

2. Taking a different approach to the summit of a hill east of Sungai Buaya

3. Going anticlockwise past agricultural routes to the east of Sungai Buaya


Sejak berpindah ke Bandar Sungai Buaya 10 tahun lalu saya memang rajin mendaki bukit-bukit sekeliling juga masuk ke jalan-jalan kebun dan sebagainya untuk bersenam juga sebagai terapi minda, terutama ketika berlaku PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 tahun 2020 hingga 2022. Tapi cuma sesekali sahaja ada berkongsi cerita di blogspot. Kali ini dikongsikan sedikit cerita untuk melepaskan rasa. Ini kerana sejak kebelakangan ini saya selalu dilanda rasa kepenatan yang amat sangat, tubuh badan selalu terasa demam, sakit kepala dan sakit-sakit badan. Apabila larat itu yang dilawan dengan keluar pergi berjalan naik bukit dan sebagainya. Namun cuma tiga yang di atas dikongsi cerita kerana menyedari sesuatu.

Dalam artikel Pertama kali ke ISTAC tahun 2024 dan Perjanjian Pangkor yang ditulis pada 24 Januari ada dinyatakan bahawa saya pergi ke tempat belajar iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada hari sebelumnya ketika "masih dalam mood tidak mahu bertemu orang. Boleh dikatakan sejak masuk tahun baru 2024 begitulah keadaan. Selain ada sejumlah perkara mengganggu fikiran saya sebenarnya sedang memberikan tumpuan bagi membaca tulisan-tulisan berkenaan satu subjek berat yang fikirnya akan dijadikan kajian bagi tesis PhD akan datang.".

Sebetulnya beberapa minggu kebelakangan saya berusaha untuk membaca sebanyak mungkin bahan- bahan berkenaan cadangan tesis PhD itu. Subjeknya bukan sahaja berat. Ia memaksa untuk menghadapi sejumlah keadaan jiwa masa lalu yang sudah sekian lama dilupakan, keadaan yang menyebabkan saya meninggalkan ilmu sains dan matematik lalu berubah langsung arah kehidupan. Kini didapati nak tak nak kena mendapatkan kembali kepandaian dalam ilmu sains dan matematik yang sudah lama ditinggalkan itu kalau betul-betul mahu menjayakan tesis seperti dicadangkan. 

Hal ini boleh jadi antara sebab saya kurang sihat. Ini kerana bebanan jiwa yang perlu dilalui memang sangat berat. Ia turut membawa pada ingatan bagaimana sejak zaman kanak-kanak dahulu saya sangat meminati begitu banyak cabang ilmu. Namun minat itu dibunuh kerana dilihat tidak penting malah mengganggu dalam menghadapi kehidupan biasa orang sama umur bersekolah. Hal ini sudah lama terlupa tetapi baru diingati kembali sejak seminggu dua kebelakangan. 

Lalu masuklah jalan-jalan kebun dan panjat bukit seperti diceritakan dalam artikel-artikel atas. Bagi saya ia antara terapi penting untuk terus maju ke hadapan. Meluahkan hal tentangnya juga adalah terapi. Sekian perkongsian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan