Selasa, Februari 13, 2024

Kesan peninggalan arkeologi masyarakat Melayu Champa abad ke 7-14 Masihi

Salam. Masuk cerita majlis ilmu.



Majlis ilmu kali ini berlangsung malam semalam jam 9 waktu Malaysia. Diadakan oleh satu badan NGO bernama YASMA-SEPAMA secara atas talian tajuknya adalah seperti yang kelihatan.



Bercakap adalah seorang pakar arkeologi yang boleh dikira daripada generasi ke-2 di Malaysia. Generasi pertama adalah orang seperti Prof Emeritus Dato' Dr Nik Hassan Shuhaimi yang merupakan guru kepada pembentang, Profesor Madya Dr Asyaari Muhammad ketika belajar dalam bidang berkenaan sehingga mendapat ijazah sarjana muda pada tahun 1993. Beliau sudah berkecimpung dalam bidang dan pergi ke merata tapak arkeologi Alam Melayu sejak lebih 30 tahun, beberapa tahun kebelakangan terlibat dalam arkeologi bawah air (marine archaeology). Kini beliau adalah pengarah ATMA (Institut Tamadun Alam  Melayu) di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia).




Sudah lama saya tidak mengikuti majlis-majlis ilmu anjuran ATMA. Dahulu selalu juga ke UKM di Bangi untuk majlis mereka lalu bertemu orang seperti Nik Hassan Shuhaimi. Sya'ari pun memulakan dengan sejarah kerajaan Champa (begitulah ia sering dieja berbanding Campa), sebuah kerajaan lama Melayu di satu wilayah besar yang dahulu sering disebut sebagai Indo-China. Namun dalam pembentangan ini didapati perkataan Indo-China tidak mahu disebut lagi. Seolah-olah ada suatu macam larangan oleh pihak tertentu.




Sebetulnya bercakap tentang kerajaan Champa itu sendiri boleh jadi sangat sensitif. 




Ini kerana selepas lebih 1,000 tahun menjadi sebuah kerajaan Melayu yang boleh tahan gah ia ditakluki oleh satu kerajaan lain di/dari selatan China lalu menjadi sebahagian daripada kerajaan tersebut, kini dikenali dengan nama moden Vietnam.




Penaklukan bersifat genocide atau pembersihan etnik itu telah menyaksikan ramai orang Melayu Champa berhijrah secara besar-besaran ke Kemboja (Cambodia). Ada juga ke Semenanjung Tanah Melayu.







Disebut pula peranan dan kedudukan Champa dahulukala dalam perdagangan melalui jalan laut ataupun maritim...







Diberikan sedikit overview jatuh bangun kerajaan kemudian baru betul-betul masuk ke bab arkeologi...




Asya'ari pun mula berkongsi pengalaman peribadi beliau membuat kajian setelah beberapa kali ke Vietnam. Kebanyakannya dibuat secara senyap-senyap seperti seorang pelancong biasa sahaja kerana  mengkaji tentang peninggalan Melayu dalam satu wilayah yang sudah dilenyapkan identiti keMelayuannya adalah sesuatu yang sensitif, boleh mengundang ancaman.




Sebetulnya masih terdapat banyak tinggalan gah kuil-kuil daripada zaman orang Melayu Champa menganut agama Hindu. Namun secara rasminya ia dikenali dan diangkat sebagai monumen kemegahan Hindu, tidak dikaitkan dengan Melayu.




Di sini cukuplah dikongsikan slaid-slaid berkenaan tanpa penerangan tambahan.













Cukuplah ditambah, masih ada lagi saki baki orang Melayu Champa yang menetap di wilayah asal mereka, satu kumpulan menganut agama serupa Hindu-Buddha. Satu lagi ada unsur Islam tetapi bercampur dengan agama lama nenek moyang. 













Sekadar memberitahu. Ini adalah artikel ke-2,477 di CATATAN SI MERAH SILU.










Tamat pembentangan berlaku sesi soal jawab diikuti sembang-sembang santai tentang sejarah dan arkeologi meliputi banyak perkara juga wilayah-wilayah Melayu lain. Terkeluar hal-hal seperti hubungan dengan Sungai Batu dan Lembah Bujang juga kaitan Sultan Kelantan dengan kerajaan Champa selepas ia masuk Islam (harus seawal abad ke-14 Masihi). Satu perkara menarik disebut adalah bagaimana di Sungai Mas, Kedah ditemui banyak tinggalan manik daripada pelbagai belahan dunia termasuk kerajaan Rom yang berpusat di Itali. Tetapi ini tidak bermakna orang Rom pernah menjejakkan kaki ke Kedah pada zaman itu (kerajaan Rom yang berpusat di Itali jatuh pada abad ke-5 Masihi. tinggal Rom belah Timur berpusat di Turki yang jatuh 1,000 tahun kemudian). Kata Asya'ari belum ditemui bukti yang boleh dipertanggungjawabkan secara akademik bahawa orang Rom pernah sampai ke mana-mana tempat di Kepulauan Melayu/Asia Tenggara.  Manik-manik dari Rom boleh dibawa oleh para pedagang dari Timur Tengah (yang mana memang ada antara mereka sering berurusan dengan kerajaan Rom yang wilayahnya pernah meliputi Mesir dan utara Semenanjung Arab). 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan